23 November 2013

Perestroika Sinematikal Masakini!

Drama atau filem kita, secara amnya berdepan dengan krisis seni dan intelektual. Ironinya, industri perfileman kita dihidangkan dengan kuantiti, bukan kualiti. Krisis ini disuburkan lagi oleh sebahagian masyarakat yang dibahana badai hedonisme.

Maaf saya katakan bahawa kebanyakkan drama atau filem yang saya dan anda tonton masakini, sangat kosong jiwanya apatah lagi darihal bercakap soal nilaian ambiguiti. Ambiguiti atau ketaksaan adalah salah satu elemen penting dalam ‘mengintelektualkan’ satu-satu karya seni/kreatif. Namun, mungkin ‘innate behaviour’ setiap manusia adalah berbeza mengikut citarasa masing-masing dan acuannya adalah mengikut aras-daya-segi keintelektualan di dalam kebolehan menanggap dan mengetahui(epistemo-psychological dimension).

Keindahan/estetika yang tercerna daripada filem atau drama, wujud dalam lingkungan sosial yang mencakup pelbagai suara rasa, pemikiran, abstrak yang menggambarkan siapa khalayak itu sendiri, malahan tidak salah jikalau saya mengatakan filem/drama adalah cerminan masyarakat kita. ‘Kita adalah apa yang kita tonton’.

Ada khalayak penonton yang mahu karya-karya yang mempunyai keseimbangan nilai estetika dalam pada masa yang sama ia mempunyai hiburan, seni dan dinatijahkan dengan dampak positif namun dalam masa yang sama, masih wujud kelompok khalayak yang setia/statik dengan karya-karya yang selayaknya di‘bakul-sampah’kan.

Ibu kepada segala masalahnya tersebut ialah kebanyakkan filem atau drama(saya tidak mengatakan semua) dibikin atas dasar ‘batu-loncatan’ untuk mengaut keuntungan semata. Apabila konsumerisme dikejar ‘bagai nak rak’, manakala idealisme ‘diterkebelakangkan’ dengan sewenang-wenangnya, maka apa yang tercerna kepada kita selaku khalayak hanyalah ‘sampah-sampah’ seni yang memualkan.

Selaku penonton, kita perlu bersikap selektif dan ekstensif. Menyajikan drama dan filem yang ‘menghina intelektualiti’ adalah satu kesilapan besar. Saya kira kita sebagai khalayak sudah duduk dalam ruang lingkup jutaan drama dan filem yang mempunyai tema, persoalan dan isu klise dan basi(baca: hantu, rempit,cinta-tiga-segi), bertahun-tahun lamanya hingga adakalanya saya merasakan ‘creative products’ industri(boleh juga untuk industri perbukuan) kita seolahnya statik dan tidak mampu untuk keluar daripada kepompong idea sedia ada, lalu isu-isu jugalah di‘recycle’ hingga tempoh masa saya menulis post ini.

Filem atau drama adalah merupakan salah satu karya seni yang mewajarkannya ia menjadi wadah untuk kita berfikir dan menaakul secara ekstensif (luas-liput), apa yang cuba untuk disampaikan melalui sesuatu filem/drama tersebut, tidak ia hanya sekadar istilahnya “kita masuk panggung, bayar tiket, ketawa-ketawa, dan keluar panggung-kosong-sebegitu sahaja”.

Menyajikan drama dan filem ‘sampah’ adalah satu bentuk hiburan yang sia-sia dan hanya membazirkan poket dan minda masyarakat. Perkataan ini bukan bermaksud menidakkan filem ‘based on’ hiburan namun pada saya biarlah ianya di“wayang”kan dengan “bil hikmah”, bermotif serta berupaya untuk menghasilkan dampak berbentuk positif terhadap minda dan mentaliti masyarakat yang menontonnya. Kita seringkali bercakap soal minda kelas pertama ataupun ‘towering-personality’, jadi di mana kedudukan drama dan filem kita dalam membicarakan dua perkara ini?

Faisal Tehrani pengulas filem tersohor pernah menulis: “…buat duit lagi baik dari bertanggungjawab kepada penonton dan masyarakat tetapi tolonglah baiki aspek penceritaan. Ambil kira juga mutu produk filem anda supaya berbaloi dengan wang audiens. Penonton bayar sepuluh ringgit untuk menonton kerja seni anda. Seni perlu saya ingatkan adalah sesuatu yang murni bukan sampah, bukan nanah, bukan debu, bukan abu. Ia datang dari jiwa paling halus. Jiwa halus ialah jiwa yang cermat…”

Filem yang baik bukan sekadar bergantung kepada setinggi mana bajetnya, juga bukan kepada secanggih mana CGI yang diaplikasikan, tetapi pada saya ianya bergantung kepada sejauhmanakah kreatifnya si pengarah dan teamnya untuk mengarap idea-idea untuk diadun menjadi naskhah seni menghiburkan disamping bermotif kepada khalayak.

Kadang-kadang saya terfikir kebanyakkan konsep ‘glasnost’ industri hiburan kita ditampilkan pada ertikata yang membosankan. Saya merasakan bahawa sudah sampai masanya satu ‘restrukturisasi’ atau perestroika dilakukan agar produk-produk hiburan tersebut perlu lebih ‘seronok’; untuk tontonan dan kebaikan kita bersama dan ianya bermula daripada diri kita. Selektif adalah kata kuncinya.

Post ini hanya sekadar berkongsi idea dan rasa penulisan Saudara Mizan Hashri yang sudah menjadi viral di facebook berkenaan isu drama di Malaysia.

13 Ogos 2013

Ulasan Buku Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang


“Education is the most powerful weapon which you can use to change the world.” -Nelson Mandela

Saya membeli buku ini di Pesta Buku Antarabangsa tempohari. Sebenarnya antara faktor yang menjadi magnet untuk saya membaca buku ini adalah berdasarkan tajuknya yang betul-betul ‘menangkap’ walaupun ia seolahnya membuka dan membentang apa yang bakal dipolemikkan. Saya rasa buku ini sangat ‘cool’ dan boleh saya katakan ramai yang menegur, bertanya dan membelek buku ini tatkala saya membawanya bersama ketika melepak di kedai kopi ataupun ke gelanggang futsal. Memang terasa sangat cool meletak buku ini di atas meja berbanding meletak telefon bimbit, lewat indoktrinasi klise gaya urban sebahagian masyarakat pasca Y2K.

Pembacaan buku ini juga didorong dengan penulisan prakata yang ‘anti-keluwesan’ dan bukan bersifat inkubasi, atau ‘lesson allegorical’, sebaliknya bergaya iluminasi untuk dihadam dan ditaakul oleh kita dan seluruh masyakarakat(khususnya) yang ditulis oleh penulis yang saya kerap ikuti perkembangan beliau dan karya beliau iaitu Dr Faisal Tehrani(walaupun saya sedikit terkilan, beliau tidak meng-approve saya sebagai rakan beliau di Facebook). Penulisan prakata yang sangat meaningful dan mungkin sedikit ‘mencuit’ generasi mahasiswa cut and paste, antaranya ‘khayal berfalsafah sehingga memetik sana sini tanpa bacaan menyeluruh..’

Saya sangat menyukai bagaimana kekreatifan Zul Fikri Zamir menulis, mengungkap rasa, mengkomposisikan ruang lingkup gagasan pemikiran, mewacana dan mengadun naratif ilmiah mahupun pseudo-ilmiah berdasarkan pemikiran dan ‘supremacy of ideas’ samada dari dalam atau luar kotak pemikiran berdasarkan pengalaman beliau dalam dunia pendidikan.

Buku ini memberi ‘hiburan’ dan nafas baharu kepada pembaca tentang nilai estetika disamping menjurus ke arah kepuasan batiniah dan harfiah, tidak hanya statik terarah kepada pembacaan bahan yang lesu dan membosankan. Leonard M.S Yong(1993. Kreativiti, Ke arah Pembentukan Masyarakat Penyayang) pernah menegaskan berkaitan perihal ‘insan kreatif berkecenderungan untuk mempunyai keyakinan diri, berdikari dan sanggup menempuh risiko, insan kreatif seharusnya berani menonjolkan sifatnya yang tersendiri untuk membebaskan diri daripada kekangan biasa yang memungkinkan sesuatu pencapaian atau kejayaan luar biasa.’ Begitu juga, Andrew(1961) menegaskan bahawa ‘kreativiti ialah proses yang dilalui oleh seseorang melalui pengalaman-pengalamannya’. Saya kira penegasan Leonard M.S Yong(1993) dan Andrew(1961) ini sangat relevan dengan buku ini.

Tulisan-tulisan di dalam buku ini terbahagi kepada empat bahagian iaitu Mahasiswa dan Kebebasan Akademik, Pendidikan Nasional, Politik dan Sosial serta Kritik Teater. Buku ini tidak hanya berkisahkan necessary truth(asas kebenaran) atau superficial(lapis luar), sebaliknya menghurai secara aposteriori iaitu memperoleh pengetahuan setelah diketahui, dilihat, diselidiki keadaan yang sebenarnya dengan memanfaatkan suatu(atau beberapa) berdasarkan pengalaman khusus beliau dalam dunia pendidikan. Buku ini secara terangan menolak elemen picisan sebaliknya ia kuat dibina dengan berdasarkan method tersebut disamping pemaknaan layering(berlapis-lapis) untuk membuktikan kebenaran empiris dan hipotetis berkaitan pendidikan di Malaysia.

Buku ini terlalu berani, terlalu lantang dan lari daripada klise buku ilmiah yang mudah kita dapati di pasaran. Saya boleh menulis gagasan idea semacam ini, namun saya tidak punya keberanian seperti Zul Fikri. Ini satu pujian buat Zul Fikri. Tidak banyak buku selantang dan seberani ini di pasaran. Jikalau adapun mungkin ia hanya berkisar pada satu sisi atau berdiri hanya pada satu sisi pandangan atau idea bertunjangkan politikal, namun Zul Fikri, dengan buku ini melihat isu pendidikan ini sebagai suatu yang ekstensif dan holistik melangkaui semua sisi tersebut. Buku ini bernuansa mencerah, memperjelaskan ‘die Aufklarung’ sebagaimana penjelasan Immanuel Kant: ‘pencerahan adalah kemunculan seseorang dari ketidakmatangannya yang dipikul sendiri. Ketidakmatangan merupakan ketidakupayaan seseorang untuk menggunakan kefahamannya tanpa panduan orang lain. Ketidakmatangan ini adalah sendiri dipikul apabila sebabnya bukan kekurangan dari segi kefahaman tetapi kekurangan azam dan keberanian untuk menggunakankannya tanpa panduan orang lain.’ Saya kira keberanian untuk membahas dan mencakna isu pendidikan ini relevan dengan apa yang dibahaskan oleh Zul Fikri dalam buku ini.

Didaktiknya kuat dan uniknya ia disampaikan dengan sejumlah fakta yang kadangkala sifatnya so-serius, seolah saya sedang membaca thesis, jurnal atau kajian ilmiah universiti. Ironinya, inilah kekuatan sampingan yang mampu menjadi ‘magnet’ untuk saya membaca buku ini hingga ke akhirnya. Antara yang saya suka ialah qoute daripada Praemodya Ananta Toer ‘..apalah guna sekolah-sekolah didirikan, kalau tak dapat mengajar yang mana benar dan yang mana tidak..’

Saya suka menyimpulkan 5 perkara berkaitan buku ini iaitu:

Pertamanya: Buku ini adalah merupakan sebuah catatan penting bagi kita, khususnya remaja, mahasiswa dan masyarakat pendidik lantaran pendidikan adalah merupakan salah satu aspek yang terpenting di dalam sesebuah negara. Nilaian pendidikan, saya kira sudah termasuk dalam keperluan fisiologi sebagaimana mengikut teori Abraham Maslow. Pendidikan dilihat mampu mengubah sesebuah negara ke tahap yang lebih baik dari segi peningkatan ekonomi, budaya, politik, sosial, dan sebagainya. Zul Fikri melalui buku ini menyubur ‘love of wisdow’ untuk kita mentadabbur(cari-gali), berfikir secara kritikal(mendalam untuk menilai kekuatan dan kelemahan, bukan secara rambang atau tergesa-gesa), berfikir secara integral(menilai secara keseluruhan, bukan serpihan) berdasarkan ‘common experience of mankind’ berkaitan aspek pendidikan negara dan halatujunya.

Buku ini juga menghurai dan membawa kita kepada salah satu daripada penyataan klasik Bacon tentang konsep ‘arca-arca akal’(idols of the mind) iaitu ‘idols of the theater’ berkaitan sikap kita yang berpegang kepada sistem yang lalu, adalah seumpama panggung, yang membawa kata kepada dunia khayal dan hipotesis yang salah. Buku ini menganjak pemikiran kita untuk membuka ruang berfikir tentang bagaimana dan sejauhmanakah pendidikan di Malaysia berlangsung atau sedang berlangsung. Hakikatnya, kita memerlukan dan menuntut gagasan idea dan pemikiran yang idealistik, mencabar minda, menongkah arus kebiasaan seperti apa yang cuba dihidangkan oleh Zul Fikri ini.

Keduanya, saya melihat tanggungjawab berkaitan proses mendidik bukan mendasar kepada hakikatnya(substance) hanya terletak dibahu warga pendidik semata tetapi ia adalah tanggungjawab nasional kerana hakikat sistem pendidikan ialah sebagai ‘suatu upaya melihat ke dalam diri’ lalu daya upaya untuk melihat ke dalam diri ini boleh memperlihatkan sisi dan dimensi keseronokan dan kepuasan, namun dalam pada masa yang sama ia juga menyerlahkan hal-hal yang kurang enak, kurang menyelerakan dan kurang menyeronokkan. Pendidikan adalah cerminan masyarakat. Semakin ramai bijak pandai maka dengan ini akan menyumbang kepada ketamadunan sesebuah negara tersebut. Begitulah sebaliknya. Walau apapun tiraninya, itulah hakikatnya kita dan diri kita dalam konteks sistem edukasi yang wujud kini.

Sebagai orang yang mendiami dunia pendidikan, saya mengambil jalan bersetuju dan bersetuju untuk tidak bersetuju berdasarkan apa yang dihidang dan dihurai di dalam buku ini. Sememangnya semenjak pasca merdeka hingga kini terlalu banyak rombakan dan transformasi yang asasnya untuk memajukan sistem pendidikan yang berkemungkinan membawa natijah samada berjaya atau mungkin ada yang mengecewakan sehingga menimbulkan polemik. Kritikan saya kira sangat penting sebagai koreksi namun dalam pada masa yang sama perlu ada keseimbangan antara kritikan, solusi, saranan dan sokongan dua hala, bukan hanya sehala, untuk merencana sebuah pendidikan yang holistik dan memenuhi tuntutan falsafah pendidikan itu sendiri.

Antara perkara sudah banyak dibangkitkan oleh ramai ahli akademik yang juga direpresentasi dalam buku ini contohnya indoktrinasi meletakkan tanda aras keberjayaan seseorang manusia diukur melalui sejauh mana pandainya seseorang(berorientasikan peperiksaan dan pengumpulan A terbanyak), atau sejauh mana tinggi menara gading yang dimasukinya ataupun sejauhmana Sarjana, Master, Phd yang diambilnya. Golongan yang kurang pandai dianggap lekeh dan kurang berjaya dimata sebahagian masyarakat. Ini satu bentuk stigma yang perlu dikoreksi dengan melihat contoh individu seperti Aaron Swartz, M.Zuckerberg, Steve Jobs atau Bill Gates yang mengubah dunia tanpa memikirkan CGPA mereka. Walaupun kita perlu sesuatu yang bersifat measurable atau verifiable namun ia boleh dibatasi dengan sesuatu yang bersifat observable sebagaimana contoh yang telah diberikan tadi.

Ketiganya, saya melihat hampir semua guru komited dengan tugasan yang diberikan iaitu untuk mendidik(berdasarkan pengamatan saya) namun saya melihat wujudnya sebahagian pelajar yang ‘tidak cinta kepada ilmu’. Menyalahkan sistem sedia ada kadangkala ada bernasnya, namun melihat kepada sikap ‘transgress the law’ sebahagian daripada pelajar ditambah dengan sifat ego dan individualistis sebahagian ibu bapa, malahan bersifat utilitarinisme memberikan persepsi baharu tentang ‘yang salah adalah sistem atau ‘tanda soal’. Lebih memburukkan suasana, terdapat sebahagian ibu bapa meletakkan tugas mendidik anak mereka dibahu guru. Lebih lagi memburukkan suasana kita selalu dihidangkan dimedia bagaimana guru selalu dipersalahkan apabila timbulnya satu-satu isu melibatkan disiplin pelajar sedangkan apabila diteliti puncanya adalah daripada anak-anak mereka sendiri. Sikap terlalu menyalahkan guru perlu dikikis sehakis perlu. Mungkin guru adalah individu yang tidak terlepas daripada kesilapan namun adakah manusia yang bernama guru ini akan secara ‘automatik’ atau ‘naturalis’ merotan atau melakukan sebarang tindakan berbentuk displin tanpa bersebab? Contoh situasi, guru sedang mengajar di hadapan, pelajar di belakang meletak kakinya di atas meja atau susun kerusi untuk tidur, apa yang perlu dilakukan oleh seseorang guru?

Walaupun Shaykh Abul Hasan Ali Nadwi di dalam bukunya The Glory of Iqbal menyebut beberapa kritikan Almarhum Muhammad Iqbal terhadap pendidikan moden antaranya ialah bagaimana pendidikan moden telah mengabaikan pembangunan mental dan rohaniah di kalangan generasi muda yang mengakibatkan timbulnya krisis moral di kalangan mereka namun saya tetap berpendirian bahawa tugas mendisiplin anak seharusnya bermula seawal dari rumah lagi. ‘Setiap anak yang dilahirkan itu adalah umpama kain putih(fitrah), ibu bapalah yang bertanggungjawab mewarnakan dan mencorakkannya, sama ada menjadi Yahudi, Nasrani dan Majusi..’(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Keempatnya ialah berkaitan mahasiswa, timbul persoalan, siapa dikalangan mahasiswa yang boleh dijadikan contoh yang baik untuk diangkat sebagai ikon kepada remaja? Juga timbul persoalan, apa sumbangan terbesar yang disumbangkan oleh mahasiswa tersebut kepada negara? Saya melihat jawapan persoalan ini banyak terarah kepada individu dalam ruang lingkup yang menjurus kepada nada politikal, namun persoalan sumbangan mereka kepada negara boleh dipertikaikan.

Pada saya, sebagai mahasiswa janganlah kita hanya menjadi mahasiswa yang ‘bonsai minda’nya dan bersikap pandir. Mahasiswa seharusnya bersifat ‘penyuap’ bukan disuap, lebih malang lagi, apa yang diberikan kepada mereka itulah juga yang disuap ke mulut mereka, tanpa perlu berusaha lebih untuk menambah aras kepandaian mereka. Mengapa perkara ini berlaku? Bukankah setiap mahasiswa adalah terdiri daripada para intelektual serta ‘arkitek negara’ yang ‘berjaya’ pada pemikiran sesetengah masyarakat? Mahasiswa perlu ekstensif berada ‘di luar kotak’ bukan statik dan jumud mengikut arus klise ‘kotak’.

Buku ini melihat sisi dan dimensi kosong dunia mahasiswa tadi perlu ditransformasi menjadi satu sosok yang lebih ‘berisi’ di dalam mendepani masyarakat dalam segenap hal. Ini kerana mereka adalah penggalang-ganti kepemimpinan negara, ‘seandainya baik diri remaja, maka baiklah masa depan negara, sebaliknya, jika buruk diri remaja maka buruklah masa depan negara’.

Kelimanya, buku ini membuka minda kita untuk berfikir berkaitan matlamat sebenar mengapa kita perlu belajar. Adakah belajar untuk memperolehi ilmu? Ataupun sekadar untuk memenuhi tuntutan periuk nasi keluarga dan anak-anak? Ataupun sekadar memenuhi tuntutan ibubapa yang memaksa kita belajar kerana sudah bosan kita asyik berpeleseran ke sana-kemari tanpa arah tuju? Ataupun sekadar batu loncatan untuk mendapat pekerjaan yang baik? Ataupun sekadar untuk menambahkan lagi koleksi sijil, diploma, Sarjana Muda, Sarjana, PHD untuk ditunjukkan kepada anak cucu di hari tua? Ataupun sekadar untuk memenuhi tuntutan saranan kerajaan “satu rumah, satu graduan’? Biar apapun jawapannya, apa yang penting ialah kita tahu untuk memanipulasikan apa yang telah kita pelajari melalui praktikalis kehidupan kita dengan sebaik mungkin. Pastikan anda di landasan yang benar, jangan ada pesongan walau sekelumit, faham ya?

Diakhirnya, saya menyarankan agar anda dapatkan buku ini sebelum ianya kehabisan stok dan menjadi langka! Cuba hadam, taakul dan tadabbur polemik dan wacana ilmiah yang cuba disampaikan oleh Zul Fikri ini dengan sebaiknya.

Sekian.

17 Disember 2012

Mentafsir Alegori Politeisme Dalam Life Of Pi(2012)



Menurut Edward Burnett Tylor, sistem kepercayaan manusia melalui beberapa transisi evolusi iaitu dinamisme(kepercayaan terhadap benda-benda di sekitar manusia yang diyakini memiliki kekuatan ghaib), animisme(kepercayaan kepada makhluk halus dan roh), politeisme(kepercayaan atau pemujaan kepada lebih dari satu Tuhan), henoteisme(keyakinan kepada satu Tuhan tanpa mengingkari adanya dewa lain atau makhluk halus) dan monoteisme(kepercayaan bahawa Tuhan adalah tunggal dan berkuasa penuh ke atas segala sesuatu). Menyelusuri filem Life Of Pi ini memberikan pandangan yang senada dengan tafsiran Edward Burnett Tylor tersebut.

Melalui khabar angin yang tersebar luas, nama-nama besar seperti M. Night Shyamalan, Alfonso Cuarón dan Jean-Pierre Jeunet pernah dikaitkan untuk menjadi pengarah kepada filem ini namun akhirnya mereka mengundurkan diri disebabkan Life Of Pi mungkin ‘terlalu berat’ atau ‘terlalu kompleks’ untuk divisualkan ke layar perak. Ironinya, pengarah dari Taiwan, Ang Lee hadir dengan sentuhan magis merealisasikan novel falsafah ini ke adikarya yang sangat spektakular samada visual, didaktik mahupun nilaian ambiguitinya.   

Kejayaan Life Of Pi yang diberitakan sudah mengutip lebih AS$12 juta (RM36.51 juta) ini sedikit sebanyak dipengaruhi oleh faktor imaginasi tinggi sutradaranya iaitu Ang Lee yang sebelum ini sukses menerusi filem Crouching Tiger Hidden Dragon (2000), Hulk (2003) dan Brokeback Mountain (2005). Ia juga banyak dibantu oleh penjiwaan watak pelakonnya yang terdiri daripada Irfan Khan, Gérard Depardieu, Tabu, Suraj Sharma dan Adil Hussain. Selain itu, filem ini diperkemas dengan kesan visual oleh Rhythm & Hues Studios, sinematografer oleh Claudio Miranda dan susunan muzik oleh Mychael Danna juga dilihat berjaya mevariasi perjalananan  filem ini menempa mercu tanda kejayaannya.

Menyelongkar intipati naskhah berat ini meyakinkan kita bahawa ia dibina dengan asas aposteriori yang kukuh samada novelnya mahupun terjemahan layar sinematiknya. Aposteriori bermaksud pengetahuan yang diperolehi sesudah pengamatan secara emperikal, eskperimen dan sebagainya dilakukan sebelum satu-satu bahan itu diterbitkan. Yann Martel pastinya merangkum novel Life Of Pi ini berdasarkan kajian dan pengamatan yang serius terharap isu perbandingan agama. Martel dikhabarkan telah menghabiskan kebanyakkan masanya di Iran, Turki dan India. Selepas menamatkan pelajarannya dalam bidang jurusan falsafah di Trent University, Martel telah menghabiskan masa selama 13 bulan di India dengan melawat masjid, gereja, kuil dan zoo. Bahkan dia juga menghabiskan masa selama 2 tahun untuk mengkaji teks-teks keagamaan dan kisah-kisah orang yang terdampar di lautan sebelum lahirnya naskhah Life Of Pi ini.  

Manakala sutradaranya, Ang Lee juga menyajikan bukan sekadar sebuah filem yang bersifat superfisial sebaliknya mengajak kita mentafsir dan menghadam pemaknaan layering(berlapis-lapis) melalui karyanya ini. Malah ianya bukan selapis, sebaliknya berlapis-lapis untuk kita taakul secara ekstensif. Ini merupakan titik perbezaan ketara yang membezakan filem kita dengan filem-filem yang ditangani oleh karyawan dari luar ini.   

Kehadiran filem Life Of Pi ini seolahnya mengajak karyawan kita di Malaysia untuk mengorak langkah drastik di dalam penghasilan karya-karya mereka. Kita acapkali dihidangkan dengan karya-karya yang bersifat lesu, klise, streotaip dan boleh dibaca kesudahannya. Malahan lebih malang lagi apabila ada di antara karya-karya tersebut digelar oleh sebahagian pengkritik sebagai “filem sampah”. Jadi, sudah tiba masanya golongan karyawan ini  bersatu untuk melakukan satu revolusi agar produk-produk hiburan kita khasnya filem menjadi sesuatu yang bermanfaat dan berguna untuk dikongsikan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Filem berdurasi 127 minit ini berkisarkan sebuah perjalanan fantasi spiritual Piscine Molitor "Pi" Patel, iaitu seorang pemuda India yang terperangkap di atas sebuah bot keselamatan bersama seekor harimau Bengal bernama Richard Parker selama 227 hari apabila kapal yang dinaikinya tenggelam dibadai ribut taufan. Tragedi tragis itu telah menenggelamkan kapal yang dinaiki oleh Pi dan keluarganya akibat ketelanjuran Pi secara sengaja meminta agar hujan dan ribut turun dengan lebih lebat lagi.

Filem ini bermula dengan pengenalan Piscine Molitor Patel (Suraj Sharma) atau lebih dikenali sebagai Pi sebagai watak utama mempunyai seorang bapa yang bertugas sebagai pengurus sebuah zoo di Pondicherry, India. Babak-babak awal yang dibikin ala dokumentari National Geographic sedikit mengujakan. Begitu juga babak bagaimana Pi mendapat namanya dan babak Pi di sekolah yang disuntik dengan sedikit elemen humour mengundang tawa di kalangan khalayak.

Pi dizahirkan sebagai seorang anak muda yang mempunyai sifat inkuiri yang tinggi dimana dia banyak menghabiskan masa senggangnya dengan aktiviti yang menjana ilmu pengetahuannya berkaitan sastera, seni, isu universal dan juga keagamaan.

Jika kita melihat kepada perkembangan sosiobudaya di India, watak Pi dilihat adalah merupakan cerminan kepada golongan minoriti Zippie, sebagaimana yang digambarkan Thomas L. Friedman di dalam bukunya, The World Is Flat. Golongan ini mewakili anak muda berumur 15 hingga 25 tahun yang mempunyai semangat yang kuat, personaliti yang mempersonakan, bercita-cita tinggi dan penuh dengan aspirasi.   

Sifat ingin tahu yang tinggi Pi berkaitan agama telah membawa transisi positif di dalam membentuk cara hidup dan pemikiran Pi. Watak Pi dibina dengan membawa pemahaman politeisme(kepercayaan atau pemujaan kepada lebih dari satu Tuhan). Pi digambarkan menganut agama Buddha, Kristian dan Islam di dalam satu masa yang sama. Ironinya, ahli keluarga Pi iaitu bapanya adalah seorang atheist dan nihilist. Bapanya tidak membimbing Pi dengan sesuatu yang bersifat substansi sebaliknya menyarankan Pi berfikir secara rasionalisme disamping memberi konotasi berbentuk negatif tentang agama kepada Pi. Ini sedikit menimbulkan polemik kepada sesiapa yang menonton filem ini.

Filem ini juga membicarakan berkaitan sinkretisme iaitu keupayaan Pi untuk melakukan penyesuaian jamak budaya(multikulturisme) walaupun berlakunya jurang perbezaan di dalam aliran kepercayaannya. Ini kita nampak melalui babak semasa Pi dan keluarganya sedang mengadap makanan, keluarga Pi terus makan tanpa berdoa manakala Pi pula dilihat bertafakur seketika, berdoa sebelum menyuap makanan masuk ke dalam mulutnya. Ini memberi persepsi ketidak-pedulikan keluarga Pi terhadap agama manakala Pi pula terbimbing untuk mencari pencerahan di dalam kehidupannya melalui kehidupan secara beragama, namun apa yang menariknya mereka masih duduk semeja, walaupun berlainan ideologi. Mis en scene ini memberikan perlambangan bahawa apa pun agama atau kepercayaan yang kita anuti, kita seharusnya membenih semangat toleransi dan menolak indoktrinasi perpecahan yang bersifat merugikan.   

Kemudian, naratif filem ini bergerak kepada subplot perpindahan Pi bersama keluarganya ke Kanada disebabkan berlakunya pergolakan politik di India. Dalam perjalanan ke Kanada inilah, berlakunya satu insiden yang tidak diingini, di mana kapal yang dinaikinya telah karam dan peristiwa ini telah mengorbankan seluruh keluarganya.

Pi terselamat daripada tragedi ngeri tersebut namun dia terperangkap di atas sebuah perahu keselamatan di tengah Lautan Pasifik yang luas bersama seekor kuda belang, seekor dubuk, seekor orang utan dan seekor harimau yang digelar Richard Parker. Di situlah Pi terdampar hingga akhirnya tinggal dia dan Richard Parker sahaja yang terus berjuang untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka. 

Babak panjang antara Pi dan Richard Parker ini berputar kepada teori alienasi iaitu proses menuju keterasingan. Kita dihidangkan dengan babak ala filem Cast Away(2000), di mana Pi berseorangan mengharungi lautan yang luas dengan hanya berbekalkan sedikit makanan dan ‘kit ikhtiar hidup’. Pi melalui rutin alienasi yang membosankan di mana dia hanya sekadar menulis diari, menyanyi, mencuba untuk menjinakkan Richard Parker, menadah air hujan untuk dijadikan minuman dan mengira jumlah hari untuk mengisi ruang kosong kehidupannya. Bahkan sebelum-sebelum itu juga, Pi digambarkan sudah menjalani proses alienasi di mana dia kerapkali digambarkan hidup secara bersendirian melalui babak dia mengamalkan agama secara bersendirian, belajar secara sendirian(baca: kerap diejek oleh rakan-rakannya), duduk bersendirian di bawah jambatan, hidup sendirian setelah kematian ahli keluarga, terperangkap secara bersendirian di atas bot keselamatan dan akhirnya ditinggalkan terdampar sendirian di tepi pantai oleh Richard Parker. Istilah alienasi ini adalah merupakan salah satu cabang sufisme iaitu yang dinamakan sebagai khalwah atau uzlah. Khalwah ataupun uzlah ini adalah merupakan satu proses pemutusan hubungan dengan makhluk menuju penyambungan hubungan dengan Al-Haq iaitu Allah SWT. Di sini kita lihat bagaimana mendalamnya kajian berkaitan subjek keterasingan ini dilakukan oleh Yann Marten sebelum menulis novelnya. Namun diakhirnya, subjek alienasi ini dipadam oleh Yann Marten dengan kehadiran manusia yang menyelamatkan Pi di tepi pantai dan perkahwinan Pi dengan isterinya.   

Disamping itu, filem ini juga bercakap soal efikasi kendiri yang dibina kukuh melalui watak Pi. Menerusi babak di atas bot keselamatan, Pi melalui saat yang kita ibaratkan sebagai “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang” untuk meneruskan kehidupannya. Pada usianya yang terlalu muda dia terpaksa meninggalkan the comfort zone(baca: kasih sayang ibubapa) tanpa kerelaannya. Namun Pi dengan semangat kental dan idealismenya, mampu untuk menangani semua itu dengan jayanya. Ini sedikit kontradik dengan anak-anak muda kita yang lebih suka menyalurkan lebihan tenaga mereka berlumba haram ataupun melakukan aktiviti yang merugikan masa muda mereka. Golongan belia yang menurut Jabatan Perangkaan Malaysia mendominasi kepadatan penduduk Malaysia iaitu mewakili 42.5 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Malaysia yang dianggarkan seramai 28 250 500 orang seharusnya mengambil semangat watak Pi di dalam ertikata kecintaan kepada ilmu, mengenal erti berdikari dan seterusnya menyumbang sesuatu yang berfaedah kepada negara kita yang tercinta.

Selain daripada itu, filem ini juga berkisar dalam ruang lingkup falsafah kehidupan manusiawi. Ia mengajak kita berfikir secara kritikal dan integral tentang konsep ontologi iaitu hakikat ketuhanan, hakikat kosmologi dan hakikat kemanusiaan. Hakikat ketuhanan hadir menerusi babak Pi dianugerahkan dengan nikmat ikan terbang yang datang secara tiba-tiba sebagai makanan untuk dia dan Richard Parker, juga nikmat nyawa kerana Pi tidak mati dibaham Richard Parker dan di saat Pi kehilangan semangat untuk hidup, Tuhan telah memberi kekuatan kepadanya dengan mendamparkan Pi di sebuah pulau ajaib. Kita juga disajikan dengan hakikat kosmologi menerusi babak visual indah hidupan laut dan babak interaksi Pi mencabar ribut taufan manakala hakikat kemanusiaan hadir menerusi babak Pi mahu menyelamatkan ahli keluarganya yang terperangkap di dalam kapal semasa insiden kapal tenggelam.

Keterlangsungan sosiologi falsafah filem ini juga menekankan berkaitan teori hukum tiga tahap(law of three stages) iaitu hukum tentang perkembangan tahap inteligensi manusia. Hukum ini jika diwacanakan melalui filem ini bolehlah kita dibahagikan kepada tiga tahap perkembangan pemikiran Pi iaitu teologi(babak pencarian agama Pi), metafizik(perjalanan spiritual Pi di Lautan Pasifik) dan tahap ilmiah(kebahagiaan abadi yang dikecapi oleh Pi diakhirnya).

Namun, khalayak mungkin sedikit kaget dengan penamat filem ini yang mencetus sedikit keraguan difikiran kita samada mahu menerima apa diceritakan Pi itu sebagai benar belaka atau sekadar rekaannya. Di sini kita nampak bagaimana bijaknya karya ini mengakhiri penceritaannya. Ang Lee menutup filem ini dengan memberikan persoalan kepada kita samada kisah Pi ini sebenarnya kisah eksistensialisme ataupun ianya hanya sekadar mitos semata? Ang Lee tidak sekadar mahu kita tinggalkan kisah ini sekadar sebuah pengalaman visual indah di pawagam, sebaliknya mahu karya ini ditaakul dan difikirkan seluas-luasnya didaktisme dan ambiguitinya usai tontonannya.

Di akhirnya, filem ini membawa kita kepada perbicaraan antropomorfisme. Antropomorfisme adalah atribusi karakter manusia kepada makhluk selain manusia. Pi memberi perumpamaan melalui kisah kedua bahawa pelaut Taiwan adalah kuda belang, tukang masak yang kasar adalah dubuk, ibunya adalah orang utan dan dirinya sendiri adalah harimau.

Pi dengan senyumannya, meninggalkan kita satu persoalan besar. Yang mana satu kisah adalah kisah yang benar lantas dia membuka kepada  kita 2 jawapan, samada kisah pertama atau kisah yang kedua, sambil memerangkap kita dengan penyataan “adakah kamu percaya kepada kisah yang pertama atau kedua, jika kamu percaya yang pertama, nescaya kamu percaya kepada Tuhan”.

Saya senada dengan rakan Pi, memilih kisahnya yang pertama. Anda bagaimana?

11 Disember 2012

Lagenda Budak Setan 2 : Tipikal Tragedi Melodrama Yang “Menghiburkan”


Di dalam buku Tragedy: Plays, Theory and Criticism karya Richard Levin, umumnya cereka boleh dikategorikan kepada dua jenis iaitu tragedi ataupun komedi. Pengkelasan kategori ini didasarkan kepada sudut pandang seseorang karyawan tersebut terhadap substansi kehidupan manusia ataupun apa yang dia sendiri lalui. Realisme khusus satu-satu cereka tragedi terletak kepada keterikatan(mind-set kita) bahawa watak utama harus menerima suratan nasib(baca: ditimpa ujian bertimpa-timpa dan berada dalam situasi yang gundah sedih dan muram) yang tidak dapat dihindarkan.

Kebiasaannya, situasi ‘tangis-sendu’ ini mengarahkan watak-watak utamanya kearah keputus-asaan, bersikap pasif ataupun jika disuntik sedikit elemen didaktik ia mungkin diakhiri dengan semangat perjuangan untuk memberi makna baharu kepada nasib yang telah ditentukan oleh Qada dan Qadar Tuhan dan elemen inilah yang cuba saya telusuri melalui filem LBS2 ini.

Menonton filem Lagenda Budak Setan 2 arahan Sharad Sharan yang sebelum ini sukses mengarah naskah awalnya, memberikan pengalaman tragedi tipikal drama Melayu melalui watak utamanya, Kasyah lakonan Farid Kamil. Jadi, formulaik watak utama yang ditimpa pelbagai tragedi, penyelitan unsur melodrama disamping fenomena keberjayaan karya kultus Ahadiat Akasyah ini menjadi faktor utama mengapa Sharad berani mengambil risiko untuk mengarah naskhah adaptasi novel ini hingga ke legasi ketiganya LBS3: Kasyah yang dikhabar lebih tragis berbanding naskhah LBS 2 ini.

Filem ini dilihat mengambil semangat filem Qabil Khushry Qabil Igam(2007) lakonan Hans Isaac, Rusdi Ramli, Erra Fazira dan Ziana Zain berdasarkan naratif, penerapan “elemen hindustan” dan melodramanya yang diarahkan oleh Zaili Sulan. Juga sedikit menyamai Ombak Rindu(2011), namun mungkin Ombak Rindu lebih kuat sedikit aspek penceritaannya.

Antara ulasan saya untuk filem ini ialah:

(1) Filem ini penuh tragedi, Kasyah(Farid Kamil) yang baru kematian isterinya, berhadapan dengan ‘jatuh-bangun’ permainan cintanya(baca: dengan satu tiket ke Bhutan, Farid menerima cinta Kat) bersama Katerina(Maya Karin), lalu ditolak oleh bapa Kat(baca: yang dapat saya baca pada shot kamera zoom pada lirikan mata bapa Kat) kerana perbezaan stratifikasi walaupun diawalnya, Kat pernah mengungkapkan dialog “ini bukan zaman dua darjat P Ramlee”. Tidak cukup tragis dalam bercinta, Kasyah dipaksa untuk menghantar dadah oleh Iskandar(Azri Iskandar) hingga hampir ditangkap pihak polis dan klimaksnya dia kehilangan anak kesayangan dan juga abangnya(juga meninggalkan anak tiada status kepada Kasyah). Semua tragedi ini disumbat secara bertimpa-timpa hingga menyesakkan naratif plot dan sub-plot menyebabkan filem ini agak kelam kabut aspek penceritaannya. Mungkin penulis skrip(Ahadiat sendiri bersama Jujur Prananto) mahu penonton novel merasai sendiri pengalaman “membaca novel secara 100 %” ke dalam filem ini.   

(2) Filem ini juga berdiri di atas unsur “hindustan-isme”, ini kita dapat tonton melalui shot panjang melodrama Kasyah dan Kat di Bhutan(yang hanya untuk membuktikan cinta Kasyah-Kat), juga elemen “hero kalah dahulu” dan diakhiri dengan wajah senyuman kegembiraan Kasyah(baca: dipimpin tangannya oleh Kat di babak akhir filem). Manakala kerja kamera yang kebanyakkan “zoom-in” kemuka watak utama mengingatkan saya kepada sinematografi drama-drama dari seberang yang banyak menerapkan elemen ini dalam drama mereka.  

(3) Filem ini juga banyak berkisar elemen-elemen tipikal klise drama melayu, tiada unsur atau tema menarik untuk ditadabbur melalui proses aposteriori mahupun pemaknaan secara “layering”. Boleh dikatakan tiada langsung permainan mis en scene dan hampir kesemua babak hanya didasari permainan logik yang “picisan” dan “kosong jiwa”nya. Antaranya kita dapat lihat melalui babak Iskandar(baca:siap bawak bayi) dan Kasyah yang terlepas daripada ditangkap polis kerana mengedar dadah dan Hisham yang terlepas daripada siasatan polis kerana membunuh Ning Baizura. Juga plot utama, cinta Kasyah kepada Kat ditolak keluarganya atas alasan perbezaan lapis borjouis proletarnya. Ini babak klise dan recycle plot yang acapkali kita boleh tonton dalam sebegitu banyak drama-drama di televisyen kita saban hari.

(4) Saya kurang menyukai “unsur tergesa-gesa” dan “pengakhiran yang boleh dibaca” dalam satu-satu filem atau drama. Unsur ini akan dapat kita telusuri didalam filem LBS2 ini melalui babak Lara Nordin terus mengakui “gelap mata” kerana wang RM500k yang diberikan oleh bapa Kat kepadanya, begitu juga babak Kat yang terus mempercayai kata-kata bapanya kerana dimanipulasi video Kasyah tanpa bertanyakan hal sebenarnya kepada Kasyah ataupun Lara sendiri(setiausahanya, jadi agak mustahil dia tiada akses untuk berhubung dengannya). Juga pengakhiran “happy ending” ini sudah tentunya boleh kita baca berteraskan elemen “hero-menang-diakhirnya” tadi.

(4) Nilaian ambiguitinya, filem ini memaparkan konotasi negatif didalam menyelongkar sisi kelemahan wanita urban yang gah pada penampilan(baca:pakaian dan tata-hiasnya), tetapi kosong jiwa dan motivasinya. Ini kita nampak pada watak Kat, berulangkali kita disajikan babak Kat tewas kepada cinta kepada atau dipermainkan perasaan cintanya oleh bapa sendiri(ini kita nampak terang dengan syarat tidak masuk akal bapanya ketika Kasyah ingin menyuntingnya dan babak tuduhan libido kepada Kasyah). Walhal, asasnya Kat sangat mencintai Kasyah sehingga mengungkapkan dialog “tutup mata nampak Kasyah, buka mata pun nampak Kasyah” dan babak peluk-memeluk dihampir 1/3 scene, ironikalinya dengan hanya satu video(yang sah-sah nampak Kasyah menolak Lara), Kat “reject” Kasyah dan melalui rutin emosional klisenya “duduk dalam bilik-menangis-tak mahu makan-minum dan dipujuk Mamanya”. Persoalan saya, dimana emansipasi dan efikasi kendiri Katerina sebagai wanita yang nampak berjaya pada substansi wajah korporatnya? Juga kita dihidangkan dengan lemahnya Kat untuk menolak lamaran Hisham yang sudah terbukti panas baran, psiko & songsang nafsu seksualnya, malahan lebih memburukkan lagi, dia menerima lamaran Hisham untuk memperisterikannya.

(5) Namun satu perkara yang saya anggap menghiburkan tentang filem ini ialah keberjayaan watak Athirah(anak Kasyah), penghayatannya, dengan kecomelannya, “gesture” riak muka sehinggalah babak klimak yang menghibakan hati sesiapa sahaja yang mempunyai anak. Babak itu betul-betul meruntun dan mengesankan jiwa. Filem ini juga sesuai mengingatkan kita agar menghargai sesiapa sahaja yang kita cintai melangkaui duit, harta, pangkat, darjat mahupun segalanya didunia, sebelum ajal menjemputnya.

Next review: LIFE OF PI:Persoalan Eksistensialisme, Pluralisme Agama Atau Nihilisme?

01 Oktober 2012

Maskara Shorties 2012: Satu Pandangan Peribadi


Di saat pengaksesan maklumat di hujung jari masakini, istilah independent ataupun singkatannya indie bukanlah satu istilah yang asing dikalangan masyarakat marhaein khususnya dalam lingkungan seantero Malaysia, mungkin. Hipotesis berdasarkan perkataan indie ini boleh membawa kepada dua golongan manusiawi iaitu sebilangan daripada kita mungkin boleh memberikan takrifan positif kepada istilah ini manakala sebilangan yang lain, mungkin tiada asas atau maklumat langsung berkaitan istilah ini(baca: filem indie disalah-ertikan  filem hindi).
Independent, apabila diterjemahkan kepada bahasa melayu, membawa maksud bebas. Menyorot kepada maksud bebas, ia bolehlah diertikan sebagai: 1. Tidak terhalang(untuk bergerak, atau bercakap), tidak terkongkong, tidak terkurung, lepas, leluasa 2. Lepas daripada kewajipan(tuntutan, ketakutan, cukai, hukuman, dll).
Apabila kita membicarakan tentang filem, ia membawa takrifan: 1. Benda tipis daripada seluloid yang dimasukkan ke dalam kamera untuk membuat negatif filem. 2. Gambar bergerak yang ditayangkan pada layar, biasanya di pawagam, wayang gambar.
Apabila dikahwinkan antara kedua istilah ini, filem indie ataupun filem bebas ini bolehlah untuk kita interpretasikan sebagai filem-filem berbajet rendah kerana boleh dikatakan kebanyakkan filem-filem indie ini, dibikin dengan belanja yang murah samada produksi, bayaran pelakon, prop, namun, secara keseluruhan hasilnya adalah merupakan adi-karya jika kita mentadabbur ia dari segi mutu dan ambiguitinya; walaupun kecil “segi-bentuk”nya tetapi besar jiwa dan pengisiannya. Malahan, pada saya, kadangkala ia jauh meninggalkan filem-filem mainstream sedia ada yang mantap kuantiti bikinannya tetapi mandul kualitinya.
Filem indie juga boleh kita definisikan sebagai sebuah filem yang lari daripada kepompong filem-filem sedia ada. Ianya lebih kepada filem-filem yang berorientasikan kepada penyaluran idea-idea kritikal, pemikiran “luar-kotak” dan berteraskan “supremacy of ideas” kepada khalayak penonton tanpa banyak memikirkan soal untung ataupun rugi.
Boleh dikatakan kebanyakkan filem indie menuntut daya pemikiran penonton untuk mencari maksud yang ingin disampaikan pengarah. Kadangkala apa yang dipertontonkan oleh sesebuah karya indie, mempunyai maksud yang mendalam yang tidak difahami secara terus oleh khalayak penontonnya, sebaliknya memerlukan kajian mahupun penilaian analitikal dan mendalam untuk mencari maksud yang tersirat melalui satu-satu karya tersebut.

Kebanyakkan filem-filem indie ini juga mempunyai idea yang kontradik dengan pemikiran “sedia ada” khalayak sehingga adakalanya menimbulkan “polemik mentaliti” kepada yang sesiapa sahaja yang menontonnya, hinggakan ada di antara filem-filem tersebut diangkat menjadi isu nasional, contohnya seperti karya Amir Muhammad, Lelaki Komunis Terakhir. Juga hasil tangan Arwah Yasmin Ahmad, Ho Yuhang, Azharrudin, Bernand Chauly(Bakun dan Child’s Play), Osman Ali(Bukak Api, Malaikat di Jendela dan Anak Halal(karya pendek), Tan Chui Mui, Deepak Kumaran Menon, Stephen Teo(Bejalai dan Julian Cheah in Penang), James Lee, Woo Ming Jin dan legasi ini diteruskan dengan nama-nama seperti Ridhwan Saidi, Tok Rimau, Nazri M.Anuar, Naga, Ajami Hashim, Dean Sham, Azizul Hakim, Razaisyam Rashid, Bainun Waheeda, Sufian Abbas, Aloy Paradoks mewarnai lagi kesinambungan gelombang “industri” ini.   
Filem-filem indie ini juga pada pandangan saya, adalah merupakan satu wadah pemberontakan” kepada gaya pembikinan dan kandungan sinema tempatan yang secara amnya dari tahun ke tahun berdepan dengan krisis seni dan intelektualisme. Jadi, dengan adanya ataupun lahirnya golongan generasi pembikin filem baharu ini, diharapkan ianya mampu untuk membawa dampak positif kepada khalayak penonton tempatan disamping merevolusi mentaliti kita selaku khalayak penonton. Ia juga menjanjikan alternatif kepada mereka-mereka yang sudah bosan dengan filem-filem Malaysia yang kelihatannya seperti sudah hilang punca dan ketandusan idea.

Pada kebiasaannya, filem indie adalah berorientasikan kepada konsep tayangan terbuka, wayang pacak ataupun istilahnya free-screening kepada khalayak peminat-peminat seni filem ini. Ianya lebih bertumpu di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), kolej-kolej swasta ataupun tayangan privasi samada di rumah-rumah seni dan sebagainya.
Maskara Shorties, bukanlah satu nama asing dikalangan peminat-peminat filem indie ini. Maskara Shorties adalah merupakan tayangan marathon beberapa buah filem pendek yang dipilih oleh “lelaki-lelaki urban” daripada Sindiket Sol-jah. Sindiket Sol-jah ialah sebuah kolektif yang aktif mengaktivitikan beberapa acara seni indie tanah air.  

Jadi, bersempena dengan JB Writers and Readers Festival yang diadakan sepanjang bulan September 2012, Sindiket Sol-Jah dengan kerjasama Singapore Polytechnic's School of Architecture and the Built Environment, Gobok Buku dan Agas membawakan kepada khalayak penonton di selatan tanah air(yang sebelum ini kebanyakkan Maskara hanya boleh diakses di Rumah Pena sahaja) acara Maskara Shorties 2012 iaitu sebuah acara yang menghimpunkan filem-filem pendek yang “rarely-seen” dari Malaysia and Singapura. 


Saya yang hadir atas kapasiti stratifikasi “orang kebanyakkan”, yang meminati filem(tetapi tiada asas perfileman), tiba di kawasan kejadian agak lewat kerana kesilapan waktu jadual acara dan ketika itu sedang ditayangkan filem Platform 1932 iaitu sebuah filem dokumentari berkisarkan keretapi atau stesyen keretapi oleh Nawwar Syahirah berdurasi sekitar 20 minit. Mungkin sebab ianya bukan “cup of tea” saya, maka ia kelihatannya ala sebuah dokumentari RTM yang sedikit membosankan. Mungkin terselit unsur politikal dan ambiguiti di dalam filem ini namun disebabkan “mood” untuk menonton belum hadir dijiwa, maka ianya masih sekadar ala dokumentari RTM yang kita boleh tonton setiap hari di TV1.
Acara diteruskan dengan filem Pemburu Buaya Darat oleh Tok Rimau. Dengan iringan tepukan padu, sudah semestinya filem pendek ini merupakan “filem bertih jagung” terbaik pada malam ini. Filem ini boleh saya kategorikan sebagai sebuah filem komedi ringan yang “berisi” jika kita membaca filem ini melangkaui lapis komedi sebagaimana yang disajikan oleh Tok Rimau. Kekuatan Tok Rimau ialah dengan idea-idea lawak segar beliau. Saya merasakan jika Tok Rimau diberikan peluang dan ruang, menjalinkan kerjasama untuk menulis sebuah filem lawak oleh mana-mana syarikat perfileman di Malaysia, ia akan box-office. Pada saya, bukan senang untuk kita menulis sesuatu lawak yang tidak klise, stereotaip dan “luar kotak”. Kita mungkin disajikan dengan lambakan kitaran ataupun pusingan lawak yang di-rolling hampir disemua filem-filem lawak di Malaysia, ironikalinya, Pemburu Buaya Darat hadir, dengan montaj sahaja, Tok Rimau mampu untuk mengundang senyuman dengan lawak selesema tenggilingnya. Filem pendek ini berkisarkan seorang pemburu “buaya darat”(baca:lelaki buaya darat) dari masa hadapan melakukan kajian ala Crocodile Hunter berkaitan bagaimana seseorang lelaki buaya darat tadi melakukan proses mengurat perempuan. Dengan naratif yang tersusun dan props ringkas, mampu mengundang unsur homour di dalam filem pendek ini.
Filem pendek seterusnya ialah Lost Sole oleh Sanif Olek. Sanif Olek adalah seorang pembikin filem dari Singapura yang tersohor dengan beberapa karyanya telah menyertai anugerah-anugerah di luar negara. Lost Sole berkisarkan tentang seorang lelaki warga emas yang kehilangan seliparnya di masjid dan dia memerlukan alat bantuan pendengaran untuk mendengar. Daripada isu inilah ianya berkembang menjadi jalan cerita kepada filem pendek ini. Naratif filem ini dipecahkan kepada dua iaitu situasi si bapa yang kehilangan arah kerana tertinggal alat bantuan pendengarannya dan ia dikembangkan dengan watak anak perempuannya yang menyedari si bapa tidak membawa alat tersebut. Lalu momen-momen “si bapa merayau” dan “si anak mencari bapanya” mewarnai filem ini hingga akhirnya menimbulkan beberapa ambiguiti seperti pengorbanan si anak yang terlalu sayangkan bapanya melalui mis en scene babak akhir di dalam LRT.
Filem Eskep oleh Fasyali Fadzly mengambil alih acara selepas filem Sanif Olek tadi. Filem pendek ini mengambil semangat beberapa filem pendek yang pernah saya tonton sebelum ini seperti Low Budget Love oleh Bainun Waheeda ataupun Untitled oleh Ares Bahar. Ia merupakan sebuah filem yang menyatukan beberapa shot pendek mahupun long-shot kehidupan seharian seorang gadis yang menjadi watak utama filem ini, lalu dihujungnya Fasyali meninggalkan penonton untuk berteka-teki apakan pengakhiran yang sesuai untuk si gadis tersebut. Adakah si gadis tadi membunuh diri, ataupun kembali kepada keluarganya(mungkin pakwenya), semua itu tinggal tanda tanya dihati penonton.
Selepas itu, filem Tikam arahan Razaisyam Rashid mengambil tempat dengan menghidangkan karya berkisarkan kisah perompak yang “bermain” atas nama tikam. “Tikam belakang”, menikam kawan dengan pisau, “ditikam” kawan baik merupakan perspektif yang diangkat untuk menggerakkan filem ini. Tikam pada saya ditangani dengan baik oleh Aloy Paradoks, Fasyali Fadzly, Rayza Mukmin dan Shyrudin dan skrip oleh Nazri M.Anuar. Saya juga suka melihat bagaimana tersembunyinya Razaisyam cuba menyalur kritik sosial di dalam filem Tikam ini.  
Filem seterusnya juga merupakan filem “crowd-choice” pada malam itu berdasarkan sambutan penonton, mungkin disebabkan faktor Pipiyapong iaitu Hangus oleh Dean Sham, namun saya tidak berkesempatan untuk menikmatinya kerana komitmen lain yang perlu saya langsaikan pada malam tersebut. Terdapat beberapa filem pendek lain yang saya terlepas tontonannya seperti IMPIAN SI MAMAT(ZUL SALLEH), THE CRIMINAL(AHMAD ZULHILMI SOBRI), BRICK GO (T&D) ME(GOGULARAAJAN RAJENDRAN), MELTDOWN IN TIBET(MICHAEL BUCKLEY), DENGAR(MUHAMAD ZAKI ZAINAL), IKAN LANGKA(BASIL MIRONER), BUMBUNG AKU LANTAI ORANG(DEAN SHAM) dan KERAJAAN LAUT(DEAN SHAM).
Secara keseluruhannya, saya angkat topi dan tabik kepada pihak organizer kerana acara pada malam itu berlangsung walaupun agak santai tetapi lebih “mesra-khalayak” dengan kerusi yang banyak tersusun, sistem audio terbaik dan layar sebesar pawagam di dewan tersebut. Ini mungkin akan menyumbang mood positif kepada khalayak yang ingin menonton. 

Selaku peminat seni dan “pembaca filem"(kononnya), saya salute dengan Sindiket Sol-jah dan sekutunya, yang terus-terusan menghidangkan acara-acara seni berkualiti seperti Maskara Shorties ini dan harapan saya semoga “kedudukan geografi” di Bandaraya Johor Bahru ini, akan dapat diteruskan kelangsungannya, ditahun-tahun yang mendatang.