Menurut Edward Burnett Tylor, sistem kepercayaan manusia melalui beberapa transisi evolusi iaitu dinamisme(kepercayaan terhadap benda-benda di sekitar manusia yang diyakini memiliki kekuatan ghaib), animisme(kepercayaan kepada makhluk halus dan roh), politeisme(kepercayaan atau pemujaan kepada lebih dari satu Tuhan), henoteisme(keyakinan kepada satu Tuhan tanpa mengingkari adanya dewa lain atau makhluk halus) dan monoteisme(kepercayaan bahawa Tuhan adalah tunggal dan berkuasa penuh ke atas segala sesuatu). Menyelusuri filem Life Of Pi ini memberikan pandangan yang senada dengan tafsiran Edward Burnett Tylor tersebut.
Melalui khabar angin yang tersebar luas,
nama-nama besar seperti M. Night Shyamalan, Alfonso Cuarón dan Jean-Pierre
Jeunet pernah dikaitkan untuk menjadi pengarah kepada filem ini namun akhirnya
mereka mengundurkan diri disebabkan Life Of Pi mungkin ‘terlalu berat’ atau
‘terlalu kompleks’ untuk divisualkan ke layar perak. Ironinya, pengarah dari
Taiwan, Ang Lee hadir dengan sentuhan magis merealisasikan novel falsafah ini ke
adikarya yang sangat spektakular samada visual, didaktik mahupun nilaian ambiguitinya.
Kejayaan Life Of Pi yang diberitakan sudah mengutip
lebih AS$12 juta (RM36.51 juta) ini sedikit sebanyak dipengaruhi oleh faktor imaginasi
tinggi sutradaranya iaitu Ang Lee yang sebelum ini sukses menerusi filem
Crouching Tiger Hidden Dragon (2000), Hulk (2003) dan Brokeback Mountain (2005).
Ia juga banyak dibantu oleh penjiwaan watak pelakonnya yang terdiri daripada Irfan
Khan, Gérard Depardieu, Tabu, Suraj Sharma dan Adil Hussain. Selain itu, filem
ini diperkemas dengan kesan visual oleh Rhythm & Hues Studios, sinematografer
oleh Claudio Miranda dan susunan muzik oleh Mychael Danna juga dilihat berjaya
mevariasi perjalananan filem ini menempa
mercu tanda kejayaannya.
Menyelongkar intipati naskhah berat ini meyakinkan
kita bahawa ia dibina dengan asas aposteriori yang kukuh samada novelnya mahupun
terjemahan layar sinematiknya. Aposteriori bermaksud pengetahuan yang
diperolehi sesudah pengamatan secara emperikal, eskperimen dan sebagainya
dilakukan sebelum satu-satu bahan itu diterbitkan. Yann Martel pastinya
merangkum novel Life Of Pi ini berdasarkan kajian dan pengamatan yang serius
terharap isu perbandingan agama. Martel dikhabarkan telah menghabiskan
kebanyakkan masanya di Iran, Turki dan India. Selepas menamatkan pelajarannya
dalam bidang jurusan falsafah di Trent University,
Martel telah menghabiskan masa selama 13 bulan di India dengan melawat masjid, gereja,
kuil dan zoo. Bahkan dia juga menghabiskan masa selama 2 tahun untuk mengkaji
teks-teks keagamaan dan kisah-kisah orang yang terdampar di lautan sebelum
lahirnya naskhah Life Of Pi ini.
Manakala sutradaranya, Ang Lee juga menyajikan
bukan sekadar sebuah filem yang bersifat superfisial sebaliknya mengajak kita
mentafsir dan menghadam pemaknaan layering(berlapis-lapis) melalui karyanya
ini. Malah ianya bukan selapis, sebaliknya berlapis-lapis untuk kita taakul
secara ekstensif. Ini merupakan titik perbezaan ketara yang membezakan filem
kita dengan filem-filem yang ditangani oleh karyawan dari luar ini.
Kehadiran filem Life Of Pi ini seolahnya mengajak karyawan kita di Malaysia untuk mengorak langkah drastik di dalam penghasilan karya-karya mereka. Kita acapkali dihidangkan dengan karya-karya yang bersifat lesu, klise, streotaip dan boleh dibaca kesudahannya. Malahan lebih malang lagi apabila ada di antara karya-karya tersebut digelar oleh sebahagian pengkritik sebagai “filem sampah”. Jadi, sudah tiba masanya golongan karyawan ini bersatu untuk melakukan satu revolusi agar produk-produk hiburan kita khasnya filem menjadi sesuatu yang bermanfaat dan berguna untuk dikongsikan kepada seluruh rakyat Malaysia.
Filem berdurasi 127 minit ini berkisarkan
sebuah perjalanan fantasi spiritual Piscine Molitor "Pi" Patel, iaitu
seorang pemuda India yang terperangkap di atas sebuah bot keselamatan bersama
seekor harimau Bengal bernama Richard Parker selama 227 hari apabila kapal yang
dinaikinya tenggelam dibadai ribut taufan. Tragedi tragis itu telah menenggelamkan
kapal yang dinaiki oleh Pi dan keluarganya akibat ketelanjuran Pi secara
sengaja meminta agar hujan dan ribut turun dengan lebih lebat lagi.
Filem ini bermula dengan pengenalan Piscine
Molitor Patel (Suraj Sharma) atau lebih dikenali sebagai Pi sebagai watak utama
mempunyai seorang bapa yang bertugas sebagai pengurus sebuah zoo di Pondicherry,
India. Babak-babak awal yang dibikin ala dokumentari National Geographic
sedikit mengujakan. Begitu juga babak bagaimana Pi mendapat namanya dan babak
Pi di sekolah yang disuntik dengan sedikit elemen humour mengundang tawa di kalangan
khalayak.
Pi dizahirkan sebagai seorang anak muda yang
mempunyai sifat inkuiri yang tinggi dimana dia banyak menghabiskan masa senggangnya
dengan aktiviti yang menjana ilmu pengetahuannya berkaitan sastera, seni, isu universal
dan juga keagamaan.
Jika kita melihat kepada perkembangan
sosiobudaya di India, watak Pi dilihat adalah merupakan cerminan kepada
golongan minoriti Zippie, sebagaimana yang digambarkan Thomas L. Friedman di
dalam bukunya, The World Is Flat. Golongan ini mewakili anak muda berumur 15
hingga 25 tahun yang mempunyai semangat yang kuat, personaliti yang
mempersonakan, bercita-cita tinggi dan penuh dengan aspirasi.
Sifat ingin tahu yang tinggi Pi berkaitan agama telah membawa transisi positif di dalam membentuk cara hidup dan pemikiran Pi. Watak Pi dibina dengan membawa pemahaman politeisme(kepercayaan atau pemujaan kepada lebih dari satu Tuhan). Pi digambarkan menganut agama Buddha, Kristian dan Islam di dalam satu masa yang sama. Ironinya, ahli keluarga Pi iaitu bapanya adalah seorang atheist dan nihilist. Bapanya tidak membimbing Pi dengan sesuatu yang bersifat substansi sebaliknya menyarankan Pi berfikir secara rasionalisme disamping memberi konotasi berbentuk negatif tentang agama kepada Pi. Ini sedikit menimbulkan polemik kepada sesiapa yang menonton filem ini.
Filem ini juga membicarakan berkaitan
sinkretisme iaitu keupayaan Pi untuk melakukan penyesuaian jamak budaya(multikulturisme)
walaupun berlakunya jurang perbezaan di dalam aliran kepercayaannya. Ini kita
nampak melalui babak semasa Pi dan keluarganya sedang mengadap makanan, keluarga
Pi terus makan tanpa berdoa manakala Pi pula dilihat bertafakur seketika,
berdoa sebelum menyuap makanan masuk ke dalam mulutnya. Ini memberi persepsi ketidak-pedulikan
keluarga Pi terhadap agama manakala Pi pula terbimbing untuk mencari pencerahan
di dalam kehidupannya melalui kehidupan secara beragama, namun apa yang
menariknya mereka masih duduk semeja, walaupun berlainan ideologi. Mis en scene
ini memberikan perlambangan bahawa apa pun agama atau kepercayaan yang kita
anuti, kita seharusnya membenih semangat toleransi dan menolak indoktrinasi perpecahan
yang bersifat merugikan.
Kemudian, naratif filem ini bergerak kepada subplot
perpindahan Pi bersama keluarganya ke Kanada disebabkan berlakunya pergolakan
politik di India. Dalam perjalanan ke Kanada inilah, berlakunya satu insiden yang
tidak diingini, di mana kapal yang dinaikinya telah karam dan peristiwa ini
telah mengorbankan seluruh keluarganya.
Pi terselamat daripada tragedi ngeri tersebut
namun dia terperangkap di atas sebuah perahu keselamatan di tengah Lautan
Pasifik yang luas bersama seekor kuda belang, seekor dubuk, seekor orang utan dan
seekor harimau yang digelar Richard Parker. Di situlah Pi terdampar hingga
akhirnya tinggal dia dan Richard Parker sahaja yang terus berjuang untuk
meneruskan kelangsungan hidup mereka.
Babak panjang antara Pi dan Richard
Parker ini berputar kepada teori alienasi iaitu proses
menuju keterasingan. Kita dihidangkan dengan babak ala filem Cast Away(2000),
di mana Pi berseorangan mengharungi lautan yang luas dengan hanya berbekalkan sedikit
makanan dan ‘kit ikhtiar hidup’. Pi melalui rutin alienasi yang membosankan di mana
dia hanya sekadar menulis diari, menyanyi, mencuba untuk menjinakkan Richard
Parker, menadah air hujan untuk dijadikan minuman dan mengira jumlah hari untuk
mengisi ruang kosong kehidupannya. Bahkan sebelum-sebelum itu juga, Pi digambarkan
sudah menjalani proses alienasi di mana dia kerapkali digambarkan hidup secara
bersendirian melalui babak dia mengamalkan agama secara bersendirian, belajar
secara sendirian(baca: kerap diejek oleh rakan-rakannya), duduk bersendirian di
bawah jambatan, hidup sendirian setelah kematian ahli keluarga, terperangkap
secara bersendirian di atas bot keselamatan dan akhirnya ditinggalkan terdampar
sendirian di tepi pantai oleh Richard Parker. Istilah alienasi
ini adalah merupakan salah satu cabang sufisme iaitu yang dinamakan sebagai khalwah atau uzlah.
Khalwah ataupun uzlah ini adalah merupakan satu proses pemutusan
hubungan dengan makhluk menuju penyambungan hubungan dengan Al-Haq iaitu
Allah SWT. Di sini kita lihat bagaimana mendalamnya kajian berkaitan subjek
keterasingan ini dilakukan oleh Yann Marten sebelum menulis novelnya. Namun
diakhirnya, subjek alienasi ini dipadam oleh Yann Marten dengan kehadiran
manusia yang menyelamatkan Pi di tepi pantai dan perkahwinan Pi dengan
isterinya.
Disamping itu, filem ini juga bercakap soal
efikasi kendiri yang dibina kukuh melalui watak Pi. Menerusi babak di atas bot
keselamatan, Pi melalui saat yang kita ibaratkan sebagai “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang” untuk meneruskan
kehidupannya. Pada usianya yang terlalu muda dia terpaksa
meninggalkan the comfort zone(baca: kasih sayang ibubapa)
tanpa kerelaannya. Namun Pi dengan semangat kental dan idealismenya, mampu
untuk menangani semua itu dengan jayanya. Ini sedikit kontradik dengan
anak-anak muda kita yang lebih suka menyalurkan lebihan tenaga mereka berlumba
haram ataupun melakukan aktiviti yang merugikan masa muda mereka. Golongan
belia yang menurut Jabatan Perangkaan Malaysia mendominasi kepadatan penduduk
Malaysia iaitu mewakili 42.5 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk
Malaysia yang dianggarkan seramai 28 250 500 orang seharusnya mengambil
semangat watak Pi di dalam ertikata kecintaan kepada ilmu, mengenal erti
berdikari dan seterusnya menyumbang sesuatu yang berfaedah kepada negara kita
yang tercinta.
Selain daripada itu, filem ini juga berkisar
dalam ruang lingkup falsafah kehidupan manusiawi. Ia mengajak kita berfikir
secara kritikal dan integral tentang konsep ontologi iaitu hakikat ketuhanan,
hakikat kosmologi dan hakikat kemanusiaan. Hakikat ketuhanan hadir menerusi
babak Pi dianugerahkan dengan nikmat ikan terbang yang datang secara tiba-tiba
sebagai makanan untuk dia dan Richard Parker, juga
nikmat nyawa kerana Pi tidak mati dibaham Richard
Parker dan di saat Pi kehilangan semangat untuk hidup, Tuhan
telah memberi kekuatan kepadanya dengan mendamparkan Pi di sebuah pulau ajaib.
Kita juga disajikan dengan hakikat kosmologi menerusi babak visual indah
hidupan laut dan babak interaksi Pi mencabar ribut taufan manakala hakikat
kemanusiaan hadir menerusi babak Pi mahu menyelamatkan ahli keluarganya yang
terperangkap di dalam kapal semasa insiden kapal tenggelam.
Keterlangsungan sosiologi falsafah filem ini
juga menekankan berkaitan teori hukum tiga tahap(law of three stages) iaitu
hukum tentang perkembangan tahap inteligensi manusia. Hukum ini jika
diwacanakan melalui filem ini bolehlah kita dibahagikan kepada tiga tahap
perkembangan pemikiran Pi iaitu teologi(babak pencarian agama Pi), metafizik(perjalanan
spiritual Pi di Lautan Pasifik) dan tahap ilmiah(kebahagiaan abadi yang
dikecapi oleh Pi diakhirnya).
Namun, khalayak mungkin sedikit kaget dengan
penamat filem ini yang mencetus sedikit keraguan difikiran kita samada mahu
menerima apa diceritakan Pi itu sebagai benar belaka atau sekadar rekaannya. Di
sini kita nampak bagaimana bijaknya karya ini mengakhiri penceritaannya. Ang
Lee menutup filem ini dengan memberikan persoalan kepada kita samada kisah Pi
ini sebenarnya kisah eksistensialisme ataupun ianya
hanya sekadar mitos semata? Ang Lee tidak sekadar mahu kita tinggalkan kisah
ini sekadar sebuah pengalaman visual indah di pawagam, sebaliknya mahu karya
ini ditaakul dan difikirkan seluas-luasnya didaktisme dan ambiguitinya usai
tontonannya.
Di akhirnya, filem ini membawa kita kepada
perbicaraan antropomorfisme. Antropomorfisme adalah atribusi karakter manusia
kepada makhluk selain manusia. Pi memberi perumpamaan melalui kisah kedua bahawa
pelaut Taiwan adalah kuda belang, tukang masak yang kasar adalah dubuk, ibunya adalah
orang utan dan dirinya sendiri adalah harimau.
Pi dengan senyumannya, meninggalkan kita satu
persoalan besar. Yang mana satu kisah adalah kisah yang benar lantas dia membuka
kepada kita 2 jawapan, samada kisah
pertama atau kisah yang kedua, sambil memerangkap kita dengan penyataan “adakah
kamu percaya kepada kisah yang pertama atau kedua, jika kamu percaya yang
pertama, nescaya kamu percaya kepada Tuhan”.
Saya senada dengan rakan Pi, memilih kisahnya
yang pertama. Anda bagaimana?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan