02 Mei 2010

Muallaf: Antara Tuduhan Pluralisme, Politeisme Dan Konsep Dakwah Sebenar



“Serulah kepada jalan Tuhanmu dengan cara hikmah dan nasihat yang baik..” -terjemahan surah An-Nahl:125

Dakwah adalah sunnah yang sangat-sangat mulia, malahan ia merupakan satu perilaku terpuji yang sudah menjadi kesinambungan tamadun manusiawi zaman bertukar zaman.

Dakwah mampu menjadi agen sebagai perantara untuk membawa manusia berhijrah daripada ruang lingkup kegelapan kepada petunjuk cahaya, daripada positif kepada negatif, daripada buruk kepada baik.

Dalam konteks kefahaman masyarakat hari ini, wujud sebilangan kecil masyarakat yang sedikit tersasar daripada memahami konteks dakwah pada ertikata sebenar.

Sebilangan daripada kita, kadang-kala menyempitkan ruang lingkup dakwah, malahan lebih malang lagi, apabila sebahagian pengkarya-pengkarya seni yang mempunyai niat suci untuk berdakwah, dituduh dengan pelbagai tohmahan dan tuduhan tidak berasas walhal dakwah merupakan sesuatu yang sangat-sangat dituntut untuk dilakukan dan boleh dilakukan dengan pelbagai method dan kaedah asalkan ianya dilakukan secara bil-hikmah.

Sebahagian masyarakat masakini mempunyai fikrah berfikir yang agak jumud dan sempit. Malahan ada yang lebih ekstrim, dimana mereka menjatuhkan hukuman keatas satu-satu karya tanpa berfikir dan menaakul secara ekstensif nilaian ambiguiti yang cuba diselindungkan oleh seseorang sutradara melalui filem atau drama yang dipertontonkan kepada khalayak.

Naskhah Arwah Yasmin Ahmad ini, sewajarnya digolongkan sebagai filem dakwah, malahan ia merupakan sebuah karya dakwah yang sangat jujur dan tulus berdasarkan kajian dan ilmu Allahyarham Yasmin secara mendalam berkaitan satu-satu isu yang cuba disampaikannya.

Wujud persoalan, adakah wajar Arwah dituduh sebagai penyebar politeisme lantaran menstruktur dan mencampur-adukkan plot-plot dan skrip Muallaf berdasarkan nas-nas Al-Quran dan Bible? Atau wajarkah tindakan sebahagian masyarakat yang menuduh beliau sebagai agen pluralisme agama?

Aspek Penceritaan Dan Kritik Sosial

Yasmin memulakan filem ini dengan perkataan memuji Allah SWT iaitu lafaz Basmallah. Walaupun ianya nampak ringkas, tetapi pada saya, ianya merupakan satu lafaz yang sangat kompleks jika kita rajin mencari-gali apakah maksud disebalik lafaz tersebut. Malahan boleh dikatakan semua karya-karya beliau menggunapakai lafaz ini ketika montaj pembukaan.

Berapa ramai daripada kita yang lalai daripada menggunakan lafaz ini setiap kali mahu melakukan apa sahaja, walaupun ianya sangat mudah untuk diungkapkan? Bukankah ini satu dakwah?

Filem ini dibuka dengan menonjolkan watak Brian disamping penataan cahaya yang agak suram dan hampir gelap. Disini kita nampak perlambangan bagaimana watak Brian ini dibina penuh dengan keserabutan, huru-hara, hidup dalam kegelapan kerana tiada cahaya(baca:agama). Lantas melalui filem ini kita lihat bagaimana 3 tranformasi berlaku pada watak Brian daripada sisi gelap kehidupan beliau(baca: jauh dari agama beliau dan keluarga), kemudian bergerak secara perlahan beralih mendalami ilmu agama(baca:dengan membaca kitab yang dipinjam daripada Rohani) dan akhirnya mendapat sinar cahaya(baca: mendapat ketenangan dan akhirnya balik bertemu keluarganya).

Melalui watak Brian ini, Yasmin sebenarnya mengkritik sebahagian daripada kita yang sanggup membuang nilaian kekeluargaan hanya kerana satu kisah peristiwa silam(baca: watak Brian ketika kecil, dibogelkan di khalayak umum sebagai hukuman kerana membaca buku lucah) yang mungkin dilakukan oleh penjaga semata-mata untuk menyedarkan atau membuka minda anak-anak mereka atas kesilapan yang dilakukan oleh mereka.

Ini realiti yang kadangkala berlaku didalam masyarakat. Ketika mereka masih kecil mereka dihina atau dipukul oleh ibubapa mereka, jadi apabila mereka dewasa, mereka mempunyai dendam kesumat lantas mereka membalas dengan sesuatu yang tidak sepatutnya mereka lakukan sebagai seorang anak(baca:menghina ibubapa, menghantar ibubapa kerumah kebajikan). Inilah yang cuba dikritik secara halus oleh Arwah agar nilaian kasih sayang terhadap ibubapa jangan terhakis, walau apapun yang dikenakan keatas kita ketika kita masih kecil, selagi ianya adalah berpaksikan untuk mengajar anak-anak mereka bukan sifatnya mendera.

Kemudian plot filem ini beralih kepada dua watak iaitu watak Rohana dan Rohani. Kedua-dua watak ini memperlihatkan elemen sisi kekeluargaan yang sangat kukuh walau apa jua dugaan yang melanda mereka.

Sebenarnya, wujud persoalan mengapa Rohana dan Rohani melarikan diri daripada ibubapa mereka? Adakah hanya disebabkan kes bapa si Rohani membotakkan kepalanya sedangkan ia adalah berpunca daripada sifat ketidak-patuhan si Rohani sendiri? Atau adakah mereka melarikan diri kerana tidak hanya tahan dengan kehidupan sosial ibubapa yang lebih kearah kebaratan, lantaran kedua-dua beradik itu merupakan anak-anak yang mahukan nilaian Islam diterapkan dalam kehidupan mereka?

Filem ini bergerak dengan babak penerangan bagaimana Rohana yang berperwatakan agak mistik(baca: menyebut angka-angka), hingga menimbulkan kekeliruan dikalangan guru-gurunya, malahan Rohana turut dipukul oleh Puan Siva kerana tidak menurut perintahnya.

Ia seterusnya bergerak kepada kisah Rohani yang menyara adiknya dengan bekerja di pub, kemudian beralih kepada watak Brian dan Brother Anthony yang cuba mengkaji mengapa Rohana dan Rohani berkelakuan pelik(baca:bermain dengan angka), babak bagaimana sosialnya bapa Rohana dan Rohani berdangdut sambil minum arak tetapi sangat skeptikal dengan anjing walhal kedua-duanya adalah najis, babak bagaimana Rohana dan Rohani membaca terjemahan Al-Quran kepada pesakit perempuan di Hospital, babak Rohana dan Rohani diculik oleh bapa beliau, kemudian Brian menyinambungkan apa yang dilakukan oleh Rohana dan Rohani ketika keduanya tiada dan natijahnya Brian berubah fikiran dan pulang ke kampung bertemu keluarganya.

Plot filem ini sebenarnya sangat-sangat ringkas.

Yasmin cuba bercerita dalam ruang-lingkup kehidupan Rohana dan Rohani yang diserikan dengan watak-watak yang lain. Yasmin membina watak Rohana dan Rohani sebagai dua perempuan bijak yang meminati pengajian tentang perbandingan agama. Akibat daripada ketidak-fahaman dan sifat inkuiri yang tinggi keduanya terhadap agama membawa mereka bertemu dengan watak-watak yang lain dan kesemua itu disusun dengan baik dan cantik oleh Yasmin melalui filem Muallaf ini.

Yasmin secara “double-meaning” lantang mengkritik budaya taklid buta dan kejumudan yang berlaku didalam masyarakat. Beliau membuka minda dan mahu masyarakat mengenal istilah talfiq dan tidak hanya melulu menjatuhkan atau menuduh orang lain sebagai sesat dan tersasar daripada nilaian beragama. Ini kita dapat lihat melalui babak kamera menghala ke langit dengan suara Rohani melagukan selawat secara tidak teratur. Babak ini memberikan perlambangan bahawa kita tidak seharusnya hanya terikat kepada satu-satu pandangan sahaja, sebaliknya perlu ada sifat keterbukaan selagi ianya tidak bertentangan dengan syariat.

Umum sudah mengetahui bahawa adalah menjadi identiti Yasmin mengangkat dan menyelongkar sisi gelap masyarakat dan kesinambungan itu diteruskan melalui karya ini. Isu pekerja beragama Islam bekerja di pub, isu minum arak dan isu pelacur.

Apa yang nyata ialah Yasmin tidak pernah menghalalkan semua itu dan sepertinya mungkin Yasmin ingin menyatakan bahawa walau siapapun kita, tiada siapapun diantara kita yang sempurna. Pasti ada salah-silapnya. Disamping itu, Yasmin juga ingin masyarakat membuang stigma dan persepsi negatif terhadap golongan sisi gelap ini, dengan cara mereka dibantu dan tidak disisihkan, kerana mereka juga adalah manusia. Samalah juga halnya seperti penagih dadah, pesakit HIV, gadis yang mengandung anak luar nikah dimana masih terdapat ramai masyarakat yang menyisihkan mereka.

Disinilah relevannya mengapa Yasmin suka mengangkat tema sedemikian.

Yasmin juga secara sinikal mencuit manja institusi pendidikan di Malaysia yang wujud terlalu banyak tetapi kos-kos yang ditawarkan sedikit menghampakan dan kurang kualiti(baca: samada input mahupun pasaran pekerjaan). Watak si kerani itu sebenarnya memberikan perlambangan bagaimana kejelekan institusi pendidikan terutamanya institusi pengajian swasta yang lebih mementingkan wang berbanding ilmu.

Secara jujurnya, babak anjing sudah klise dan sinonim dengan karya Arwah. Saya nampak ianya tidak lebih bercakap soal kritikan terhadap sesetengah daripada kita yang menganggap anjing adalah najis jika dipegang atau babi haram dimakan, tetapi dalam pada masa yang sama, arak dihalalkan, budaya bercanda-sosial dihalalkan, riba dihalalkan, judi dihalalkan, rasuah dihalalkan dan lain-lain yang haram dihalalkan. Babak ini lebih kepada siapa makan cili, dia yang merasa pedasnya.

Yasmin juga tidak lupa menekankan tentang peri-pentingnya solat. Walau sesusah-mana atau sesibuk-mana pun kita, solat jangan dilupa, sebagaimana babak Rohana dan Rohani yang tergesa-gesa menunaikan solat apabila sampai waktunya.

Karya Idealistik

Secara jujurnya, karya-karya Yasmin sangat-sangat kaya dengan idea dan mengesankan jiwa. Kita lihat bagaimana terkesannya kita dengan iklan-iklan raya beliau. Jadi, boleh dikatakan apa yang dikaryakan Yasmin adalah berpaksikan kepada pemahaman dan kajian Yasmin berdasarkan kepada sumber-sumber mahupun pengalaman realiti beliau.

Muallaf boleh dikategorikan sebagai satu filem dakwah yang sangat-sangat baik, jujur dan positif dari sisi intelektual.

Idea cinta berlainan lapis stratifikasi agama mungkin merupakan idea klise daripada Yasmin, namun Muallaf bukan bercerita soal cinta. Yang menonjol untuk filem ini ialah elemen kekeluargaan yang cuba ditampilkan melalui watak Rohana dan Rohani, mahupun antara Brian dengan keluarganya.

Ramai yang mengatakan Muallaf sangat preachy. Yasmin seolah-olah berkhutbah dengan mainan nombor yang agak mengelirukan(baca:kedua beradik itu kerap-kali mengulang-sebut angka-angka hingga mengelirukan penonton samada ianya daripada Al-Quran, injil ataupun daripada sumber yang lain), namun sebenarnya ia mempunyai kaitan dengan jalan cerita Muallaf.

Saya merasakan adalah lebih baik jikalau Yasmin menulis terjemahan berdasarkan sumber yang digunakan berbanding mainan angka. Ironikalinya, pasti tersembunyi nilaian ambiguiti mengapa Yasmin lebih gemar menggunakan nombor berbanding terjemahan.

Disini kita melihat bagaimana bijaknya karya Muallaf ini ditangan Yasmin. Yasmin tidak hanya mahu penonton hanya duduk sekadar menonton untuk berhibur, tetapi dalam pada masa yang sama, mahu penonton mentadabbur dan mencari-gali apa yang cuba disampaikan oleh Yasmin melalui angka-angka tersebut. Yasmin secara “direct” cuba menyemai nilaian positif yang baik sebagai hidangan kepada penonton.

Wujud persoalan, ada banyakkah karya yang sebegini ilmiah dan informatif seperti ini di Malaysia?

Mungkin ada sebilangan khalayak yang beranggapan Yasmin cuba menyalur unsur pluralisme secara halus melalui kewujudan babak digereja, atau watak Brother Anthony. Namun, saya lebih merasakan bahawa Yasmin hanya mahu mengeluarkan apa yang positif berdasarkan pemahaman agama selain Islam. Yasmin secara jelas menyatakan pandangannya berdasarkan nas Al-Quran yang bermaksud: “Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku” -terjemahan Surah Al-Kafirun ayat 6.

Apa yang jelas mahu ditimbulkan oleh Yasmin ialah isu toleransi beragama dan bagaimana positifnya natijah yang akan digapai sekiranya nilaian toleransi dan sikap saling menghormati ini dapat diterapkan didalam masyarakat majmuk di Malaysia.

Yasmin juga dalam pada masa yang sama, membentuk sikap cintakan ilmu. Kita lihat watak Brian yang jika pada sebelumnya amat acuh tidak acuh tentang agama, mula membaca Al-Quran dan Bible setelah mengenali Rohana dan Rohani, begitu juga watak kedua beradik itu yang rajin berdiskusi tentang bidang keagamaan hinggakan diketahui oleh umum, sebagaimana yang diberitahu pelayan restoran kepada Brian.

Kekuatan filem ini ialah pada jalan ceritanya, skrip(baca:yang bermain dengan angka yang kadang-kala mengelirukan) dan kekuatan lakonan para pelakonnya. Saya amat menyukai watak Rohana untuk naskhah ini, namun watak Brian sepertinya agak sedikit kaku ditangan Brian Yap. Watak Datuk dan Datin(lakonan Dato Rahim Razali dan Ning Baizura) walaupun sedikit tetapi sangat-sangat memberikan kesan. Saya secara jujur sangat menyukai babak seorang lelaki berjubah dan berserban dapat bergaul mesra dengan Brother Anthony, walaupun berlainan agama, babak itu pada saya sangat indah.

Sinematografi

Filem-filem Yasmin sememangnya sangat cantik dari sudut sinematografinya. Saya amat suka dengan shot dan penataan cahaya filem-filem Yasmin.

Saya merasakan Yasmin sememangnya agak kurang suka dengan teknik pegangan-bebas. Ia dapat dibuktikan dengan shot-shot yang dirakam tanpa sebarang getaran tangan jurukameranya. Ini mungkin disebabkan Arwah mahukan kekemasan dalam kerja seninya.

Karya-karya seni Yasmin sememangnya sangat kemas dengan shot-shot statik yang cantik. Kita lihat sebagai contoh shot rumah ketika Brian mahu bertemu Rohani dihujung cerita. Malahan boleh dikatakan kesemua shot close-up ataupun shot jauh juga dibikin dengan sangat kemas.

Menonton filem-filem Yasmin seolah-olah kita melihat gambar-gambar statik yang indah, yang mungkin kita boleh lihat dalam hasil-hasil karya Khabir Bhatia.

Situasi dan ruang komposisi rangkuman kamera disusun dengan amat baik untuk menatijahkan sinematografi yang selari dengan jalan cerita Muallaf.

Untuk filem ini Yasmin mungkin lebih mencirikan konsep “kembali kepada alam” dimana banyak shot dirakam dengan ada perkaitan dengan alam semulajadi, contohnya shot kearah langit sambil berselawat mahupun beberapa shot yang terselit pokok-pokok untuk mengindahkan lagi sudut sinematografinya, disamping itu Yasmin juga mungkin mengajak khalayak menghayati keindahan alam ciptaan Tuhan.

Persoalan

Muallaf ditutup dengan babak Brian memandu laju untuk bertemu Rohani dibanglo(sedangkan sebelum itu kita diberitahu Brian adalah seorang pemandu berhemah), seolah-olah tidak bersabar ingin menyampaikan sesuatu kepada Rohani, namun kita tidak memastikan apa yang berlaku diantara Brian mahupun Rohani selepas itu, atau apa yang cuba diungkapkan oleh Brian kepada Rohani. Juga timbul persoalan berkahwinkah mereka atau adakah Brian tetap dengan agamanya ataupun berhijrah kepada agama Islam.

Kesemua itu, jawapannya ada pada Arwah sendiri.

Al-Fatihah Yasmin Ahmad.


*

p/s: ada yang bertanya kenapa saya suka review filem yang dah lama keluar kat panggung, saya jawab, saya tidak mempunyai masa yang banyak untuk itu, malahan untuk menonton DVD pun saya terpaksa mencuri-curi masa senggang.