24 Januari 2010

Contoh soalan SPM: Ceritakan apa yang anda tahu tentang industri perfileman di Malaysia?

Al-Fatihah kepada Dr. Anuar Nor Arai, tokoh akademik perfileman negara.


Faisal Tehrani pernah cakap: “…buat duit lagi baik dari bertanggungjawab kepada penonton dan masyarakat tetapi tolonglah baiki aspek penceritaan. Ambil kira juga mutu produk filem anda supaya berbaloi dengan wang audiens. Penonton bayar sepuluh ringgit untuk menonton kerja seni anda. Seni perlu saya ingatkan adalah sesuatu yang murni bukan sampah, bukan nanah, bukan debu, bukan abu. Ia datang dari jiwa paling halus. Jiwa halus ialah jiwa yang cermat…”

Apabila membicarakan berkaitan filem, kita tidak dapat lari daripada beberapa nama besar di dalam arena perfileman ini antaranya Aziz M Osman, Prof A.Razak Mohaiden, Dato’ Yusuf Haslam, Ahmad Idham,adik-beradik KRU dan lain-lain nama yang menjadi “kilang” kepada industri filem serata Malaysia, namun timbul tanda tanya, adakah karya mereka menitikberatkan aspek pembinaan mentaliti khalayak penonton ataupun mereka hanya sekadar memaparkan isu yang berhantu, klise, streotaip dan “boleh dibaca kesudahannya”, atas batu asas yang paling utama iaitu memikirkan hanya untuk mengisi kantung poket mereka dengan materialistik dan kebendaan.

Bagaimana pula halnya nak membina minda khalayak pada tahap kelas pertama?

Pembikin-pembikin filem masa kini lebih gemar untuk memaparkan aspek-aspek kemewahan, contohnya bekerja di syarikat multinasional, rumah yang sebesar-besar rumah, memakai kereta yang canggih-canggih, gajet canggih-canggih, baju jenama ternama dan lain-lain perkara yang memperlihatkan kemewahan pada tahap yang melampau.

Jarang sekali kita melihat golongan-golongan sederhana ataupun gelandangan diangkat menjadi tema atau watak utama di dalam sesuatu drama ataupun filem, walhal golongan-golongan semacam inilah yang banyak menjadi rencah di dalam mewarnai masyarakat Malaysia kini.

Kita tidak dapat lari dari kemiskinan, eksploitasi, kapitalisma, “kais pagi, makan pagi, kais petang, makan petang”, “kekejaman situasi kemanusiaan” serta cengkaman kapitalisma, ketidak adilan hierarki dan juga realiti cari-makan, bayar-sewa, periuk-nasi, kekurangan materialistik, harga barang naik, yuran persekolahan naik, hutang keliling pinggang dan lain-lain isu seangkatan dengannya.

Mengapa ya jarang sekali benda-benda macam nih jadi pilihan pembikin filem, asek-asek cerita hantu, lumba kereta sukan, ke alam jin, pas tu gaduh sapa paling tinggi kutipan..

Pada aku, filem yang baik adalah filem yang sarat dengan nilai ambiguiti atau ada double-meaning. Biarpun agak sukar untuk dibaca oleh khalayak umum(bagi yang malas berfikir sebenarnya), namun ianya mampu untuk menimbulkan dampak positif bagi mereka-mereka yang masih mahu menggunakan akal fikiran secara kritis.

Kadangkala menonton naskhah filem boleh menjadi satu pengalaman yang membuang masa(dan duit), dan kadangkala ianya boleh menyesakkan intelektual untuk berfikir lagi dan lagi.

Filem merupakan salah satu seni yang mewajarkannya ia menjadi wadah untuk kita berfikir dan menaakul secara ekstensif (luas-liput), apa yang cuba untuk disampaikan melalui sesuatu filem tersebut, tidak ianya hanya sekadar kita “masuk panggung, bayar tiket, ketawa-ketawa, dan keluar panggung sebegitu sahaja”.

Filem sampah ialah satu bentuk hiburan yang sia-sia dan hanya membazirkan poket dan minda masyarakat. Perkataan ini bukan bermaksud menidakkan filem bertema hiburan namun biarlah ianya di“wayang”kan dengan “bil hikmah” dan bermotif serta berupaya untuk menghasilkan dampak berbentuk positif terhadap minda dan mentaliti masyarakat yang menontonnya.

Perkara pokok yang perlu dipandang serius oleh para pembikin filem ialah mesej yang ingin disampaikan. Di samping memberikan hiburan, mesej yang jitu dan membina juga perlu diambil-kira, bukan sekadar mempermainkan minda masyarakat untuk sekadar mengaut keuntungan. Seharusnya mesej-mesej membina perlu diterapkan sekadar memberikan contoh merungkai permasalahan-permasalahan sosial yang semakin membarah di dalam masyarakat kini, membina minda kelas pertama, membasmi kemiskinan dan lain-lain.

Filem yang baik bukan bergantung kepada setinggi mana bajetnya, juga bukan kepada secanggih mana CGI yang diaplikasikan, tetapi pada aku ianya bergantung kepada sejauhmanakah kreatifnya si pengarah untuk mengarap idea-idea untuk diadun menjadi naskhah seni menghiburkan disamping bermotif kepada khalayak.

Filem-filem masakini aku nampak macam spektakular, namun kosong jiwanya.

Apa plak pendapat kaki-kaki wayang? Yang tak kaki wayang pun boleh komen..

19 Januari 2010

Legasi Senario yang menghampakan


Aku ingin bertanya satu soalan kepada Ahmad Idham dan David Teo. Atas alasan apakah mereka menerbitkan satu-satu filem?

Tidakkah mereka terfikir, dan berasa kasihan pada khalayak yang mengorbankan RM10 semata untuk menonton karya mereka?

Senario Episod 2:Beach Boys adalah merupakan legasi koleksi lawak terbaru daripada kumpulan Senario.

Dan aku tidak nafikan Senario masih belum mahu/mampu keluar daripada kepompong lawak-lawak bodoh mereka. Azli masih dengan lawak mukanya, Lan masih dengan lawak bunyi-bunyiannya dan Wahid aku tak tahu nak kategorikan apa pada lawaknya.

Persoalannya aku, masih revelankah lawak-lawak sebegini untuk khalayak pasca-modernis?(lagi 10 tahun nak 2020 beb!)

Mungkin jika ditanya pada Mr David atau Ahmad Idham, jawapan mereka adalah berkisarkan kepada jumlah kutipan filem ini. Jika kutipan mencecah 2.5 juta bererti Senario berada pada tahap pelawak berjaya(baca:sebab mereka mengukur keberjayaan satu-satu filem pada ukuran kutipan tertinggi yang berjaya dipungut)

Soal plot bukan satu perkara yang dipandang sebagai benda penting oleh Ahmad Idham. Untuk filem ini, aku rasa kanak-kanak yang belum mencapai usia mamayiz pun sudah mampu untuk membaca plot filem ini.

Ianya hanya berkisar 3 sahabat yang pergi bercuti di Pangkor dan bertemu jodoh disana. Ada part yang mungkin nampak klimaks(tapi mendatar) iaitu part Maria Farida ditangkap penculik, pas tuh dorang pusing-pusing pulau dan diselamatkan polis.

Plot yang sangat mudah dan tak perlu berfikir. Santai.

Ada scene yang aku rasa sangat dangkal lagi membodohkan iaitu ketiga-tiga pak lawak ini cuba mencari jalan keluar daripada Pulau Penyamun itu. Bukankah mereka berada di Pulau, takkan mereka boleh bertemu daratan la plak?

Scene ini benar-benar sangat mempermain-mainkan(baca:memperbodohkan)khalayak.

Dari aspek sinematografi, sangat-sangat menghampakan. Ahmad Idham langsung tidak pandai menampilkan Pangkor yang mempunyai status antara pulau tercantik didunia.

Malahan, ada satu scene kamera terkena daun pokok. Apa nih?

Tapi aku menyukai 2 scene dalam cerita ini iaitu babak antara 2 darjat, iaitu flashback cinta Azli ditolak abang kepada Maria Farida.

Dan babak orang sengau cuba memberitahu tentang penculikan Maria Farida. Memang lawak part nih.

Ada babak ala-ala Gerak Khas dalam filem ini iaitu "kepantasan" polis dalam menyelesaikan satu-satu masalah. Ini kita selalu jumpa dalam drama-drama swasta dan filem-filem, walhal realitinya adalah kontradik daripada itu.

Scene penamat dan scene kesinambungan semasa kredit memang sangat-sangat sesuai dan layak bagi filem-filem semacam ini.

NILAIAN REVIEW-FILEM: SATU BINTANG

16 Januari 2010

LUMPUR, filem wajib tonton setiap rakyat Malaysia!



“I believe in human beings, and that all human beings should be respected as such, regardless of their color.”

-
Malcolm X

Filem pendek ini digarap oleh Kamal Sabran. Aku sebetulnya belum pernah mengikut mana-mana filem Kamal selain yang ini, walaupun itu, ini adalah yang terbaik bagi aku.

Selain Arwah Yasmin Ahmad, filem Kamal ini, pada aku mampu untuk menerobos lapisan dinding antara kaum, menerusi karya semacam ini.

Filem berdurasi 3:43 minit ini sarat dengan nilaian ambiguiti yang seharusnya dihadam oleh mentaliti rakyat berbilang kaum Malaysia.

Filem ini dibahagikan kepada 3 topik utama iaitu tanah, air dan tanah air, yang kemudiannya, Kamal memberikan konklusi sebelum filem melabuhkan tirainya.

Sedari awal lagi sebenarnya, Kamal sudah mencipta persoalan untuk ditafsir, apakah perlambangan-perlambangan yang mahu dibawa olehnya melalui karya ini.

Filem ini dimulakan dengan Kamal sendiri selaku watak utama memberikan shot dia memasukkan air kedalam jag.

Kemudian, shot bertukar kepada komen-komen interview bersama lapisan masyarakat tentang tentang pandangan mereka mengenai apakah itu tanah. Ada yang menjawab “tanah liat”, ada yang menjawab “tanah runtuh”, ada yang menjawab “tanah pusaka boleh bawak gaduh”. Semua itu jawapan spontan audiens apabila ditanya oleh kamal berkaitan tanah.

Selepas itu, Kamal muncul lagi dengan scene menuang air kedalam jag tersebut.

Scene seterusnya bertukar kepada persoalan kedua pula iaitu topik air. Maka menjawablah audiens berdasarkan kefahaman mereka tentang apa itu air dan kelebihannya.

Melalui sesi soal jawab tersebut, Kamal sudah meletak beberapa perlambangan(untuk dibaca oleh kita) berdasarkan sisi pandangan masyarakat majmuk di Malaysia.

Aku malas sebenarnya nak menyuap kepada kamu, pemahaman aku tentang nilai-tafsir berkait jawapan-jawapan yang diberikan oleh masyarakat majmuk tersebut, cumanya yang amat menarik minat aku ialah kata-kata akhir budak perempuan comel yang mengungkap kata “kalau takde air manusia pupus”.

Aku percaya bahawa kata-kata budak itu sebenarnya adalah kata kunci kepada semua soalan-soalan yang diajukan oleh kamal. Tentang sisi kebergantungan manusia kepada air untuk kelangsungan hidup. Tentang betapa pentingnya air kepada manusia, sama juga peri pentingnya tanah kepada manusia.

Tanah itu umpamanya ialah masyarakat pelbagai kelas(kerana tanah itu banyak jenisnya, baca;kemajmukkan kaum), manakala air pula adalah pemimpin yang mentadbir sesebuah negara tersebut.

Apabila air bercampur dengan tanah, ia akan menghasilkan lumpur. Lumpur jika dilihat dari sudut ke kemelayuan, dilihat sebagai sesuatu yang kotor(contoh;jika lembu terpalit lumpur, semua akan terpalit sama). Lumpur ini umpamanya politik kotor(baca;rasuah, seleweng, kronisme, etc).

Filter pula umpamanya ialah kuasa kebangkitan rakyat, untuk menjernihkan air(baca;pemimpin), dan untuk menyaring tanah(baca;rakyat), filter ini sifatnya membersih, memisah atau menjernih. Membersih, memisahkan atau menjernih antara kepimpinan yang betul atau menyeleweng.

Untuk mendapat air yang jernih(baca:kestabilan politik, politik-betul), ianya harus dimulakan dengan sesuatu iaitu filter, hingga ia boleh dihadam oleh rakyat(baca;penerimaan rakyat kepada pemimpin, PRU barangkali).

Kebangkitan kuasa rakyat juga mampu untuk menjadi solusi terbaik, jika berlaku kekorupsian pemimpin kepada rakyat berbilang majmuk. Senario ini yang berlaku dinegara kita kebelakangan ini.

Berbalik kepada filem ini, dari sudut sinematografi aku rasa pada paras sederhana sahaja, namun aku rasa penonton lebih suka menaakul mesej, berbanding shot filem yang lawa-lawa, untuk naskhah kamal ini.

Dialog: “jgn lawan sudah la”, aku lihat kurang originaliti sebab aku rasa macam kamal menyuruh uncle tu sebut, sebab ada disambung “betul ka”, seolah-olah bertanya kepada kamal betul atau tidak apa yang dikata itu.

Kamal pada aku, adalah seorang sutradara genius sebab beliau berjaya mencipta kekemasan plot(dari sudut idea), contohnya melalui watak utama itu sebenarnya dia sudah menggambarkan sisi pandangan hatinya terhadap 3 topik utama, diselang-selikan dengan scene interview.

Kamal menyesak minda kita untuk merungkai mesej, dan kemudian menutup filem dengan teks-teks yang agak laju untuk dibaca oleh aku(aku rasa audiens yang lain pun sama), namun aku boleh baca(taakul), semua itu mempunyai unsur-unsur politik kotor yang seharusnya ditolak oleh pemimpin dan rakyat.

Contoh, gila kuasa, kronisme(yang lain kamu fikir la sendiri)

Aku akhiri review ini dengan petikan kata-kata Pyan Habib,

“gua pon tak fahamlah…orang politik asyik bergaduh saja..yang jadi mangsa kita…rakyat”

Sendiri mahu fikir la..

Idea untuk mengangkat video pendek ini sebagai iklan TV aku amat alu-alukan!

15 Januari 2010

The Tree, satu medium dakwah Amir Muhammad?


"Walaupun filem dihasilkan sebagai wadah hiburan namun ada mesej yang cuba disampaikan oleh pengarahnya. Cerita didalam filem tersebut adalah sebagai perlambangan tentang budaya orang-orang yang tinggal dinegara yang menghasilkan filem tersebut..”

Kata-kata diatas aku ambil daripada seorang pengkritik filem tersohor negara yang aku lupa gerangannya.

Pada aku, filem yang baik adalah filem yang mempunyai perlambangan. Biarpun agak sukar untuk dibaca oleh khalayak umum(bagi yang malas berfikir sebenarnya), namun ianya mampu untuk menimbulkan dampak positif bagi mereka-mereka yang masih mahu menggunakan akal fikiran secara kritis.

Kadangkala menonton naskhah filem boleh menjadi satu pengalaman yang membuang masa(dan duit), dan kadangkala ianya boleh menyesakkan intelektual untuk berfikir lagi dan lagi.

Filem yang baik bukan bergantung kepada setinggi mana bajetnya, juga bukan kepada secanggih mana CGI yang diaplikasikan, tetapi pada aku ianya bergantung kepada sejauhmanakah kreatifnya si pengarah untuk mengarap idea-idea untuk diadun menjadi naskhah seni menghiburkan disamping bermotif kepada khalayak.

Dan ciri-ciri itu ada pada The Tree karya Amir Muhammad.

The tree=pokok.

Menanam pokok itu adalah perlambangan usaha. Pokok yang tumbuh itu adalah perlambangan hasil, dan sejauhmana hasil itu disebarkan adalah bergantung kepada si petani itu sendiri. Mungkin dengan usaha yang baik, seperti meletakkan baja yang baik, maka si petani akan mendapat hasil yang baik. Jika dibiar sahaja tanpa usaha, mungkin hasilnya adalah lalang.

"Setiap muslim yang menanam suatu tanaman atau suatu tumbuhan, kemudian tanamannya itu dimakan oleh burung, manusia atau haiwan, maka itu akan menjadi sedekah baginya." [Hadits ini diriwayatkan oleh Al Bukhari dalam kitab Al Muzara'ah, dan oleh Muslim dalam kitah Al Masaqah, dari hadits Anas. Lihat: Al-Lu'lu wa al Marjan fima Ittafaqa Alaihi Asy-Syaikhan, Muhammad Fu'ad Abdul Baqi, juz 2 no. 1001]

Amir Muhammad membuka filem ini dengan bacaan hadis oleh Tuan Guru Nik Aziz berkaitan hadis diatas. Menampilkan Nik Aziz kedalam naskhah ini merupakan satu legasi kerana Amir sebelum-sebelum ini seringkali menampilkan tokoh kontroversi didalam filem-filemnya seperti Farish Nor dalam The Big Durian.

Kemudian, Amir menukar shot filemnya kepada shot-shot masyarakat kelas sederhana seperti peniaga, penjual santan, mak cik jual baju batik, mak cik jual ulam, pak cik kerja mengangkut barang, penjual ikan etc, diadun dengan tazkirah dari Nik Aziz.

Mengapa Amir mengangkat mereka-mereka ini sebagai latar kepada filemnya?

Masyarakat kelas bawahan atau sederhana ini, mereka berusaha dengan asbab “tangan-tangan mereka sendiri”, mereka bekerja dengan ikhlas demi sesuap nasi, jua demi meneruskan kelangsungan hidup mereka. Mereka kenal benar istilah “berusaha” demi sesuap nasi. Bahkan Rasulullah SAW pernah mencium tangan kasar seorang petani kerana tangan itu adalah dirahmati Allah(baca: tangan yang mencari nafkah sendiri) dan disamping itu, hasil tanaman mereka juga dikongsi untuk kesejahteraan ummat manusia keseluruhannya.

Mereka berbeza dengan sesetengah golongan kelas atasan yang kadang-kala mencari duit dari “hasil yang mudah”, kadangkala mereka menipu, kadang kala mereka korup, kadangkala mereka cut-cost untuk ke poket mereka, apa yang mereka suka ialah untuk untung diatas angin.



Mungkin ini satu kritik sosial Amir kepada golongan atasan untuk membandingkan mereka dengan golongan bawahan.

Aku suka shot Amir ketika Nik Aziz membicarakan soal akhirat, shot Amir melirik kepada cili merah, seolah menggambarkan satu peringatan kepada kita semua agar berjaga dan bersiap untuknya. Cili adalah perlambangan peringatan ataupun satu manifestasi langkah berjaga-jaga agar tidak dimamah oleh ke”pedas”annya. Mungkin juga untuk menggambarkan siapa makan cili dia akan merasa hasil kepedasannya, berani makan cili, beranilah jua menanggung azab pedasnya.

Melalui filem ini juga(dengan memilih wakil kerajaan kelantan), mungkin Amir cuba untuk mengaitkan filem ini dengan senario negeri Kelantan yang menerima sekatan-sekatan tertentu daripada kerajaan persekutuan terutama dalam sudut bajet. Seharusnya apa yang diperuntukkan kepada negeri-negeri lain(dibawah lembayung BN), seharusnya juga diperolehi oleh kerajaan negeri Kelantan.

Dan mungkin filem ini sebagai peneguhan, walaupun Kelantan tidak menerima bajet yang sepatutnya diperuntukkan, mereka juga mampu untuk berdiri sendiri(baca-melalui apa yang digambarkan melalui shot masyarakat di Pasar Siti Khadijah).

Dari sisi yang lain, Amir mempersoalkan keadilan.

Filem ini juga pada aku mengkritik secara ilusi, orang atasan agar tidak melupakan golongan bawahan dan menjalankan keadilan keatas mereka, melalui ungkapan Nik Aziz “jika kita berjanji nak bayar dengan kuli, RM10 sehari, kemudian kita bayar mereka RM5, kita tak dapat pahala”.

Ada satu benda yang menimbulkan persoalan iaitu ada satu ayat seolah-olah tersangkut, tatkala Nik Aziz mengungkapkan kata “nak tanam seribu ekar, sejuta ekar sekalipun”, dan kemudian disambung dengan ucapan “Alhamdulilah”, aku tak pasti samada ayat tersebut tergantung, ataupun Amir memotongnya semasa proses editing.

Dari sudut sinematografi, pada aku ianya sederhana sahaja.

Filem itu, diakhiri dengan kata-kata: “satu masalah yang timbul diseluruh dunia Islam, yang ditimbulkan oleh musuh islam ialah mengasingkan diri daripada peraturan Allah.”

Yang ini aku tak mahu mengulas kerana setiap filem yang baik terdapat nilai ambiguiti – setiap orang boleh mentamsilnya mengikut kefahaman dan acuan sendiri.

Harapan aku, moga banyak filem-filem semacam ini diterbitkan disebabkan walaupun pendek namun besar faedahnya kepada khalayak, berbanding filem yang nampak spektakular, namun kosong jiwanya.

Ini sekadar ulasan aku, untuk tonton&komen, sila ke: The Tree