13 Ogos 2013

Ulasan Buku Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang


“Education is the most powerful weapon which you can use to change the world.” -Nelson Mandela

Saya membeli buku ini di Pesta Buku Antarabangsa tempohari. Sebenarnya antara faktor yang menjadi magnet untuk saya membaca buku ini adalah berdasarkan tajuknya yang betul-betul ‘menangkap’ walaupun ia seolahnya membuka dan membentang apa yang bakal dipolemikkan. Saya rasa buku ini sangat ‘cool’ dan boleh saya katakan ramai yang menegur, bertanya dan membelek buku ini tatkala saya membawanya bersama ketika melepak di kedai kopi ataupun ke gelanggang futsal. Memang terasa sangat cool meletak buku ini di atas meja berbanding meletak telefon bimbit, lewat indoktrinasi klise gaya urban sebahagian masyarakat pasca Y2K.

Pembacaan buku ini juga didorong dengan penulisan prakata yang ‘anti-keluwesan’ dan bukan bersifat inkubasi, atau ‘lesson allegorical’, sebaliknya bergaya iluminasi untuk dihadam dan ditaakul oleh kita dan seluruh masyakarakat(khususnya) yang ditulis oleh penulis yang saya kerap ikuti perkembangan beliau dan karya beliau iaitu Dr Faisal Tehrani(walaupun saya sedikit terkilan, beliau tidak meng-approve saya sebagai rakan beliau di Facebook). Penulisan prakata yang sangat meaningful dan mungkin sedikit ‘mencuit’ generasi mahasiswa cut and paste, antaranya ‘khayal berfalsafah sehingga memetik sana sini tanpa bacaan menyeluruh..’

Saya sangat menyukai bagaimana kekreatifan Zul Fikri Zamir menulis, mengungkap rasa, mengkomposisikan ruang lingkup gagasan pemikiran, mewacana dan mengadun naratif ilmiah mahupun pseudo-ilmiah berdasarkan pemikiran dan ‘supremacy of ideas’ samada dari dalam atau luar kotak pemikiran berdasarkan pengalaman beliau dalam dunia pendidikan.

Buku ini memberi ‘hiburan’ dan nafas baharu kepada pembaca tentang nilai estetika disamping menjurus ke arah kepuasan batiniah dan harfiah, tidak hanya statik terarah kepada pembacaan bahan yang lesu dan membosankan. Leonard M.S Yong(1993. Kreativiti, Ke arah Pembentukan Masyarakat Penyayang) pernah menegaskan berkaitan perihal ‘insan kreatif berkecenderungan untuk mempunyai keyakinan diri, berdikari dan sanggup menempuh risiko, insan kreatif seharusnya berani menonjolkan sifatnya yang tersendiri untuk membebaskan diri daripada kekangan biasa yang memungkinkan sesuatu pencapaian atau kejayaan luar biasa.’ Begitu juga, Andrew(1961) menegaskan bahawa ‘kreativiti ialah proses yang dilalui oleh seseorang melalui pengalaman-pengalamannya’. Saya kira penegasan Leonard M.S Yong(1993) dan Andrew(1961) ini sangat relevan dengan buku ini.

Tulisan-tulisan di dalam buku ini terbahagi kepada empat bahagian iaitu Mahasiswa dan Kebebasan Akademik, Pendidikan Nasional, Politik dan Sosial serta Kritik Teater. Buku ini tidak hanya berkisahkan necessary truth(asas kebenaran) atau superficial(lapis luar), sebaliknya menghurai secara aposteriori iaitu memperoleh pengetahuan setelah diketahui, dilihat, diselidiki keadaan yang sebenarnya dengan memanfaatkan suatu(atau beberapa) berdasarkan pengalaman khusus beliau dalam dunia pendidikan. Buku ini secara terangan menolak elemen picisan sebaliknya ia kuat dibina dengan berdasarkan method tersebut disamping pemaknaan layering(berlapis-lapis) untuk membuktikan kebenaran empiris dan hipotetis berkaitan pendidikan di Malaysia.

Buku ini terlalu berani, terlalu lantang dan lari daripada klise buku ilmiah yang mudah kita dapati di pasaran. Saya boleh menulis gagasan idea semacam ini, namun saya tidak punya keberanian seperti Zul Fikri. Ini satu pujian buat Zul Fikri. Tidak banyak buku selantang dan seberani ini di pasaran. Jikalau adapun mungkin ia hanya berkisar pada satu sisi atau berdiri hanya pada satu sisi pandangan atau idea bertunjangkan politikal, namun Zul Fikri, dengan buku ini melihat isu pendidikan ini sebagai suatu yang ekstensif dan holistik melangkaui semua sisi tersebut. Buku ini bernuansa mencerah, memperjelaskan ‘die Aufklarung’ sebagaimana penjelasan Immanuel Kant: ‘pencerahan adalah kemunculan seseorang dari ketidakmatangannya yang dipikul sendiri. Ketidakmatangan merupakan ketidakupayaan seseorang untuk menggunakan kefahamannya tanpa panduan orang lain. Ketidakmatangan ini adalah sendiri dipikul apabila sebabnya bukan kekurangan dari segi kefahaman tetapi kekurangan azam dan keberanian untuk menggunakankannya tanpa panduan orang lain.’ Saya kira keberanian untuk membahas dan mencakna isu pendidikan ini relevan dengan apa yang dibahaskan oleh Zul Fikri dalam buku ini.

Didaktiknya kuat dan uniknya ia disampaikan dengan sejumlah fakta yang kadangkala sifatnya so-serius, seolah saya sedang membaca thesis, jurnal atau kajian ilmiah universiti. Ironinya, inilah kekuatan sampingan yang mampu menjadi ‘magnet’ untuk saya membaca buku ini hingga ke akhirnya. Antara yang saya suka ialah qoute daripada Praemodya Ananta Toer ‘..apalah guna sekolah-sekolah didirikan, kalau tak dapat mengajar yang mana benar dan yang mana tidak..’

Saya suka menyimpulkan 5 perkara berkaitan buku ini iaitu:

Pertamanya: Buku ini adalah merupakan sebuah catatan penting bagi kita, khususnya remaja, mahasiswa dan masyarakat pendidik lantaran pendidikan adalah merupakan salah satu aspek yang terpenting di dalam sesebuah negara. Nilaian pendidikan, saya kira sudah termasuk dalam keperluan fisiologi sebagaimana mengikut teori Abraham Maslow. Pendidikan dilihat mampu mengubah sesebuah negara ke tahap yang lebih baik dari segi peningkatan ekonomi, budaya, politik, sosial, dan sebagainya. Zul Fikri melalui buku ini menyubur ‘love of wisdow’ untuk kita mentadabbur(cari-gali), berfikir secara kritikal(mendalam untuk menilai kekuatan dan kelemahan, bukan secara rambang atau tergesa-gesa), berfikir secara integral(menilai secara keseluruhan, bukan serpihan) berdasarkan ‘common experience of mankind’ berkaitan aspek pendidikan negara dan halatujunya.

Buku ini juga menghurai dan membawa kita kepada salah satu daripada penyataan klasik Bacon tentang konsep ‘arca-arca akal’(idols of the mind) iaitu ‘idols of the theater’ berkaitan sikap kita yang berpegang kepada sistem yang lalu, adalah seumpama panggung, yang membawa kata kepada dunia khayal dan hipotesis yang salah. Buku ini menganjak pemikiran kita untuk membuka ruang berfikir tentang bagaimana dan sejauhmanakah pendidikan di Malaysia berlangsung atau sedang berlangsung. Hakikatnya, kita memerlukan dan menuntut gagasan idea dan pemikiran yang idealistik, mencabar minda, menongkah arus kebiasaan seperti apa yang cuba dihidangkan oleh Zul Fikri ini.

Keduanya, saya melihat tanggungjawab berkaitan proses mendidik bukan mendasar kepada hakikatnya(substance) hanya terletak dibahu warga pendidik semata tetapi ia adalah tanggungjawab nasional kerana hakikat sistem pendidikan ialah sebagai ‘suatu upaya melihat ke dalam diri’ lalu daya upaya untuk melihat ke dalam diri ini boleh memperlihatkan sisi dan dimensi keseronokan dan kepuasan, namun dalam pada masa yang sama ia juga menyerlahkan hal-hal yang kurang enak, kurang menyelerakan dan kurang menyeronokkan. Pendidikan adalah cerminan masyarakat. Semakin ramai bijak pandai maka dengan ini akan menyumbang kepada ketamadunan sesebuah negara tersebut. Begitulah sebaliknya. Walau apapun tiraninya, itulah hakikatnya kita dan diri kita dalam konteks sistem edukasi yang wujud kini.

Sebagai orang yang mendiami dunia pendidikan, saya mengambil jalan bersetuju dan bersetuju untuk tidak bersetuju berdasarkan apa yang dihidang dan dihurai di dalam buku ini. Sememangnya semenjak pasca merdeka hingga kini terlalu banyak rombakan dan transformasi yang asasnya untuk memajukan sistem pendidikan yang berkemungkinan membawa natijah samada berjaya atau mungkin ada yang mengecewakan sehingga menimbulkan polemik. Kritikan saya kira sangat penting sebagai koreksi namun dalam pada masa yang sama perlu ada keseimbangan antara kritikan, solusi, saranan dan sokongan dua hala, bukan hanya sehala, untuk merencana sebuah pendidikan yang holistik dan memenuhi tuntutan falsafah pendidikan itu sendiri.

Antara perkara sudah banyak dibangkitkan oleh ramai ahli akademik yang juga direpresentasi dalam buku ini contohnya indoktrinasi meletakkan tanda aras keberjayaan seseorang manusia diukur melalui sejauh mana pandainya seseorang(berorientasikan peperiksaan dan pengumpulan A terbanyak), atau sejauh mana tinggi menara gading yang dimasukinya ataupun sejauhmana Sarjana, Master, Phd yang diambilnya. Golongan yang kurang pandai dianggap lekeh dan kurang berjaya dimata sebahagian masyarakat. Ini satu bentuk stigma yang perlu dikoreksi dengan melihat contoh individu seperti Aaron Swartz, M.Zuckerberg, Steve Jobs atau Bill Gates yang mengubah dunia tanpa memikirkan CGPA mereka. Walaupun kita perlu sesuatu yang bersifat measurable atau verifiable namun ia boleh dibatasi dengan sesuatu yang bersifat observable sebagaimana contoh yang telah diberikan tadi.

Ketiganya, saya melihat hampir semua guru komited dengan tugasan yang diberikan iaitu untuk mendidik(berdasarkan pengamatan saya) namun saya melihat wujudnya sebahagian pelajar yang ‘tidak cinta kepada ilmu’. Menyalahkan sistem sedia ada kadangkala ada bernasnya, namun melihat kepada sikap ‘transgress the law’ sebahagian daripada pelajar ditambah dengan sifat ego dan individualistis sebahagian ibu bapa, malahan bersifat utilitarinisme memberikan persepsi baharu tentang ‘yang salah adalah sistem atau ‘tanda soal’. Lebih memburukkan suasana, terdapat sebahagian ibu bapa meletakkan tugas mendidik anak mereka dibahu guru. Lebih lagi memburukkan suasana kita selalu dihidangkan dimedia bagaimana guru selalu dipersalahkan apabila timbulnya satu-satu isu melibatkan disiplin pelajar sedangkan apabila diteliti puncanya adalah daripada anak-anak mereka sendiri. Sikap terlalu menyalahkan guru perlu dikikis sehakis perlu. Mungkin guru adalah individu yang tidak terlepas daripada kesilapan namun adakah manusia yang bernama guru ini akan secara ‘automatik’ atau ‘naturalis’ merotan atau melakukan sebarang tindakan berbentuk displin tanpa bersebab? Contoh situasi, guru sedang mengajar di hadapan, pelajar di belakang meletak kakinya di atas meja atau susun kerusi untuk tidur, apa yang perlu dilakukan oleh seseorang guru?

Walaupun Shaykh Abul Hasan Ali Nadwi di dalam bukunya The Glory of Iqbal menyebut beberapa kritikan Almarhum Muhammad Iqbal terhadap pendidikan moden antaranya ialah bagaimana pendidikan moden telah mengabaikan pembangunan mental dan rohaniah di kalangan generasi muda yang mengakibatkan timbulnya krisis moral di kalangan mereka namun saya tetap berpendirian bahawa tugas mendisiplin anak seharusnya bermula seawal dari rumah lagi. ‘Setiap anak yang dilahirkan itu adalah umpama kain putih(fitrah), ibu bapalah yang bertanggungjawab mewarnakan dan mencorakkannya, sama ada menjadi Yahudi, Nasrani dan Majusi..’(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Keempatnya ialah berkaitan mahasiswa, timbul persoalan, siapa dikalangan mahasiswa yang boleh dijadikan contoh yang baik untuk diangkat sebagai ikon kepada remaja? Juga timbul persoalan, apa sumbangan terbesar yang disumbangkan oleh mahasiswa tersebut kepada negara? Saya melihat jawapan persoalan ini banyak terarah kepada individu dalam ruang lingkup yang menjurus kepada nada politikal, namun persoalan sumbangan mereka kepada negara boleh dipertikaikan.

Pada saya, sebagai mahasiswa janganlah kita hanya menjadi mahasiswa yang ‘bonsai minda’nya dan bersikap pandir. Mahasiswa seharusnya bersifat ‘penyuap’ bukan disuap, lebih malang lagi, apa yang diberikan kepada mereka itulah juga yang disuap ke mulut mereka, tanpa perlu berusaha lebih untuk menambah aras kepandaian mereka. Mengapa perkara ini berlaku? Bukankah setiap mahasiswa adalah terdiri daripada para intelektual serta ‘arkitek negara’ yang ‘berjaya’ pada pemikiran sesetengah masyarakat? Mahasiswa perlu ekstensif berada ‘di luar kotak’ bukan statik dan jumud mengikut arus klise ‘kotak’.

Buku ini melihat sisi dan dimensi kosong dunia mahasiswa tadi perlu ditransformasi menjadi satu sosok yang lebih ‘berisi’ di dalam mendepani masyarakat dalam segenap hal. Ini kerana mereka adalah penggalang-ganti kepemimpinan negara, ‘seandainya baik diri remaja, maka baiklah masa depan negara, sebaliknya, jika buruk diri remaja maka buruklah masa depan negara’.

Kelimanya, buku ini membuka minda kita untuk berfikir berkaitan matlamat sebenar mengapa kita perlu belajar. Adakah belajar untuk memperolehi ilmu? Ataupun sekadar untuk memenuhi tuntutan periuk nasi keluarga dan anak-anak? Ataupun sekadar memenuhi tuntutan ibubapa yang memaksa kita belajar kerana sudah bosan kita asyik berpeleseran ke sana-kemari tanpa arah tuju? Ataupun sekadar batu loncatan untuk mendapat pekerjaan yang baik? Ataupun sekadar untuk menambahkan lagi koleksi sijil, diploma, Sarjana Muda, Sarjana, PHD untuk ditunjukkan kepada anak cucu di hari tua? Ataupun sekadar untuk memenuhi tuntutan saranan kerajaan “satu rumah, satu graduan’? Biar apapun jawapannya, apa yang penting ialah kita tahu untuk memanipulasikan apa yang telah kita pelajari melalui praktikalis kehidupan kita dengan sebaik mungkin. Pastikan anda di landasan yang benar, jangan ada pesongan walau sekelumit, faham ya?

Diakhirnya, saya menyarankan agar anda dapatkan buku ini sebelum ianya kehabisan stok dan menjadi langka! Cuba hadam, taakul dan tadabbur polemik dan wacana ilmiah yang cuba disampaikan oleh Zul Fikri ini dengan sebaiknya.

Sekian.