Drama
atau filem kita, secara amnya berdepan dengan krisis seni dan
intelektual. Ironinya, industri perfileman kita dihidangkan dengan
kuantiti, bukan kualiti. Krisis ini disuburkan lagi oleh sebahagian
masyarakat yang dibahana badai hedonisme.
Maaf saya katakan bahawa kebanyakkan drama atau filem yang saya dan anda tonton masakini, sangat kosong jiwanya apatah
lagi darihal bercakap soal nilaian ambiguiti. Ambiguiti atau ketaksaan
adalah salah satu elemen penting dalam ‘mengintelektualkan’ satu-satu
karya seni/kreatif. Namun,
mungkin ‘innate behaviour’ setiap manusia adalah berbeza mengikut
citarasa masing-masing dan acuannya adalah mengikut aras-daya-segi
keintelektualan di dalam kebolehan menanggap dan
mengetahui(epistemo-psychological dimension).
Keindahan/estetika yang tercerna daripada filem atau drama, wujud dalam
lingkungan sosial yang mencakup pelbagai suara rasa, pemikiran, abstrak
yang menggambarkan siapa khalayak itu sendiri, malahan tidak salah
jikalau saya mengatakan filem/drama adalah cerminan masyarakat kita.
‘Kita adalah apa yang kita tonton’.
Ada khalayak penonton yang
mahu karya-karya yang mempunyai keseimbangan nilai estetika dalam pada
masa yang sama ia mempunyai hiburan, seni dan dinatijahkan dengan dampak
positif namun dalam masa yang sama, masih wujud kelompok khalayak yang
setia/statik dengan karya-karya yang selayaknya di‘bakul-sampah’kan.
Ibu kepada segala masalahnya tersebut ialah kebanyakkan filem atau
drama(saya tidak mengatakan semua) dibikin atas dasar ‘batu-loncatan’
untuk mengaut keuntungan semata. Apabila konsumerisme dikejar ‘bagai nak
rak’, manakala idealisme ‘diterkebelakangkan’ dengan
sewenang-wenangnya, maka apa yang tercerna kepada kita selaku khalayak
hanyalah ‘sampah-sampah’ seni yang memualkan.
Selaku penonton,
kita perlu bersikap selektif dan ekstensif. Menyajikan drama dan filem
yang ‘menghina intelektualiti’ adalah satu kesilapan besar. Saya kira
kita sebagai khalayak sudah duduk dalam ruang lingkup jutaan drama dan
filem yang mempunyai tema, persoalan dan isu klise dan basi(baca: hantu,
rempit,cinta-tiga-segi), bertahun-tahun lamanya hingga adakalanya saya
merasakan ‘creative products’ industri(boleh juga untuk industri
perbukuan) kita seolahnya statik dan tidak mampu untuk keluar daripada
kepompong idea sedia ada, lalu isu-isu jugalah di‘recycle’ hingga tempoh
masa saya menulis post ini.
Filem atau drama adalah merupakan
salah satu karya seni yang mewajarkannya ia menjadi wadah untuk kita
berfikir dan menaakul secara ekstensif (luas-liput), apa yang cuba untuk
disampaikan melalui sesuatu filem/drama tersebut, tidak ia hanya
sekadar istilahnya “kita masuk panggung, bayar tiket, ketawa-ketawa, dan
keluar panggung-kosong-sebegitu sahaja”.
Menyajikan drama dan
filem ‘sampah’ adalah satu bentuk hiburan yang sia-sia dan hanya
membazirkan poket dan minda masyarakat. Perkataan ini bukan bermaksud
menidakkan filem ‘based on’ hiburan namun pada saya biarlah ianya
di“wayang”kan dengan “bil hikmah”, bermotif serta berupaya untuk
menghasilkan dampak berbentuk positif terhadap minda dan mentaliti
masyarakat yang menontonnya. Kita seringkali bercakap soal minda kelas
pertama ataupun ‘towering-personality’, jadi di mana kedudukan drama dan
filem kita dalam membicarakan dua perkara ini?
Faisal Tehrani
pengulas filem tersohor pernah menulis: “…buat duit lagi baik dari
bertanggungjawab kepada penonton dan masyarakat tetapi tolonglah baiki
aspek penceritaan. Ambil kira juga mutu produk filem anda supaya
berbaloi dengan wang audiens. Penonton bayar sepuluh ringgit untuk
menonton kerja seni anda. Seni perlu saya ingatkan adalah sesuatu yang
murni bukan sampah, bukan nanah, bukan debu, bukan abu. Ia datang dari
jiwa paling halus. Jiwa halus ialah jiwa yang cermat…”
Filem
yang baik bukan sekadar bergantung kepada setinggi mana bajetnya, juga
bukan kepada secanggih mana CGI yang diaplikasikan, tetapi pada saya
ianya bergantung kepada sejauhmanakah kreatifnya si pengarah dan teamnya
untuk mengarap idea-idea untuk diadun menjadi naskhah seni menghiburkan
disamping bermotif kepada khalayak.
Kadang-kadang saya
terfikir kebanyakkan konsep ‘glasnost’ industri hiburan kita ditampilkan
pada ertikata yang membosankan. Saya merasakan bahawa sudah sampai
masanya satu ‘restrukturisasi’ atau perestroika dilakukan agar
produk-produk hiburan tersebut perlu lebih ‘seronok’; untuk tontonan dan
kebaikan kita bersama dan ianya bermula daripada diri kita. Selektif
adalah kata kuncinya.
Post ini hanya sekadar berkongsi idea dan rasa penulisan Saudara Mizan Hashri yang sudah menjadi viral di facebook berkenaan isu drama di Malaysia.