Al-Fatihah kepada Dr. Anuar Nor Arai, tokoh akademik perfileman negara.
Faisal Tehrani pernah cakap: “…buat duit lagi baik dari bertanggungjawab kepada penonton dan masyarakat tetapi tolonglah baiki aspek penceritaan. Ambil kira juga mutu produk filem anda supaya berbaloi dengan wang audiens. Penonton bayar sepuluh ringgit untuk menonton kerja seni anda. Seni perlu saya ingatkan adalah sesuatu yang murni bukan sampah, bukan nanah, bukan debu, bukan abu. Ia datang dari jiwa paling halus. Jiwa halus ialah jiwa yang cermat…”
Apabila membicarakan berkaitan filem, kita tidak dapat lari daripada beberapa nama besar di dalam arena perfileman ini antaranya Aziz M Osman, Prof A.Razak Mohaiden, Dato’ Yusuf Haslam, Ahmad Idham,adik-beradik KRU dan lain-lain nama yang menjadi “kilang” kepada industri filem serata Malaysia, namun timbul tanda tanya, adakah karya mereka menitikberatkan aspek pembinaan mentaliti khalayak penonton ataupun mereka hanya sekadar memaparkan isu yang berhantu, klise, streotaip dan “boleh dibaca kesudahannya”, atas batu asas yang paling utama iaitu memikirkan hanya untuk mengisi kantung poket mereka dengan materialistik dan kebendaan.
Bagaimana pula halnya nak membina minda khalayak pada tahap kelas pertama?
Pembikin-pembikin filem masa kini lebih gemar untuk memaparkan aspek-aspek kemewahan, contohnya bekerja di syarikat multinasional, rumah yang sebesar-besar rumah, memakai kereta yang canggih-canggih, gajet canggih-canggih, baju jenama ternama dan lain-lain perkara yang memperlihatkan kemewahan pada tahap yang melampau.
Jarang sekali kita melihat golongan-golongan sederhana ataupun gelandangan diangkat menjadi tema atau watak utama di dalam sesuatu drama ataupun filem, walhal golongan-golongan semacam inilah yang banyak menjadi rencah di dalam mewarnai masyarakat Malaysia kini.
Kita tidak dapat lari dari kemiskinan, eksploitasi, kapitalisma, “kais pagi, makan pagi, kais petang, makan petang”, “kekejaman situasi kemanusiaan” serta cengkaman kapitalisma, ketidak adilan hierarki dan juga realiti cari-makan, bayar-sewa, periuk-nasi, kekurangan materialistik, harga barang naik, yuran persekolahan naik, hutang keliling pinggang dan lain-lain isu seangkatan dengannya.
Mengapa ya jarang sekali benda-benda macam nih jadi pilihan pembikin filem, asek-asek cerita hantu, lumba kereta sukan, ke alam jin, pas tu gaduh sapa paling tinggi kutipan..
Pada aku, filem yang baik adalah filem yang sarat dengan nilai ambiguiti atau ada double-meaning. Biarpun agak sukar untuk dibaca oleh khalayak umum(bagi yang malas berfikir sebenarnya), namun ianya mampu untuk menimbulkan dampak positif bagi mereka-mereka yang masih mahu menggunakan akal fikiran secara kritis.
Kadangkala menonton naskhah filem boleh menjadi satu pengalaman yang membuang masa(dan duit), dan kadangkala ianya boleh menyesakkan intelektual untuk berfikir lagi dan lagi.
Filem merupakan salah satu seni yang mewajarkannya ia menjadi wadah untuk kita berfikir dan menaakul secara ekstensif (luas-liput), apa yang cuba untuk disampaikan melalui sesuatu filem tersebut, tidak ianya hanya sekadar kita “masuk panggung, bayar tiket, ketawa-ketawa, dan keluar panggung sebegitu sahaja”.
Filem sampah ialah satu bentuk hiburan yang sia-sia dan hanya membazirkan poket dan minda masyarakat. Perkataan ini bukan bermaksud menidakkan filem bertema hiburan namun biarlah ianya di“wayang”kan dengan “bil hikmah” dan bermotif serta berupaya untuk menghasilkan dampak berbentuk positif terhadap minda dan mentaliti masyarakat yang menontonnya.
Perkara pokok yang perlu dipandang serius oleh para pembikin filem ialah mesej yang ingin disampaikan. Di samping memberikan hiburan, mesej yang jitu dan membina juga perlu diambil-kira, bukan sekadar mempermainkan minda masyarakat untuk sekadar mengaut keuntungan. Seharusnya mesej-mesej membina perlu diterapkan sekadar memberikan contoh merungkai permasalahan-permasalahan sosial yang semakin membarah di dalam masyarakat kini, membina minda kelas pertama, membasmi kemiskinan dan lain-lain.
Filem yang baik bukan bergantung kepada setinggi mana bajetnya, juga bukan kepada secanggih mana CGI yang diaplikasikan, tetapi pada aku ianya bergantung kepada sejauhmanakah kreatifnya si pengarah untuk mengarap idea-idea untuk diadun menjadi naskhah seni menghiburkan disamping bermotif kepada khalayak.
Filem-filem masakini aku nampak macam spektakular, namun kosong jiwanya.
Apa plak pendapat kaki-kaki wayang? Yang tak kaki wayang pun boleh komen..
1 ulasan:
kalau hantar karangan ni kat cikgu mesti susah sikit nak dapat markah lebih. karangan pendapat pun ada betul dan salah.
Catat Ulasan