Di dalam
buku Tragedy: Plays, Theory and Criticism karya Richard
Levin, umumnya cereka boleh dikategorikan kepada dua jenis iaitu tragedi
ataupun komedi. Pengkelasan kategori ini didasarkan kepada sudut pandang
seseorang karyawan tersebut terhadap substansi kehidupan manusia ataupun apa
yang dia sendiri lalui. Realisme khusus satu-satu cereka tragedi terletak kepada
keterikatan(mind-set kita) bahawa watak utama harus menerima suratan nasib(baca:
ditimpa ujian bertimpa-timpa dan berada dalam situasi yang gundah sedih dan
muram) yang tidak dapat dihindarkan.
Kebiasaannya, situasi ‘tangis-sendu’ ini
mengarahkan watak-watak utamanya kearah keputus-asaan, bersikap pasif ataupun
jika disuntik sedikit elemen didaktik ia mungkin diakhiri dengan semangat
perjuangan untuk memberi makna baharu kepada nasib yang telah ditentukan oleh
Qada dan Qadar Tuhan dan elemen inilah yang cuba saya telusuri melalui filem
LBS2 ini.
Menonton filem Lagenda Budak Setan 2 arahan Sharad
Sharan yang sebelum ini sukses mengarah naskah awalnya, memberikan pengalaman
tragedi tipikal drama Melayu melalui watak utamanya, Kasyah lakonan Farid
Kamil. Jadi, formulaik watak utama yang ditimpa pelbagai tragedi, penyelitan
unsur melodrama disamping fenomena keberjayaan karya kultus Ahadiat Akasyah ini
menjadi faktor utama mengapa Sharad berani mengambil risiko untuk mengarah
naskhah adaptasi novel ini hingga ke legasi ketiganya LBS3: Kasyah yang
dikhabar lebih tragis berbanding naskhah LBS 2 ini.
Filem ini dilihat mengambil semangat filem Qabil
Khushry Qabil Igam(2007) lakonan Hans Isaac, Rusdi Ramli, Erra Fazira dan Ziana
Zain berdasarkan naratif, penerapan “elemen hindustan” dan melodramanya yang
diarahkan oleh Zaili Sulan. Juga sedikit menyamai Ombak Rindu(2011), namun
mungkin Ombak Rindu lebih kuat sedikit aspek penceritaannya.
Antara ulasan saya untuk filem ini ialah:
(1) Filem ini penuh tragedi, Kasyah(Farid
Kamil) yang baru kematian isterinya, berhadapan dengan ‘jatuh-bangun’ permainan
cintanya(baca: dengan satu tiket ke Bhutan, Farid menerima cinta Kat) bersama
Katerina(Maya Karin), lalu ditolak oleh bapa Kat(baca: yang dapat saya baca pada
shot kamera zoom pada lirikan mata bapa Kat) kerana perbezaan stratifikasi
walaupun diawalnya, Kat pernah mengungkapkan dialog “ini bukan zaman dua darjat
P Ramlee”. Tidak cukup tragis dalam bercinta, Kasyah dipaksa untuk menghantar
dadah oleh Iskandar(Azri Iskandar) hingga hampir ditangkap pihak polis dan
klimaksnya dia kehilangan anak kesayangan dan juga abangnya(juga meninggalkan anak
tiada status kepada Kasyah). Semua tragedi ini disumbat secara bertimpa-timpa
hingga menyesakkan naratif plot dan sub-plot menyebabkan filem ini agak kelam
kabut aspek penceritaannya. Mungkin penulis skrip(Ahadiat sendiri bersama Jujur
Prananto) mahu penonton novel merasai sendiri pengalaman “membaca novel secara
100 %” ke dalam filem ini.
(2) Filem ini juga berdiri di atas unsur “hindustan-isme”,
ini kita dapat tonton melalui shot panjang melodrama Kasyah dan Kat di Bhutan(yang
hanya untuk membuktikan cinta Kasyah-Kat), juga elemen “hero kalah dahulu” dan
diakhiri dengan wajah senyuman kegembiraan Kasyah(baca: dipimpin tangannya oleh
Kat di babak akhir filem). Manakala kerja kamera yang kebanyakkan “zoom-in” kemuka
watak utama mengingatkan saya kepada sinematografi drama-drama dari seberang
yang banyak menerapkan elemen ini dalam drama mereka.
(3) Filem ini juga banyak berkisar elemen-elemen
tipikal klise drama melayu, tiada unsur atau tema menarik untuk ditadabbur
melalui proses aposteriori mahupun pemaknaan secara “layering”. Boleh dikatakan
tiada langsung permainan mis en scene dan hampir kesemua babak hanya didasari
permainan logik yang “picisan” dan “kosong jiwa”nya. Antaranya kita dapat lihat
melalui babak Iskandar(baca:siap bawak bayi) dan Kasyah yang terlepas daripada
ditangkap polis kerana mengedar dadah dan Hisham yang terlepas daripada siasatan
polis kerana membunuh Ning Baizura. Juga plot utama, cinta Kasyah kepada Kat ditolak
keluarganya atas alasan perbezaan lapis borjouis proletarnya. Ini babak klise
dan recycle plot yang acapkali kita boleh tonton dalam sebegitu banyak
drama-drama di televisyen kita saban hari.
(4) Saya kurang menyukai “unsur tergesa-gesa”
dan “pengakhiran yang boleh dibaca” dalam satu-satu filem atau drama. Unsur ini
akan dapat kita telusuri didalam filem LBS2 ini melalui babak Lara Nordin terus
mengakui “gelap mata” kerana wang RM500k yang diberikan oleh bapa Kat kepadanya,
begitu juga babak Kat yang terus mempercayai kata-kata bapanya kerana dimanipulasi
video Kasyah tanpa bertanyakan hal sebenarnya kepada Kasyah ataupun Lara
sendiri(setiausahanya, jadi agak mustahil dia tiada akses untuk berhubung
dengannya). Juga pengakhiran “happy ending” ini sudah tentunya boleh kita baca
berteraskan elemen “hero-menang-diakhirnya” tadi.
(4) Nilaian ambiguitinya, filem ini memaparkan
konotasi negatif didalam menyelongkar sisi kelemahan wanita urban yang gah pada
penampilan(baca:pakaian dan tata-hiasnya), tetapi kosong jiwa dan motivasinya. Ini
kita nampak pada watak Kat, berulangkali kita disajikan babak Kat tewas kepada
cinta kepada atau dipermainkan perasaan cintanya oleh bapa sendiri(ini kita
nampak terang dengan syarat tidak masuk akal bapanya ketika Kasyah ingin
menyuntingnya dan babak tuduhan libido kepada Kasyah). Walhal, asasnya Kat
sangat mencintai Kasyah sehingga mengungkapkan dialog “tutup mata nampak
Kasyah, buka mata pun nampak Kasyah” dan babak peluk-memeluk dihampir 1/3 scene,
ironikalinya dengan hanya satu video(yang sah-sah nampak Kasyah menolak Lara),
Kat “reject” Kasyah dan melalui rutin emosional klisenya “duduk dalam bilik-menangis-tak
mahu makan-minum dan dipujuk Mamanya”. Persoalan saya, dimana emansipasi dan
efikasi kendiri Katerina sebagai wanita yang nampak berjaya pada substansi
wajah korporatnya? Juga kita dihidangkan dengan lemahnya Kat untuk menolak lamaran
Hisham yang sudah terbukti panas baran, psiko & songsang nafsu seksualnya,
malahan lebih memburukkan lagi, dia menerima lamaran Hisham untuk memperisterikannya.
(5) Namun satu perkara yang saya anggap
menghiburkan tentang filem ini ialah keberjayaan watak Athirah(anak Kasyah), penghayatannya,
dengan kecomelannya, “gesture” riak muka sehinggalah babak klimak yang
menghibakan hati sesiapa sahaja yang mempunyai anak. Babak itu betul-betul meruntun
dan mengesankan jiwa. Filem ini juga sesuai mengingatkan kita agar menghargai
sesiapa sahaja yang kita cintai melangkaui duit, harta, pangkat, darjat mahupun
segalanya didunia, sebelum ajal menjemputnya.
Next review: LIFE OF PI:Persoalan Eksistensialisme, Pluralisme Agama Atau Nihilisme?
1 ulasan:
ulasan saya: http://adf.ly/GGUjv
Catat Ulasan