08 Disember 2013

Membaca Didaktisisme Dalam Filem Rush(2013)


Filem bergenre sukan dikatakan sudah lama bertapak di dalam industri, sedari era ‘silent film’ iaitu The Champion(1915) yang dibintangi oleh Charlie Chaplin. Tema untuk genre filem sukan ini adalah berkisarkan ‘kemenangan individu’ ataupun ‘pasukan’ yang pada kebiasaannya akan berdepan dengan pelbagai plot masalah untuk mencantikkan naratif filem tersebut. Rush adalah sebuah filem aksi berpremiskan sukan dan dalam masa yang sama, ia mengangkat falsafah sukan F1 itu sendiri daripada pelbagai aspek dan sudut-pandang.

Secara peribadi, saya pernah mempunyai pengalaman menonton beberapa filem bergenre sukan yang ‘memberi bekas’ buat diri saya antaranya ialah filem D2: The Mighty Ducks(1994)(yang ini saya tonton semasa saya bersekolah rendah dan saya terpengaruh dengan efikasi kendiri yang menginsprirasikan melalui watak Joshua Jackson), Remember the Titans(2000)(fuhh, yang ni memang superb, lakonan Denzel Washington, wacananya hebat, kisah bagaimana si Denzel Washington boleh membuang dogma rasisme yang membarah hanya dengan ‘kesatuan’ dalam sukan), The Longest Yard(2005)(sebuah filem ‘remake’ kisah Adam Sandler selaku protagonis membentuk satu pasukan ragbi untuk melawan kezaliman pak guard dalam penjara) dan terakhir filem kultus sepanjang zaman; Children of Heaven (1997)(perlu ke saya terangkan filem ini?).

Berbalik kepada filem Rush ini, ia ditanganikan dengan amat baik oleh Ron Howard, seorang pengarah prolifik yang pernah memenangi Academy Award melalui filem A Beautiful Mind(2001). Ron Howard sebelum ini pernah sukses dengan filem-filem pelbagai genre seperti Apollo 13(1995), How the Grinch Stole Christmas(2000), Cinderella Man(2005), The Da Vinci Code(2006), Angels & Demons(2009) dan terbaharu beliau telah mengarah sebuah filem adaptasi daripada sebuah buku yang ditulis oleh Nathaniel Philbrick dari Amerika iaitu In the Heart of the Sea. Apa yang kita nampak di sini ialah kecenderungan Ron Howard untuk mengadaptasi buku/novel ke layar perak sekadar menyebut contoh; Apollo 13(adaptasi daripada buku Lost Moon: The Perilous Voyage of Apollo 13), begitu juga legasi novel Dan Brown; The Da Vinci Code, Angels & Demons dan akan datang Inferno(2015). Kecenderungan Howard ini, saya nampak ada pada sutradara dari seberang yang berlumba untuk mengadaptasi karya-karya terbaik mereka ke layar perak seperti usaha-usaha yang dilakukan oleh Setiawan Hanung Bramantyo dan Mohammad Rivai Riza. Manakala di sini, sutradara kita masih berlumba-lumba mengangkat isu ‘cinta 3 segi, hantu, rempit, gangster’ sebagai recycle-plot filem kita, walhal kita punya berdozen karya literasi yang baik untuk diangkat sebagai sebuah filem. Ya, filem kita, wajah kita

Rush ialah sebuah filem ‘based on a true story’, sebuah biografikal; perseteruan antara 2 watak pelumba iaitu James Hunt(Chris Hemsworth) and Niki Lauda(Daniel Brühl) yang berlatarbelakangkan kisah asal-usul perlumbaan Formula One(F1) pada tahun 1976. Mungkin genre ini memang ‘makanan’ Ron Howard kerana beliau sebelum ini pernah mengarahkan filem Cinderella Man(2005) yang dijudulkan mengambil ‘nickname’, inspirasi dan perjalanan kehidupan juara heavyweight boxing iaitu James J. Braddock.

Saya menyukai filem ini kerana ia adalah sebuah filem drama formula-mudah ‘3 act structure’ yang naratifnya minimalis dan ‘straight-forward’ tetapi pada dasarnya ia membawa ambiguiti yang sangat besar buat kita, manusia yang pernah bergelar anak muda. Filem ini ialah sebuah kisah yang unik di mana tiada protagonis dan antagonis kerana 2 pemuda ini iaitu James Hunt dan Niki Lauda saling bertukar fungsi, tingkah dan ‘konflik perwatakan’ untuk melengkapi sebuah pusingan naratif filem ini. Kita disajikan dengan dua watak yang mempunyai watak yang berbeza, kadang-kadang boleh kita ibaratkan langit dengan bumi iaitu James Hunt iaitu seorang anak muda yang anarkis, ‘hidup-ikut-suka-hati-dia’ dan bersikap ‘kurang-ajar’ tetapi mempunyai tabiat ‘muntah’ setiap kali sebelum dia berlumba. Kemudian filem ini digerakkan dengan watak Niki Lauda iaitu seorang yang ‘cool’, genius dari segi teknikal(saya suka scene ketika Niki ingin membuktikan kepada kekasihnya bahawa dia adalah seorang pemandu F1 dan scene dia mengira dengan tepat kelajuan keretanya), matlamat dan perancangan kehidupannya.

Watak-watak dalam filem ini sangat ‘hidup’, seolahnya kita sedang men•jung•kir•ba•lik•kan perseteruan sebenar antara James Hunt dan Niki Lauda di atas litar perlumbaan F1. Watak-watak dalam filem ini menyajikan kita satu analisis skematik berbaur di dalam menggaul rasa sedih, gembira, kesakitan(baca: kita dapat merasai bagaimana Niki yang berusaha bermatian mahu meneruskan perlumbaan walaupun baru mengalami kemalangan yang hampir meragut nyawanya), putus cinta, ditinggal orang tersayang dan di akhirnya kita akan dapati bahawa elemen ‘persahabatan’ dan ‘kekeluargaan’ itu melangkaui batasan kalah dan menang dalam satu-satu sukan atau permainan.

Apabila kita bercakap soal ambiguiti, didaktisisme dan persoalan instruksional usai saya katakan tadi, ianya terbentang jelas di dalam filem Rush ini. Istilah didaktisisme ialah "berkaitan dengan pendidikan dan pengajaran" dan seni berunsur didaktis ini membawa unsur dualisme iaitu menghibur dan mengajar. Filem yang baik pada saya disamping kita terhibur, kita juga akan menjadi terpelajar, diakhirnya. Dan ciri ini akan kita dapati di dalam filem Rush ini.

Tema utama filem ini adalah berkaitan dunia dua anak muda yang saling bersaing untuk menjadi juara di kalangan mereka. Sebagai seorang yang cool, saya amat menyukai watak Niki Lauda kerana dia cool seperti saya. Dalam cool-cool watak Lauda, kita dapati bahawa dia ada sedikit jiwa memberontak tetapi dia bukan jiwa ‘memberontak ikut suka’ seperti Hunt. Kita lihat watak Lauda berusaha sedaya-upaya keluar daripada kepompong "dunia klise kebanyakkan anak muda"(baca: the easy-comfort zone anak muda sekarang iaitu duduk di bawah ketiak mak dan ayah), ko bayangkan dia sanggup ‘falling out’ daripada keluarga dia lalu, bergolok-gadai pinjam duit bank semata-mata nak memenuhi hajat dia untuk jadi pemandu F1. Watak Lauda ini dibina dengan efikasi dan jatidiri yang kuat, sehingga dia mampu mencabar segala pahit-maung, kesakitan(baca: setelah terselamat daripada kebakaran keretanya, dia diterbangkan ke hospital dengan tiga-degree kesan pembakaran di muka, kepala sehingga ke organ dalamannya. Ko bayangkan dia sanggup buat permintaan kepada doktor untuk ‘pump’ kesan pembakaran dengan cara manual semata-mata tak sanggup lihat Hunt berterusan menang dan menang di litar perlumbaan), ranjau serta penindasan kapitalis bank sebelum bergelar pemandu F1. Ini sangat berbeza dengan watak Hunt yang mengambil jalan mudah untuk bergelar pemandu F1(baca: hanya perlu menyakinkan Ferrari dia adalah pemandu yang hebat). Ya, yang paling penting, di akhirnya Laudalah yang berjaya mengubah Hunt untuk menjadi sedikit ‘manusia’, bukan selamanya robot yang kerjanya asyik berlumba dan bercanda sahaja.

Filem ini menyajikan kepada kita bahawa F1 adalah antara sukan yang paling berbahaya, mencabar, berisiko tinggi, dramatik, ‘highly tactical’, mahal dan paling ‘psiko’ dalam dunia. Ron Howard berjaya membuktikan kepada kita bahawa F1 bukanlah semudah seperti sangkaan sesetengah daripada kita. Permainan plot, sinematografi, runut-bunyi, set penggambaran dan dekorasi benar-benar kena dan saling melengkapi di dalam memberikan warna perjalanan filem aksi ini. Mungkin ia lebih baik daripada filem –filem ‘kereta sukan’ yang entah-apa-apa-entah seperti Fast & Furious (2009) dan seangkatan dengannya.

Filem ini juga memperlihatkan bagaimana seorang wanita memainkan peranan yang sangat penting di dalam kejayaan seseorang lelaki. Kita lihat watak wanita di tonjolkan berselang-seli antara kedua-dua watak tersebut. Olivia Wilde dan Alexandra Maria Lara yang memerankan watak teman wanita kepada kedua watak utama ini berjaya memberikan persepsi bahawa jatuh dan bangun seseorang itu adakalanya adalah disebabkan oleh kaum wanita. Cuba lihat scene bagaimana azabnya isteri Niki(baca: walaupun dialog watak ini agak terbatas namun bahasa tubuh, mimik muka memang berkelas A) melihat suaminya mencabar maut apabila mahu berlumba walaupun baharu sahaja ‘recovery’ daripada kemalangan yang hampir meragut nyawanya.
 
Adrenalin kita pastinya bergetar menonton keberanian Hunt dan Lauda yang berlumba dalam bahaya dengan tahap keselamatan yang rendah(bayangkan berapa lama masa yang diambil oleh pasukan keselamatan ketika mahu menyelamatkan Lauda). Menghampiri penutup filem ini, di litar Jepun, dalam keadaan hujan lebat yang sangat bahaya, Hunt mencabar maut untuk mencari kemenangan dan membuktikan kepada dunia bahawa dia adalah jaguh manakala Lauda menarik diri daripada perlumbaan tersebut. Siapakah yang akan memenangi perlumbaan tersebut? Anda kena saksikan kisah sukan paling mendebarkan ini!

Terus-terang saya katakan, ini adalah antara filem yang saya suka untuk tahun 2013, yang belum tengok ayuh pakat-pakat cari DVD filem ini di pasaran sekarang juga!

Tiada ulasan: