08 Disember 2013

Villa Nabila Dan Highland Tower(2013): Sebuah Ulasan


Semalam saya berpeluang menonton DVD filem seram; Highland Tower terbitan MIG. Highland Tower adalah sebuah filem yang menampilkan konsep ‘found footage’ yang dirakam di lokasi kejadian sebenar bangunan Highland Tower yang runtuh menyembah bumi pada tahun 1993. Bagi peminat filem seram, genre "found footage" ini bukanlah sesuatu yang asing dan baharu kerana kita sudah disajikan dengan beberapa filem berkonsepkan genre tersebut seperti Blair Witch Project(1999), Paranormal Activity(2007), REC(2007), V/H/S(2012) dan beberapa filem kita seperti Seru(2011) dan Penunggu Istana(2011). Ini mungkin boleh ditambah dengan kemunculan beberapa DVD berkonsep "found footage" dari Indonesia yang menggunakan tajuk yang pelbagai seperti WUJUD, ENTITI dan sebagainya(yang penemuan hantunya nampak lebih realistik).

Saya kira idea dan konsep genre ‘found footage’ ini amat ringkas(sudut masa shooting, skrip etc etc) dan tidak memerlukan bajet yang besar. Kerja kamera ‘found footage’ ini pada asasnya dilakukan oleh pelakon itu sendiri kerana merekalah yang ber‘fiksyen’ di dalam filem mereka sendiri disamping ‘shaky camera work’(kerja kamera ini banyak diaplikasikan dalam Highland Tower hingga kita hanya tonton beberapa scene sahaja babak pegun) dan ‘naturalistic acting’(walaupun realitinya memang sebetulnya keras). Contoh filem yang mengembalikan kegemilangan genre ‘found footage’ ini selepas filem Cannibal Holocaust(1980) ialah filem Blair Witch Project(1999) yang hanya menggunakan bajet kurang daripada $1 juta USD dan kemudiannya berjaya mengaut keuntungan hampir $250 juta. Ini adalah sebuah pencapaian yang agak luar biasa bagi sebuah filem horror/seram. Saya kira pendekatan/‘resepi’ inilah yang cuba diguna-pakai oleh MIG melalui Pierre Andre, selaku pengarah filem ini dan ternyata formula ini membuahkan hasil di mana Highland Tower mengaut keuntungan lebih daripada RM3 juta sepanjang tayangannya.

Saya melihat kelibat Pierre Andre sudah sebati/sinonim dengan genre seram dan tidak keterlaluan saya katakan bahawa beliau mampu untuk membawa angin ‘perestroika’ kepada industri jika beliau diberikan lebih ruang dan peluang untuk berkarya. Filem-filem seram beliau seperti Jangan Tegur(2009), Seru(2011), Al-Hijab (2011) dan Highland Tower mampu untuk sekurang-kurangnya memberikan nafas baharu kepada filem seram negara yang saya lihat ‘statik’ pada takuk lama(baca: untuk filem Highland Tower ini kita tidak menjumpai ‘hantu-hantu berbusana putih’, ‘hantu rambut mengerbang’, ‘hantu mata merah menyala berkuku panjang’, ‘hantu yang kadang-kadang nampak bayang-bayang’(hantu ada bayang-bayang ke?), ‘hantu terbang-terbang dengan tali’(yang kadang-kadang termasuk dalam frame kamera kerana dibikin cincai) ataupun ‘hantu merangkak ala-ala Ju-on’(apa kata kalau korang jumpa hantu ni korang pijak je belakang dia, confirm hantu jenis ini tak boleh nak cekik korang).

Mari saya rungkai beberapa ‘elemen hantu’ yang dikitar berulang-kali di dalam filem mahupun drama terbitan MIG(mujur TV3 sudah menghentikan siri hantu setiap malam Jumaat):

1. Suka memeranjatkan khalayak dengan sound-effect yang kadang-kadang buat saya menyampah. Contohnya kalau dekat-dekat scene hantu nak muncul, mesti akan ada sound-effect yang kuat untuk buat penonton terperanjat. Hakikinya, yang terbina secara naturalis bukanlah elemen seram sebaliknya elemen memeranjatkan audiens.

2. Plot cerita yang lebih kurang sama. Cuba lihat apa beza aspek penceritaan antara filem Jangan Pandang Belakang(2007) dan beberapa drama terbitan MIG. Kesemuanya mempunyai jalur cerita yang lebih kurang sama.

3. Bab solekan hantu, kesan khas, props, ‘tali menggantung hantu’, semuanya adalah barangan kitar-semula.

4. Perhatikan cara hantu-hantu MIG bergerak, kebanyakkan mesti pose ‘hantu bergerak ke depan dengan tangan berkuku panjang yang dijulur-julurkan’, ‘hantu ala-ala Ju-on yang datang merangkak’ ataupun ‘hantu berbusana putih yang terbang menegak seolah-olah ada tali yang melekat pada tengkok hantu tersebut’.

5. Cuba lihat pula bagaimana cara hantu MIG memunculkan diri, antaranya scene ‘hantu muncul terbang di tepi kereta semasa watak utama sedang membawa kereta’, ‘hantu muncul di belakang tempat duduk semasa kereta tiba-tiba rosak di tengah jalan(waktu rosak mesti waktu malam)’, ‘hantu muncul time-time scene makan dan selepas itu hantu akan sambung makan dalam keadaan gelojoh’, ‘jalan-jalan nak masuk rumah, tiba-tiba hantu muncul kat pintu rumah’, ‘scene masuk hutan jumpa warung yang tiba-tiba ada, pastuh order makan, bila balik makanan tersebut jadi ulat(dan yang peliknya makanan yang si pelakon order mesti mee goreng)’ ataupun scene ‘hantu muncul terbang/statik kat tingkap atau pintu rumah yang terbuka’.

6. Begitu juga dengan tempat kejadian atau latar penceritaan filem tersebut mesti di kampung yang rumah-rumahnya diperbuat daripada kayu. Jarang sekali hantu muncul di bandar-bandar besar seperti di Jalan Telawi ataupun Bukit Bintang.

Apa yang pasti, MIG sudah kaya-raya dengan idea hantu kitaran ini di dalam filem-filem mereka, cuma yang menimbulkan persoalan ialah mengapa penonton filem kita masih mahu menonton filem-filem mereka walaupun acapkali dihidangkan dengan adunan plot dan sub-plot yang klise dan basi. Selaku penonton, kita perlu bersikap selektif dan ekstensif. Menyajikan drama dan filem yang ‘menghina intelektualiti’ adalah satu kesilapan besar. Saya kira kita sebagai khalayak sudah duduk dalam ruang lingkup jutaan drama dan filem yang mempunyai tema, persoalan dan isu klise dan basi(baca: hantu, rempit, cinta-tiga-segi), bertahun-tahun lamanya hingga adakalanya saya merasakan ‘creative products’ industri perfileman kita seolahnya statik dan tidak mampu untuk keluar daripada kepompong idea sedia ada, namun adalah saya mengharapkan dengan kehadiran Pierre Andre ini, MIG akan berubah dan menghasilkan filem-filem yang lebih berkualiti, bukan mengejar keuntungan materalistik semata.

Highland Tower pada saya adalah sebuah filem berkonsepkan ‘3 act structure’ yang biasa-biasa. Kisah beberapa orang sahabat yang ingin merungkai misteri disebalik bangunan Highland Tower lalu mereka menemui beberapa kejadian yang dijadikan sebagai naratif untuk men‘cantik’kan plot mahupun sub-plot. Filem bergenre ini memudahkan ‘lakonan’ pelakonnya kerana beberapa orang pelakon dalam filem ini nampak sangat keras di dalam memearnkan watak mereka, namun pada saya ini dimaafkan kerana filem ini berkonsepkan ‘lakonan-dalam-lakonan’. Filem ini juga menyajikan beberapa situasi seram yang ‘tiada sound effect’ untuk menakutkan penonton kerana rasa seram itu hadir dengan bunyi benda jatuh dan beberapa lukisan/imej/lembaga(tidak dapat dipastikan ia realistik atau CGI) yang menyeramkan. Ketakutan dalam filem ini juga hadir melalui beberapa scene seperti scene kain putih dan scene rasuk.

Selang beberapa minggu selepas tayangan filem ini kita dikejutkan dengan misteri 23 orang remaja yang kononnya hilang di Villa Nabila yang terletak di Johor Bahru. Villa Nabila adalah sebuah bangunan tinggal yang glamour dengan ‘kisah seramnya’; yang viral seantero Malaysia. Mungkin kerana terpengaruh dek filem Highland Tower maka remaja-remaja ini mahu mengalami situasi yang sama seperti filem tersebut(walaupun akhirnya kita tertipu dengan berita ini).

Apabila berlakunya kisah-kisah seperti ini; apa yang perlu dipandang sebagai "asas" yang menjadikan isu ini menjadi popular/viral ialah:

Sebahagian daripada masyarakat kita sememangnya suka kepada perkara-perkara mistik semacam ini sedangkan jika kita menggunakan teori saintifik dan logik-akal, ‘confirm’ perkara-perkara ini adalah perkara karut-marut! Saya tidak dapat memastikan mengapa dan bagaimana berita 23 orang pemuda-pemudi ini boleh menjadi viral di media massa sehingga ia menjadi isu yang sangat popular di facebook, surat khabar malahan mampu menerjah masuk ke Buletin Utama dan Berita TV1. Sebelum ini, kita pernah heboh tentang berita seorang dukun yang berjaya menangkap pontianak satu ketika dahulu, cuma yang menimbulkan persoalan ialah mengapa dukun tersebut bertindak membuang pontianak ke dalam laut sebelum satu bentuk kajian ilmiah dijalankan ke atas pontianak tersebut? Bukankah ia satu kerugian buat negara?

Namun saya kira, perkara ini bukanlah menjadi masalah besar kerana jika kita melihat di luar negara, perkara-perkara mistik ini sememangnya diminati oleh segenap lapisan masyarakat sehinggalah di kalangan rakyat Amerika yang kita lihat maju 20-30 tahun ke hadapan teknologinya berbanding kita, juga terpengaruh dengan unsur ini. Contohnya, fenomena Crop Circle(walaupun ada bukti yang mengatakan bahawa benda ini direka oleh manusia yang pakar dalam bidang landscaping).

Namun, Malik Bennabi pernah menulis dalam bukunya; Krisis Intelektual Muslim: ‘Sudah lama umat Islam berhadapan dengan satu penyakit yang perlu diubat iaitu kejahilan dan buta keintelektualan’.

Diakhirnya,saya menyarankan agar media massa kurang-kurangkanlah berita-berita berunsurkan tahyul, karut-marut, ekspresionist melampau, sebaliknya lebihkanlah fakta dan hujah kerana di zaman ini, saya kira ianya lebih penting dan bermanfaat.

Tiada ulasan: