(1) Alhamdulillah, setelah berpuasa selama sebulan, esok, Insyaallah kita akan menyambut hari lebaran bagi seluruh umat Islam. Pada saya, Syawal adalah hari di mana manusia mengenal erti persaudaraan dan kesatuan umat Islam itu sendiri. Masjid akan dipenuhi jemaah bersolat sunat hari raya, ahli keluarga yang dekat-jauh akan berkumpul, segala hutang-dosa akan dilunaskan dengan huluran salam-jabat memohon kemaafan mahupun ahli keluarga bergotong-royong membersihkan perkuburan ataupun memasak juadah lauk pauk. Kesemua ini memerlukan satu kesatuan. Inilah indahnya Syawal dan mungkin tidak akan dapat kita cari di bulan yang lain. Saya sangat menolak pandangan liberal yang menolak konseptual raya atas alasan “tidak perlu tunggu raya untuk memohon maaf” kerana istilah raya itu adalah melambangkan satu situasi memorable yang wajib dilalui oleh setiap muslim tanpa mengira apa rasnya, warna kulitnya, fahaman politiknya mahupun jantinanya.
(2) Alhamdulillah juga, dikeberkatan bulan Ramadhan yang bakal berlalu ini, pasukan kegemaran saya dan jutaan peminat yang lain, Manchester United melalui saat kegembiraan kerana telah membelasah pasukan bermasalah, Arsenal dengan jaringan 8 berbalas 2, menggambarkan betapa “ayam”nya skuad Arsene Wenger itu sekarang. Perlawanan ini sebenarnya banyak mengajar erti kesabaran bagi Arsene Wenger, pemain dan penyokong Arsenal, kerana itu semua adalah cebisan dugaan yang perlu mereka lalui apabila berhadapan dengan pasukan berwibawa dan berkarismatik seperti Manchester United, sama natijahnya seperti madrasah Ramadhan yang mendidik jiwa umat Islam untuk bersabar menahan perkara-perkara yang membatalkan puasa sepanjang hari.
(3) Untuk tahun ini, sambutan hari raya akan disambut serentak dengan hari kemerdekaan, lalu ini adalah satu pakej bagi syarikat konglomerat untuk “cut-cost” bajet iklan raya untuk disatukan dengan iklan kemerdekaan. Pada saya, sejak kehilangan Arwah Yasmin Ahmad, iklan raya dan kemerdekaan sedikit hambar, suram, kelihatan kurang sifat humanisnya dan kurang unsur-unsur didaktik untuk difikirkan secara mendalam. Untuk menghasilkan video-video iklan hari raya(yang membawa khalayak meneladani maksud hari raya pada ertikata sebenar bukan sekadar makan kuih raya, memakai baju raya) dan kemerdekaan(yang membawa khalayak menerobos maksud sebenar kemerdekaan bukan sekadar mengibarkan bendera mahupun bercanda dikonsert-konsert percuma di malam merdeka) yang mengesankan, bukanlah satu tugasan yang mudah.
Cuba kita telusuri dan hayati iklan-iklan raya untuk tahun 2011. Wujud atau tidak nilaian estatika raya itu di setiap karya ini? Untuk fakta, tahun ini, tiada lagi iklan kontroversi yang boleh kita tonton seperti iklan TV3 tahun lepas.
(4) Cuba anda tonton rancangan di TV semasa raya ini. Kebanyakkan rancangan yang disiarkan adalah bertemakan hiburan. Kalau boleh saya senaraikan satu-satu, memang terlalu banyak rancangan-rancangan hiburan yang ditayangkan samada dalam bentuk filem atau drama(biasanya filem David), program nyanyian, sitkom, muzikal, jurnal, drama sampai ke rancangan masakan sekali pun akan menyajikan resipi-resipi yang bertemakan Hari Lebaran.
Ironinya, yang menjadi masalahnya kini ialah kebanyakkan rancangan hiburan tersebut adalah saduran idea rancangan yang lepas-lepas, klise dan membosankan, khususnya rancangan berteras nyanyian.
Saya melihat media seolah-olah ingin membentuk satu fikrah bahawa konsep raya adalah signifikan dengan nyanyian, asal raya sahaja mesti kena adakan rancangan berbentuk nyanyian.
Kadang-kadang saya rasa pelik, media kerap menghentam bahana hedonisme, tetapi dalam pada masa yang sama mereka sendiri berlumba-lumba untuk menyalur rancangan hiburan yang ‘ntah-apa-apa” ke dalam mentaliti masyarakat.
Dan apa yang buat saya bertambah pelik ialah sikap masyarakat yang suka dengan rancangan-rancangan tersebut. Apa yang seronok sangat dengan rancangan-rancangan nyanyian semacam itu? Tetapi saya ketepikan rasa pelik saya kerana beranggapan bahawa innate behaviour atau citarasa setiap manusia adalah berbeza. Ada yang suka nasi beriyani, ada yang suka nasi kerabu dan ada yang suka nasi putih berlaukkan kicap.
Kadang-kadang saya terfikir kebanyakkan konsep glasnost berteras hiburan ditampilkan pada ertikata yang membosankan. Saya merasakan bahawa sudah sampai masanya satu rekonstruksi atau perestroika dilakukan agar produk-produk hiburan tersebut diubah untuk kebaikan kita bersama.
Saya bukanlah seorang yang anti-konsert ataupun golongan yang menentang hiburan secara total, tetapi pada saya, tiada salahnya jikalau rancangan itu diselitkan dengan unsur-unsur yang didaktik dan mendidik, tidak hanya “based” kepada hiburan semata.
Saya menyarankan agar stesyen TV memperbanyakkan rancangan dokumentari-jurnal berkaitan hari raya, selain rancangan hiburan. Sebagai contoh, satu ketika dahulu saya pernah melihat sebuah dokumentari berkaitan Halim Yazid dan idea-idea dikir baratnya ditayangkan untuk tayangan hari raya.
Ataupun cuba siarkan drama-drama pendek karya pengarah-pengarah indie seperti Amir Muhammad, James Lee, Ridhwan Saidi, Tok Rimau, Kamal Sabran, Ho Yuhang(sekadar menyebut beberapa nama). Kita sering mengatakan yang kita mahu membentuk minda kelas pertama? Ataupun kita sebenarnya menuju era kemandulan minda kelas pertama?
Setiap kali raya, tiada satu pun rancangan yang mengajar masyarakat tentang ertikata sebenar raya kecuali iklan-iklan daripada syarikat-syarikat multinasional seperti Petronas. Walaupun pendek tapi cukup sarat mesejnya. Malahan saya merasakan bahawa iklan-iklan tersebut adalah lebih baik dan sampai mesejnya berbanding drama-drama swasta yang ditayangkan untuk edisi hari raya.
(5) Semakin hampir hari raya, semakin tinggi budaya konsumerisme rakyat Malaysia. Anda tidak percaya dengan fakta ini cuba buat survey di Jalan TAR ataupun Masjid India.
Para pemain kapitalis mula menangguk di air yang keruh atas budaya konsumerisme yang tinggi tatkala hari raya, dengan permainan harga. Mereka meletak harga barangan dengan keuntungan melebihi 100 peratus berbanding harga modal mereka. Contohnya, set alas tilam bermodalkan RM20 dan penjual kapitalis tadi menjualnya dengan harga RM70.
Untuk memenuhi tuntutan keinginan konsumerisme yang tinggi tersebut, maka terdapat segelintir rakyat Malaysia yang membuat pinjaman bank semata-mata untuk menukar set perabot, untuk bershoping sakan membeli baju raya, kasut raya, kuih raya dan sebagainya, sehingga kadangkala berlakunya pembaziran. Contohnya, lebihan makanan atau berbelanja barangan mengikut keinginan melebihi bajet sedia ada. Untuk fakta, hukum memakai pakaian baru hanya sekadar sunah, bukan wajib. Dengan memakai pakaian lama yang bersih adalah lebih dituntut berbanding kita membazirkan beratus-ratus ringgit semata untuk membeli busana baju melayu.
Tidak kurang terdapat juga pengkonsumer yang membayar dengan menggunakan kad kredit. Ini merupakan salah satu budaya yang kurang sihat dimana ianya menyuburkan budaya berhutang semata-mata tuntutan untuk merayakan Aidilfitri. Untuk fakta, Allah SAW dan Nabi SAW tidak pernah mewajibkan kita beraya dengan memakai baju(melampaui batasan kemampuan) yang mahal-mahal atau mewajibkan kita bermewah-mewah ketika berhari raya.
Alasan klise “raya setahun sekali” seharusnya dibuang jauh di dalam budaya berbelanja rakyat Malaysia. Budaya bergolok-gadai semata-mata untuk beraya perlu dihapuskan terus.
Saya merasakan masih ramai di antara pengunjung-pengunjung Bazar Ramadhan, hanya datang semata-mata untuk berjalan tanpa membeli apa-apa barangan. Mungkin dikalangan mereka ini kebanyakkannya adalah penjawat awam atau pekerja swasta yang tersepit dengan kegawatan ekonomi negara pada masa ini. Keinginan/nafsu mereka untuk mengkosumerisme adalah tinggi tapi disekat dengan masalah bajet gaji. Jadi jikalau duit mereka diperhabis untuk berhari raya, apa yang mereka akan makan untuk hari hari yang seterusnya?
Raya Aidilfitri sudah lari daripada konsepnya yang asal. Ianya sudah diubah suai oleh sistem yang dicipta berasaskan adat-adat kemelayuan yang sedikit lari daripada tempo yang diajarkan oleh Islam itu sendiri. Secara adatnya, ramai di kalangan kita yang lebih bergembira apabila Ramadhan berakhir kerana ianya sudah menjadi sebahagian sub-budaya masyarakat melayu di Malaysia, dimana Syawal akan dilalui dengan suasana yang sebegitu meriah seolah-olah ertikata Syawal itu jauh lebih penting berbanding pengisian ibadah di bulan Ramadhan. Kita lihat, pesta hari raya dan iklan hari raya kadangkala sudah bermula semenjak belum bermula bulan Ramadhan lagi.
(6) Apa-apa pun, saya selaku penulis di review-filem.blogspot.com mengucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Dan Batin kepada semua pembaca blog ini!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan