07 Julai 2010

Ulasan filem KAMI(1982)



Aku dah lupa bila kali terakhir aku menonton filem ini. Seingat aku(yang selalu terminum air teh tarik bersemut dimamak), mungkin ketika aku masih bersekolah rendah, masih berhingus dan belum akil baligh. Main bola pun time tu pakai bola Mikasa sebab bola Teamgeist atau Jabulani mungkin masih belum ada dalam kerangka penciptaan arkitek Adidas ketika itu.

Setelah beberapa tahun meniti revolusi fizikali dan lanjutan usia, aku kembali menonton filem ini semalam. Itu pun setelah aku terpancing kerana terpengaruh dengan ulasan seorang rakan yang meng-review filem ini.

Aku sememangnya mempunyai fikrah berfikir bahawa sememangnya agak sukar untuk mencari filem melayu rare seperti ini dipasaran gelap(baca:DVD haram), jadi, sebagai seorang manusia yang menghargai masa(walaupun terpaksa mengorbankan duit), aku pergi membeli VCD filem ini di Music Valley dengan harga mati yang tidak boleh ditawar iaitu RM 9.90, walaupun aku cuba mintak tawar dengan awek penjual VCD tuh.

Oh, aku mulakan ulasan yang langsung tak ilmiah ini.

Filem Kami(1982) ini adalah filem pertama lakonan Allahyarham Sudirman Hj Arshad yang diriliskan oleh Indra Film Productions and Distribution Sdn. Bhd. Filem ini diarahkan oleh Patrick Yeoh, iaitu seorang juruhebah radio yang berkhidmat di RTM. Disamping itu, Patrick Yeoh juga adalah merupakan seorang pengkritik filem.

Sama seperti Dari Jemapoh Ke Manchester(2001), filem ini adalah filem anak muda.

Filem ini berkisarkan tentang anak muda kekampungan bernama Tookoo(lakonan Sudirman) yang mahu keluar daripada kepompong "dunia klise kebanyakkan anak muda" (baca:duduk bawah ketiak mak bapak), lantas mencabar diri sendiri untuk berhijrah ke Kuala Lumpur, yang kita sudah sedia maklum ranjau onaknya.

Filem ini dimulakan dengan babak Sudirman menari lincah dan menyanyi lagu tema filem (lagu Budak Baru) ini yang iramanya agak catchy, lalu dimarahi ibu tirinya kerana watak Tookoo ini sudah menginjak usia dewasa tetapi masih malas bekerja.

Idea babak intro pada aku kurang kuat untuk jadi penyebab utama mengapa watak Tookoo ini melarikan diri dari rumah kerana mungkin jika Tookoo ini berpandangan jauh mungkin dia tidak perlu pergi terlalu jauh hingga ke Kuala Lumpur semata-mata merajuk dengan leteran ibu tirinya. Namun jika kita lihat daripada perspektif psikologis, ia menunjukkan efikasi kendiri yang kuat dibina melalui watak Tookoo ini melangkaui batasan kemampuan yang tidak mungkin mampu untuk anak-anak remaja masakini.

Mengapa aku berpandangan sedemikian?

Cuba bandingkan bagaimana semangat “indiependent” watak Tookoo ini jika hendak kita bandingkan dengan semangat anak-anak indie didalam filem Kami The Movie(2008).

Didalam filem Kami The Movie(2008), kita dihidangkan dengan anak-anak muda indie yang bermain musik tapi masih duduk dibawah ‘tampungan’ dan ‘dokongan’ ibu bapa mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup. Anak-anak muda indie walaupun pada luarannya seolahnya ‘bebas’ tapi hakikatnya mereka masih hidup dibawah tanggungan mak bapak dan apa yang lebih tak indie ialah mereka membeli kaset atau CD kegemaran mereka menggunakan duit mak bapak mereka. Dan yang pasti, kita dapat melihat anak-anak indie ini kesana- kesini hanya mencari hiburan dan keseronokan yang entah apa motifnya, aku pun kurang pasti.

Aku juga kurang pasti apakah anak-anak indie ini tahu apa itu istilah “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang”, ataupun istilah kesusahan tidur dibawah jambatan atau rumah buruk tanpa selimut dan tilam yang empuk, ataupun bagaimana susahnya mencari wang demi sesuap nasi tanpa mengharapkan duit kocek daripada mak bapak.

Hakikatnya yang kita dapat simpulkan, anak-anak indie ini masih belum mampu untuk lari daripada “the comfort zone” ketiak mak bapak mereka dan ini sangat ironikal dengan idealisme filem Kami(1982) ini.

Filem ini seterusnya bergerak kepada pengenalan watak Din. Aku suka cara Patrick Yeoh memperkenalkan watak Din ini. Kita dihidangkan dengan babak Din yang berpakaian compang-camping melalui satu jalan dan dia ternampak anak-anak orang kaya sedang menyambut sambutan party hari jadi dan apabila party itu habis, Din masuk kedalam tempat tersebut dan makan sisa makanan dan mengutip tiupan buangan daripada sisa-baki orang-orang kaya tadi. Disini, kita nampak Patrick cuba mengkritik secara halus ketidakseimbangan lapis stratifikasi sosial antara yang kaya dan miskin.

Ya, filem ini jalurnya berkisarkan jurang antara yang kaya dan miskin. Mungkin simbolismenya menghampiri filem Antara Dua Darjat(1960) tetapi yang ini bukan berkisahkan cinta tertolak kerana darjat, namun lebih kepada persahabatan dua orang sahabat mengharungi ranjau kepayahan lapis stratifikasi kaya dan miskin untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Kemudian watak Din ini ditemukan dengan watak Tookoo disebuah banglo tinggal, tempat Tookoo menginap setelah melarikan diri dari rumah. Dan selepas itu, berlakulah perjalanan hidup keduanya mengharungi cabaran dan dugaan kehidupan demi mencari sesuap nasi.

KEKUATAN:

(1) Antara sebab aku menyukai filem ini ialah idea dan mesej yang cuba disampaikan pengarah kepada khalayak penonton.

Pengarah secara jelas cuba mengangkat tema jurang antara yang kaya dan miskin lalu disampaikan melalui watak Tookoo dan Din melalui kepayahan hidup mereka untuk mencari sesuap nasi. Mereka terpaksa melalui pelbagai rintangan seperti dibelasah orang bangla, dibelasah mamat-mamat gangster, ditipu kapitalis kecil dan pelbagai lagi dugaan, semata untuk mencari rezeki.

Filem ini secara jelas menggambarkan realisme dunia masyarakat kelas ketiga(gelandangan) dan bagaimana susahnya hidup mereka.

Tema semacam ini agak sukar kita dapat dalam filem-filem masakini. Ini kerana, pembikin-pembikin filem masa kini lebih gemar untuk memaparkan aspek-aspek kemewahan, contohnya bekerja di syarikat multinasional, rumah yang sebesar-besar rumah, memakai kereta yang canggih-canggih, gajet canggih-canggih, baju jenama ternama dan lain-lain perkara yang memperlihatkan kemewahan pada tahap yang melampau.

Jarang sekali kita melihat golongan-golongan sederhana ataupun gelandangan diangkat menjadi tema atau watak utama di dalam sesuatu drama ataupun filem, walhal golongan-golongan semacam inilah yang banyak menjadi rencah di dalam mewarnai masyarakat Malaysia kini.

Kita sememangnya tidak dapat lari dari kemiskinan, eksploitasi, kapitalisma, “kais pagi, makan pagi, kais petang, makan petang”, cengkaman kapitalisma, ketidak adilan hierarki, realiti cari-makan, bayar-sewa rumah, isi periuk-nasi, kekurangan materialistik, harga barang naik, yuran persekolahan naik, hutang keliling pinggang dan lain-lain isu seangkatan dengannya, tetapi malangnya kita sering dikaburkan dengan kemewahan yang bukanlah kesemuanya dinikmati oleh masyarakat marhain di Malaysia.

Ini kita dapat lihat melalui babak Tookoo dan Din mencari botol dan menjual surat khabar lama, babak tidur beralaskan kotak, babak makan diwarung, babak minum air paip dan lain lain babak yang menggambarkan bagaimana susahnya golongan dibawah paras kemiskinan ini mencari sesuap nasi.

Oleh sebab itu aku berani mengatakan idealisme filem ini beribu kali lebih baik berbanding filem Kami The Movie(2008).

(2) Filem ini juga sangat keras kritikan sosialismenya, yang lebih kearah kiri. Contohnya babak polis menangkap Tookoo tanpa ada sebab-musabab, ataupun kritikan terhadap kapitalis kecil yang menipu dalam perniagaan mahupun orang tengah yang hanya mahu untung atas angin(babak Tookoo ditipu bayaran setelah penat lelah membasuh kereta).

(3) Filem ini juga mengkritik sensitiviti masyarakat untuk menolong orang yang dalam kesusahan. Ini kita dapat lihat melalui babak Din dilanggar tetapi banyak kereta langsung tidak mahu berhenti untuk menolong Din.

(4) Filem ini juga kaya dengan elemen persahabatan yang kukuh antara watak Tookoo dan Din. Kita dapat lihat ini melalui babak Tookoo sanggup menjual benda yang dia paling sayangi iaitu kaset dan minum air paip semata-mata kerana mahu membeli nasi bungkus untuk Din, yang akhirnya nasi bungkus itu dibuang oleh jururawat. Disini kita dapat melihat aspek pengorbanan dalam persahabatan. Kita juga dapat melihat babak Tookoo berkongsi makanan dengan Din kerana kseiankan Din yang membuat muka kesian kepada tookoo. Juga, kita dapat lihat elemen persahabatan ini melalui babak Din yang lari dari hospital semata-mata ingin hidup bersama Tookoo.

KELEMAHAN:

(1) Antara yang aku tak suka mengenai filem ini ialah kelemahan lakonan pelakonnya. Lihat watak mak tiri Tookoo yang sangat keras lakonannya. Begitu juga lakonan sudirman sendiri yang kadangkala agak kaku juga. Kita lihat babak akhir yang menyatukan kembali Tookoo dan Din, Sudirman agak kurang menghayati babak tersebut. Pada aku elemen sedih yang cuba ditampilkan itu gagal.

(2) Aku juga kurang menyukai dengan elemen ala hindustan(baca:elemen nyanyian)yang kita lihat pada babak Tookoo menyanyi dan menari tak tentu pasal dipasar dan juga Tookoo berimiginasi menyanyi dibatu berlampu warna-warni lalu dikejutkan dengan sergahan Din. Ini serius agak klise hindustani bagi aku.

(3) Terlalu banyak elemen melankolik drama melayu(seperti kebanyakkan drama Rosyam), didalam filem ini, hingga seolah-olah memaksa untuk khalayak sedih walhal babak itu bukanlah terlalu meruntun jiwa. Lagu Pelangi Petang digunakan untuk memancing emosi khalayak penonton, yang kadang-kadang buat aku naik bosan pun ada.

(4) Terlalu banyak elemen kebetulan dalam filem ini. Contohnya Sudirman tiba-tiba dipukul oleh mamat-mamat yang entah dari mana, dan babak lain, dia dipukul pula oleh mamat banngla, dan lepas kena pukul dia dan Din jalan-jalan tiba-tiba jumpa pula basikal mat bangla tadi. Bukankah ini kebetulan?

(5) Sinematografi filem ini juga agak lemah. Aku tak nampak shot-shot yang cantik untuk filem berat semacam ini.

PERSOALAN:

Ada beberapa soalan yang timbul setelah aku selesai menonton filem ini(harap ada yang sudi menjawab):

(1) Mengapa Sudirman dipilih menjadi pelakon sedangkan ramai lagi pelakon berbakat ketika itu?

(2) Mengapa filem ini menengahkan nama pelik Tookoo sedangkan watak yang dibawakan oleh Sudirman ialah watak seorang melayu?

(3) Zaman 80an kita boleh buka radio tanpa hidupkan enjin kereta ke?

nota review-filem: Oh ya, ada siapa-siapa tahu tentang khabar Din sekarang? Dia dah membuktikan kepada kita, dia mempunyai bakat yang besar dalam bidang lakonan.

14 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

teks ini memang untuk dibaca (baca: membaca jambatan ilmu).

filem juga boleh dibaca (baca: baca jangan tak baca).

lara nur berkata...

soalan yang ke tiga tu takpasti nak jawab...lara pun lahir penghujung dekad 80an... btw review yang bagus...lama dah tak menonton filem ni..ingat2 lupa ceritanya cuma yang paling terkesan rasa nya babak tookoo beli nasi bungkus tu.

**tak berkesempatan lagi menonton Kami The Movie...lebih kepada tak minat filem yang seolah perasan bagus hanya kerana ramai follower siri tv nya dan kebanyakan follower nya adalah remaja.remaja malaysia apa yang diorang nak sangat ? filem sekadar hiburan.isinya plastik lagi orang suka walau hakikat sebenar hidup bukan begitu.nak untung je beb

Tanpa Nama berkata...

zaman 80an kebanyakan radio kereta jenis direct to battery. pasal zaman tu kereta masih menggunakan sistem karburator. takde istilah injection yang menggunakan fully eletronik. kalau enjin mati pun still boleh bukak radio.

Tanpa Nama berkata...

tookoo tu kn nma gelaran dia dlm filem tu sbb bapaknya yg pggil coz dia bnyk kutu msa kecik...dia ada bgtau nma betul dia masa sembang dgn din tp lupe plak ape nma dia
peace....

Tanpa Nama berkata...

nama sudirman dalam cerita ini Saleh brader. Tookoo tu fasal dulu kecik kecik bapak dia panggil kootoo fasal banyak kutu

Tanpa Nama berkata...

aku baru tgk balik citer ni semalam bro, aku lahir tahun 1980.. dah lama tak tgk.. org tahun 80an memang macam tu berlakunnya.. bukan kayu beb..

lagi satu,yang tiga orang rampas duit tu bukan bangla la beb.. budak india malaysia la..masa tu mana ada bangla kat malaysia ni beb.. lawak la.. bukan kebetulan, sebb tookoo dgn din diorang masuk area tempat budak2 india tu cari makan.. lepas kene bedal dgn diorang, tookoo & din belah ke arah lain.. tapi kawasan perumahan kan.. kau pusing2 jumpa balik..tu yang nampak budak2 india tu tgh potong rumput.. so curi la beskal untuk balas dendam..

lagi satu, versi VCD banyak potong la.. adengan filem tu dah banyak lompat2.. so aku sendiri tak faham.. kenapa la diorang potong2.. masa tayang kat TV dulu takde cut2 pun..the end.

Tanpa Nama berkata...

ulasan anda untuk kelemahan filem ini saya bantah.

1. lakonan sudirman ketika bertemu semula dgn Din selayaknya sebegitu sbb Tookoo jauh di sudut hatinya mmg dh rasa dia akan jumpa balik Din, cuba tgk balik ekspresi muka dia- sgt tepat- sesuatu yg dia tahu akan terjadi. kalau u rasa x sampai, it's your problem then.

2. elemen ala hindustan tu sgt relevan pada zaman itu sbb org Melayu masih di kongkong kuat oleh filem hindustan. sekurang-kurangnya Patrick tidak menjadikan filem itu 100% filem muzikal. sila rujuk filem lain di zaman yg sama sblm komen membabi buta ye.

3. lagu pelangi petang waktu tu mmg vast, dan mmg org melayu suka drama meruntun jiwa, tak kira la di zaman apa pun. jd kenapa nk banding dgn filem luar? filem kita kan wajah kita. sy tidak rasa filem ni memaksa kita merasa sedih, tetapi membawa kita 'melayan' perasaan budak2 gelandangan 80an, dgn muzik yg selari pada zaman itu.

4. dah sah-sah diorang duduk dekat kawasan sama. dulu bukan ada LRT. kalau ada pun diorg xde duit nak ke tempat jauh2 sgt. so keterserempakan di mana-mana tu mmg sgt logic sbb kawasan tu mmg kat situ2 je. lagi satu, tu india tempatan bukan bangla. sejarah awak dpt berapa?

5. sinematografi lemah? u bandingkan dgn filem tahun berapa ni? so pathetic.

pastu persoalan yg ditimbulkn.

1. sudirman dipilih sbb ketika itu dia adalah penyanyi paling popular waktu itu, bukan saja di Malaysia namun di seluruh asia, malah penyanyi Asia pertama membuat persembahan di Royal Albert Hall. Patrick memilih Sudirman setelah melihat bakat yg Sudirman ada, dan keterampilannya. ini kerana filem ini juga ibarat eksperimentasi Patrick untuk membawa filem Melayu ke peringkat seterusnya- sedikit lari dari tema filem Melayu lain yang ada pada waktu itu. nak kritik filem tu buat research dulu please.

2. Nama Tookoo tu sbb sudirman masa kecik byk kutu, kan dia ada explain kat dlm banglo tinggal tu. tak abis tgk pun boleh kritik? mcmn ni? sedih la

3. mmg radio boleh hidup tanpa hidupkan enjin waktu tu sbb terus guna kuasa bateri. ingt Patrick buat mcm tu suka2 ke mcm awak suka2 kritik tanpa selidik betul2?

Unknown berkata...

Betul tu

Unknown berkata...

Filem ni sebenarnya tidak b'jaya antaranya , disebabkan intro awal alasan x cukup kuat :Tookoo & Din lari dari rmh. Mungkin ibu tiri garang zaman 80an. Penceritaan lemah dari babak ke babak ... Menampilkan Allahyarham Sudirman & lagu Pelangi Petang satu usaha menarik penonton ke pawagam ...namun gagal sbb sinematografi lemah. Satu lagi fokus merungkai masalah gelandangan penonton kurang minat ... Heavy Drama biasanya yg pakar setakat ni Dato Jins & Rahim Razali ( penonton penat memikir) ... Namun usaha menyorot org2 bawahan ( gelandangan ) satu usaha yg murni spy masyrakat b'fikir & byk b'syukur

Tanpa Nama berkata...

Filem pertama dan satu-satunya lakonan arwah sudirman hj arshad, kagum lakonan dia sampai dan jauh lagi bagus dari sesetengah pelakon baru skang. Walaupun saya lahir hujung 80an, tapi filem kami ni antara filem kegemaran saya.

Unknown berkata...

Apa yg anda komen saya setuju 100% ..tgk byk kali kalau yg xpaham tu..asyik nk kritik jer..sya setuju apa anda kata.

Unknown berkata...

Filem ni mmg tak berjaya la bro

yarinquaderer berkata...

JTG Casino: A Look Into Gaming In New Jersey
JTG Casino is 경상남도 출장샵 a casino in 전라남도 출장안마 New Jersey with 제천 출장샵 an expansive gaming floor, including nearly 5000 남원 출장샵 slots, video poker, 충청남도 출장샵 and roulette tables.

Tanpa Nama berkata...

Ada link filem ini tak