01 Jun 2010

Ulasan LASKAR PELANGI(2008)



Filem Laskar Pelangi ini diadaptasi daripada novel yang menggunakan judul yang sama, karya Andrea Hirata.

Filem ini oleh diarahkan oleh Riri Riza.

Riri Riza adalah seorang sutradara yang gemar mengadaptasi sesebuah novel ke layar perak. Antara karyanya sebelum Laskar Pelangi ialah filem Gie(2005) yang dihasilkan berdasarkan buku Catatan Seorang Demonstran(baca: filem Gie ini mencambahkan idea Amir Muhammad untuk menghasilkan The Year of Living Vicariously(2005). Bahkan Riri juga menghasilkan filem Sang Pemimpi(2009) yang diadaptasi daripada tetralogi novel Laskar Pelangi kedua, Sang Pemimpi, juga karya Andrea Hirata, namun filem ini belum ditayangkan untuk tontonan di Malaysia. Berita terbaharu beliau sedang me”ngerja”kan 'Bumi Manusia' yang ditulis Pramoedya Ananta Toer untuk difilemkan.

Aku akui kesilapan terbesar aku ialah membaca novel terlebih dahulu sebelum menonton filemnya. Ini pada aku adalah satu kesilapan yang sangat-sangat besar kerana apabila menonton filem ini, aku berasakan “roh” novel itu tidak dikeluarkan dengan baik, jika keluar pun hanya sekadar suam-suam kuku sahaja.

Didalam novel, aku terbuai dengan ikatan kekuatan persahabatan dan daya-juang menimba ilmu anggota Laskar Pelangi, aku jadi kagum dengan daya intelektual Lintang dan sifat ekpresionis Mahar,malah aku juga terbuai dengan kekuatan emansipasi Bu Mus, kematangan hujah Pak Harfan dan memorial indah Laskar Pelangi dalam mengharungi kehidupan mereka walaupun berdepan lapis stratifikasi 2 darjat dan dihimpit kemiskinan.

Namun, keindahan-keindahan itu, yang aku sebut sebagai “roh” didalam novel tidak dapat diterjemahkan dengan baik oleh Riri.

Mungkin ini merupakan satu permasalahan utama bagi sutradara yang ingin mengadaptasi karya semacam novel atau seumpamanya ke layar perak. Namun itu bukan soalnya, kerana aku pernah menemui karya adaptasi yang baik, contohnya Ayat-Ayat Cinta(2008), Jogho(1997), Langit Petang(1982) atau Ranjau Sepanjang Jalan(1983). Lagenda Budak Setan(2010) pun aku dengar caca-marba, aku dengar la, sebab aku belum tonton. Filem U-Wei terbaharu pun adaptasi daripada sebuah novel terkenal karya Joseph Conrad, Almayer's Folly yang difilemkan dengan menggunakan tajuk Hanyut.

Walaupun yang cuba dijadikan sebagai plot oleh Riri hanya sekadar cebisan-cebisan idea daripada novel Laskar Pelangi, namun ini bukan bererti ia satu filem yang tidak bagus.

Laskar Pelangi ditangan Riri sememangnya menjadi medium bagi beliau untuk mengkritik secara direct-to-the-point ketidakseimbangan lapis stratifikasi antara yang kaya dan miskin dan isu pendidikan sebagai sesuatu yang hak.

Namun malangnya, aku sangat-sangat kecewa apabila babak babak kegeniusan Lintang didalam novel hanya digambarkan dengan kebolehan mengira yang bersifat “biasa-biasa” oleh Riri, begitu juga kekreatifan Mahar didalam novel hanya digambarkan dengan “aksi menari entah apa-apa” didalam filemnya.

Full-stop. Nanti aku hurai.

Filem ini dimulakan dengan babak Ikal selaku watak utama sedang menaiki bas untuk balik ke daerah Belitung, iaitu satu tempat di Indonesia.

Disaat itu, berlaku flash-back bagaimana Ikal melalui saat-saat indah bersama 10 orang pelajar sekolah Muhammadiyah yang digelar sebagai Laskar Pelangi.

Kemudian filem ini bergerak dengan kisah-kisah indah yang berlaku di sekolah Muhamadiyah yang menemukan 10 orang sahabat didalam menempuh pencarian mereka kepada ilmu.

Pelbagai dugaan dan rintangan yang dihadapi oleh sekolah Muhamadiah misalnya ketiadaan dana dan tenaga kerja, sehinggalah kematian Pak Harfan, namun semua itu diharungi dengan kekuatan aspek fizikal dan spiritual anggota Laskar Pelangi itu sendiri.

Walaupun naratif filem ini hanya menggunakan sekadar 50 peratus adaptasi daripada novel, namun ada beberapa babak yang cuba dihidupkan dengan baik oleh Riri.

Antaranya scene Lintang ingin pergi kesekolah tetapi dihalang oleh buaya. Untuk babak ini, aku menanti-nantikan babak Bodenga yang digambarkan didalam novel sebagai pawang buaya.

Didalam novel, pada babak buaya tersebut digambarkan Lintang hanya berada beberapa meter sahaja daripada buaya yang sangat-sangat besar(baca:Andrea menggambarkan ia sepanjang pokok kelapa), dan disaat buaya tersebut tidak mahu berganjak, datang seorang pawang buaya bernama Bodenga yang menghalau buaya tersebut dengan terjun bersama-sama buaya tersebut kedalam sungai. Dan apabila sampai disekolah, Lintang bercerita penuh perasaan kepada kawan-kawannya tentang peristiwa tersebut. Namun, didalam filem babak ini diolah dengan babak Lintang terlambat menghadiri pertandingan kuiz, kerana dihalang buaya, lantas watak Bodenga muncul beberapa saat untuk menghalau buaya tersebut. Walhal watak Bodenga ini digambarkan Andrea benar-benar sebagai seorang pawang buaya yang handal dimana dia mempunyai bapa yang juga merupakan pawang buaya yang mati menjadi buaya, hingga pada satu hari ditemui mati kerana dibunuh oleh penduduk kampong Belitong kerana memakan salah seorang penduduk disitu.

Begitu juga dengan pengembangan watak Lintang yang digambarkan sebegitu genius oleh Andrea didalam novelnya, namun didalam filem, hanya seolah-olah mempunyai kecergasan minda pada tahap “biasa-biasa” sahaja. Kita lihat bagaimana cerdasnya otak Lintang menghadapi cabaran Drs. Zulfikar, guru muda sekolah yang mempertikaikan jawapan Lintang, kerana egonya terhadap kepandaian Lintang yang menjawab soalan sebelum habis penyoal mengemukakan soalan. Namun didalam filem, soalan yang diajukan hanya soalan “suam-suam kuku”. Langsung tidak dapat membangkitkan kegeniusan watak Lintang didalam novel Laskar Pelangi.

Watak Mahar juga ditampilkan secara sederhana didalam filem ini walhal aku berasakan Mahar adalah seorang manusia yang sangat-sangat genius dan kreatif didalam bidang musik, seni dan hal-hal kebatinan. Didalam filem, satu-satunya babak yang menggambarkan kegeniusan dan kekreatifan hanyalah perancangan Mahar untuk menari tarian orang asli Masai untuk hari karnival sekolah-sekolah di Belitung. Itu pun hanya “suam-suam kuku” sahaja.

Namun, filem ini diselamatkan dengan kekuatan unsur-unsur pengajaran yang cuba diterapkan oleh Riri didalam karyanya.

Filem ini secara jelas mengajar erti jerih-perit didalam mencari ilmu pengetahuan. Walaupun sesusah manapun kita, pendidikan itu wajib dicari.

Filem ini sewajarnya dipertontonkan kepada sebahagian anak-anak pelajar di Malaysia yang menjadikan sekolah hanya sekadar untuk bertemu rakan-rakan ataupun membuat huru-hara, bukan sebagai satu tempat untuk belajar.

Ini adalah realiti atau trend baharu sebahagian remaja masakini.

Sewajarnya sebahagian mereka-mereka ini menjadikan anak-anak Laskar Pelangi ini sebagai idola mereka.

Kita lihat didalm filem ini, sekolah Muhamadiyah yang digambarkan sebegitu daif dan naïf(baca:Pak Harfan mengupah beberapa penduduk kampung untuk meletakkan tiang ditepi sekolah Muhamadiyah agar tidak roboh, malahan sekolah itu hanya mempunyai satu papan hitam, tiada kipas mahupun lampu, atap-atap yang bocor ketika hujan, malahan menjadi kandang kambing ketika tiada pelajar disekolah), namun semua ini tidak pernah melunturkan anak-anak Laskar Pelangi untuk mencari apa yang dipanggil sebagai ilmu. Atau kita melihat bagaimana susahnya Lintang berbasikal mengharungi perjalanan sejauh 20 kilometer semata-mata untuk menuntut ilmu.

Senario ini sangat-sangat berbeza dengan bangunan-bangunan sekolah yang indah masakini, spektakular dari segi pembinaan bangunannya, namun berapa banyak pelajar kita yang mempunyai ciri-ciri kegeniusan umpama Lintang mahupun Mahar? Malahan, kita saban hari lebih dihidangkan dengan berita-berita murid memukul guru, menumbuk guru, seolah-olah guru itu adalah “punching-bag” mereka. Rasa hormat terhadap guru sebagaimana anak-anak Laskar Pelangi? Itu jauh sekali, Sirius!

Filem ini juga mengajar kita ertikata “pendidikan itu merupakan satu hak” tanpa mengenal kaya atau miskin. Oh, aku malas nak mengulas soal ini, anda fikir-fikirkanlah sendiri.

Persahabatan dimasa muda-muda merupakan kekuatan didalam filem ini. Kita dapat melihat bagaimana kuatnya elemen persahabatan antara 10 orang anggota Laskar Pelangi menghadapi segala onak dan duri yang diharungi oleh mereka. Kita lihat ketika babak Pak Harfan meninggal dunia, kebanyakkan pelajar sudah kehilangan semangat untuk belajar, lantas watak Ikal dan Lintang membina efikasi dan keyakinan rakan-rakan mereka untuk kembali belajar. Ini adalah perlambangan bagaimana jika ada semangat dan keyakinan, apa juga halangan pun akan bisa ditempuhi.

Begitu juga perlambangan watak Ikal yang mengejar Lintang ketika babak Lintang mahu berhenti sekolah, memberikan perlambangan tentang semangat setiakawan yang kukuh terbina dikalangan ahli Laskar Pelangi.

Melihat filem ini sebenarnya merembeskan memori waktu aku ketika kanak-kanak dahulu kerana suasana Belitung tidak jauh berbeza dengan suasana kampung aku, dan kebanyakkan babak yang dilalui Laskar Pelangi tidak jauh bezanya dengan apa yang aku lalui.

Malahan aku merasakan filem ini mampu untuk mengimbau suasana ketika kebanyakkan dari kita masih bersekolah rendah, berbasikal, bermain bersama rakan-rakan, cinta monyet, bercerita tentang cita-cita mahu menjadi apa apabila besar dan dan lain-lain. Sesungguhnya jika boleh dibalikkan masa mungkin saja aku ingin kembali ke masa itu, sebegitu imbas Andrea didalam novelnya.

Sinematografi filem ini memang terbaik. Riri berjaya menggambarkan lanskap Belitung dengan baik didalam filem ini. Ya, filem ini memang sangat-sangat indah sinematografinya.

Ada beberapa penambahan watak yang ditambah oleh Riri yang agak berbeza dengan novel Laskar Pelangi.

Dan yang paling aku tak sangka ialah kekuatan lakonan anggota Laskar Pelangi yang dilakonkan oleh anak-anak penduduk tempatan Belitung sendiri. Mereka memerankan watak seolah-olah mereka adalah lanjutan dari sekolah-sekolah lakonan. Cara mereka berekpesi dihadapan kamera seolah-olah mereka adalah anggota Laskar Pelangi yang sebenarnya. Ini sangat ironikal dengan sinema di Malaysia yang dihidangkan dengan watak-watak kanak-kanak yang hensem dan cantik pada zahiriah, tetapi kaku lakonannya.

Oh ya, didalam filem ini juga ada nyanyian lagu Seroja yang kalau kat Malaysia dinyanyikan semula oleh Jamal Abdillah atau Mawi.

Melalui filem ini juga, aku dapati, dialek orang-orang Belitung ini tidak jauh bezanya dengan bahasa Melayu di Malaysia.

Kesimpulannya, filem ini harus ditonton oleh setiap remaja dan ibu bapa. Dapatkan dipasaran sekarang. Hari tu, aku pergi Music Valley kat tempat aku, cashier dia cakap DVD filem ini dah sold-out, menjajau jugak aku mencarik DVD filem ini, akhirnya jumpa juga.

Jangan lupa juga membaca novelnya!

nota review-filem: aku sebenarnya berhasrat menulis ulasan filem Laskar Pelangi ini secara ilmiah, tapi untuk blog ini aku menulis picisan saje, mungkin yang ilmiah boleh masuk Dewan Masyarakat :) ceh! perasan..

4 ulasan:

fadz berkata...

ilmiah juga la ni! hahahaha, bagus bagus!

saya dengar wawancara kita hari tu ada masuk majalah UITM, betul ke? nak tgk!

FastRi berkata...

aku tgk filem nya shj. novel blm baca. dan aku rasa filem ini sgt terkesan. mungkin lebih lagi kalau membaca novelnya.

aku rasa cabaran bagi pengarah ialah bagaimana nak adaptasi sebuah novel ke dalam filem yg hanya lebih kurang 90 minit. jadi, tak semua scene mampu dirakam. ya, sekarang terpulang kepada kreativiti pengarah untuk memilih scene yg tepat. hehe

Jazli Safwan berkata...

Seorang rakan yang menuntut dan belajar TESL di INTEC ada berikan info bahawa filem Laskar Pelangi dijadikan rujukan pembelajaran mereka utk kelas literature.

katanya, mereka belajar utk kembangkan watak melalui watak2 dalam laskar pelangi.

BTW, packaging untuk pasaran Malaysia agak memalukan dan agak tidak berbaloi. DVD untuk pasaran Indonesia cukup berbaloi utk dimiliki dengan booklet tebal dan special features yg entah gua dah tak ingat sebab gua pun pinjam kawan punya. ha ha

M-Yusof berkata...

fadz:yang tu belum kluar dimana2 majalah lagi bro..

fastri:ya,mmg itu masalahnya..

Jazli:laskar pelangi sebenarnya utk semua budak2 kat malaysia nih kalau boleh..