02 Februari 2010

Men"cari-gali" istilah INDIE-pendent


Aku tergelak sinis bila ada seorang kawan aku yang mengaku pandai dalam ilmu perfileman(kononnya), tiba-tiba mentakrif filem indie sebagai filem hindi(baca:Hindustan).

Walaupun aku bukanlah berlatar-belakangkan bidang susur-galor perfileman, ironikalinya, aku takkan sesekali mempunyai idea songsang sebegitu untuk mentakrif maksud filem indie.

Jika kita lihat kepada senario industri perfileman di Malaysia masakini, karya-karya pengarah indie semakin mengambil tempat dihati khalayak penonton berbanding pengarah-pengarah mainstream sedia ada.

Pada aku, senario ini didasari oleh kebangkitan revolusi mentaliti masyarakat yang sudah muak dan mual disajikan dengan karya-karya klise dan berstatus sampah.

Mari kita men“cari-gali” apakah yang dikatakan sebagai filem indie ini.

Istilah independent ataupun singkatannya indie, pada asalnya, merupakan satu istilah yang amat asing dikalangan masyarakat kebanyakkan khususnya dalam lingkungan seantero Malaysia.

Kebanyakkan daripada kita pastinya akan memberikan takrifan yang pelbagai kepada istilah ini ataupun tiada asas/sumber/maklumat langsung berkaitan istilah ini.

(1) Istilah independent apabila diterjemahkan kepada bahasa melayu membawa maksud bebas. Menyorot kepada makna bebas, ia bolehlah untuk diertikan sebagai: 1. Tidak terhalang(untuk bergerak, atau bercakap), tidak terkongkong, tidak terkurung, lepas, leluasa 2. Lepas daripada kewajipan(tuntutan, ketakutan, cukai, hukuman, dll).

Apabila kita membicarakan tentang filem, ia membawa takrifan: 1. Benda tipis daripada seluloid yang dimasukkan ke dalam kamera untuk membuat negatif filem. 2. Gambar bergerak yang ditayangkan pada layar, biasanya di pawagam, wayang gambar.

(2) Istilah filem indie ataupun bebas ini bolehlah untuk kita takrifkan sebagai filem-filem berbajet rendah(kalau kita bercakap soal bajet) ataupun filem yang lari daripada kepompong filem-filem sedia ada(kalau kita lihat dari aspek naratif, mesej etc etc).

Filem indie adalah filem yang melawan arus filem-filem sedia ada dimana ianya dilihat dari konteks idealisme, sinematografi, isu yang diangkat sebagai tema, modal atau bajet, lakon-layar, pelakon dan lain-lain aspek yang dianggap menimbulkan kontradiksi untuk membezakannya dengan filem-filem komersial sedia ada.

Filem-filem indie ini adalah merupakan satu pemberontakan kepada gaya pembikinan dan kandungan sinema tempatan yang secara amnya dari tahun ke tahun berdepan dengan krisis seni dan intelektual.

Ia juga dilihat sebagai alternatif kepada filem-filem sedia ada yang sudah lari daripada landasan sebenar iaitu membina khalayak yang bukan sekadar mahu berhibur semata, sebaliknya dalam pada masa yang sama, matang dari sudut pemikirannya melalui perantaraan sesebuah filem tersebut.

Ia juga lebih ke arah memaparkan wajah realisme atas apa yang berlaku di dalam lingkungan masyarakat setempat(baca:isu kemiskinan, kekejaman sistem hirarki masyarakat, realisme masyarakat kelas bawahan etc etc).

(3) Filem-filem indie juga lebih kepada filem-filem yang berorientasikan kepada penyaluran idea-idea baru kepada khalayak tanpa memikirkan samada untung ataupun rugi(baca:mungkin).

Ia merupakan filem berbajet murah(baca:kebanyakkannya).

Dari sudut pembikinannya(pada kebiasaannya), filem indie dihasilkan dengan bajet yang murah.

Ia juga kadangkala dirakam secara amatur oleh pembikinnya. Dari sudut kos biasanya ia hanya melibatkan kepada kos bayaran pengangkutan dan aspek makan-minum dan sebagainya. Manakala dari sudut bayaran para pelakonnya, pada kebiasaannya(baca:aku tak kata semua)para pembikin filem indie menggunakan khidmat rakan-rakan disekitar mereka. Begitu juga halnya dengan aspek teknikal seperti penyuntingan dan sebagainya.

Filem-filem indie ini, walaupun dibikin dengan belanja yang murah tetapi secara keseluruhannya kaya dari segi mutu; kecil dari segi kos/bajetnya tetapi besar jiwa dan pengisiannya.

(4) Filem indie kadangkala dibina diatas aras kefahaman yang menuntut pemikiran yang tinggi daripada khalayak penontonnya.

Kebanyakkan filem indie pada kebiasaannya, merupakan filem-filem yang menyajikan sesuatu kelainan kepada khalayaknya jika dilihat dari perspektif mesej ataupun nilai “double-meaning”nya.

Filem indie sememangnya kaya dengan nilaian ambiguiti.

Ia kadangkala boleh hadir, menuntut daya pemikiran penonton untuk mencari maksud yang ingin disampaikan pengarah.

Kadangkala apa yang dipertontonkan oleh sesebuah karya indie, mempunyai maksud yang mendalam yang tidak difahami secara terus oleh khalayak penontonnya, sebaliknya memerlukan kajian mahupun penilaian untuk mencari apakah maksud yang tersirat didalamnya.

Ia merupakan filem-filem yang mempunyai idea yang kontra dengan pemikiran sedia ada khalayak yang kadangkala menimbulkan polemik mentaliti kepada yang menontonnya, bahkan ada di antara filem-filem tersebut diangkat menjadi isu nasional.

Kadangkala, ianya hanya hadir bersandarkan kepada video-video amatur dan nampak seolah-olah hanya sekadar filem picisan sahaja.

Ironikalinya, apabila ditaakul dengan lebih lanjut/mendalam, kita akan dapati ianya sarat dengan pelbagai mesej tersembunyi yang cuba disampaikan oleh pembikinnya secara tersirat melalui perantaraan filem mereka.

(5) Aku berharap, dengan adanya ataupun lahirnya golongan generasi baru ini diharapkan mampu untuk membawa dampak positif kepada khalayak penonton tempatan disamping merevolusi mentaliti khalayak penonton.

(6) Mungkin apa yang aku cuba hidangkan tidak tepat/tidak menepati piawaian interpretasi filem indie berdasarkan ahli cerdik-pandai ilmu perfileman.

Apa pula pandangan anda tentang filem indie ini?

3 ulasan:

AMMOSHAM berkata...

betulah filem indie tu filem hindi...

kamal sabran berkata...

kupasan yang menarik bro! keep it up :)

M-Yusof berkata...

ammosham:hehehe..

kamal:thanks bro :)