17 Disember 2012

Mentafsir Alegori Politeisme Dalam Life Of Pi(2012)



Menurut Edward Burnett Tylor, sistem kepercayaan manusia melalui beberapa transisi evolusi iaitu dinamisme(kepercayaan terhadap benda-benda di sekitar manusia yang diyakini memiliki kekuatan ghaib), animisme(kepercayaan kepada makhluk halus dan roh), politeisme(kepercayaan atau pemujaan kepada lebih dari satu Tuhan), henoteisme(keyakinan kepada satu Tuhan tanpa mengingkari adanya dewa lain atau makhluk halus) dan monoteisme(kepercayaan bahawa Tuhan adalah tunggal dan berkuasa penuh ke atas segala sesuatu). Menyelusuri filem Life Of Pi ini memberikan pandangan yang senada dengan tafsiran Edward Burnett Tylor tersebut.

Melalui khabar angin yang tersebar luas, nama-nama besar seperti M. Night Shyamalan, Alfonso Cuarón dan Jean-Pierre Jeunet pernah dikaitkan untuk menjadi pengarah kepada filem ini namun akhirnya mereka mengundurkan diri disebabkan Life Of Pi mungkin ‘terlalu berat’ atau ‘terlalu kompleks’ untuk divisualkan ke layar perak. Ironinya, pengarah dari Taiwan, Ang Lee hadir dengan sentuhan magis merealisasikan novel falsafah ini ke adikarya yang sangat spektakular samada visual, didaktik mahupun nilaian ambiguitinya.   

Kejayaan Life Of Pi yang diberitakan sudah mengutip lebih AS$12 juta (RM36.51 juta) ini sedikit sebanyak dipengaruhi oleh faktor imaginasi tinggi sutradaranya iaitu Ang Lee yang sebelum ini sukses menerusi filem Crouching Tiger Hidden Dragon (2000), Hulk (2003) dan Brokeback Mountain (2005). Ia juga banyak dibantu oleh penjiwaan watak pelakonnya yang terdiri daripada Irfan Khan, Gérard Depardieu, Tabu, Suraj Sharma dan Adil Hussain. Selain itu, filem ini diperkemas dengan kesan visual oleh Rhythm & Hues Studios, sinematografer oleh Claudio Miranda dan susunan muzik oleh Mychael Danna juga dilihat berjaya mevariasi perjalananan  filem ini menempa mercu tanda kejayaannya.

Menyelongkar intipati naskhah berat ini meyakinkan kita bahawa ia dibina dengan asas aposteriori yang kukuh samada novelnya mahupun terjemahan layar sinematiknya. Aposteriori bermaksud pengetahuan yang diperolehi sesudah pengamatan secara emperikal, eskperimen dan sebagainya dilakukan sebelum satu-satu bahan itu diterbitkan. Yann Martel pastinya merangkum novel Life Of Pi ini berdasarkan kajian dan pengamatan yang serius terharap isu perbandingan agama. Martel dikhabarkan telah menghabiskan kebanyakkan masanya di Iran, Turki dan India. Selepas menamatkan pelajarannya dalam bidang jurusan falsafah di Trent University, Martel telah menghabiskan masa selama 13 bulan di India dengan melawat masjid, gereja, kuil dan zoo. Bahkan dia juga menghabiskan masa selama 2 tahun untuk mengkaji teks-teks keagamaan dan kisah-kisah orang yang terdampar di lautan sebelum lahirnya naskhah Life Of Pi ini.  

Manakala sutradaranya, Ang Lee juga menyajikan bukan sekadar sebuah filem yang bersifat superfisial sebaliknya mengajak kita mentafsir dan menghadam pemaknaan layering(berlapis-lapis) melalui karyanya ini. Malah ianya bukan selapis, sebaliknya berlapis-lapis untuk kita taakul secara ekstensif. Ini merupakan titik perbezaan ketara yang membezakan filem kita dengan filem-filem yang ditangani oleh karyawan dari luar ini.   

Kehadiran filem Life Of Pi ini seolahnya mengajak karyawan kita di Malaysia untuk mengorak langkah drastik di dalam penghasilan karya-karya mereka. Kita acapkali dihidangkan dengan karya-karya yang bersifat lesu, klise, streotaip dan boleh dibaca kesudahannya. Malahan lebih malang lagi apabila ada di antara karya-karya tersebut digelar oleh sebahagian pengkritik sebagai “filem sampah”. Jadi, sudah tiba masanya golongan karyawan ini  bersatu untuk melakukan satu revolusi agar produk-produk hiburan kita khasnya filem menjadi sesuatu yang bermanfaat dan berguna untuk dikongsikan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Filem berdurasi 127 minit ini berkisarkan sebuah perjalanan fantasi spiritual Piscine Molitor "Pi" Patel, iaitu seorang pemuda India yang terperangkap di atas sebuah bot keselamatan bersama seekor harimau Bengal bernama Richard Parker selama 227 hari apabila kapal yang dinaikinya tenggelam dibadai ribut taufan. Tragedi tragis itu telah menenggelamkan kapal yang dinaiki oleh Pi dan keluarganya akibat ketelanjuran Pi secara sengaja meminta agar hujan dan ribut turun dengan lebih lebat lagi.

Filem ini bermula dengan pengenalan Piscine Molitor Patel (Suraj Sharma) atau lebih dikenali sebagai Pi sebagai watak utama mempunyai seorang bapa yang bertugas sebagai pengurus sebuah zoo di Pondicherry, India. Babak-babak awal yang dibikin ala dokumentari National Geographic sedikit mengujakan. Begitu juga babak bagaimana Pi mendapat namanya dan babak Pi di sekolah yang disuntik dengan sedikit elemen humour mengundang tawa di kalangan khalayak.

Pi dizahirkan sebagai seorang anak muda yang mempunyai sifat inkuiri yang tinggi dimana dia banyak menghabiskan masa senggangnya dengan aktiviti yang menjana ilmu pengetahuannya berkaitan sastera, seni, isu universal dan juga keagamaan.

Jika kita melihat kepada perkembangan sosiobudaya di India, watak Pi dilihat adalah merupakan cerminan kepada golongan minoriti Zippie, sebagaimana yang digambarkan Thomas L. Friedman di dalam bukunya, The World Is Flat. Golongan ini mewakili anak muda berumur 15 hingga 25 tahun yang mempunyai semangat yang kuat, personaliti yang mempersonakan, bercita-cita tinggi dan penuh dengan aspirasi.   

Sifat ingin tahu yang tinggi Pi berkaitan agama telah membawa transisi positif di dalam membentuk cara hidup dan pemikiran Pi. Watak Pi dibina dengan membawa pemahaman politeisme(kepercayaan atau pemujaan kepada lebih dari satu Tuhan). Pi digambarkan menganut agama Buddha, Kristian dan Islam di dalam satu masa yang sama. Ironinya, ahli keluarga Pi iaitu bapanya adalah seorang atheist dan nihilist. Bapanya tidak membimbing Pi dengan sesuatu yang bersifat substansi sebaliknya menyarankan Pi berfikir secara rasionalisme disamping memberi konotasi berbentuk negatif tentang agama kepada Pi. Ini sedikit menimbulkan polemik kepada sesiapa yang menonton filem ini.

Filem ini juga membicarakan berkaitan sinkretisme iaitu keupayaan Pi untuk melakukan penyesuaian jamak budaya(multikulturisme) walaupun berlakunya jurang perbezaan di dalam aliran kepercayaannya. Ini kita nampak melalui babak semasa Pi dan keluarganya sedang mengadap makanan, keluarga Pi terus makan tanpa berdoa manakala Pi pula dilihat bertafakur seketika, berdoa sebelum menyuap makanan masuk ke dalam mulutnya. Ini memberi persepsi ketidak-pedulikan keluarga Pi terhadap agama manakala Pi pula terbimbing untuk mencari pencerahan di dalam kehidupannya melalui kehidupan secara beragama, namun apa yang menariknya mereka masih duduk semeja, walaupun berlainan ideologi. Mis en scene ini memberikan perlambangan bahawa apa pun agama atau kepercayaan yang kita anuti, kita seharusnya membenih semangat toleransi dan menolak indoktrinasi perpecahan yang bersifat merugikan.   

Kemudian, naratif filem ini bergerak kepada subplot perpindahan Pi bersama keluarganya ke Kanada disebabkan berlakunya pergolakan politik di India. Dalam perjalanan ke Kanada inilah, berlakunya satu insiden yang tidak diingini, di mana kapal yang dinaikinya telah karam dan peristiwa ini telah mengorbankan seluruh keluarganya.

Pi terselamat daripada tragedi ngeri tersebut namun dia terperangkap di atas sebuah perahu keselamatan di tengah Lautan Pasifik yang luas bersama seekor kuda belang, seekor dubuk, seekor orang utan dan seekor harimau yang digelar Richard Parker. Di situlah Pi terdampar hingga akhirnya tinggal dia dan Richard Parker sahaja yang terus berjuang untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka. 

Babak panjang antara Pi dan Richard Parker ini berputar kepada teori alienasi iaitu proses menuju keterasingan. Kita dihidangkan dengan babak ala filem Cast Away(2000), di mana Pi berseorangan mengharungi lautan yang luas dengan hanya berbekalkan sedikit makanan dan ‘kit ikhtiar hidup’. Pi melalui rutin alienasi yang membosankan di mana dia hanya sekadar menulis diari, menyanyi, mencuba untuk menjinakkan Richard Parker, menadah air hujan untuk dijadikan minuman dan mengira jumlah hari untuk mengisi ruang kosong kehidupannya. Bahkan sebelum-sebelum itu juga, Pi digambarkan sudah menjalani proses alienasi di mana dia kerapkali digambarkan hidup secara bersendirian melalui babak dia mengamalkan agama secara bersendirian, belajar secara sendirian(baca: kerap diejek oleh rakan-rakannya), duduk bersendirian di bawah jambatan, hidup sendirian setelah kematian ahli keluarga, terperangkap secara bersendirian di atas bot keselamatan dan akhirnya ditinggalkan terdampar sendirian di tepi pantai oleh Richard Parker. Istilah alienasi ini adalah merupakan salah satu cabang sufisme iaitu yang dinamakan sebagai khalwah atau uzlah. Khalwah ataupun uzlah ini adalah merupakan satu proses pemutusan hubungan dengan makhluk menuju penyambungan hubungan dengan Al-Haq iaitu Allah SWT. Di sini kita lihat bagaimana mendalamnya kajian berkaitan subjek keterasingan ini dilakukan oleh Yann Marten sebelum menulis novelnya. Namun diakhirnya, subjek alienasi ini dipadam oleh Yann Marten dengan kehadiran manusia yang menyelamatkan Pi di tepi pantai dan perkahwinan Pi dengan isterinya.   

Disamping itu, filem ini juga bercakap soal efikasi kendiri yang dibina kukuh melalui watak Pi. Menerusi babak di atas bot keselamatan, Pi melalui saat yang kita ibaratkan sebagai “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang” untuk meneruskan kehidupannya. Pada usianya yang terlalu muda dia terpaksa meninggalkan the comfort zone(baca: kasih sayang ibubapa) tanpa kerelaannya. Namun Pi dengan semangat kental dan idealismenya, mampu untuk menangani semua itu dengan jayanya. Ini sedikit kontradik dengan anak-anak muda kita yang lebih suka menyalurkan lebihan tenaga mereka berlumba haram ataupun melakukan aktiviti yang merugikan masa muda mereka. Golongan belia yang menurut Jabatan Perangkaan Malaysia mendominasi kepadatan penduduk Malaysia iaitu mewakili 42.5 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Malaysia yang dianggarkan seramai 28 250 500 orang seharusnya mengambil semangat watak Pi di dalam ertikata kecintaan kepada ilmu, mengenal erti berdikari dan seterusnya menyumbang sesuatu yang berfaedah kepada negara kita yang tercinta.

Selain daripada itu, filem ini juga berkisar dalam ruang lingkup falsafah kehidupan manusiawi. Ia mengajak kita berfikir secara kritikal dan integral tentang konsep ontologi iaitu hakikat ketuhanan, hakikat kosmologi dan hakikat kemanusiaan. Hakikat ketuhanan hadir menerusi babak Pi dianugerahkan dengan nikmat ikan terbang yang datang secara tiba-tiba sebagai makanan untuk dia dan Richard Parker, juga nikmat nyawa kerana Pi tidak mati dibaham Richard Parker dan di saat Pi kehilangan semangat untuk hidup, Tuhan telah memberi kekuatan kepadanya dengan mendamparkan Pi di sebuah pulau ajaib. Kita juga disajikan dengan hakikat kosmologi menerusi babak visual indah hidupan laut dan babak interaksi Pi mencabar ribut taufan manakala hakikat kemanusiaan hadir menerusi babak Pi mahu menyelamatkan ahli keluarganya yang terperangkap di dalam kapal semasa insiden kapal tenggelam.

Keterlangsungan sosiologi falsafah filem ini juga menekankan berkaitan teori hukum tiga tahap(law of three stages) iaitu hukum tentang perkembangan tahap inteligensi manusia. Hukum ini jika diwacanakan melalui filem ini bolehlah kita dibahagikan kepada tiga tahap perkembangan pemikiran Pi iaitu teologi(babak pencarian agama Pi), metafizik(perjalanan spiritual Pi di Lautan Pasifik) dan tahap ilmiah(kebahagiaan abadi yang dikecapi oleh Pi diakhirnya).

Namun, khalayak mungkin sedikit kaget dengan penamat filem ini yang mencetus sedikit keraguan difikiran kita samada mahu menerima apa diceritakan Pi itu sebagai benar belaka atau sekadar rekaannya. Di sini kita nampak bagaimana bijaknya karya ini mengakhiri penceritaannya. Ang Lee menutup filem ini dengan memberikan persoalan kepada kita samada kisah Pi ini sebenarnya kisah eksistensialisme ataupun ianya hanya sekadar mitos semata? Ang Lee tidak sekadar mahu kita tinggalkan kisah ini sekadar sebuah pengalaman visual indah di pawagam, sebaliknya mahu karya ini ditaakul dan difikirkan seluas-luasnya didaktisme dan ambiguitinya usai tontonannya.

Di akhirnya, filem ini membawa kita kepada perbicaraan antropomorfisme. Antropomorfisme adalah atribusi karakter manusia kepada makhluk selain manusia. Pi memberi perumpamaan melalui kisah kedua bahawa pelaut Taiwan adalah kuda belang, tukang masak yang kasar adalah dubuk, ibunya adalah orang utan dan dirinya sendiri adalah harimau.

Pi dengan senyumannya, meninggalkan kita satu persoalan besar. Yang mana satu kisah adalah kisah yang benar lantas dia membuka kepada  kita 2 jawapan, samada kisah pertama atau kisah yang kedua, sambil memerangkap kita dengan penyataan “adakah kamu percaya kepada kisah yang pertama atau kedua, jika kamu percaya yang pertama, nescaya kamu percaya kepada Tuhan”.

Saya senada dengan rakan Pi, memilih kisahnya yang pertama. Anda bagaimana?

11 Disember 2012

Lagenda Budak Setan 2 : Tipikal Tragedi Melodrama Yang “Menghiburkan”


Di dalam buku Tragedy: Plays, Theory and Criticism karya Richard Levin, umumnya cereka boleh dikategorikan kepada dua jenis iaitu tragedi ataupun komedi. Pengkelasan kategori ini didasarkan kepada sudut pandang seseorang karyawan tersebut terhadap substansi kehidupan manusia ataupun apa yang dia sendiri lalui. Realisme khusus satu-satu cereka tragedi terletak kepada keterikatan(mind-set kita) bahawa watak utama harus menerima suratan nasib(baca: ditimpa ujian bertimpa-timpa dan berada dalam situasi yang gundah sedih dan muram) yang tidak dapat dihindarkan.

Kebiasaannya, situasi ‘tangis-sendu’ ini mengarahkan watak-watak utamanya kearah keputus-asaan, bersikap pasif ataupun jika disuntik sedikit elemen didaktik ia mungkin diakhiri dengan semangat perjuangan untuk memberi makna baharu kepada nasib yang telah ditentukan oleh Qada dan Qadar Tuhan dan elemen inilah yang cuba saya telusuri melalui filem LBS2 ini.

Menonton filem Lagenda Budak Setan 2 arahan Sharad Sharan yang sebelum ini sukses mengarah naskah awalnya, memberikan pengalaman tragedi tipikal drama Melayu melalui watak utamanya, Kasyah lakonan Farid Kamil. Jadi, formulaik watak utama yang ditimpa pelbagai tragedi, penyelitan unsur melodrama disamping fenomena keberjayaan karya kultus Ahadiat Akasyah ini menjadi faktor utama mengapa Sharad berani mengambil risiko untuk mengarah naskhah adaptasi novel ini hingga ke legasi ketiganya LBS3: Kasyah yang dikhabar lebih tragis berbanding naskhah LBS 2 ini.

Filem ini dilihat mengambil semangat filem Qabil Khushry Qabil Igam(2007) lakonan Hans Isaac, Rusdi Ramli, Erra Fazira dan Ziana Zain berdasarkan naratif, penerapan “elemen hindustan” dan melodramanya yang diarahkan oleh Zaili Sulan. Juga sedikit menyamai Ombak Rindu(2011), namun mungkin Ombak Rindu lebih kuat sedikit aspek penceritaannya.

Antara ulasan saya untuk filem ini ialah:

(1) Filem ini penuh tragedi, Kasyah(Farid Kamil) yang baru kematian isterinya, berhadapan dengan ‘jatuh-bangun’ permainan cintanya(baca: dengan satu tiket ke Bhutan, Farid menerima cinta Kat) bersama Katerina(Maya Karin), lalu ditolak oleh bapa Kat(baca: yang dapat saya baca pada shot kamera zoom pada lirikan mata bapa Kat) kerana perbezaan stratifikasi walaupun diawalnya, Kat pernah mengungkapkan dialog “ini bukan zaman dua darjat P Ramlee”. Tidak cukup tragis dalam bercinta, Kasyah dipaksa untuk menghantar dadah oleh Iskandar(Azri Iskandar) hingga hampir ditangkap pihak polis dan klimaksnya dia kehilangan anak kesayangan dan juga abangnya(juga meninggalkan anak tiada status kepada Kasyah). Semua tragedi ini disumbat secara bertimpa-timpa hingga menyesakkan naratif plot dan sub-plot menyebabkan filem ini agak kelam kabut aspek penceritaannya. Mungkin penulis skrip(Ahadiat sendiri bersama Jujur Prananto) mahu penonton novel merasai sendiri pengalaman “membaca novel secara 100 %” ke dalam filem ini.   

(2) Filem ini juga berdiri di atas unsur “hindustan-isme”, ini kita dapat tonton melalui shot panjang melodrama Kasyah dan Kat di Bhutan(yang hanya untuk membuktikan cinta Kasyah-Kat), juga elemen “hero kalah dahulu” dan diakhiri dengan wajah senyuman kegembiraan Kasyah(baca: dipimpin tangannya oleh Kat di babak akhir filem). Manakala kerja kamera yang kebanyakkan “zoom-in” kemuka watak utama mengingatkan saya kepada sinematografi drama-drama dari seberang yang banyak menerapkan elemen ini dalam drama mereka.  

(3) Filem ini juga banyak berkisar elemen-elemen tipikal klise drama melayu, tiada unsur atau tema menarik untuk ditadabbur melalui proses aposteriori mahupun pemaknaan secara “layering”. Boleh dikatakan tiada langsung permainan mis en scene dan hampir kesemua babak hanya didasari permainan logik yang “picisan” dan “kosong jiwa”nya. Antaranya kita dapat lihat melalui babak Iskandar(baca:siap bawak bayi) dan Kasyah yang terlepas daripada ditangkap polis kerana mengedar dadah dan Hisham yang terlepas daripada siasatan polis kerana membunuh Ning Baizura. Juga plot utama, cinta Kasyah kepada Kat ditolak keluarganya atas alasan perbezaan lapis borjouis proletarnya. Ini babak klise dan recycle plot yang acapkali kita boleh tonton dalam sebegitu banyak drama-drama di televisyen kita saban hari.

(4) Saya kurang menyukai “unsur tergesa-gesa” dan “pengakhiran yang boleh dibaca” dalam satu-satu filem atau drama. Unsur ini akan dapat kita telusuri didalam filem LBS2 ini melalui babak Lara Nordin terus mengakui “gelap mata” kerana wang RM500k yang diberikan oleh bapa Kat kepadanya, begitu juga babak Kat yang terus mempercayai kata-kata bapanya kerana dimanipulasi video Kasyah tanpa bertanyakan hal sebenarnya kepada Kasyah ataupun Lara sendiri(setiausahanya, jadi agak mustahil dia tiada akses untuk berhubung dengannya). Juga pengakhiran “happy ending” ini sudah tentunya boleh kita baca berteraskan elemen “hero-menang-diakhirnya” tadi.

(4) Nilaian ambiguitinya, filem ini memaparkan konotasi negatif didalam menyelongkar sisi kelemahan wanita urban yang gah pada penampilan(baca:pakaian dan tata-hiasnya), tetapi kosong jiwa dan motivasinya. Ini kita nampak pada watak Kat, berulangkali kita disajikan babak Kat tewas kepada cinta kepada atau dipermainkan perasaan cintanya oleh bapa sendiri(ini kita nampak terang dengan syarat tidak masuk akal bapanya ketika Kasyah ingin menyuntingnya dan babak tuduhan libido kepada Kasyah). Walhal, asasnya Kat sangat mencintai Kasyah sehingga mengungkapkan dialog “tutup mata nampak Kasyah, buka mata pun nampak Kasyah” dan babak peluk-memeluk dihampir 1/3 scene, ironikalinya dengan hanya satu video(yang sah-sah nampak Kasyah menolak Lara), Kat “reject” Kasyah dan melalui rutin emosional klisenya “duduk dalam bilik-menangis-tak mahu makan-minum dan dipujuk Mamanya”. Persoalan saya, dimana emansipasi dan efikasi kendiri Katerina sebagai wanita yang nampak berjaya pada substansi wajah korporatnya? Juga kita dihidangkan dengan lemahnya Kat untuk menolak lamaran Hisham yang sudah terbukti panas baran, psiko & songsang nafsu seksualnya, malahan lebih memburukkan lagi, dia menerima lamaran Hisham untuk memperisterikannya.

(5) Namun satu perkara yang saya anggap menghiburkan tentang filem ini ialah keberjayaan watak Athirah(anak Kasyah), penghayatannya, dengan kecomelannya, “gesture” riak muka sehinggalah babak klimak yang menghibakan hati sesiapa sahaja yang mempunyai anak. Babak itu betul-betul meruntun dan mengesankan jiwa. Filem ini juga sesuai mengingatkan kita agar menghargai sesiapa sahaja yang kita cintai melangkaui duit, harta, pangkat, darjat mahupun segalanya didunia, sebelum ajal menjemputnya.

Next review: LIFE OF PI:Persoalan Eksistensialisme, Pluralisme Agama Atau Nihilisme?