07 April 2010

Antara nilaian ambiguiti, didaktisme, SGE(SpaceGambusExperiment) dan kolaborasi Pak Samad


"..seni itu adalah kebenaran, keindahan, dan kebaikan di mana di dalamnya terkandung ciri-ciri estetika dan logika..”-Ibnu Khaldun

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kamal Sabran sebab mempercayai diri dan daya penulisan saya yang serba kekurangan ini, untuk mengulas karya terbaharu beliau.

Saya secara terus terang mengakui bahawa saya bukanlah seorang yang pakar dalam dunia musik mahupun filem kerana bidang saya bukanlah disitu dan saya tidak pernah mendapat pendidikan secara formal dalam kedua-dua bidang tersebut.

Namun, sebagai seorang peminat kepada seni musik, terus-terang saya katakan bahawa industri musik tanah air sedang menghadap era kemunduran yang maha dahsyat. Kita mungkin ditanggapi maju dari aspek-aspek teknikal musik, ironikalinya kita benar-benar mundur dari sudut penghasilan karya-karya yang benar-benar mempunyai nilai estetika yang dinamakan sebagai seni, khususnya didalam penghasilan lirik.

Mungkin bab-bab lirik ini, ianya adalah satu permasalahan subjektif, namun saya beranggapan satu-satu lagu atau melodi yang baik memerlukan kepada lirik yang baik sebagai sandaran(baca: namun, saya tidak menjustifikasikan kesemua lirik yang dihasilkan adalah sampah, hanya sebahagian).

Antara solusi yang saya nampak untuk merungkai permasalahan ini ialah seharusnya industri musik kita berinjak ke arah karya-karya puisi sasterawan-sasterawan tanah air untuk dilagukan.

Samalah juga halnya didalam arena perfileman, seharusnya industri kita beralih arah kepada karya-karya sasterawan negara dan mengadaptasinya ke layar perak, berbanding penghasilan filem-filem yang bersifat “syok sendiri” dan berstatus sampah sebagaimana yang berlaku masakini.

Jika kita menyelongkar industri musikal tanah air, kita akan dapati beberapa penghasilan karya-karya bermutu yang diilham berorientasikan puitis.

Kita ada M.Nasir, kita ada Allahyarham Loloq, kita ada kumpulan Kopratasa(baca: masih ingat lagu Masihkah Kau Ingat), kita ada Allahyarham Zubir Ali dan kumpulan Harmoninya(baca: saya teringat lagu Penantian, Balada Seorang Gadis Kecil), sekadar memberikan contoh.

Hingga saat ini saya menanti-nantikan genre semacam ini, hinggalah pada suatu hari saya membuka akaun fesbuk dan saya dapat apa yang saya dahagakan selama ini.

Kamal Sabran dan kawan-kawan hadir lagi ke kancah industri dengan projek terbaharu mereka.

Kali ini projek beliau bukan calang-calang dan benar-benar buat saya teruja mendengarnya iaitu kolaborasi musikal SGE dan digandingkan dengan alunan suara emas Sasterawan Negara iaitu A.Samad Said.

Kamal Sabran bukanlah satu nama yang asing bagi diri saya, kerana saya sudah mengenali bakat beliau semenjak kemunculan filem pendek beliau lagi iaitu melalui projek 15Malaysia tahun lepas(baca: filem pendek Lumpur).

Pada masa tersebut, saya hanya beranggapan Kamal Sabran adalah director berbakat dari Perak hinggalah saya menyelusuri blog beliau dan dari situ saya dapati, rupa-rupanya beliau juga adalah seorang yang aktif dan mempunyai bakat yang luas didalam bidang musik.

Anda pernah mendengar nama Space Gambus Experiment(SGE)?

Space Gambus Experiment(SGE) adalah hasil kolaborasi Kamal Sabran bersama Zulkifli Ramli, pemain gambus Dewangga Sakti dan rakan-rakan luar-negara yang beliau kenali melalui internet dan mereka telah menghasilkan satu album yang mengagumkan sebelum ini.

Ini ulasan saya untuk karya unik mereka sebelum ini.

Perlukah saya mengenalkan anda dengan Sasterawan Negara A.Samad Said?

Tanpa berselindung, Pak Samad adalah merupakan 'tok guru' saya dalam bidang penulisan dimana saya membesar didalam lingkungan kebanyakkan karya-karya besar beliau.

Terdapat 2 track yang diberikan untuk saya ulas iaitu Suara Dari Dinding Dewan dan Di Bawah Bintang Mengerdip, dimana kedua-duanya adalah karya Pak Samad.

Setelah mendengar karya ini, apa yang saya boleh katakan ialah ianya merupakan sebuah kolaborasi yang unik, menarik dan mengujakan!

Apa yang menariknya hasilan SGE kali ini ialah bagaimana bunyian gelombang bunyi dari planet asing, petikan gambus/oud, electro acoustic dan suara agung Pak Samad digabung-jalinkan sehingga menghasilkan satu masterpiece yang mampu untuk mengaul-rasa, menghalunisasi jiwa, berhantu, disamping membuat kita berfikir atas apa yang cuba disampaikan oleh Pak Samad melalui puisi puitisnya.

Walaupun kedengarannya idea ini, kelihatan agak abnormal, namun pada saya ianya merupakan satu karya yang “lain dari yang lain” dan mengesankan jiwa dan minda, untuk mereka-mereka yang hanya mahu mendengar mahupun mereka-mereka yang mahu mendengar sambil berfikir.

Antara petikan gambus, musikal elekronik dan kuasa alunan suara Pak Samad bersatu dan menusuk jiwa, raga dan minda khalayak pendengarnya.

Apatah lagi bagi pendengar yang mendengar secara ekstensif didalam menaakul nilaian ambiguiti disebalik lirik puisi puitis yang dideklamasikan oleh Pak Samad.

Saya beranggapan musik SGE ini, sememangnya agak sukar jika mahu disampaikan secara nyanyian, jadi idea Kamal memilih pendeklamasian sajak adalah satu idea yang sangat 'masuk' dan genius untuk musik SGE.

Disini juga, saya nampak Kamal cuba menyalurkan unsur didaktisme atau unsur pengajaran dalam musik unik SGE untuk memberikan nilaian double-meaning di dalam memperluaskan lagi keboleh-daya-fikir-intelektualan khalayak pendengar untuk sama-sama berfikir apakah yang cuba diselindungkan oleh Pak Samad didalam kedua sajak tersebut.

Inilah sebenarnya "kelompongan besar"(baca: kehancuran seni penghasilan lirik) industri musikal kita, dan saya nampak kelompongan ini mampu diisi dengan karya-karya genius semacam ini.

Saya tidak mahu mengulas dengan lebih panjang lagi, apa kata anda luangkan sedikit masa anda, temui SGE dan Pak Samad di persembahan “Kata Luhur” pada 9 April 2010 jam 8 malam di National Art Gallery, Kuala Lumpur.

* Saya cuba memenuhi permintaan rakan-rakan yang mahukan saya menulis dalam bahasa melayu standard. Eh, apa maksud bahasa melayu standard?