10 Disember 2011

Ulasan Ombak Rindu(2011)


Demi mendapatkan positive-mood sebelum menonton filem ini, saya sanggup mencari dan melabur masa untuk menelaah novel popular Ombak Rindu karya Fauziah Ashaari yang khabarnya terjual lebih 150 ribu unit ini.

Sejujurnya, ini kali pertama saya membaca novel terbitan Alaf 21. Terus-terang saya katakan bahawa, saya membaca karya ini bukanlah atas dasar kepopularannya, sebaliknya untuk mencari titik persamaan/perbezaan di antara novel dengan bagaimana Osman Ali menterjemah karya ini ke layar perak. Terus terang juga saya katakan bahawa, hasilan Alaf 21 bukan “jiwa” atau “a cup of tea” yang sesuai bagi lelaki-lelaki peminat Manchester United seperti saya. Sebagai pembacaan, saya semestinya akan mencari sesuatu bahan yang mempunyai elemen “supremacy of ideas” untuk membuka ruang dan peluang minda saya untuk berfikir, bukan sekadar hanya “seronok-atau-sedih-menitis-air-mata” disogok melankolika cinta 3 segi, cinta tidak berbalas atau lain-lain circle of recycle plot yang berpaksikan atas tema cinta semata-mata seperti kebanyakkan tema novel-novel di pasaran.

Ironikalinya, saya menyukai novel Alaf 21 yang ini. Saya suka bagaimana idea Fauziah mengangkat tema emansipasi Izzah melawan kuasa patriarki yang berlegar di dalam kehidupannya iaitu Pak Cik Taha, suami gelapnya, Hariz, Roland dan Kelvin. Dengan kuasa pendaman cinta dan kesabaran lantas kebahagiaan hakiki cinta itu dikecapi oleh Izzah di pengakhiran novel tersebut. Juga tema cinta berbeza lapis stratifikasi darjat dan tema “pelacur halal”, lantas menarik minat Osman Ali untuk mengadaptasikannya ke layar perak.

Osman Ali sebelum ini pernah sukses melalui beberapa filem-filem cereka seperti Bukak Api, An Angel On The Windowsill, Anak Halal, Cun dan drama Tollgate Girl. Tetapi buah tangan Osman sedikit merundum melalui filem Puaka Tebing Tinggi yang pada saya sangat membosankan

Saya agak menyesal membaca buku ini terlebih dahulu sebelum menonton filemnya kerana segala plot novel telah berada di dalam kepala ketika saya menonton filemnya. Saya mengakui bahawa perbuatan membaca novel ini telah memakan diri lantaran pembanding-taraan itu berlaku secara dualiti yang berkecamuk antara plot novel dan plot filem berperang di minda kertika saya menonton filem ini. Akhirnya, saya tewas dengan mempluralitikan pemikiran bahawa plot filem adaptasi Osman Ali adalah sangat berbeza dengan idealisme emansipasi yang cuba diangkat oleh Fauziah melalui novelnya.

Saya sebenarnya menyukai idea “pelacur halal” dan tema perkahwinan berbeza darjat tetapi idea ini pada saya masih jatuh tahap recycle dan klise kerana terlalu banyak kisah-kisah semacam ini sudah diangkat menjadi tema-tema di dalam drama-drama melankolia dan keagamaan di televisyen. Contohnya drama-drama Erma Fatima ataupun Rasyid Sibir.

Sebagai perbandingan, saya memberi contoh semangat emansipasi Annisa di dalam filem Perempuan Berkalong Sorban(2009). Ia juga adalah merupakan sebuah filem adaptasi daripada sebuah novel karya Abidah El Khaliqy. Plot filem ini hampir sama dengan Ombak Rindu iaitu tentang seorang perempuan yang bernama Annisa yang dipaksa berkahwin dengan lelaki yang tidak dicintai dan dia juga menghadapi malang hampir sama seperti Izzah(dipukul dan dihina oleh suaminya). Tetapi aspek penceritaan dan latar plot berbeza kerana Perempuan Berkalong Sorban membawa tema yang jauh lebih berat berbanding Ombak Rindu.

Ok, kita kepada ulasan filem ini.

Filem Ombak Rindu ini dimulakan dengan watak Izzah yang digambarkan sebagai seorang ustazah kemudian dijual oleh pak ciknya ke kelab malam di mana di situlah dia ditemukan dengan Hariz yang telah membibitkan benih cinta dan selepas itu plot berkembang dengan sub plot watak Pak Lah, Ibu Hariz, Mila gaduh-gaduh manja, isu siapa anak siapa dan babak penamat. Pada saya, ia adalah sebuah filem yang menghiburkan selaku sebuah filem dari Malaysia. Apa ekspektasi anda untuk sebuah filem melodrama dari Malaysia? Inilah ia!

Untuk filem ini, babak yang mengambil semangat mirip-mirip dengan novelnya ialah daripada babak Izzah di Kelab Malam hinggalah dia ditampar Hariz dan daripada situlah Izzah dan Hariz dilambung ombak rindu, dan selain daripada babak itu ianya adalah adaptasi dan imiginasi Osman bersama Arman untuk menggerakkan dan membina plot Ombak Rindu versi filem. Saya, tiada masalah untuk ini kerana ia adalah sebuah karya adaptasi dan adalah mustahil untuk mengeluarkan 100% idealisme Fauziah ke layar perak. Cumanya, mungkin terdapat sebilangan peminat novel Ombak Rindu terkilan kerana terdapat jurang perbezaan yang besar antara novel dan filemnya. Jadi sebagai solusi, saya merasakan mana-mana pengarah yang ingin mengangkat satu-satu novel untuk difilemkan, sila lantik sama penulisnya sebagai penulis skrip bersama agar idea yang lebih mapan akan dapat diterjemah ke layar perak. Tidaklah nanti apabila filem sudah siap, si penulis novel berasa kecil hati kerana ada idea master-piecenya yang langsung tidak disentuh oleh pengarah filem tersebut.

Dari aspek lakonan, saya merasakan Maya kurang sesuai dengan watak Izzah walaupun Maya sudah mempersembahkan yang terbaik. Mungkin kerana slanga baku ala indon Maya dan rambut yang sedikit keperangan menjejaskan imej Izzah seorang gadis polos berimejkan kekampungan berdasarkan novel Fauziah tersebut. Aaron pula sangat berjaya menjiwai watak Hariz dengan begitu berkesan. Gesture, bahasa tubuh dan intonasi suara memang selayaknya watak itu untuk Aaron. Manakala Lisa Surihani pula sangat tidak sesuai untuk watak Mila kerana Lisa tiada jiwa untuk melakonkan watak Mila tersebut walaupun Lisa sudah mencuba yang terbaik. Lain-lain watak adalah sebagai penyedap untuk filem ini.

Dari aspek penceritaan pula saya merasakan ada beberapa babak yang saya anggap terburu-buru seolah-olah Osman mengejar masa. Kita lihat bagaimana cepatnya Hariz mencintai Izzah dan Izzah mencintai Hariz sedangkan tidak ada satu plot pun yang mampu menjadikan cinta mereka sekukuh itu. Ini sangat ironikal dengan novelnya dimana kita disajikan dengan bagaimana susahnya Hariz untuk menerima Izzah untuk menjadi suri dihatinya.

Sinematografi dan mise en scene filem ini memang berada pada kelasnya yang tersendiri. Di dalam filem ini, kita dapat melihat bagaimana krew Osman menghidangkan komposisi shot yang cantik(walaupun ada masanya sedikit kabur) serta editing yang bermain dengan tone warna yang sesuai dengan mood dan situasi plot filem ini. Kita lihat ketika babak opening sequence, bagaimana Osman menggunakan prop layang-layang bersama Izzah yang terdampar di lambung ombak adalah momen paling saya ingati selain babak seorang lelaki membawa banner tertulis nama Mila di airport ketika menyambut ketibaan Mila dari luar negara.

Saya merasakan babak panas(yang digembar-gemburkan di media massa) itu sangat kurang sesuai untuk tontonan kanak-kanak di bawah umur, lantaran itu Lembaga Penapisan sewajarnya meletakkan ia pada klasifikasi yang sesuai dengan takatnya, bukan sekadar untuk klasifikasi tontonan umum.

Dari aspek skor musikal pula, saya merasakan runut bunyi Adira dan Hafiz itu asyik diulang-ulang hingga membuatkan saya terfikir tiada lagu lainkah untuk filem ini. Memang lagu itu sedap tetapi taktik mengulang sekejap suara Hafiz dan sekejap suara Adira itu sedikit membunuh mood dan semangat filem melodrama ini.

Dan bab paling tangkap muat untuk filem ini ialah kecelaruan tempat. Ya, kita kan tinggal di Malaysia, masakan kita tidak cam lokasi penggambaran Ombak Rindu ini, tetapi saya malas mengulas tentang ini kerana pada saya ianya hanya sekadar kes terpencil.

Tetapi ada beberapa bab ambiguiti yang saya suka untuk ulas berdasarkan filem ini:

(1) Tema hipokrasi. Filem ini hidup dengan plot bertemakan hipokrasi. Izzah hidup dalam hipokrasinya(muka gembira telah berkahwin tetapi hati memendam rasa kerana Hariz pada awalnya tidak menyintainya), Hariz dengan hipokrasinya(cinta kepada Izzah tetapi tidak mahu meluah), hipokrasi Pak Lah(mahu mengakui Hariz adalah anaknya tapi susah mahu mengungkapnya), Pak Cik Taha yang hipokrit(cakap mahu menghantar Izzah bekerja tetapi menjualnya ke Kelab malam), hipokrasi Mila(terpaksa kahwin dengan Hariz walaupun sudah mengetahui bahawa Hariz tidak mencintainya), Ibu Hariz(berpura-pura gembira dengan perkahwinan Hariz padahal dia sudah tahu bahawa Hariz tidak mencintai Mila). Ya, hipokrasi/talam dua muka/bermuka-muka sudah menjadi lumrah manusiawi pasca Y2K. Di dalam politik, di dalam perhubungan seharian, di dalam pekerjaan, keagamaan malahan dalam apa-apa juga bidang kadang-kadang kita akan menjumpai sifat hipokrit ini. Dan itulah tema yang Fauziah dan Osman mahu kita fikirkan.

(2) Tiada KLCC dalam filem ini. Ya, Osman Ali sememangnya suka mengangkat tema sosio-budaya pada lapis hirarki terbawah masyarakat di Malaysia. Dan ini kita sering dapati di dalam filem-filem Osman sebelum ini. Idea “pelacur halal” itu mungkin wujud di dalam kancah masyarakat di Malaysia dan pada saya ia relevan sebagai salah satu gejala sosial gelap yang kedengarannya agak janggal dalam situasi holier-than-thou dikalangan masyarakat masakini.

(3) Isu pro-choice ataupun pro-addin(agama). Kita digambarkan bahawa Izzah adalah seorang yang berpegang dengan agama(mise en scenenya tudung dan mengajar kanak-kanak mengaji walaupun lahjahtul a’rabinya sangat janggal). Disini kita percaya bahawa Izzah cenderung dengan pro kepada pilihan kerana Izzah seolah-olah merelakan dirinya bahawa dia adalah hamba seks kepada Kelvin dan Hariz. Dia mungkin boleh melarikan diri ataupun melakukan apa sahaja untuk menjauhi nilaian “pelacur halal” ini jika dia benar-benar berpegang dengan pro-addin.

(4) Isu bercinta selepas perkahwinan dan kesetiaan. Kita sering diperkhabarkan bagaimana sesebuah pasangan yang bercinta bagai nak rak sebelum berkahwin tup tup bila selang 2-3 tahun usia perkahwinan, keluar pula berita keretakan rumah tangga mereka. Tema cinta selepas perkahwinan diangkat oleh Osman untuk kita berfikir akan kerelevanannya melalui beberapa babak monolog Izzah selepas berkahwin dengan Hariz. Juga babak bagaimana kesetiaan Izzah kepada Hariz(baca: babak Izzah menangis ketika mendengar radio ketika perkahwinan Hariz dan babak jam terjatuh ke dalam sungai). Ini adalah nasihat “makan dalam” yang relevan untuk semua pasangan samada yang belum berumahtangga mahupun yang sudah 50 tahun usia perkawinan mereka.

Kesimpulannya, filem ini bukanlah filem yang terbaik daripada Osman Ali tetapi ianya cukup perencah dan penyedap bagi mereka-mereka yang berhati tisu untuk sendu-senda selepas menontonnya di pawagam. Bagi lelaki-lelaki urban seperti saya, mungkin ada dikalangan kami yang tertidur pada pertengahan ceritanya, sama halnya dengan lelaki selang satu tempat duduk daripada tempat duduk saya.

Tetapi demi menyokong Osman Ali, mari kita sama-sama menontonnya berkali-kali agar filem ini menjadi filem block-buster bagi tahun 2011!