14 Disember 2010

Ngangkung(2010), Fantasisme & Warung Mak Cik Sinah



Tiada siapa diantara kita mengenali Mak Cik Sinah hinggalah semalam, akhbar memperkisahkan beliau masih menetapkan harga makanan dan minuman yang dijual di kedainya tidak pernah berubah sejak 20 tahun lalu walaupun harga beberapa bahan mentah seperti gula dan susu telah beberapa kali naik dalam tempoh 20 tahun tersebut.

Di dalam konteks masyarakat hari ini, samada mahu ataupun tidak, amat susah untuk kita “lari” dari kemiskinan, cengkaman kapitalisma, ungkapan “kais pagi, makan pagi, kais petang, makan petang”, ketidak-adilan hierarki, realiti cari-makan, bayar-sewa, mengisi periuk-nasi, harga barang naik, yuran persekolahan naik, mas-kawen naik, hantaran naik, harga minyak naik, hutang keliling pinggang dan lain-lain isu seangkatan dengannya.

Ini adalah realiti, dan kontradik pada realiti ialah fantasisme. Sebagai eskapisme untuk lari daripada cengkaman realisme tadi, maka ramai diantara kita memilih “fantasisme” yang mana ianya berbeza antara sesama manusia yang lain.

“Fantasisme” ibarat candu yang menghalunisasi manusia merentas sempadan realisme.

“Fantasisme” yang dipilih mungkin berdiri di dalamnya unsur multifleks, di mana ia boleh mengarahkan minda dan mungkin jasad seseorang di dalam mengadun unsur-unsur destruktisme untuk melupakan ketidak-puahatian yang melanda mereka, lantas membawa mereka ke arah yang dirasakan bahagia atau seronok, untuk mengetepikan kekejaman realisme yang berlaku didalam lingkungan kehidupan.

Atas desakan untuk menyambung legasi kehidupan, ada diantara mereka yang berangan-angankan “fantasisme” pada sisi yang salah, malah praktikal untuk mencapai “fantasisme” mereka juga menyimpang daripada konteks landasan sebenar.

Lantas apa perkaitannya dengan Mak Cik Sinah, “fantasisme” dan filem Ngangkung ini?

Sebagai khalayak yang semakin bijak menghadam sesebuah karya, barangkali ada diantara kita yang dilanda skeptikal apabila berbicara tentang rilisan-rilisan Metrowealth. Timbul persoalan, adakah Metrowealth hanya sebuah produksi perfileman yang lebih mengutamakan “kantung poket” mereka berbanding membina khalayak yang “matang” dan menatijahkan karya yang bukan diklasifikasikan sebagai sampah.

Ironikalinya, filem Ngangkung(2010) hadir tepat pada masanya untuk mengubah persepsi-persepsi negatif tersebut.

Ngangkung bermaksud perilaku memuja nombor ekor dengan menggunakan barang antik sambil mencangkung. Kita sebetulnya mempunyai maklumat tentang perbuatan memuja untuk mendapatkan nombor ekor, ataupun upacara tarik duit, namun perkataan ngangkung ini kedengaran agak janggal didalam sub-budaya masyarakat hari ini. Dan tema mengangkat perbuatan ngangkung ini juga agak janggal, sejanggal namanya, didalam industri perfileman tanah air. Ini satu anjakan yang positif daripada Metrowealth dan David Teo khususnya.

Filem Ngangkung mengisahkan tiga sekawan, Azim(Shaheizy), Tasnim(Azad) dan Wan(Angah Raja Lawak) yang terjebak dengan perbuatan ngangkung ini kerana ketidak-cukupan materalistik di dalam meneruskan kelangsungan hidup mereka. Mereka sanggup menghabiskan harta mereka, menggunakan gaji bulanan, malahan sanggup memperjudikan nasib mereka dengan meminjam along semata-mata ingin mencari jalan pintas untuk menjadi kaya. Lalu, kita dipertontonkan dengan perbuatan mereka bertemu dengan bomoh itu dan bomoh ini semata-mata untuk mencapai “fantasisme” mereka tanpa mereka sedari bahaya ianya lebih menjerumuskan mereka ke lembah kehancuran berbanding “kesenangan sementara” yang mereka kejar itu.

Filem ini pada asasnya bercerita tentang kebobrokanan “fantasisme” sebilangan masyarakat yang ingin menjadi kaya, tetapi memilih jalan singkat untuk mencapainya, malahan sanggup menggadaikan iktikad semata-mata untuk perkara itu. Kritikan sosial ini sebenarnya tepat-ke-batang-hidung sebahagian masyarakat yang terlampau mahu hidup senang atas dasar psikologikal persaingan material sesama masyarakat(kita lihat ini melalui watak Tasnim, dia seorang yang cukup serba-serbi tetapi mengapa masih mahu mengangkung?) ataupun untuk tujuan mulia menyara keluarga(watak Azim), tetapi praktikal pelaksanaan ke arah kaya itu amat menyimpang daripada landasan Islam yang sebenar. Adakah niat yang baik menghalalkan cara? Malahan “fantasisme ingin cepat kaya” ini sebegitu cepat merayap malahan lebih parah menjadi sub-mentaliti sebahagian masyarakat hari ini. Tidak percaya, sila buka akaun fesbuk, berapa banyak iklan MLM di-tagkan di dinding anda, atau pernahkan selera membaca akhbar anda terbantut kerana melihat risalah-risalah MLM berselirat disuratkhabar. Ini belum masuk pamphlet-pamplet yang diletakkan disebelah pisang ketika anda mahu makan pisang semasa bersolat jumaat.

Dunia hari ini mentafsir duit(baca:harta) bukan seperti zaman-sebelum-kemerdekaan. Kini segalanya memerlukan kepada duit hatta mahu beristinjak sekalipun juga dikenakan cas tertentu, apatah lagi hal-hal yang lain. Jesteru atas persaingan ekonomi yang mendesak, kita dihidangkan dengan manusia-manusia yang bekerja siang malam semata untuk mencari not seringgit. Asalkan ianya halal, ia tidak perlu dipersoalkan, namun yang menjadi masalah ialah apabila ada sebilangan yang memilih jalan singkat tanpa mahu banyak berusaha seperti 3 sahabat didalam filem ini.

Tuntasnya, kita jangan cepat melatah atas “fantasisme” yang kedengarannya berbaur negatif ini. Asalkan ianya kena pada jalannya, tiada masalah untuk kita risaukan. Cumanya kita kena berfikir(juga sedikit risau) mengapakah masih ada sebilangan masyarakat yang masih memilih jalan gelap sebagaimana 3 orang sahabat ini? Adakah kerana persaingan materialistik? Atau nafsu yang tidak pernah kenal erti cukup? Atau atas alasan kesempitan wang dibebani tekanan ekonomikal semasa negara? Atau sekadar suka-suka? Atau atas alasan mengisi perut tetapi daripada wang haram.

Jikalau sekadar utuk mengisi perut, Mak Sinah hadir tepat pada masanya dan penulis merasakan Warung Mak Cik Sinah sewajarnya difrancaiskan keseluruh negara agar masalah “mengisi perut” ini tidak lagi kedengaran.

Ibarat resepi Warung Kak Sinah, acuan Parlov, filem ini diadun dengan rempah yang baik, mungkin ada sedikit kurang sedap pada bahagian-bahagian yang tertentu, tetapi secara keseluruhannya ia hadir sebagai sebuah karya yang baik, walaupun penulis merasakan Adnan Sempit lebih umph berbanding yang ini.

Filem ini tidak hanya bergenrekan seram tetapi dalam masa yang sama ia juga bengenrekan komedi. Malahan babak-babak komedi gags yang ditampilkan adakalanya menjadi hingga mencuit deria tawa keseluruhan khalayak yang menonton. Sebagai contoh, babak ketika 3 sahabat bertemu dengan Lan Pet Pet, ataupun babak Putri Mardiana mempersoalkan keIslaman suaminya, dan pastinya babak ketika Lan Pet Pet menarik telinga hantu, tiba-tiba Lan muncul mahu mengambil gambar Putri Mardiana(yang ketika itu pengsan ternampak hantu) untuk dimasukkan ke dalam fesbuk.

Namun, disebalik elemen seram dan komedi itu, Ngangkung tidak lupa untuk menyelitkan didaktisme positif kepada khalayak seperti elemen kekeluargaan(babak Azim dengan isteri dan anaknya, babak romantikal Tasnim dan isteri, juga babak bagaimana isteri Zul menggadaikan emas semata-mata untuk melepaskan Wan daripada cengkaman along). Malahan cerita ini diakhiri dengan mesej bahawa elemen kekeluargaan mampu mengatasi segala permasalahan yang membadai di dalam sesebuah institusi keluarga itu sendiri(kita lihat ini dengan tangisan Azim yang menyesal atas perbuatan syiriknya, juga lawak hantu yang duduk diatas pokok ingin bercinta sesama mereka).

Plot penceritaan Ngangkung pada asalnya ditamsil penulis agak meleret kerana tiba-tiba muncul babak Azlee dengan mimik muka slapstiknyanya men“sekolah”kan sepasang kekasih yang ingin melakukan aborsi haram. Untuk apa babak ini? Tetapi Ngangkung dineutralkan dengan kehadiran Tasnim untuk menjalani pemeriksaan kandungan isterinya. Penulis merasakan babak ini mengkritik secara halus isu aborsi haram dan pembuangan bayi yang semakin berluasa dewasa ini. Watak Azlee walaupun hanya beberapa babak namun seolahnya “berdiri berkhutbah” secara sinis dan sinikal kepada beberapa isu yang cuba dibangkitkan di dalam Ngangkung. Ini kita dapat lihat babak menakut-nakutkan pasangan kontra umur tadi dan babak berjumpa Tasnim yang baru membeli nombor ekor. Cuba anda lihat tangan kiri(baca:seringkali dikaitkan dengan persepsi negatif)yang digunakan Azlee untuk menunjukkan kedai nombor ekor. Mengapa Azlee menunjuk kedai nombor ekor dengan tangan kiri bukan tangan kanan?

Filem ini juga bercerita tentang implikasi buruk kesan daripada judi. Tentunya, ia lebih cenderung kearah keburukan berbanding kebaikkan. Perkara semudah halal dan haram ini, tidak memerlukan kita memiliki otak yang genius untuk difahami, namun mengapa masih terdapat sebilangan masyarakat yang terjebak dengan gejala-gejala negatif seperti ini? Cuba lihat babak Azim menyatakan kepada Tasnim bahawa si Lan Pet Pet mahu mereka berdua berfikir dan meneka nombor apakah yang akan keluar berdasarkan telahan yang telah diberikan oleh saka lembing. Babak ini sebenarnya menerbalikkan satu teori yang sama jika dilempiaskan kepada syarikat nombor ekor, bukankah nombor-nombor itu juga boleh dirancang oleh syarikat tersebut? Mereka semestinya mempunyai data nombor-nombor yang telah dibeli oleh pelanggan mereka, jadi mungkin mereka boleh memilih nombor yang tidak ada didalam senarai data tersebut sebagai 1st prize. Ini kritikan sosial yang sangat mapan untuk kaki-kaki ngangkung ini supaya bertaubat atas perbuatan mereka.

Setiap filem pasti ada kelemahannya, tidak terkecuali filem ini.

Filem ini seolahnya membangkitkan persoalan keagamaan namun malangnya ia tidak berjaya disudahkan. Mungkin timbul persoalan apakah hukum memberi bantuan kepada rakan dengan duit hasil daripada judi, atau apakah hukum memberi makan kepada keluarga hasil duit judi, namun persoalan tersebut tidak terjawab sehinggalah ke akhir filem ini. Kita lihat babak Azim membawa anak dan isterinya makan direstoran dengan duit haram, tetapi adakah khalayak mendapat jawapan kepada persoalan tersebut(yang ada hanya babak lawak ekor daripada anaknya). Didalam filem ini, kita mungkin nampak keburukan nombor ekor, namun isu itu tidak dicakup dari skop keagamaan dengan baik. Cukupkah dengan sekadar memaparkan ayat Al-Quran diakhir filem, sedangkan saat itu khalayak sudah berpusu-pusu keluar daripada panggung.

Timbul persoalan mengapa watak Azim seolahnya terpaksa membuat muka ala-ala Johnny Deep dan bersuara garau sedemikian rupa? Dan watak Angah tidak berkembang, disaat Angah membuktikan beliau adalah merupakan seorang pelawak yang baik. Namun, pujian buat Azlee dan Lan Pet Pet sebab mereka lari daripada lawak klise Senario mereka dan menampilkan kelainan didalam filem ini.

Juga apa terjadi dengan perjanjian dengan Pawang yang dijumpai Azim secara tidak sengaja ketika berada di Kelantan, adakah perjanjian dengan saka itu habis begitu sahaja?

Namun secara keseluruhannya Ngangkung membuktikan bahawa filem ini bukanlah filem yang dibikin secara picisan. Tidaklah terlalu baik, tapi berada pada kelasnya yang tersendiri.

Tahniah Metrowealth dan Ismail Bob Hashim!

nota review-filem: dengar cerita Ngangkung dah dapat RM10 juta, betul ke? Ulasan seterusnya, Hantu Kak Limah Balik Kampung!

18 Oktober 2010

Ulasan Maher Zain – Thanks You Allah



Sepertimana biasa blog ini update dalam jangkamasa yang agak panjang. Masih mengekalkan alasan klise yang sama : sibuk.

Oh, untuk posting kali ini, aku akan mengreview CD penyanyi nasyid yang sedang meningkat naik iaitu Maher Zain(kalau ko tak kenal, sila google). Sebetulnya, aku sudah memeram CD ini dalam tempoh yang agak lama didalam mpv aku, hinggalah aku terpancing untuk mendengarnya setelah menonton satu video klip Maher Zain di Astro Oasis.

Aku adalah seorang pendengar musik yang sedia untuk mendengar apa sahaja musik yang aku rasa, aku mahu dengar. Freedom of choice. Sedari daripada zaman muda aku telah mendengar pelbagai genre musik daripada sekeras-keras musik hinggalah ke alunan musik yang mampu menidurkan pendengarnya. Daripada balada, metal, rock, d-beat, punk-rock, grunge, metalcore, world music, latin, grindcore, crust, hip-hop, alternative, reggae, indie, sludge, thrash, irama Malaysia, dangdut hinggalah ke genre nasyid.

Sebelum ini, aku ada jugak into dengan scene nasyid nih time-time aku bersekolah di sebuah sekolah berasrama penuh agama di Segamat. Aku mula kenal Nada Murni, The Zikr, Al-Jawaher(ada beberapa lagi pelopor nasyid yang aku lupa nama kumpulan mereka), Raihan, Hijjaz, Rabbani hinggalah Mirwana, Nowseeheart, Inteam, UNIC, Mestica, De-hearty, Devotees, Far-East dan lain-lain. Tapi aku dah kurang into sebab irama nasyid hilang identiti dan terlalu terikut pasaran semasa, hingga ia jadi klise dan basi. Stigma ini sedikit sebanyak menyebabkan selera aku sedikit tertutup dengan irama nasyid, tetapi dengan kehadiran rilisan Maher Zain ini, sedikit sebanyak mengarahkan kembali aku untuk mendengar nasyid.

Aku ceritakan serba sedikit tentang Maher Zain ini.

Maher Zain dilahirkan di Lebanon pada tahun 1982. Beliau kemudiannya berimigran ke Sweden bersama keluarganya. Maher mendapat keyboardnya yang pertama ketika dia berusia sepuluh tahun dan daripada situlah bakat seni Maher berkembang sehingga kini.

Album ini diterbitkan oleh Awakening Records dan diedarkan di Malaysia oleh Inteam Records. Inteam Records adalah sebuah label Islamik di Malaysia yang aktif menerbitkan dan mengedarkan bahan-bahan rakaman audio bertemakan Islamik samada hiburan, zikir-zikir munajat mahupun bacaan Al-Quran.

Terdapat 14 buah lagu didalam CD ini iaitu Always Be There, Ya Nabi Salam Alayka, Insha Allah, Palestin Will Be Free, Thank You Allah, Allahi Allah Kiya Karo, The Chosen One, Baraka Allahu Lakuma, For The Rest Of My Life, Hold My Hand, Awaken, Subhana Allah, Open Your Eyes dan versi akustik Thank You Allah.

Untuk album Thank You Allah ini, Maher tidak hanya bertindak sebagai penyanyi, sebaliknya beliau juga merupakan penerbit, pemuzik dan sound engineer bagi album ini.

Ya, Tuhan mengurniakan bakat dan suara lunak kepada Maher Zain.

Ok, terus terang aku suka rilisan ini kerana:

(1) Ia merupakan sebuah album yang mempunyai lebih daripada 2 “killer song”. Antara lagu yang aku rasakan menonjol ialah track 1 (Always Be There), track 2 (Ya Nabi Salam Alayka), track 3 (Insha Allah), track 5 (Thanks You Allah), track 6 (Allahi Allah Kiya Karo), track 8 (Baraka Allahu Lakuma) dan track 12 (Subhana Allah). Ia agak berbeza dengan rilisan artis di Malaysia dimana jika aku membeli sesebuah produk hanya ada “1 atau 2 sahaja lagu yang mampu aku dengar berulang-kali”, selebihnya hanya sekadar lagu tangkap-muat dan ini sangat ironikal dengan rilisan Maher Zain ini. Pada aku, artis di Malaysia lebih sesuai untuk menghasilkan lagu single berbanding full-album.

(2) Aku suka bait lirik didalam album ini. Pada aku, Maher sangat berbakat didalam penghasilan lirik lagu. Kebanyakkan lirik didalam rilisan ini adalah bahasa arab dan bahasa inggeris. Maher bijak mengadun lirik berbahasa inggeris dan bahasa arab, bercantum menjadi satu adunan sebati untuk dijadikan halwa telinga yang mengasyikkan khalayaknya. Cuba lihat track 8 pada lirik “a’la sunat Nabina”, disambung dengan “let’s raise our hands and make Du’a”. Sangat masuk dan kena pada liriknya.

(3) Dengan usia yang semakin meningkat, memungkinkan halwa telinga aku bertukar kepada irama yang lebih kepada easy-listening. Mungkin disebabkan ketika usia muda dahulu, aku terlalu banyak mendengar musik-musik berat, jadi otak dan telinga aku sudah muak dengan irama tersebut dan kini aku lebih kearah irama-irama yang lebih mesra-telinga.

(4) Maher bijak memancing pendengar dengan lagu-lagunya. Pada aku, genre musik Maher sangat simple dan dalam pada masa yang sama key suara beliau tidaklah setinggi mana, tetapi Maher bijak memanipulasi kesemua itu dengan menatijahkannya dalam bentuk yang "mudah-diterima". Lagu-lagu Maher diiringi keyboard, violin, piano, oud, gambus dan bergenrekan world music, RnB, balada dan akustik. Kebanyakkan genre lagu Maher ini, aku nampak didalam lagu-lagu kumpulan Raihan. Konsepnya ialah kembali kepada asas(musik simple) dan suara yang lunak. Dan ada beberapa lagu yang aku terfikir alangkah indah jikalau ia dinyanyikan secara okestra.

(5) Konsep dakwah. Kita lihat bagaimana kebanyakkan lirik didalam album ini mengajak kita berzikir kepada Allah, berselawat kepada Nabi Muhammad SAW dan berorientasikan doa. Bukankah ini medium dakwah yang berkesan? Mungkin ada yang skeptikal berpendapat adakah dengan mendengar nasyid, maka kualiti ibadat kita akan bertambah baik berbanding sebelum-sebelumnya. Pada aku nasyid ini pada dasarnya juga adalah hiburan, sama seperti irama-irama yang lain. Cumanya, ia kontradik dengan irama yang lain daripada sudut lirik. Cuba lihat album Maher Zain ini. Aku mengakui ada diantara lagu-lagu Maher Zain yang melekat dan bermain-main diminda secara berulang-ulang. Contohnya lagu track 8 (Baraka Allahu Lakuma) dan track 2 (Ya Nabi Salam Alayka). Bukankah ini sesuatu yang baik berbanding tiada?

(6) “Aura” Maher Zain. Susah untuk memberikan jawapan kepada persoalan "aura" ini. Cuba kita lihat Mawi dengan aura tsumawinya. Mawi memiliki suara yang biasa-biasa sahaja, tetapi bagaimana kita melihat Mawi diangkat dengan sebegitu tinggi oleh masyarakat marhain, satu ketika dahulu(kini sudah berakhir). Maher Zain tampil dengan "aura" seperti Mawi, bezanya Maher seorang yang "mahir" dalam bidang musik berbanding Mawi. Ya, "aura" Maher mampu menarik sesiapa sahaja untuk terbuai dengan lagu-lagunya.

nota review-filem: CD ini sangat berbaloi untuk dimiliki, dapatkan ia sekarang!

07 September 2010

Nostalgia Raya, Arwah Yasmin Dan "Teori Konspirasi" Iklan TV3

Aku menyusun jutaan kemaafan kerana tidak dapat meng“review” beberapa filem yang aku janji sebelum ini. Alasan klise biasa, sibuk. Ya, memang aku agak sibuk beberapa minggu sebelum raya ini.

Sempena beberapa hari sebelum raya ini, aku selaku pengulas di Review Filem ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan "Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Dan Batin". Apa-apapun terima kasih sekali lagi diucapkan kerana sudi membaca “blog cap ayam” ini.

**

Saban tahun, seakan sudah menjadi trend syarikat konglomerat di Malaysia berlumba-lumba untuk menyiarkan iklan bertemakan hari raya masing-masing. Ada yang sedih, ada yang gembira, ada yang lawak, ada yang bermesej dan tidak terkecuali, ada yang hampeh.

Cumanya, aku agak kesal apabila iklan-iklan ini kebanyakkannya lebih ke arah membesarkan Syawal berbanding bulan Ramadhan. Kita acapkali melihat jika iklan Ramadhan, pada kebiasaannya ia hanya lebih kepada teks-teks pegun(tulisan pegun disertakan suara narrator) berbanding iklan raya yang lebih “gempak” (filem pendek).

Seawal bulan Ramadhan lagi, sudah banyak iklan-iklan yang menjurus ke arah kemeriahan hari raya berbanding membesarkan bulan Ramadhan. Seingat aku, belum ada iklan yang mengajak kita beriktikaf pada 10 malam terakhir Ramadhan atau iklan yang mengajak khalayak bersolat terawikh. Kebanyakkan iklan kita jikalau iklan makanan atau minuman, kebiasaannya adalah babak sewaktu berbuka puasa. Pada aku, ini sudah jatuh tahap klise. Belum ada yang mahu lari daripada “kebiasaan” itu.

Setiap tahun, aku selaku khalayak, tidak pernah ketinggalan untuk menyaksikan iklan-iklan raya ini. Iklan yang aku paling suka, “ternanti-nanti” dan teruja kebanyakkan adalah merupakan sentuhan Arwah Yasmin Ahmad yang merupakan Pengarah Eksekutif Kreatif Leo Burnett.

Arwah Yasmin dan iklan raya seolahnya sinonim, kerana beliau banyak menghasilkan iklan raya untuk syarikat Petronas. Malahan Arwah Yasmin pernah dianugerahkan Pengarah Terbaik di Malaysia Video Awards melalui iklan Forgiving pada tahun 1999.

Pada pandangan aku, iklan-iklan Arwah Yasmin mampu untuk mengaul dan memancing emosi khalayak untuk menyelami apakah kenikmatan hari raya pada ertikata sebenarnya. Dan yang lebih aku suka berkaitan iklan-iklan Yasmin ialah beliau suka mengangkat lapis kelas bawahan di dalam iklan-iklannya. Ya, kita nampak pengayuh beca, kanak-kanak kampung, rumah buruk, kereta buruk melalui iklan beliau. Cuba kita taakul mengapa Arwah lebih suka mengangkat golongan lapis stratifikasi bawahan ini berbanding sambutan raya golongan atasan?

Keistimewaan iklan Arwah Yasmin ini pada aku ialah pada (1) Mesej dan kuat nilaian ambiguitinya (2) Naratif yang menarik dan tidak klise, juga lagu temanya (3) Elemen menyentuh perasaan dan membuai emosi. Malahan aku merasakan iklan-iklan yang berdurasi kurang 5 minit ini adalah “terlampau baik” berbanding filem-filem tayangan Aidilfitri mahupun drama-drama swasta bertemakan Aidilfitri.

Mari kita lihat antara hasil tangan karya Arwah.




















Cuba anda buat perbandingan iklan-iklan Arwah Yasmin dengan iklan raya Petronas 2010. Apa perbezaannya?




Baru-baru ini kita digemparkan dengan iklan raya TV3 2010 yang ditarik-balik siarannya kerana dihentam teruk oleh sebahagian komuniti masyarakat yang sangat skeptikal kepada “lambang-lambang”, “logo” dan “istilah”. Oh ya, iklan TV3 ini dihasilkan oleh Douglas Khoo Hong Seng iaitu merupakan Pengarah Kreatif TV3 dengan kos penerbitan sebanyak RM200,000. Mari kita lihat kembali iklan “kontroversi” tersebut.




Berdasarkan kepada iklan tersebut aku dapati:

(1) Sebahagian masyarakat sangat skeptikal kepada beberapa “lambang”, “logo” mahupun “istilah”. Mengapa aku berkata sedemikian? Contohnya: cuba lihat kes ada invividu yang mahu mengharamkan jersi Manchester United kerana terdapat logo yang dikatakan mempunyai “lambang” syaitan. Aku ada satu soalan, ada sesiapa dalam dunia ini boleh gambarkan rupa syaitan tu macamana? Ataupun pernahkan kita mendengar cerita pemakai jersi Manchester United jadi penyembah setan? Ataupun pernahkah kita melihat pemain-pemain Manchester United ataupun penyokongnya melakukan ritual untuk memuja syaitan sebelum perlawanan bermula? Hakikinya, samada kita sedari atau tidak atau memakai baju MU atau tidak sekalipun, kebanyakkan kita mahupun aku sendiri kerapkali tewas dengan godaan syaitan.

Atau cuba lihat contoh sesetengah masyarakat yang skeptik dengan “istilah”. Kebanyakkan kita sangat takut kepada istilah-istilah seperti liberal, Freemason, Illuminati etc etc. Cuba lihat kes filem Lelaki Komunis Terakhir yang diharamkan hanya kerana ia dikatakan cuba menyalurkan unsur-unsur komunisme sedangkan hakikatnya ianya 100 peratus berasaskan buku autobiografi Chin Peng: My Side Of History. Adalah sangat ironikal apabila buku tersebut bebas beredar dan laris di pasaran , tetapi dokumentari yang dibina berdasarkan buku itu pula diharamkan.

Atau lihat contoh filem Perempuan Berkalung Sorban(yang juga karya adaptasi daripada buku dengan judul yang sama karya Abidah El Khaliqy) yang mahu diharamkan atas alasan unsur-unsur liberalisme, walhal ia adalah sebuah filem yang mewajahkan Islam daripada sisi yang jarang kita mahu ambil peduli atau fahami.

Begitulah halnya berkaitan dengan iklan TV3 ini. Mengapa kita begitu skeptikal dengan perkaitan iklan tersebut dengan teori-teori Freemason, Illuminati dan cuba menyalur unsur yahudi. Aku kurang faham mengapa sebahagian kita terlampau taksub dengan benda-benda pelik semacam itu. Tidakkah kita sedar bahawa kita hidup dalam lingkungan barangan Yahudi? Yang paling aku tahan ialah wujudnya group di facebook yang menyelar unsur Freemason atau Illuminati iklan TV3 tersebut tetapi tidakkah mereka berfikir bahawa facebook yang mereka gunakan itu dihasilkan oleh siapa?

Kita mungkin amarah berkaitan isu pluralisme, tetapi sedarkah kita bahawa kebanyakkan “falsafah raya” atau “hakikat raya” kita sudah bercampur-aduk dengan pelbagai perkara yang tiada asalnya daripada nas Al-Quran ataupun Hadis.

Hakikatnya, sebahagian daripada kita masih dibelenggui “bayang-bayang fantasisme” yang jika tidak dibendung akan mewujudkan pula “gejala fanatisme”. Ya, ia sinonim dengan politik kepartian dan perkara-perkara semacam ini.

(2) Daripada sisi yang lain, kita mungkin menolak iklan tersebut kerana ia ditonton oleh kanak-kanak yang belum mencapai tahap berfikir setanding orang dewasa. Kanak-kanak belajar melalui pemerhatian dan televisyen merupakan salah satu benda wajib dalam tumbesaran seseorang kanak-kanak. Secara motivasinya, apa yang menarik untuk ditonton dan mudah ditutur akan menjadi ikutan si kanak-kanak tersebut. Ya, Parlov telah membuktikan tentang ini.

Seharusnya TV3 sensitif dengan perkara-perkara semacam ini. Dimana relevannya Penasihat Syariah TV3?

Perkara ini sebenarnya pernah dibangkitkan oleh bekas Mufti Perlis iaitu Dr Asri yang menyuarakan pandangannya bahawa setiap produksi atau pembikin filem perlu mempunyai panel syariah agar setiap penghasilan samada filem, drama atau apa sahaja medium cereka yang mahu dihasilkan perlulah berdasarkan kepada landasan Islam.

Jika tiada, maka akan terjadilah kes-kes semacam iklan TV3 ini.

(3) Iklan TV3 ini secara tidak langsung membuka perdebatan pro dan kontra, positif dan negatif dikalangan kita. Polemik ini mencambahkan idea-idea yang bernas, kreatif dan kadang-kadang tidak masuk akal. Ya, kadang-kadang kita suka mempolemikkan benda-benda kecil berbanding isu yang lebih perlu untuk kita berikan tumpuan.

Pada aku, untuk masalah iklan di TV3 itu tiada siapa yang salah dan tiada yang betul dan kita tidak berhak untuk menyatakan bahawa “pendapat ko salah, pendapat aku betul”.

Kita mempunyai akal fikiran waras yang dikurniakan oleh Tuhan untuk berfikir, jadi berfikirlah.

nota review-filem: Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Dan Batin, video klip (merupakan kegemaran aku) dibawah aku tujukan kepada semua pembaca!

23 Ogos 2010

Ulasan Perempuan Berkalung Sorban(2009)



Bersempena dengan bulan Ramadhan Al-Kareem ini aku ingin mereview filem-filem bergenrekan Islam(ada beberapa filem yang akan aku review antaranya Syurga Dunia dan beberapa filem yang lain). Oh, sebelum itu, aku rasa belum terlambat untuk aku mengucapkan "Selamat Menyambut Bulan Ramadhan" kepada semua pembaca blog ini.

Apabila kita bercakap tentang filem-filem bergenre Islam ini mungkin kebanyakkan daripada kita condong kearah filem-filem dari Iran. Ya, Iran mempunyai “industri” filem yang sangat mantap dan industri kita sememangnya sangat jauh ketinggalan berbanding Iran.

Industri kita “mungkin” ada filem-filem bergenre sebegini namun kebanyakkannya sangat lemah naratifnya dan isu yang cuba dibangkitkan sangat klise. Dan adalah lebih malang lagi apabila ada diantaranya hanya sekadar pseudo-Islamik, namun hakikinya sangat mungkar dan bertentangan daripada landasan “sirotol-mustaqim”.

Aku sebenarnya malas nak review filem-filem dari Iran kerana mungkin filem-filem tersebut sangat susah untuk kita cari di Malaysia(kadang-kadang jatuh tahap rare jugak). Jadi, aku mengambil keputusan untuk mengreview filem Perempuan Berkalung Sorban ini supaya pembaca-pembaca blog ini sama-sama dapat mencari DVD filem ini dan mentadabbur apa yang cuba disampaikan didalamnya.

Perempuan Berkalung Sorban ini diarahkan oleh Hanung Bramantyo. Untuk pengetahuan semua, Hanung adalah merupakan pengarah kesukaan aku dari Indonesia selain Riri Reza. Karya Hanung yang pernah aku tonton ialah seperti Catatan Akhir Sekolah(2005), Lagenda Sundel Bolong(2007) dan karya suksesnya Ayat Ayat Cinta (2008).

Filem ini merupakan sebuah adaptasi daripada sebuah novel yang menggunakan judul yang sama karya Abidah El Khaliqy. Sebelum ini Hanung telah mengarah sebuah filem Ayat-Ayat Cinta(2008) juga adaptasi daripada sebuah novel best seller karya Habiburrahman El Shirazy. Dan yang paling penting, Hanung ini berkahwin dengan seorang wanita bertudung yang sangat superb iaitu Zaskia Adya Mecca. Kalau korang nak tengok tengok minah ni cuba tonton Kiamat Sudah Dekat(2003), Ayat Ayat Cinta (2008) atau drama Para Pencari Tuhan(yang sekarang tengah tayang kat Astro Oasis). Dan dia pernah hot sebentar dengan isu gambar merokok. Eh, ni blog review filem ke gossip artis?

Salah satu sebab mengapa aku suka Hanung(selain bab Zaskia) ialah kerana Hanung sangat teliti dalam penghasilan karya adaptasinya. Cuba lihat Ayat-Ayat Cinta(2008), kalau dilihat pada babak si Fakhri(lakonan Fedi Nuril) dilepaskan daripada segala tuduhan itu kita lihat babak itu sewajarnya dijadikan penamat kepada filem tersebut, kerana pada aku babak itu sangat cantik untuk mematikan filem tersebut dengan “happy-ending”. Ironikalinya, Hanung membawa semangat novel yang sangat kuat dalam filemnya dimana babak terakhir di dalam novel juga adalah merupakan babak terakhir didalam filemnya iaitu watak Maria(lakonan Carissa Puteri)mati ketika bersembahyang. Di sini kita nampak bagaimana telitinya Hanung dalam bekerja.

Satu perkara yang aku kurang faham dengan karyawan di Malaysia, mereka agak kurang suka dengan karya adaptasi. Mengapa ya? Mujur dewasa ini sudah ada segelintir karyawan yang sudah buka mata dan mencuba untuk mengerjakan karya adaptasi antaranya seperti Lagenda Budak Setan, Karipap-Karipap Cinta, Hanyut, sekadar menyebut beberapa nama.

Secara peribadi, aku mengakui bahawa aku sangat menyukai filem ini.

Pertamanya ialah kerana Revalina S. Temat(jangan tonton “aksi-aksi panas” Revalina dalam filem ini pada siang Ramadhan kerana walaupun memeran watak wanita bertudung sepanjang filem ini tapi awas pada "bahasa tubuh" si cantik-manis ini. Ya, Revalina menang pelakon wanita terbaik dalam Indonesian Movie Awards 2009 untuk filem ini).

Keduanya ialah kerana ia mirip-mirip filem dari Iran samada isinya, ambiguitinya, sinematografinya mahupun mis en scenenya.

Filem Perempuan Berkalung Sorban ini pada asasnya adalah berkisarkan wanita, tetapi lapang sasar khalayaknya bukan sekadar untuk wanita tetapi untuk semua. Ia bercakap tentang woman-right atau emansipasi wanita pada lidah pseudo-islamik(pada wajah sebahagian khalayak yang mengatakan filem ini liberal), namun sebagai manusia yang diberikan akal, kita semestinya mampu untuk mencari-gali mana yang hakiki dan mana yang menyimpang dan aku berasakan sangat tidak adil jika kita menjatuhkan karya ini sebagai karya liberal, disaat kita masih tercari-cari hidangan mapan sebagai santapan rohani dan mentaliti.

Ia mengisahkan seorang wanita Muslim bernama Anissa yang hidup dalam lingkungan keluarga Kiyai disebuah pesantren yang agak konservatif. Annisa mempunyai seorang bapa dan ibu serta 2 orang adik lelaki.

Apabila besar Annisa bercinta dengan pemuda bernama Khudori, yang selalu menemani Anissa. Secara diam-diam, Anissa telah diterima untuk menyambung pelajaran ke Yogyakarta dan pakwenya iaitu Khudori melanjutkan pelajarannya ke Kairo. Malangnya niat tersebut terbantut kerana bapanya tidak mengizinkan dengan alasan;seorang perempuan yang belum menikah hendaklah berada disamping keluarganya.

Akhirnya Anissa telah dinikahkan dengan Samsudin(seorang yang nampak alim luarannya, tapi kuat seks). Akibat nikah paksa yang tidak membahagiakan ini meleretkan Annisa kepada kancah ketidakbahagiaan dan plot filem ini berjalan kepada isu khalwat, perceraian Annisa, bapa Annisa meninggal, Annisa menyambung pelajaran, berkahwin dengan Khudori, isu membangun pesantren bapanya, polemik ugutan si Samsudin, kematian tragis Khudori dan akhirnya membawa kepada satu “happy-ending” bagi watak Annisa ini setelah puas bergenang dengan air mata.

Filem ini boleh dikatakan kesemuanya berteraskan wanita, samada naratif ataupun skop penceritaan mahupun ambiguitinya. Lihat watak utama Annisa(bermaksub perempuan jika diterjemahkan kepada bahasa melayu), isu berkaitan wanita, kritik sosial berkaitan isu berat sebelah antara gender(lihat dialog “Islam tidak adil kepada perempuan” atau “Allah selalu menyebelahi lelaki”), patriarki, ketidaksamaan hak antara lelaki dengan perempuan(babak anak lelaki dibenar berkuda, babak anak perempuan tidak atau babak anak perempuan tidak dibenarkan belajar jauh), isu sexual harassment terhadap wanita, isu wanita hanya sekadar objek seks dimata suami;“bukan pelengkap”, malahan shot-shotnya juga “sangat kuat keperempuanannya”(babak perempuan membasuh baju, perempuan berjual-beli, perempuan membuat itu, perempuan membuat ini). Pendek kata, filem ini adalah berasaskan pada satu topik yang tidak lari daripada tajuknya iaitu perempuan/wanita.

Filem ini sememangnya penuh dengan hujah-hujah(samada nas atau logik akal) untuk mengangkat kaum wanita bukan sekadar kaum kelas kedua. Cuba lihat babak Anisa(ketika masih kecil) sebegitu cerdik mengeluarkan nas hadis untuk membidas hujah ayahnya kerana tidak membenarkannya menunggang kuda.

Ada babak-babak yang aku rasa terselit ambiguiti dan kritikan sosial yang mampu membuat khalayak berfikir(dan aku malas nak mengulas, cuma aku nak bagi poin dia sahaja), antaranya ialah:

-Babak Pak Kiyai memberitahu perempuan tidak boleh menjadi ketua. Cuba lihat babak Annisa ditolak daripada menjadi ketua kelas hanya kerana dia seorang perempuan. Persoalannya adakah perempuan tidak boleh menjadi ketua di dalam Islam?

-Dialog “Islam tidak adil kepada perempuan” atau “Allah selalu menyebelahi lelaki”. Ini perlu kepada pemahaman dan penelitian yang mendalam. Ayat ini sewajarnya ditafsir daripada wajah logik akal sahaja atas apa yang berlaku keatas diri Annisa. Kekecewaan, ketidakseimbangan hak dan patriarki, memungkin mengapa Annisa berkata sedemikian. Ia hanya sekadar luahan Annisa atas apa yang berlaku keatas dirinya dan tidak semua perkara yang berlaku keatas Annisa menimpa perempuan-perempuan yang lain. Hakikinya, disebalik kata-kata itu, Annisa masih menunjukkan emansipasi dan efikasi kendiri untuk bersaing setaraf dengan kaum lelaki, malahan seorang wanita yang taat kepada perintah Allah(sentiasa bertudung hatta di depan suaminya sekalipun).

-Berebut minum air dan makanan Pak Kiyai. Mungkin ada yang mengatakan orang-orang alim dan abid adalah manusia yang dekat dengan Allah SWT, namun satu persoalan adakah semua itu mampu untuk memberi syafaat kepada kita nanti atau bolehkah keberkatan itu dikongsi?

-Babak ceramah Pak Kiyai yang membosankan, hingga ada anak muridnya tidur. Ini kritik sosial yang tepat kepada pak-pak imam di Malaysia khususnya ketika khutbah Jumaat. Jadi jangan marah jikalau ada diantara jemaah yang diulik mimpi(hingga berdengkur) ketika mendengar khutbah jumaat.

-Babak Pak Kiyai tidak membenarkan Annisa bertanyakan soalan, babak Annisa tidak boleh menyambung pelajaran, babak seludup buku, babak Annisa bagi cadangan ingin membuka perpustakaan dan mengajar penulisan ditolak oleh pihak pengurusan pasentren ataupun babak anak murid Annisa cabut sekolah untuk pergi ke bengkel menulis. Babak ini mempersoalkan adakah Islam menyekat kepada ilmu? Atau adakah Islam mengharamkan perempuan menulis atau membaca buku?

-Babak hudud(merejam sampai mati bagi orang yang berzina). Benarkah kaedah, prosedur dan pelaksanaannya?

-Samsudin memuaskan nafsu dengan “cara yang salah” dan ingin memuaskan nafsu ketika si isteri sedang bersedia untuk bersembahyang.

-Ulama-ulama yang hanya tahu bercakap tetapi tidak mampu melakukan apa yang dicakapkannya. Lihat babak anak Pak Kiyai menonton cerita porno. Ini mengkriktik sikap hipokrasi sesetengah daripada kita.

-Isu holier-than-thou, satu pihak sahaja yang betul(bapa Annisa, suaminya Samsudin, Pak Kiyai, adik-adiknya), manakala pihak satu lagi(Annisa dan konco-konconya) sinonim di pihak yang salah walaupun hakikatnya mereka juga mempunyai pandangan tersendiri.

-Menggunakan nas-nas Al-Quran atau Hadis bertujuan untuk kepentingan diri. Lihat babak, Samsudin menggunakan hujah bersandarkan kitab-kitab thurast untuk melempias nafsunya terhadap Annisa.

-Tak boleh menonton sinema hukumnya haram. Kalau sinema haram, jadi apa hukumnya berjalan di pusat membeli belah yang mempunyai segelintir pengunjung yang tidak menutup aurat, malahan ada yang melakukan maksiat(berpegang tangan etc etc) atau apa hukum menonton television yang menayangkan pelakon yang tidak menutup aurat?

-Pak Kiyai yang sifatnya hanya mahu/tahu marah sahaja. Adakah ini sebetulnya perangai yang sewajarnya ditunjukkan sebagai seorang guru?

-Isu kawin paksa.

-Kritik budaya mahu menghukum sahaja tanpa siasat, mentadabbur atau selidik.

-Babak membakar buku merupakan perumpamaan kepada penyekatan pembudayaan ilmu.

Di sebalik berfikir tentang kesemua perkara diatas, ada perkara-perkara tambahan yang aku suka tentang filem ini, antaranya:

-Filem ini membawa semangat filem-filem keIslaman Iran, dimana setiap masa pelakonnya bertudung.

-Sinematografi filem ini memang A! Terbaik, cuba lihat kesemua shot babak di tepi pantai.

-Lakonan pelakonnya memang mantap, ada yang mengkhayalkan, ada yang memualkan, ada yang mengjengkelkan. Pendek kata, kita dapat merasakan momen marah, sedih, emosi, tertekan dan sebagainya. Malahan bahasa tubuh juga sangat menjadi(tengok babak menunjukkan Kalsum mengandung atau babak Annisa mahu berzina dengan Khudori). Sayangnya si isteri Hanung tidak berlakon untuk filem ini. Tapi ada “babak pemalas” oleh Hanung, contohnya babak pakwe Annisa(Khudori), asyik-asyik keluar ditempat yang sama sahaja(dimeja tepi tingkap) dan perbuatannya hanya satu iaitu menulis surat.

-Siti Nurhaliza menyanyi untuk lagu tema filem ini.

Kesimpulannya apa kata korang tengok DVD filem ini dan apa kata kita kongsi pendapat tentang filem ini?

nota review-filem: berbuka sampai tak boleh bangun, pastu layan Geng Surau. Jangan lupa 7.30pm setiap Selasa-Sabtu di Astro Oasis.

09 Ogos 2010

Ulasan filpen Maskara Shorties 2010



Ini kali pertama aku ke Maskara Shorties dan mungkin aku akan ke event ini lagi jika berpeluang dan ada umur, kesempatan. Ini sedikit review filem pendek yang aku sempat tonton dan ada yang tidak(mungkin terlelap atau membeli maggi).

Jutaan tahniah dan terima kasih aku ucapkan kepada Sindiket Soljah atas usaha gigih mereka tanpa penat dan lelah menganjurkan event yang sangat bagus semacam ini.

Ulasan mantap: Bin Filem

3 Hantu Silap Mata
Aku pernah menonton cebisan-cebisan lawak busking ini dalam filem atau drama melayu. Misalnya Gila-Gila Pengantin Remaja(2004). Filem pendek ini berkisarkan 3 orang cuba merebut hati makwe lalu mereka melakukan pelbagai macam cara untuk mengorat awek berkenaan.

Low Budget Love
Pada aku, ini filem paling jujur jika ditaakul dari konteks permulaan sebuah kisah cinta antara romeo dan juliet, atau uda dengan dara. Kisah ini merupakan pra-sesebuah kisah cinta, yang kesemuanya akan diinterpretasi atau di“mind-set” sebagai manis, wangi hatta bau kentut setelah memakan petai. Kisah ini mungkin kisah aku, atau mungkin kisah sesiapa sahaja yang mengenal apa itu cinta.

Ia berkisarkan perjalanan 2 orang kekasih yang sedang asyik bercinta, kesana kesini berpegangan tangan, melambangkan ikatan cinta mereka. Ya, kisah ini kisah pasangan marhain lapis sederhana didalam masyarakat. Kisah ini berjalan atas tajuknya, low budjet love, jadi kita nampak kesederhanaannya(jika kita tafsir dari sudut material-makan berkongsi, pegi kedai cincin, tapi tak beli pun), tetapi ia bukan batu penghalang kepada perasaan cinta antara kedua pasangan itu.

Aku suka babak di Ricecooker(saper tak tau kedai nih memang tak true!), si uda menyanyi lagu cinta yang melentokkan emosi si dara lalu dibalas dengan kucupan petanda sayang. Ya, momen itu seolahnya mengingatkan aku kisah sewaktu aku muda-muda dahulu.

Seolahnya, yang ini adalah prekuel kepada filem Untitled oleh Ares Bahar, selepas babak memilih cincin tanda mengikat janji, namun kesudahannya menimbulkan tanda-tanya, jadi atau tidak? Maka menonton filem Untitled merungkai jawapan jika jawapannya negatif :)

Lawan
Serius yang ini memang lawak dan aku yakin orang yang menonton juga sependapat dengan aku.

Filem ini menghadirkan rasa lawak yang datang secara natural kerana aku merasakan muka kesemua pelakonnya bukan muka pak lawak, dan lawak mereka bukan hadir dengan cara mereka membuat muka yang-ntah-apa-apa-ntah, untuk menyajikan rasa lawak yang dibuat-buat atau memaksa khalayak ketawa ala-ala Senario.

Ia mengisahkan 4 orang usahawan melayu yang membuka kedai burger dan bersaing antara satu sama lain untuk menambat hati pelanggan agar melariskan jualan burger mereka. Lalu kita dihidangkan dengan lawak salah masuk kedai, lawak lambang mcD yang dipasang terbalik, lawak Mc Flury, lawak kecek klate dan macam-macam lawak lagi.

Aku merasakan seolah aku membaca blog pipiyapong yang “dijelmakan” dalam bentuk filem, namundalam pada masa yang sama, ia terselit mesejnya yang tersendiri. Cuba lihat babak, orang kecek kelate kutuk “mamat berlagak along”, tiba-tiba si mamat tu terdengar dan pandang belakang nak carik suara siapa yang kutuk dia, tiba-tiba kesemua mereka buat-buat sibuk seolah-olah tak ada siapa yang bercakap. Memang pipiyapong!

Dari sisi yang lain, filem ini menggambarkan rencah-karenah persaingan kurang sihat peniaga-peniaga menurut acuan melayu, lalu filem ini mengkritik-sosial karenah tersebut yang hadir dalam bentuk lawak.

Sujud
Yang ini memang terbaik! Walaupun filem ini terlalu simple namun ia membawa mesej yang agak berat.

Filem ini bermula dengan long-shot azan(keseluruhan)lalu dibuka juga dengan long-shot babak 2 orang sahabat yang sedang tidur lena. Apabila sampai kalimah “Haiya alas solah”-marilah sembahyang, maka sahabat yang berada disisi kanan kita(hadapan penonton), bangun lantas bersembahyang subuh, manakala rakannya dikiri, terusan asyik diulit mimpi indah. Kita lihat mesej “watak kanan” dan “watak kiri” dan persepsi konteks ajaran Nabi berkaitan keutamaan yang kanan berbanding yang kiri. Pemulaan kanan biasanya lebih barakahnya berbanding pemula yang kiri. Nampak tak “watak kanan” kebiasaannya sama dengan baik/positif, manakala “watak kiri” adalah sebaliknya. Ini normal, protagonis=“watak kanan”=rakan yang bersembahyang, antagonis=“watak kiri”=rakan yang tidur. Nilaian ambiguiti ini walaupun tersirat, tapi pada aku jatuh tahap klise sebab kita banyak jumpa ini dalam drama-drama melayu. Cumanya, mungkin aku lebih teruja jika “watak kanan” dikirikan, manakala “watak kiri” dikanankan. Mungkin lebih mendalam lagi lapisnya.

Aku suka shot apabila si watak baik sujud, maka rakannya juga bersujud(dalam tidor), nampak comel tapi mendalam. Lantas, ini menyampai kepada mesejnya dan tajuknya.

Filem ini berlegar pada 2 babak iaitu babak azan dan babak bersembahyang yang dishot dengan shot yang panjang(azan penuh dan sembahyang subuh yang sempurna 2 rakaat), tanpa dialog. Yang ada hanya bahasa tubuh.

Disini kita nampak pilihan, baik atau buruk, negatif atau positif, syurga atau neraka, dan ianya seolah dipisah dengan garisan halus(kerja kamera yang shot kedua watak), dan kita berhak memilih mana yang lebih baik.

Kita juga nampak unsur efikasi kendiri si watak baik(semangat untuk bangun subuh), yang menurut pesanan ustaz aku; “jika ada ahli bina badan yang mampu untuk mengangkat beban sehingga 100 kg disiang hari, namun belum tentu dia mampu untuk mengangkat kelopak matanya(yang beratnya tidak sampai 1 kg), ketika waktu subuh menjelma”.

Filem ini menyalur dakwah ala-ala ustaz dan ustazah aku yang selalu berpesan, tepat atas muka(bagi yang rasa filem ini “lama”); “kita nih kalau duduk tengok filem, 2-3 jam rilek jer, tapi bila sampai time semayang, pak imam zikir 4-5 minit, kita cabut lari dah..”

Filem dakwah bukanlah setakat sebuah filem yang memerlukan syarahan yang membosankan dan berjela-jela, atau filem yang menghalalkan gay, lesbian, hubungan sejenis, lalu dinilai dan ditafsir oleh pengarahnya sebagai filem bermesej dakwah(aku tak faham, niat nak berdakwah tetapi yang dihidangkan ialah benda-benda negatif, lalu dimana nilaian dakwahnya? Atau ketam mengajar anaknya berjalan tegak?)

Cumanya jikalau filem ini disambung dengan scene si watak baik tadi mengejutkan kawannya mungkin ia akan lebih berkesan.

Babi Itu Khinzir
Dialog 2 orang sahabat yang duduk bawah jambatan, sedang memperbetul sesama sendiri satu istilah-merupakan judulnya(yang sama maksud sebenarnya), diadun dengan nuansa politikal(jika ditadabbur) dan diselangi dengan makian-makian carutan klise anak-anak muda zaman sekarang.

Nasi Lemak RM1.20 Yang Marvellous & Fringetown
Yang ini aku pegi tengok stuff atas meja, jadi rasanya tidak adil kalau aku ulas.

Penumpang
Yang ini juga kesukaan aku malam itu! Menonton filem ini mengingatkan aku kepada filem pendek Meter lakonan Khairi Jamaluddin, kerana sama subjeknya iaitu berkaitan pemandu teksi.

Filem pendek ini berjalan dengan satu shot panjang kamera yang diletakkan di depan teksi tanpa sebarang dialog daripada watak.

Dari segi sinematikalinya memang amatur habis, dengan bunyi angin yang kuat, dengan pencahayaan kamera terlindung cahaya matahari, namun ia mempunyai lapisan didaktik yang sangat baik untuk dikongsi.

Ia bercerita tentang survival kehidupan, tentang lapis kelas sederhana stratifikasi hidup masyarakat marhein di Malaysia. Ia seolah menyampai mesej tentang betapa susahnya mencari sesuap nasi didalam meneruskan kelangsungan hidup.

Pada aku, karya ini adalah karya yang “bijak”. Aku sebetulnya ingat penumpang kedua itu juga adalah penumpang, rupanya aku tertipu. Kita nampak bagaimana si pengarah “memusing” dan “meletakkan keyakinan” di kepala kita bahawa penumpang kedua adalah penumpang biasa, tetapi rupa-rupanya kita tertipu. Si penumpang kedua itu adalah anak dia sendiri(yang kita dapat simpulkan diakhir cerita ini-dengan babak si pemandu teksi berhenti dan simpan teksi depan rumah).

Ia juga bercakap soal tanggungjawab dan istilah nafkah kepada keluarga. Disamping mencari nafkah(babak membawa penumpang pertama), tanggungjawab kepada keluarga jangan dilupa(babak hantar anak sendiri balik rumah). Kita nampak perlu ada keseimbangan antara (1)masa mencari nafkah dan (2)masa untuk keluarga.

Ya, ada terselit kritik sosial pemandu Malaysia yang sifatnya kurang sabar diatas jalan raya!

Badut
Ia bercerita tentang umat Islam, PBB, pak arab dan isu “keprihatinan bermusim” kita terhadap isu Palestin.

Aku rasa yang ini sangat sesuai untuk ditayangkan kat pak-pak taikun arab, bagi mesej kat depa, daripada habiskan duit berjuta-juta taja kelab EPL, apa salahnya duit tu bantu rakyat Palestin beli senjata, boleh?

Untitled
Aku suka yang ini!

Aku tengok filem ini awal-awal aku dah boleh bajet ini adalah filem bunuh diri. Ya, sebab ada klorok depan tv.

Tapi jaga-jaga, para moralis pasti akan melenting dengan filem semacam ini sebab menggalakkan anak muda yang frust menghadapi masalah memilih jalan mudah iaitu membunuh diri.

Ianya berjalan dengan semangat cinta yang kukuh antara 2 watak, satu uda dan satu dara, mereka berjanji sehidup semati ibarat babak cult “you jump, I jump”-Titanic. Apabila usaha mereka untuk “hidup bersama” dihalang, lantas mereka memilih jalan singkat iaitu untuk “mati bersama”. Tak dapat hidup bersama, mati bersama pun jadilah.

Malangnya kita nampak kecurangan cinta si dara dalam filem ini. Setelah si uda meminum racun, si dara pula berpatah arang, tidak mahu mengikut si uda. Disini kita nampak cinta boleh datang dan cinta boleh berlalu begitu sahaja(ikut situasi-bila terdesak cinta hilang terus) dan pada asasnya, mereka diberi pilihan apabila berada dalam dilema(samada mencari solusi atau membunuh diri), tetapi mereka lebih suka jalan singkat(bunuh diri).

Lalu si uda membunuh si dara dan berakhirlah filem tragis ini.

Pertama
Aku tak tengok sebab pegi tengok stuff lagi. Penat woo duduk lama-lama atas kerusi!

Sunrise
Aku rasa momen filem ini macam satu babak daripada filem Laskar Pelangi dan satu watak didalamnya iaitu watak Lintang. Sinematografi, isi, mesej memang terbaik!

Mamat
Sebuah interview jujur antara Ajami Hashim dan Mamat Khalid. Filem ini memang slumber tapi bermesej!

Ikan Langka
Aku terlepas filem ini..

6 Lorong
Ia tentang Pasir Gudang, sebuah bandar yang sedang giat membangun di selatan tanah air. Watak utama Timmy(YAD) bercerita tentang isu jem, bola sepak dan Pasir Gudang.

Aku akui menonton yang ini seolah menonton iklan di TV3 ala-ala iklan Petronas. Ya, Syed memang berbakat besar sebagai jurukamera. Buktinya sinematografi yang kemas dalam filem ini.

Ada shot Menara Aqabah, shot bunga api, shot mak cik-mak cik disaat perasmian Pasir Gudang sebagai Majlis Perbandaran.

Tahniah Syed! Lepas nih boleh ganti Arwah Kak Min buat iklan kat TV, aku tau ko berbakat bro!

The Colour Of Ideas
Ini kuat mesej politikalnya tentang gerombolan(konsep 2 parti-kerajaan dan pembangkang), isu kebebasan bersuara dihalang, istilah bersatu, kesemuanya disampaikan melalui manik-manik kecil yang berwarna-warni.

Kiamu
Isu klise buli disekolah, pelajar senior membuli pelajar junior.

Dari sudut editing memang sangat kemas, sampaikan ada satu babak seolah-olah babak mencari benda tersembunyi(babak cari kesalahan si junior-rupa-rupanya tak tutup lampu)

Apabila sampai bab berkaitan isu kematian(pelajar dipukul hingga mati), ia seolah mengundang emosi penonton, untuk berasa sebak bersama.

Pemandu Pelencong
Aku pun tak tau nak review filem ini macamana sebab Tok Rimau dan Jimbo adalah idola aku. Kalaulah aku boleh kembali semula ke darjah satu, time cikgu kelas tanya cita-cita aku, pantas aku akan jawab; “saya nak jadik Tok Rimau atau Jimbo bila besar nanti..” : )

Apa yang aku boleh katakan ialah ia merupakan penghasilan filem pendek terbaik dekad ini. Bukti emperikal wujud/hadir secara natural ketika filem ini dipertontonkan dimana ia mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penonton yang bertepuk tangan dan bersorak untuk filem ini.

Sangat mengujakan!

Sroq
Lawak ala-ala drama lawak tak masuk akal, Alamak(dah masuk musim kedua) kat Astro.

a li folie
Tentang kisah cinta dua orang pasangan kekasih yang diselang-selikan dengan isu berkaitan transeksual. Aku tak berapa dengar sangat dialognya kerana kurang jelas.

Sepi Seorang Abdillah
Sebuah dokumentari berkaitan Pipiyapong, blogger tersohor Malaya abad ini. Ada shot Pipi tengah makan kat mamak, shot Pipi tido(ada 2 kali), Pipi basuh baju, Pipi main gitar, diselang-selikan dengan interview bersama bapa Pipi dan rakan-rakan se-Soljahnya.

Pada aku, nasihat yang dinukilkan oleh bapa Pipi itu bukan setakat hanya sekadar nasihat untuk Pipi sahaja, tetapi ianya untuk kita semua semua.

Preview Hanyut, Hantu Kak Limah Balik Rumah dan Karipap-Karipap Cinta
Aku rasa tak adil kalau aku hanya ulas preview filem ini. Tunggu tayangannya nanti, apa-apa pun aku memang teruja dengan ketiga-tiganya!

nota review-filem: tak berapa kenal peminat-peminat filem yang ada kat Maskara Shorties, ada beberapa kerat yang aku kenal tapi malu nak tegur, yelah aku ni penulis cabuk jer..

25 Julai 2010

Ulasan filem Mantra(2010)



Sudah agak lama aku menantikan filem genre seram yang lari daripada kebiasaan fikrah klise ‘hantu-hantu industri filem Malaysia’.

Mungkin kita(kita?) sudah muak dan jelek dengan hantu-hantu berbusana putih, berambut mengerbang, mata merah menyala, tangan ada kuku panjang, kadang-kadang nampak bayang-bayang(hantu ada bayang-bayang ke?), hantu terbang-terbang dengan tali(yang kadang-kadang termasuk dalam frame kamera, kerana dibikin cincai), ataupun hantu merangkak ala-ala Ju-on(apa kata kalau ko jumpa hantu ni ko pijak je belakang dia, confirm dia tak boleh nak cekik ko) didalam drama mahupun filem terutamanya terbitan Metrowealth.

Apa yang pasti, David Teo dan Ahmad Idham sudah kaya-raya dengan idea hantu kitaran ini dalam filem-filem mereka dan yang menimbulkan persoalan, mengapa khalayak filem kita masih mahu menonton filem-filem mereka walaupun acapkali dihidangkan dengan adunan klise dan basi.

Mari aku rungkai beberapa elemen yang dikitar berulang kali dalam filem mahupun drama terbitan Metrowealth:

1. Suka memeranjatkan khalayak dengan sound-effect yang kadang-kadang buat aku menyampah. Contohnya kalau hantu muncul mesti akan ada sound-effect yang kuat untuk buat penonton terperanjat. Hakikinya, yang terbina secara naturalis bukanlah elemen seram sebaliknya elemen terperanjat.

2. Plot cerita yang lebih kurang sama. Cuba lihat apa beza cerita antara filem Jangan Pandang Belakang, Jangan Tegur dan beberapa drama terbitan Metrowealth. Kesemuanya mempunyai jalur cerita yang lebih kurang sama.

3. Bab solekan hantu, kesan khas, props, ‘tali menggantung hantu’, semuanya adalah kitar-semula.

4. Perhatikan cara hantu-hantu Metrowealth bergerak, mesti pose dia ‘hantu bergerak kedepan dengan tangan berkuku panjang yang dijulur-julurkan’, ‘hantu ala-ala Ju-on yang datang merangkak-rangkak’ ataupun ‘hantu berbusana putih yang terbang menegak seolah-olah ada tali yang melekat pada tengkok hantu tadi’.

5. Cuba lihat pula cara bagaimana hantu Metrowealth memunculkan diri, ‘hantu muncul ditepi kereta’, ‘hantu muncul kat belakang tempat duduk time kereta tiba-tiba rosak tengah jalan-yang rosak mesti waktu malam’, ‘hantu muncul time-time scene makan dan pastuh hantu sambung makan dalam keadaan gelojoh’, ‘jalan-jalan nak masuk rumah, tiba-tiba hantu muncul kat dalam rumah’, ‘masuk hutan jumpa warung yang tiba-tiba ada, pastuh order makan, bila balik jadik ulat, yang peliknya makanan yang si pelakon order mesti mee goreng’, ‘muncul kat tingkap atau pintu rumah yang terbuka’.

6. Tempat kejadian atau latar penceritaan mesti dikampung yang rumah-rumahnya diperbuat daripada kayu. Jarang sekali hantu berada dibandar-bandar besar seperti di Jalan Telawi ataupun Bukit Bintang.

Aku sebenarnya agak terperanjat apabila mengetahui bahawa filem Mantra ini adalah terbitan Metrowealth. Jarang sekali Metrowealth berfikir untuk mengetepikan seketika soal keuntungan dan bereksperimentasi dengan filem seram semacam Mantra ini.

Pada aku Mantra pada luarannya kelihatan seperti sebuah filem yang baik dan mantap.

Ia pada asasnya mempunyai jalan cerita yang baik iaitu mengangkat tema perbomohan, antara sisi ilmu putih mahupun ilmu hitam. Pujian buat pengarah yang mencuba untuk lari daripada klise naratif filem hantu yang membosankan aku sebelum ini.

Namun jika kita mencari-gali, mentadabbur dalaman filem ini, kita akan dapati filem ini mempunyai banyak kelemahan yang jika dibikin dengan teliti mampu untuk menjadikan filem ini sebagai karya seram terbaik abad ini.

Filem ini mengisahkan dendam Munzir(lakonan Zul Handy Black) terhadap Hasbie(lakonan Husnul Rahmat) kerana merampas isterinya(lakonan Ana Dahlia). Demi menuntut bela, Munzir mendalami ilmu hitam di penjara kebatinan(di Penjara Pudu-yang telah dirobohkan baru-baru ini). Setelah Munzir bebas daripada penjara, maka si Munzir melakukan beberapa serangan batin terhadap Hasbie. Akhirnya kedua-dua mati. Hasbie mati dibunuh Munzir, manakala Munzir dibunuh oleh satu watak hero yang muncul 3 scene sahaja dalam filem ini iaitu watak Tok Imam(lakonan Bob Lokman).

Sebenarnya, aku secara peribadi menyukai filem ini.

Filem ini merupakan filem genre seram kedua arahan Azahari Zain selepas filem Santau. Pada aku, Azahari punyai masa depan yang cerah didalam penghasilan filem yang ampuh jika diberikan peluang, ruang, penulis skrip dan team produksi yang betul-betul mantap.

Untuk filem Mantra ini, idea dan tema yang cuba diterapkan memang mantap, namun ia dirosakkan dengan plot yang berterabur dan pembinaan watak yang mengelirukan.

Cuba lihat babak awal filem ini, tiba-tiba sahaja watak Munzir dilabel oleh mak mertuanya sebagai pengamal ilmu hitam, sedangkan pada malam si Ani itu sakit barulah si Munzir mengorek kubur, yang dilakukannya entah atas tujuan apa, kesemuanya kabur dan memeningkan.

Mengapa Munzir ini tiba-tiba mengorek kubur hingga akhirnya beliau ditangkap dan dipenjarakan di Penjara Pudu?

Juga timbul persoalan, adakah Penjara Pudu ini tidak hanya merupakan penjara untuk pesalah normal, sebaliknya ia juga adalah merupakan tempat mengurung bomoh-bomoh yang melakukan kesalahan. Ataupun sudah wujud peruntukan kehakiman di Malaysia untuk menghakimi kes-kes kebatinan seperti kes-kes santau, sihir, buatan orang dan perkara yang berkaitan. Jika seseorang yang terkena santau dan meninggal dunia, adakah orang yang bertanggungjawab melakukannya akan dibawa kemuka pengadilan?

Watak Hasbie yang dibina didalam filem ini juga mengelirukan kerana dia tiba-tiba muncul atas dasar nafsu iaitu dia mahukan isteri si Munzir. Awal-awal lagi klue bahawa si Hasbie bukanlah satu watak yang baik sudah terungkai kerana dia semahunya mahu berkahwin dengan Ani(dengan memaksa Pak Long meminta surat cerai kepada Munzir). Disini aku sudah menduga bahawa si Hasbie bukanlah satu watak yang baik walaupun kita ditipu dengan pakaian luaran Hasbie yang menampakkan kealimannya.

Watak Pak Long pula banyak dibina dengan babak-babak kebetulan. Mengapa aku berkata sedemikian, cuba lihat babak ketika Munzir melarikan Ani dan anaknya, watak Pak Long ini tiba-tiba berada didepan Munzir dan membebel menyuruh Munzir bertaubat, sedangkan dialah yang bertanggungjawab menyebabkan Munzir berupaya menguasai ilmu hitam tersebut. Kemudiannya, bila ada hantu paya menggertak, tiba-tiba dia melarikan diri ke kubur(entah kenapa dia melarikan diri kekubur pun aku tak pasti) dan sekali lagi unsur kebetulan berlaku, Pak Long berjumpa dengan Tok Imam(entah apa Tok Imam nih buat malam-malam dikubur, aku pun tak pasti).

Malahan latar-belakang filem ini juga sangat mengelirukan, adakah ianya berlatarkan sekitar 70an atau 90an, kita tidak dapat memastikan secara jelas. Ruang sosialisasi dan moderninasi juga agak sempit dan timbul juga persoalan adakah kesemua orang yang sakit hanya bergantung kepada ilmu kebomohan si Hasbie sahaja?

Juga watak-watak perempuan yang mandi pada waktu malam dalam keadaan berkemban(perlukah babak-babak erotik semacam ini?), babak ini memperlihatkan kelemahan berfikir secara total, hangpa dah tahu hantu keluar waktu malam, time-time tulah baru keluar berkemban nak mandi, mengapa tak keluar mandi pada waktu petang sahaja?

Props cerita ini kadang-kadang agak dibuat-buat, cuba anda lihat babak ketika watak si Borhan berbasikal sebelum terjatuh, perhatikan jalan tar yang seolah-olah ditabur dengan daun-daun, nampak sangat palsu. Begitu juga kesan khas yang kurang relevan, contohnya babak Hasbie berpusing-pusing berlawan aura dengan Munzir yang anginnya seolah-olah angin taufan, tetapi bara api yang berada berdekatan dengan tempat tersebut tidak menunjukkan apa-apa bukti emperikal disitu berlakunya ribut taufan.

Namun, aku memuji Azahari atas semangat untuk ‘lari daripada kebiasaan’ dan semangat untuk mencuba sebaik mungkin untuk filem ini.

Ini dapat dibuktikan dengan kajian yang aku fikirkan agak mendalam berkaitan jampi dan mentera berkaitan alam kebatinan ini. istilah-istilah mentera yang digunakan juga agak rare dan jarang kita dengari berbanding kalimah ‘mambang tanah’ ataupun ‘mambang air’ yang sering diguna-pakai dalam filem genre seram yang sering kita tonton.

Ada beberapa babak yang aku fikirkan seram buat diri aku contohnya babak Pak Long menggigit tali ikatan mayat dengan gigi. Yang ini memang agak menyeramkan. Cuba ko tonton filem ini sorang-sorang dalam bilik, pukul 12 malam ke atas, kalau ko nak rasa keseramannya.

Kekuatan filem ini terletak kepada pembawaan watak Munzir dan Hasbie yang ‘menang’ dan ‘berjaya’ ditangan Zul Handy Black dan Husnul Rahmat. Zul memang aku akui mempunyai masa depan yang cemerlang dengan watak-watak gelap semacam ini, manakala Husnul Rahmat, dengan wajahnya yang redup, memang sangat sesuai dengan watak ala-ala ustaz seperti ini. Lakonan Ana Dahlia pada aras sederhana, tapi watak Bob Lokman jadi Tok Imam memang rare! Eh, muka Ana Dahlia iras-iras Wan Nur Azlin erk?

Oh ya, tiada juga hantu-hantu kitaran Metrowealth untuk filem ini, walaupun ia diterbitkan oleh Metrowealth.

Jika anda ingin merasai keseramannya secara mendalam, tonton filem ini time midnight, pastuh balik sorang-sorang ko lalulah mana-mana kubur yang berdekatan. Ulang tayang babak ‘syarat ke-tiga’ dalam filem ini kedalam otak korang. Amacam? Ada beran?

nota review-filem: sedang dalam mood MASKARA SHORTIES! 7 Ogos 2010, Rumah Pena, DBP.

07 Julai 2010

Ulasan filem KAMI(1982)



Aku dah lupa bila kali terakhir aku menonton filem ini. Seingat aku(yang selalu terminum air teh tarik bersemut dimamak), mungkin ketika aku masih bersekolah rendah, masih berhingus dan belum akil baligh. Main bola pun time tu pakai bola Mikasa sebab bola Teamgeist atau Jabulani mungkin masih belum ada dalam kerangka penciptaan arkitek Adidas ketika itu.

Setelah beberapa tahun meniti revolusi fizikali dan lanjutan usia, aku kembali menonton filem ini semalam. Itu pun setelah aku terpancing kerana terpengaruh dengan ulasan seorang rakan yang meng-review filem ini.

Aku sememangnya mempunyai fikrah berfikir bahawa sememangnya agak sukar untuk mencari filem melayu rare seperti ini dipasaran gelap(baca:DVD haram), jadi, sebagai seorang manusia yang menghargai masa(walaupun terpaksa mengorbankan duit), aku pergi membeli VCD filem ini di Music Valley dengan harga mati yang tidak boleh ditawar iaitu RM 9.90, walaupun aku cuba mintak tawar dengan awek penjual VCD tuh.

Oh, aku mulakan ulasan yang langsung tak ilmiah ini.

Filem Kami(1982) ini adalah filem pertama lakonan Allahyarham Sudirman Hj Arshad yang diriliskan oleh Indra Film Productions and Distribution Sdn. Bhd. Filem ini diarahkan oleh Patrick Yeoh, iaitu seorang juruhebah radio yang berkhidmat di RTM. Disamping itu, Patrick Yeoh juga adalah merupakan seorang pengkritik filem.

Sama seperti Dari Jemapoh Ke Manchester(2001), filem ini adalah filem anak muda.

Filem ini berkisarkan tentang anak muda kekampungan bernama Tookoo(lakonan Sudirman) yang mahu keluar daripada kepompong "dunia klise kebanyakkan anak muda" (baca:duduk bawah ketiak mak bapak), lantas mencabar diri sendiri untuk berhijrah ke Kuala Lumpur, yang kita sudah sedia maklum ranjau onaknya.

Filem ini dimulakan dengan babak Sudirman menari lincah dan menyanyi lagu tema filem (lagu Budak Baru) ini yang iramanya agak catchy, lalu dimarahi ibu tirinya kerana watak Tookoo ini sudah menginjak usia dewasa tetapi masih malas bekerja.

Idea babak intro pada aku kurang kuat untuk jadi penyebab utama mengapa watak Tookoo ini melarikan diri dari rumah kerana mungkin jika Tookoo ini berpandangan jauh mungkin dia tidak perlu pergi terlalu jauh hingga ke Kuala Lumpur semata-mata merajuk dengan leteran ibu tirinya. Namun jika kita lihat daripada perspektif psikologis, ia menunjukkan efikasi kendiri yang kuat dibina melalui watak Tookoo ini melangkaui batasan kemampuan yang tidak mungkin mampu untuk anak-anak remaja masakini.

Mengapa aku berpandangan sedemikian?

Cuba bandingkan bagaimana semangat “indiependent” watak Tookoo ini jika hendak kita bandingkan dengan semangat anak-anak indie didalam filem Kami The Movie(2008).

Didalam filem Kami The Movie(2008), kita dihidangkan dengan anak-anak muda indie yang bermain musik tapi masih duduk dibawah ‘tampungan’ dan ‘dokongan’ ibu bapa mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup. Anak-anak muda indie walaupun pada luarannya seolahnya ‘bebas’ tapi hakikatnya mereka masih hidup dibawah tanggungan mak bapak dan apa yang lebih tak indie ialah mereka membeli kaset atau CD kegemaran mereka menggunakan duit mak bapak mereka. Dan yang pasti, kita dapat melihat anak-anak indie ini kesana- kesini hanya mencari hiburan dan keseronokan yang entah apa motifnya, aku pun kurang pasti.

Aku juga kurang pasti apakah anak-anak indie ini tahu apa itu istilah “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang”, ataupun istilah kesusahan tidur dibawah jambatan atau rumah buruk tanpa selimut dan tilam yang empuk, ataupun bagaimana susahnya mencari wang demi sesuap nasi tanpa mengharapkan duit kocek daripada mak bapak.

Hakikatnya yang kita dapat simpulkan, anak-anak indie ini masih belum mampu untuk lari daripada “the comfort zone” ketiak mak bapak mereka dan ini sangat ironikal dengan idealisme filem Kami(1982) ini.

Filem ini seterusnya bergerak kepada pengenalan watak Din. Aku suka cara Patrick Yeoh memperkenalkan watak Din ini. Kita dihidangkan dengan babak Din yang berpakaian compang-camping melalui satu jalan dan dia ternampak anak-anak orang kaya sedang menyambut sambutan party hari jadi dan apabila party itu habis, Din masuk kedalam tempat tersebut dan makan sisa makanan dan mengutip tiupan buangan daripada sisa-baki orang-orang kaya tadi. Disini, kita nampak Patrick cuba mengkritik secara halus ketidakseimbangan lapis stratifikasi sosial antara yang kaya dan miskin.

Ya, filem ini jalurnya berkisarkan jurang antara yang kaya dan miskin. Mungkin simbolismenya menghampiri filem Antara Dua Darjat(1960) tetapi yang ini bukan berkisahkan cinta tertolak kerana darjat, namun lebih kepada persahabatan dua orang sahabat mengharungi ranjau kepayahan lapis stratifikasi kaya dan miskin untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Kemudian watak Din ini ditemukan dengan watak Tookoo disebuah banglo tinggal, tempat Tookoo menginap setelah melarikan diri dari rumah. Dan selepas itu, berlakulah perjalanan hidup keduanya mengharungi cabaran dan dugaan kehidupan demi mencari sesuap nasi.

KEKUATAN:

(1) Antara sebab aku menyukai filem ini ialah idea dan mesej yang cuba disampaikan pengarah kepada khalayak penonton.

Pengarah secara jelas cuba mengangkat tema jurang antara yang kaya dan miskin lalu disampaikan melalui watak Tookoo dan Din melalui kepayahan hidup mereka untuk mencari sesuap nasi. Mereka terpaksa melalui pelbagai rintangan seperti dibelasah orang bangla, dibelasah mamat-mamat gangster, ditipu kapitalis kecil dan pelbagai lagi dugaan, semata untuk mencari rezeki.

Filem ini secara jelas menggambarkan realisme dunia masyarakat kelas ketiga(gelandangan) dan bagaimana susahnya hidup mereka.

Tema semacam ini agak sukar kita dapat dalam filem-filem masakini. Ini kerana, pembikin-pembikin filem masa kini lebih gemar untuk memaparkan aspek-aspek kemewahan, contohnya bekerja di syarikat multinasional, rumah yang sebesar-besar rumah, memakai kereta yang canggih-canggih, gajet canggih-canggih, baju jenama ternama dan lain-lain perkara yang memperlihatkan kemewahan pada tahap yang melampau.

Jarang sekali kita melihat golongan-golongan sederhana ataupun gelandangan diangkat menjadi tema atau watak utama di dalam sesuatu drama ataupun filem, walhal golongan-golongan semacam inilah yang banyak menjadi rencah di dalam mewarnai masyarakat Malaysia kini.

Kita sememangnya tidak dapat lari dari kemiskinan, eksploitasi, kapitalisma, “kais pagi, makan pagi, kais petang, makan petang”, cengkaman kapitalisma, ketidak adilan hierarki, realiti cari-makan, bayar-sewa rumah, isi periuk-nasi, kekurangan materialistik, harga barang naik, yuran persekolahan naik, hutang keliling pinggang dan lain-lain isu seangkatan dengannya, tetapi malangnya kita sering dikaburkan dengan kemewahan yang bukanlah kesemuanya dinikmati oleh masyarakat marhain di Malaysia.

Ini kita dapat lihat melalui babak Tookoo dan Din mencari botol dan menjual surat khabar lama, babak tidur beralaskan kotak, babak makan diwarung, babak minum air paip dan lain lain babak yang menggambarkan bagaimana susahnya golongan dibawah paras kemiskinan ini mencari sesuap nasi.

Oleh sebab itu aku berani mengatakan idealisme filem ini beribu kali lebih baik berbanding filem Kami The Movie(2008).

(2) Filem ini juga sangat keras kritikan sosialismenya, yang lebih kearah kiri. Contohnya babak polis menangkap Tookoo tanpa ada sebab-musabab, ataupun kritikan terhadap kapitalis kecil yang menipu dalam perniagaan mahupun orang tengah yang hanya mahu untung atas angin(babak Tookoo ditipu bayaran setelah penat lelah membasuh kereta).

(3) Filem ini juga mengkritik sensitiviti masyarakat untuk menolong orang yang dalam kesusahan. Ini kita dapat lihat melalui babak Din dilanggar tetapi banyak kereta langsung tidak mahu berhenti untuk menolong Din.

(4) Filem ini juga kaya dengan elemen persahabatan yang kukuh antara watak Tookoo dan Din. Kita dapat lihat ini melalui babak Tookoo sanggup menjual benda yang dia paling sayangi iaitu kaset dan minum air paip semata-mata kerana mahu membeli nasi bungkus untuk Din, yang akhirnya nasi bungkus itu dibuang oleh jururawat. Disini kita dapat melihat aspek pengorbanan dalam persahabatan. Kita juga dapat melihat babak Tookoo berkongsi makanan dengan Din kerana kseiankan Din yang membuat muka kesian kepada tookoo. Juga, kita dapat lihat elemen persahabatan ini melalui babak Din yang lari dari hospital semata-mata ingin hidup bersama Tookoo.

KELEMAHAN:

(1) Antara yang aku tak suka mengenai filem ini ialah kelemahan lakonan pelakonnya. Lihat watak mak tiri Tookoo yang sangat keras lakonannya. Begitu juga lakonan sudirman sendiri yang kadangkala agak kaku juga. Kita lihat babak akhir yang menyatukan kembali Tookoo dan Din, Sudirman agak kurang menghayati babak tersebut. Pada aku elemen sedih yang cuba ditampilkan itu gagal.

(2) Aku juga kurang menyukai dengan elemen ala hindustan(baca:elemen nyanyian)yang kita lihat pada babak Tookoo menyanyi dan menari tak tentu pasal dipasar dan juga Tookoo berimiginasi menyanyi dibatu berlampu warna-warni lalu dikejutkan dengan sergahan Din. Ini serius agak klise hindustani bagi aku.

(3) Terlalu banyak elemen melankolik drama melayu(seperti kebanyakkan drama Rosyam), didalam filem ini, hingga seolah-olah memaksa untuk khalayak sedih walhal babak itu bukanlah terlalu meruntun jiwa. Lagu Pelangi Petang digunakan untuk memancing emosi khalayak penonton, yang kadang-kadang buat aku naik bosan pun ada.

(4) Terlalu banyak elemen kebetulan dalam filem ini. Contohnya Sudirman tiba-tiba dipukul oleh mamat-mamat yang entah dari mana, dan babak lain, dia dipukul pula oleh mamat banngla, dan lepas kena pukul dia dan Din jalan-jalan tiba-tiba jumpa pula basikal mat bangla tadi. Bukankah ini kebetulan?

(5) Sinematografi filem ini juga agak lemah. Aku tak nampak shot-shot yang cantik untuk filem berat semacam ini.

PERSOALAN:

Ada beberapa soalan yang timbul setelah aku selesai menonton filem ini(harap ada yang sudi menjawab):

(1) Mengapa Sudirman dipilih menjadi pelakon sedangkan ramai lagi pelakon berbakat ketika itu?

(2) Mengapa filem ini menengahkan nama pelik Tookoo sedangkan watak yang dibawakan oleh Sudirman ialah watak seorang melayu?

(3) Zaman 80an kita boleh buka radio tanpa hidupkan enjin kereta ke?

nota review-filem: Oh ya, ada siapa-siapa tahu tentang khabar Din sekarang? Dia dah membuktikan kepada kita, dia mempunyai bakat yang besar dalam bidang lakonan.

17 Jun 2010

Ulasan DARI JEMAPOH KE MANCHESTER(2001)

"Baik-baik jalan. Ingat, bila tinggal kampung ni.. nanti kau orang jadi orang lain. Bukan budak kampung lagi" - Pak Cik Polis

"Takkan la macam tu bang.. Kami tak takut apa pun. Tak pergi, kita tak jumpa. Kalau nak selamat, duduk membatu di kampung lah jawabnye..." - Yadi

Aku dah tengok filem nih time aku masih budak-budak lagi. Aku beli VCD filem ni kat Music Valley sebab aku terbaca satu ulasan tentang filem ni kat internet. Review tuh bagitau yang filem ini bagus ditonton oleh anak-anak muda macam aku ketika tu. Darah muda, jiwa muda.

Aku masih ingat time tuh aku tonton bersama kawan-kawan seasrama aku dan bila habis filem nih ditayangkan, semua berkerut dan kondem filem nih tak best langsung. Aku diam je sebab aku dah tonton beberapa filem yang lebih rumit plotnya berbanding filem DJKM nih. Mungkin mentaliti kawan-kawan aku(baca:termasuklah khalayak yang suka menonton filem) time tuh belum terbuka mindanya untuk menerima karya-karya semacam nih. Nak buat macamane sebab time tu panggung-panggung pun dok tayang citer-citer Senario, tak pun cerita cinta Yusof Haslam, jadi tak boleh nak kata apalah..

Ok, aku cerita sedikit latar-belakang filem ini.

Dari Jemapoh Ke Manchester dihasilkan pada tahun 1996 dan memulakan tayangan perdananya di Festival Filem Antarabangsa Singapura pada tahun 1998. Seterusnya filem ini telah menjelajah ke seluruh dunia melalui pelbagai Festival Filem Antarabangsa malah turut ditayangkan di Perancis sempena kejohanan Piala Dunia 1998(baca: time ni Ronaldo gemuk masih power lagi).

Ya, aku akui ini adalah filem anak muda yang segar tapi tak berapa nak membangkit semangat melawan yang keras macam filem Kembara Seniman Jalanan(1986). Filem DJKM ini agak lembut naratifnya, namun keras sisi nilai ambiguitinya.

Dewasa ini kita mungkin dihidangkan dengan filem-filem bercerita kisah anak muda yang suka berlumba haram, merempit, berlomba kereta, kisah-kisah bercinta, geng-geng indie, gangsterisme, gejala sosial, gay dan sebagainya, namun berapa banyak filem tentang anak muda yang mampu menandingi filem bertajuk Dari Jemapoh Ke Manchester ini?

Yang membezakannya antara DJKM dengan kesemua karya itu ialah idealisme.

Kita mungkin boleh menemui filem yang bercakap soal eskapisme anak muda yang sudah bosan ditekan oleh sesuatu atau kebebasan mereka dihalang, lalu mereka memilih untuk merempit dijalanan, berlumba haram, bergelumang dengan kancah maksiat atau pelbagai perkara yang mereka fikir sesuai dengan jiwa muda mereka tanpa mereka sedar, sebenarnya mereka sedang berdiri diatas kehancuran samada moraliti ataupun diri mereka sendiri.

Apabila remaja dihidangkan dengan filem-filem semacam ini secara psikologinya mereka akan terpengaruh lalu ingin menjadi seperti apa yang mereka tonton. Disini kita lihat bagaimana relevannya teori Parlov mengiyakan taakulan aku ini.

Yang paling aku tak tahan ialah apabila si penerbit atau pengarah mula bising mengakui yang filem mereka bermesej supaya jangan jadik mat rempit atau jangan jadik minah rempit. Apa jadah ni? Mengajar orang dengan cara negatif tapi mengharapkan hasilnya adalah positif?

Kita sewajarnya mencontohi industri perfileman jiran kita Indonesia, bagaimana filem tentang anak-anak muda mereka sangat kaya dengan idealisme dan segar, ambil contoh mudah Laskar Pelangi(2008), sebaliknya karyawan kita disini masih dangkal dan hanya memikirkan bagaimana cara mudah untuk filem mereka laku box-office, lalu khalayak dihidangkan dengan filem-filem sampah yang mungkin spektakular daripada segi CGI, kos biayaannya atau kejelitaan pelakonnya, tetapi sangat terbelakang idealismenya.

Filem ini pada aku cukup perencahnya. Dari aspek penceritaan, mis en scene, pelakon, sinematografi dan mesej, kesemuanya cukup lengkap.

Plot filem ini sangat mudah. Ia adalah sebuah road-movie yang bercerita tentang kisah dua anak muda bernama Yadi dan Mafiz dari sebuah kampung di Jemapoh, Negeri Sembilan dalam perjalanan ke England untuk mencapai hasrat masing-masing. Yadi ingin ke Manchester untuk melihat bintang bola sepak kesayangannya George Best sementara Mafiz ingin mencari ayahnya seorang kelasi yang dikatakan berada di Liverpool. Lalu bermulalah perjalanan dua orang sahabat ini dan ditemukan dengan cabaran dan ragam manusia samada yang baik ataupun buruk sepanjang perjalanan mereka.

Dari sudut lakonan aku dapati lakonan Yadi, Mafiz dan lain-lain tidaklah mengecewakan dan tidaklah terlalu kaku, walaupun pertama kali berlakon. Mungkin ini sedikit sebanyak disokong dengan kebijaksanaan pengarah yang lebih suka babak menggunakan dubbing suara, contohnya banyak babak bercakap dalam kereta atau menyembunyikan ekspresi muka pelakonnya dengan shot dalam gelap seperti babak ketika mak Mafiz membebel. Mungkin ada watak yang tersangat kaku seperti mak cik yang pukul Ripik si bapak ayam. Dan ada pelakon-pelakon yang sudah kita sedia maklum dalam industri seperti Amran Nasaruddin, Kuman, Maimon Muthalib dan lain-lain.

Plot filem ini bergerak dengan tempo yang sederhana, ia bermula dengan pengenalan watak Yadi dan Mafiz dan berkembang dengan idea hijrah mereka ke Manchester lalu ia menaik ke takat klimaks ketika watak Mila binti Saleh(saya bukan maksiat, saya Mila Binti Salleh..)diculik oleh Profesor ketika sedang mandi. Disitu timbul konflik antara persahabatan Yadi dan Mafiz bertembung dengan isu penculikan Mila. Dan ada babak anti-klimaks, iaitu babak Rifik si bapak ayam yang tiba-tiba muncul mengamuk mahu menembak Mila, lalu dipukul oleh mak cik jual goreng pisang.

Antara satu scene ke satu scene disusun secara teratur tanpa perlu kepada teknik imbas-semula atau penerangan lanjut bagaimana asal-usul watak-watak tambahan seperti watak Lini dan Mila.

Sinematografi filem ini memang berada pada kelasnya yang tersendiri. Hadir dengan shot-shot yang indah dan dalam masa yang sama ia mengundang kritik sosial pengarah terhadap satu-satu isu. Kita lihat babak tiada elektrik dengan props lampu pelita untuk mewujudkan situasi masih terdapat penafian hak elektrik dikalangan rakyat marhain ataupun shot kamera menyorot bukit-bukit yang dipenuhi tumbuh-tumbuhan, lalu kemudiannya kamera beralih kepada bukit-bukit yang gondol. Ini satu kritikan terhadap tangan-tangan kejam yang sanggup merosakkan sistem ekosistem bumi semata atas dasar keuntungan.

Bercakap soal ambiguiti. Aku fikirkan terlalu banyak scene yang cuba menyampai mesej tetapi secara berlapis. Namun bukan berlapis-lapis, mungkin selapis, dan mudah dihadam oleh khalayak.

Jika kita bercakap soal eskapisme anak muda terhadap kongkongan ataupun sekatan, filem ini berkelas A untuk itu. Kita lihat bagaimana bijaknya si pengarah mengadun antara unsur psikologi, motivasi, efikasi anak muda untuk memilih eskapisme terbaik, bukan memilih untuk berlumba haram lalu patah tangan, kaki atau mati katak diatas jalan raya.

Kita lihat 2 orang sahabat ini menuju destinasi yang boleh dianggap mustahil pada pandangan kita semua. Melihat kepada sisi ekonomikal Yadi yang tidak bekerja dan mengharap kepada Mafiz yang bekerja sebagai mekanik dan bergaji tak seberapa, dengan tiada pasport antarabangsa, baju pun tak tukar-tukar, keduanya berasal daripada keluarga sederhana, memang agak mustahil untuk keduanya sampai ke Manchester.

Namun, filem ini membina konsep “siapa berusaha, dia akan mendapat”, kita dapat lihat bagaimana segala kekurangan itu ditampung dengan kesungguhan dan efikasi kendiri yang kuat untuk mencapai matlamat mereka. Lantas mereka digambarkan dengan metafora keberjayaan dengan perlambangan terbang ke langit.

Kita juga melihat bagaimana kata-kata semangat sosialisme daripada pak cik polis yang menyuruh Yadi dan Mafiz keluar berhijrah, tidak hanya membatu dikampung. Perlambangan ini sangat jelas menyuntik semangat dan membangkit darah anak muda untuk keluar daripada kepompong “dunia asal” mereka. Ini boleh ditafsir daripada konteks yang pelbagai berdasarkan pemahaman masing-masing. Mungkin ada yang menilai ia dari sudut politik, ideologi, kejumudan dan lain-lain penafsiran yang difikirkan sesuai.

Kita lihat babak 3 orang berkemeja yang menceroboh gig anak muda(baca: dialih-bahasa oleh Amir Muhammad sebagai punks dalam filem ini), lalu menembak secara melulu, memberi perlambangan hak, kreativiti dan dunia sisi anak muda banyak dinafikan. Aku malas nak mengulas panjang lebar tentang perkara nih, anda fikirlah sendiri.

Ia memberi perlambangan berkaitan method dan kaedah yang sesuai untuk menyelami dunia anak remaja yang penuh ke”rebel”an ini, sekaligus membuka persoalan, adakah anak remaja yang penuh dengan sifat memberontak ini perlu ditangani dengan kekasaran juga?

Filem ini sedikit sebanyak memperbetulkan persepsi kita tentang muzik. Pada aku muzik itu subjektif. Muzik ini terlalu banyak genrenya. Kesilapan kita ialah apabila menjatuh-hukum satu-satu muzik yang tidak sehaluan dengan muzik kita, lalu membina persepsi bahawa itu bukan muzik. Contohnya, dalam Mentor Mas Idayu mengutuk Joe Flizzow dengan mengatakan yang Joe bercakap bukan bernyanyi. Ini persepsi yang salah tentang satu-satu genre muzik. Contoh lain, band Carburater Dung memainkan irama yang laju dan menjerit hingga kita kurang dapat ditangkap liriknya, adakah wajar kita melabel irama mereka bukan muzik?

Cuba lihat babak dalam kereta selepas gig dihuru-harakan oleh orang yang tidak bertanggungjawab, Yadi dan Mafiz bercakap soal cabaran dan keberanian. Dialog yang diungkapkan ialah dibelakang kita Jemapoh, didepan kita Manchester, ditengah-tengah kita hutan, mana boleh kita patah baik. Disaat Yadi hilang sedikit keyakinan dengan cabaran yang menimpa mereka, Mafiz merungkai solusi bahawa dengan semangat fizikal dan kekuatan moral mereka akan mampu melepasi apa jua halangan dan tidak akan berpatah balik. Dan hasilnya ialah babak terbang dipengakhiran cerita melambangkan keberjayaan mereka.

Kita lihat juga babak puak-puak berbaju hitam menolong menolak kereta sebelum babak penutup yang seolah memberi perlambangan bahawa dengan istilah “bersatu” anak muda akan dapat mengharungi apa jua tentangan spritual mahupun fizikal yang mendatang.

Ada banyak lagi yang aku malas nak ulas dan mungkin boleh jadi kontroversi kalau aku ulas lebih-lebih, contohnya scene radio sebut keputusan pilihanraya lalu diketawakan oleh Yadi, Mafiz dan Lini ataupun scene tangan Yadi memegang dada Mafiz lalu mengungkapkan dialog perempuan menyusahkan.

Dialog filem ini sangat-sangat sempoi tapi mendalam jika ditadabbur, contohnya dialog sempoi “cool brader!” atau dialog mendalam seperti yang kita dapat lihat pada scene Yadi dan Mafiz ditepi sungai dan bermonolog tentang perlambangan selipar atau dialog dalam kereta selepas gig di rush ataupun dialog bersama abang polis.

Terus terang ada 3 babak yang aku suka dalam filem ini iaitu babak cahaya lampu kereta dari jauh sayup-sayup hinggalah ke terang(monolog tentang belakang kita Jemapoh, depan kita Manchester), babak mak cik pukul si Ripik(emansipasi wanita) dan babak last, puak baju hitam tolong tolak kereta sebelum kereta terbang menuju Manchester.

Dan aku juga suka lagu La O Be yang menjadi muzik latar filem ini. Juga keberanian pengarah menggunakan muzik keras sebagai muzik background filem ini. Mana ada pengarah filem yang berani guna lagu Carburator Dung dalam filem mereka, melainkan filem yang ini!

Kesimpulannya jika anda mahu filem anak muda yang kaya dengan suntikan idealisme segar, sila tonton filem ini. Bagi yang sudah berusia dan mahu menjadi muda semula juga disarankan menonton filem ini. Biar fizikal dimamah usia, namun jiwa tetap muda-belia. Dapatkan ia sekarang di Music Valley atau tonton sahaja di Youtube.

nota review-filem: baru perasan yang watak Mila(saya bukan maksiat, saya Mila binti Salleh..) rupa-rupanya pengarah bersama filem Kami The Movie(2008), eh betul ke?

15 Jun 2010

LASKAR PELANGI(2008), Antara Kegeniusan Lintang, Sifat Ekspresionis Mahar Dan Cabaran Pendidikan Masakini



Filem Laskar Pelangi(2008) adalah merupakan sebuah filem yang diadaptasi daripada novel best-seller di Indonesia yang menggunakan judul yang sama hasil karya Andrea Hirata Seman Said Harun ataupun lebih dikenali dengan nama pena Andrea Hirata.

Novel Laskar Pelangi ini merupakan hasilan sulung daripada tetralogi novelnya selain Sang Pemimpi, Edensor dan Maryamah Karpov.

Kehebatan novel ini adalah bersandarkan kepada daya-fikir dan imiginasi sisi intelek Andrea mengadun dan mengaul antara dunia sains, astronomi, seni, jenaka, cinta-monyet, politik, motivasi dan membangkitkan the magic of childhood memories, hingga menatijahkan satu karya yang amat “lazat” untuk dihadam oleh para pencinta novelis. Cukup “perencah” dan “lauk”nya.

Melalui novel Laskar Pelangi ini, Andrea berjaya membuai, malahan membawa pembacanya tersedut sama ke dunia indah Laskar Pelangi yang dihasilkan berdasarkan cebisan nukilan diari yang dilalui oleh Andrea sendiri, semenjak beliau belajar mengenal huruf hinggalah melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Atas keberjayaan karya best-seller sepanjang sejarah Indonesia ini, mencetuskan idea seorang sutradara prolifik bernama Riri Riza untuk menyahut cabaran untuk mengarap novel ini ke layar perak.

Riri Riza merupakan seorang sutradara yang gemar mengadaptasi sesebuah teks seni ke layar perak. Antara karya beliau sebelum Laskar Pelangi ialah filem Gie(2005) yang dihasilkan berdasarkan buku Catatan Seorang Demonstran yang ditulis oleh Soe Hok Gie(baca: filem Gie ini mencambahkan idea Amir Muhammad untuk menghasilkan filem The Year of Living Vicariously pada tahun 2005).

Bahkan Riri juga menghasilkan filem Sang Pemimpi(2009) yang diadaptasi daripada tetralogi novel Laskar Pelangi kedua, Sang Pemimpi, juga karya Andrea Hirata, namun filem ini belum ditayangkan untuk tontonan khalayak di Malaysia. Berita terbaharu beliau sedang me”ngerja”kan Bumi Manusia yang ditulis Pramoedya Ananta Toer untuk difilemkan.

Filem Laskar Pelangi ini merupakan sebuah filem yang sukses dari segi kutipan, dimana ia telah ditonton oleh 4.6 juta orang penonton, menjadikannya ia filem keempat tertinggi kutipan box-officenya di Indonesia, selepas filem Jelangkung(2001), Pocong 2(2006) dan Ada Apa Dengan Cinta(2002).

PLOT:

Filem ini dimulakan dengan babak Ikal selaku pendokong watak utama sedang menaiki bas untuk pulang ke daerah Belitung, iaitu nama bagi sebuah pulau yang terletak di Indonesia.

Riri Reza memulakan filem ini dengan shot pekerja-pekerja kelas bawahan sedang bekerja di kilang perusahaan timah milik syarikat dari Belanda. Kredit seharusnya diberikan kepada Riri kerana beliau telah mencuba sebaik mungkin untuk mengeluarkan “roh” yang tersembunyi di dalam novel ke naskhah filemnya. Dari sisi yang lain, Riri juga sebenarnya sedang mengeluarkan idealisme kritik sosial yang mapan untuk difahami secara double-meaning oleh khalayak penonton, malahan ada juga yang disampaikannya secara direct-to-the-point.

Selepas babak di dalam bas itu, teknik imbas kembali digunakan untuk mengimbas memori-memori indah bagaimana watak Ikal ini melalui saat-saat suka dan duka bersama sembilan orang pelajar Sekolah Muhammadiyah yang digelar oleh Bu Mus sebagai Laskar Pelangi.

Plot filem ini diadaptasi berdasarkan dua subtopik penting daripada novel iaitu mengangkat watak Ikal, Lintang dan Mahar sebagai watak utama diselang-selikan dengan kisah-kisah indah yang berlaku di Sekolah Muhammadiyah yang menemukan 10 orang sahabat di dalam menempuh ranjau pencarian mereka terhadap ilmu.

Pelbagai dugaan dan rintangan yang dihadapi di Sekolah Muhammadiyah misalnya ketiadaan dana dan kekurangan tenaga kerja serta fasiliti, sehinggalah kematian Pak Harfan, namun semua itu diharungi dengan kekuatan sisi fizikal dan spiritual anggota Laskar Pelangi itu sendiri.

Filem ini dibina dengan energi motivasi yang kuat iaitu konsep “jangan mengenal erti putus asa” sedari daripada awal lagi. Kita lihat bagaimana semangat kuat yang ditunjukkan oleh Bu Mus ketika babak menunggu seorang lagi pelajar untuk mencukupkan pelajar kepada sepuluh orang, supaya proses pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan di Sekolah Muhamadiyyah. Lantas dengan berkat semangat itu, datanglah seorang pelajar bernama Harun mencukupkan kuota pelajar di Sekolah Muhamadiyyah. Begitu juga babak selepas kematian Pak Harfan, kebanyakkan pelajar sudah kehilangan semangat untuk belajar, lantas watak Ikal dan Lintang membina efikasi kendiri dan keyakinan rakan-rakan mereka untuk kembali belajar. Ini adalah perlambangan bagaimana jika ada semangat dan keyakinan, apa juga halangan yang mendatang akan bisa ditempuhi tanpa mengenal erti jemu atau putus asa.

Kita juga dapat melihat babak bagaimana kuatnya kuasa emansipasi Bu Mus melawan segala aral yang mendatang dengan kuasa kewanitaannya. Disebalik wajah yang polos sebenarnya terselit jatidiri dan semangat yang kuat disanubarinya.

Begitu juga, babak berkaitan kematangan hujah Pak Harfan ketika menghamburkan kata-kata samada ketika mengajar anak-anak Laskar Pelangi mahupun di dalam perbualan sehariannya, seolah memberikan sinergi kepada kita untuk termotivasi bersama alunan kata-kata indahnya.

Elemen persahabatan ketika usia kanak-kanak menjadi kekuatan kepada filem ini. Kita dapat melihat bagaimana kuatnya nilai-nilai persahabatan antara sepuluh orang anggota Laskar Pelangi menghadapi segala onak dan duri sepanjang kehidupan mereka. Kita lihat perlambangan watak Ikal yang mengejar Lintang ketika babak Lintang mahu berhenti sekolah, memberikan perlambangan tentang semangat setiakawan yang kukuh terbina dikalangan ahli Laskar Pelangi.

Menonton filem ini sebenarnya merembeskan memori waktu sewaktu kita kanak-kanak dahulu, malahan filem ini mampu untuk mengimbau suasana ketika kebanyakkan dari kita masih bersekolah rendah, berbasikal, bermain bersama rakan-rakan, cinta monyet, bercerita tentang cita-cita mahu menjadi apa apabila besar dan dan lain-lain. Sesungguhnya jika boleh dibalikkan masa mungkin saja kita mahu kembali ke masa itu, sebegitu imbas Andrea di dalam novelnya.

Filem ini juga dibantu dengan kekuatan lakonan anggota Laskar Pelangi yang dilakonkan oleh anak-anak penduduk tempatan Belitung sendiri. Mereka memerankan watak seolah-olah mereka adalah lanjutan dari sekolah-sekolah lakonan. Cara mereka berekpresi di hadapan kamera seolah-olah mereka adalah anggota Laskar Pelangi yang sebenarnya. Ini sangat ironikal dengan sinema di Malaysia yang dihidangkan dengan watak-watak kanak-kanak yang hensem dan cantik pada zahiriah, tetapi sangat kaku lakonannya.

PERMASALAHAN KARYA ADAPTASI:

Sememangnya agak sukar untuk menghidupkan “roh” novel Laskar Pelangi ini ke naskhah filem. Ini kerana karya ini begitu kaya dengan idealisme yang tentunya menyukarkan sesiapa sahaja untuk memindahkannya ke layar perak. Oleh sebab itu, pada awalnya, wujud beberapa pandangan daripada rakan-rakan Andrea yang menyarankan beliau agar menolak cadangan Laskar Pelangi difilemkan lantaran skeptikal keindahan-keindahan roh dan momen-momen yang terdapat didalam novel, tidak dapat diterjemahkan dengan baik melalui adaptasi filemnya.

Dan sememangnya itulah permasalahan yang berlaku di dalam filem Laskar Pelangi ini.

Di dalam novel, kita akan terbuai dan timbul kekaguman dengan daya-fikir sisi intelektual Lintang dan sifat ekspresionis sisi seni Mahar walaupun mereka berhadapan dengan lapis stratifikasi dua darjat dan dihimpit kemiskinan. Inilah sebenarnya “roh” yang menghidupkan novel Laskar Pelangi dan membezakannya dengan novel-novel yang lain.

Ironinya, keindahan-keindahan itu, yang sewajarnya kita simbolikkan sebagai “roh” tidak dapat diterjemahkan dengan baik oleh Riri.

Mungkin ini merupakan satu permasalahan utama bagi sutradara yang ingin mengadaptasi karya semacam novel atau seumpamanya ke layar perak. Namun itu bukan soalnya, kerana kita pernah sebelum ini menemui karya adaptasi yang baik, contohnya filem Ayat-Ayat Cinta(2008), Jogho(1997), Langit Petang(1982) ataupun Ranjau Sepanjang Jalan(1983, sekadar memberikan contoh.

Amat malang bagi pembaca yang sudah terbuai dengan kegeniusan ilmu matematik dan sains Lintang di dalam novel, namun apabila difilemkankan, ia hanya digambarkan dengan kebolehan mengira yang bersifat “biasa-biasa” oleh Riri, begitu juga kekuatan daya seni dan kreatif Mahar di dalam novel hanya digambarkan dengan babak “menari entah apa-apa” di dalam filemnya.

Pengembangan watak Lintang yang digambarkan sebegitu genius oleh Andrea di dalam novelnya, hanya diterjemah oleh Riri seolah-olah mempunyai kecergasan minda pada tahap “biasa-biasa” sahaja. Di dalam novel, kita dapat melihat bagaimana cerdasnya otak Lintang menghadapi cabaran Drs. Zulfikar, guru muda sekolah yang mempertikaikan jawapan Lintang kerana egonya terhadap kepandaian Lintang yang menjawab soalan sebelum habis penyoal mengemukakan soalan. Namun di dalam filem, soalan yang diajukan hanya bersifat “suam-suam kuku”. Langsung tidak dapat membangkitkan kegeniusan watak Lintang di dalam novel Laskar Pelangi.

Begitu juga dengan watak Mahar yang ditampilkan secara sederhana di dalam filem ini walhal Andrea menggambarkan Mahar merupakan seorang pelajar yang sangat-sangat genius dan kreatif didalam bidang musik, seni dan hal-hal kebatinan. Di dalam filem, satu-satunya babak yang menggambarkan kegeniusan dan kekreatifan hanyalah perancangan Mahar untuk menari tarian orang asli Masai untuk hari karnival sekolah-sekolah di Belitung. Itu pun hanya bersifat “suam-suam kuku” sahaja.

Mungkin ada yang berpendapat bahawa karya adaptasi daripada buku atau novel bukanlah satu proses menyalin semula teks ke medium visual namun seharusnya Riri sebagai seorang sutradara prolifik mampu untuk memberikan “sesuatu yang lebih” kepada karya intelek seperti Laskar Pelangi ini.

Walaupun apa yang cuba dijadikan sebagai plot oleh Riri hanya sekadar cebisan-cebisan idea daripada novel Laskar Pelangi, namun ini bukan bererti ia satu filem yang tidak bagus. Filem ini sebenarnya kaya dengan kekuatan unsur-unsur pengajaran dan kritik-sosial yang cuba diterapkan oleh Riri melalui karyanya ini.

NILAIAN AMBIGUITI:

Laskar Pelangi ditangan Riri sememangnya menjadi medium bagi beliau untuk mengkritik secara direct-to-the-point ketidakseimbangan lapis stratifikasi antara yang kaya dan miskin dan mengangkat isu pendidikan sebagai sesuatu yang hak kepada seluruh manusiawi.

Didalam filem ini, Riri menunjukkan beberapa shot golongan kelas bawahan bekerja mencari nafkah setiap hari dan shot itu jelas menunjukkan kepayahan mereka di dalam meneruskan survival kehidupan. Golongan kelas bawahan Indonesia seperti nelayan, petani, buruh, kuli, penjual sayuran menjadi watak latar kepada filem ini. Begitu juga babak bagaimana anak-anak Laskar Pelangi ini bekerja membantu keluarga mereka hingga akhirnya mereka tertidur kepenatan. Kita dapat melihat bagaimana sengsaranya mereka bekerja demi sesuap nasi.

Riri membuka mata dan hati khalayak penonton agar mempunyai pemikiran “sesusah mana pun kita, masih ada orang yang lebih susah dari kita” dengan mengambarkan masyarakat kelas bawahan ini, mereka berusaha dengan asbab “tangan-tangan mereka sendiri”, mereka bekerja dengan ikhlas demi sesuap nasi, demi meneruskan kelangsungan hidup mereka. Mereka kenal benar istilah “berusaha” demi sesuap nasi tanpa hanya duduk diam sahaja berserah kepada takdir.

Filem ini juga bercakap soal motivasi, efikasi kendiri dan psikologi pendidikan. Kita dihidangkan dengan watak Lintang dan Mahar yang kaya dengan interpersonal skills, yang tergolong sebagai murid yang disebut didalam ilmu psikologi sebagai murid yang mempunyai “Tingkah Laku Murid Pintar Cerdas”. Pelajar yang tergolong di dalam golongan ini mempunyai kebolehan, bakat dan potensi di dalam mencambahkan daya fikir mereka ke arah pemikiran abstrak, pemikiran logis, kreatif dan mempunyai kekuatan daya ingatan yang tinggi. Golongan ini juga mempunyai bakat khas didalam bidang matematik, sains, seni lukis, muzik, penulisan, keupayaan untuk berfikir secara kritis, mudah menyesuaikan diri dari segi sosial dan emosi, berpandangan jauh dan mempunyai daya kepimpinan yang tinggi.

Jika kita menyelusuri ke dunia persekolahan di Malaysia, pastinya kita akan bertemu beberapa orang murid secerdas Lintang atau Mahar. Cuma yang menjadi permasalahan ialah perkara ini berlaku dalam keadaan pra-sedar, mungkin guru tidak sedar mereka mempunyai murid sebegitu ataupun murid itu sendiri tidak sedar mereka mempunyai kebolehan seperti itu lantaran dibelenggui sikap malas atau lain-lain faktor.

Jadi, guru-guru seharusnya menjadikan watak Bu Mus sebagai contoh bagaimana beliau berusaha mencungkil kegeniusan minda Lintang dan bakat seni Mahar. Dalam senario pendidikan masakini, guru-guru boleh membantu pelajar-pelajar yang tergolong dengan cara memberikan mereka buku atau bahan ilmiah pada aras tinggi, menyediakan aktiviti dan pengayaan yang lebih sukar dan kreatif atau mengekploitasikan kepandaian mereka untuk member tunjuk-ajar kepada rakan-rakan yang lain.

Disamping itu, kita juga dihidangkan dengan kekalutan Bu Mus menangani tingkah laku negatif atau bermasalah yang berlaku semasa proses pengajaran dan pembelajaran contohnya babak Bu Mus memanggil pelajarnya ke dalam kelas tetapi pelajarnya bersikap acuh tak acuh. Ini didalam bidang psikologi, disebut sebagai tingkah laku destruktif yang kerap berlaku dikalangan pelajar yang berumur 10 hingga 14 tahun dan tingkah laku ini sebenarnya sedang melanda pelajar-pelajar khususnya di Malaysia.Sikap acuh tidak acuh anggota Laskar Pelangi itu memberi perlambangan situasi sebenar apa yang sedang melanda moraliti pelajar-pelajar kita masakini.

Tingkah laku destruktif ini menjadikan pelajar bersikap angresif dan kadangkala meluahkannya dengan cara fizikal mahupun mental. Antara contoh yang biasa kita dengar ialah seperti vandalisme, memukul guru, overt hostility, keruntuhan gejala sosial, budaya gangsterisme, mencalar kereta, menconteng dinding dan sebagainya.

Mutakhir ini, kita dihidangkan dengan fenomena bagaimana egonya segelintir pelajar terhadap gurunya dimedia massa. Sebahagian murid ini mempunyai fikrah pemikiran bahawa seorang guru bukanlah insan yang perlu dihormati. Saban hari kita dihidangkan dengan berita guru dicalarkan keretanya, dipukul, ditumbuk seolah-olah golongan guru ini adalah “punching bag” bagi murid. Ini belum dikira kes-kes kecil seperti pelajar melakukan tingkah laku destruktif di dalam kelas ataupun membuat bising umpama “pasar borong”.

Filem Laskar Pelangi ini sebenarnya merungkai alternatif permasalahan ini iaitu guru-guru seharusnya kreatif di dalam menanganinya. Laskar Pelangi memberikan solusi dengan perlambangan bagaimana perilaku Pak Harfan memanggil anak-anak Laskar Pelangi untuk bercerita kisah Nabi Nuh AS, hingga menarik psikologi anak-anak pelajar tersebut untuk kembali belajar semula setelah tidak mengendahkan saranan Bu Mus sebelum itu.

Kata kunci “kreatif” tadi jika diterjemah kedalam senario pendidikan masakini ialah seperti menerapkan nilai-nilai murni dan moral kepada pelajar yang bermasalah, hukuman rotan dikhalayak kepada pelajar yang melakukan kesalahan berat, mengajar pelajar bagaimana cara yang efisien untuk menyalurkan kemarahan, mengadakan sesi kaunseling atau merujuk kes tersebut kepada guru disiplin dan lain-lain cara yang difikirkan sesuai.

Filem ini juga secara jelas mengajar erti jerih-perit di dalam mencari ilmu pengetahuan. Walaupun sesusah manapun kita, pendidikan itu wajib dicari. Ini digambarkan melalui watak Lintang yang berbasikal 20 kilometer setiap hari untuk ke sekolahnya. Walaupun hujan, panas, rebut, terpaksa melalui sarang buaya, namun Lintang tetap tabah dan tidak pernah terfikir pun dibenak hatinya untuk bercuti ataupun cuba-cuba untuk ponteng sekolah. Ini sangat-sangat kontradik dengan apa yang berlaku dikalangan sebahagian pelajar di Malaysia. Ini dapat kita buktikan dengan berita-berita pelajar memonteng kelas dan melepak di kafe-kafe siber dimedia massa.

Kita juga dapat melihat bagaimana daifnya Sekolah Muhamadiyah. Kita dipertontonkan dengan babak bagaimana Pak Harfan mengupah beberapa penduduk kampung untuk meletakkan batang kayu sebagai di tepi sekolah Muhamadiyah agar tidak roboh, juga kekurangan fasiliti sekolah itu yang hanya mempunyai satu papan hitam, tidak mempunyai kipas mahupun lampu, dinaungi atap-atap yang bocor ketika hujan, malahan menjadi kandang kambing ketika tiada pelajar disekolah, namun semua ini tidak pernah melunturkan semangat anak-anak Laskar Pelangi untuk mencari apa yang dipanggil sebagai ilmu.

Senario ini sangat-sangat berbeza dengan bangunan-bangunan sekolah yang indah pada masakini, spektakular dari segi pembinaan bangunannya, namun berapa banyak pelajar kita yang mempunyai ciri-ciri kegeniusan umpama Lintang ataupun Mahar?

Filem ini juga mengajar kita ertikata “pendidikan itu merupakan satu hak” tanpa mengenal status kaya atau miskin. Kita dapat melihat Riri cuba meroboh tembok bahawa ilmu itu bukan hanya untuk golongan kelas atasan sahaja, tetapi ianya adalah untuk seluruh manusia. Ini dapat kita lihat melalui watak Lintang yang berasal daripada keluarga nelayan yang miskin, namun atas kecekalan dan dan daya juang yang tinggi, dia sanggup mengharungi apa jua yang menghalanginya daripada mencari ilmu pengetahuan.

Kita ambil contoh babak Lintang gigih berbasikal dan berhenti dibawah pokok untuk membaca buku ataupun babak Lintang sedang dalam perjalanan ke sekolah tetapi dia dihalang oleh buaya. Disini jelas bagaimana Riri cuba memberikan perlambangan bagaimana cekalnya watak Lintang ini berusaha gigih semata-mata mahu mencari ilmu pengetahuan walaupun jalan harian yang dilaluinya adalah merupakan sarang buaya! Riri juga secara jelas menyatakan walaupun sedaif manapun kita, sewajarnya ilmu pengetahuan jangan ditinggal begitu sahaja.

SINEMATOGRAFI:

Selain daripada kekuatan lakonan dan nilaian ambiguiti yang diterapkan oleh Riri, kita juga pastinya terpaut dengan sinematografi filem ini. Riri berjaya menggambarkan keseluruhan lanskap Belitung dengan baik di dalam filem ini.

Setiap kompisisi yang mengisi ruang bingkai kamera diterjemahkan dengan indah dan berjaya membangkitkan perasaan seolah-olah Belitung adalah merupakan sebuah pulau yang wajib dilawati oleh setiap manusia.

Konsep kembali-kepada-alam juga diterapkan dengan baik oleh Riri didalam naskhahnya ini. Ini dapat dibuktikan dengan setiap cakupan bingkai kamera, mengimejkan shot-shot pokok, langit, gunung, rumput, lautan dan apa-apa sahaja yang berkaitan dengan alam.

Kita dapat melihat hasil kerja kamera yang sangat memberangsangkan samada ketika shot jauh ataupun shot dekat, seolah memberikan “roh” kepada satu-satu babak yang terdapat didalam Laskar Pelangi.

Riri juga berjaya menterjemah proses sosialisasi sebagaian besar penduduk Belitung, terutama yang tinggal di kawasan pesisir pantai, mahupun kehidupan masyarakat Belitung yang bekerja di kilang timah, sebagaimana momen-momen didalam novelnya, cuba diangkat ke medium visual dengan baik oleh Riri.

Begitu juga dengan props yang digunakan didalam filem ini, dalam pada masa yang sama ia dapat membangkit suasana sekitar 70an di Belitung. Contohnya basikal, keadaan sekolah Muhamadiyyah, pakaian dan lain-lain.

SARANAN:

Kesimpulannya, filem ini seharusnya ditonton oleh setiap remaja dan ibu bapa, malahan tidak keterlaluan jika ia seharusnya dijadikan tayangan wajib diperingkat sekolah menengah mahupun sekolah rendah.

Kita sememangnya ketandusan karya-karya motivasi dan menyuntik roh intelektualiti seperti Laskar Pelangi ini. Ini adalah kerana karyawan kita lebih suka membangkitkan isu-isu rempit, gay, tukang urut, lorong belakang, hantu recycle, lumba kereta, aksi pergaduhan ala-ala hong kong ke dalam karya mereka.

Apa kata anda luangkan sedikit masa untuk menonton filem ini bersama keluarga disamping menjadikan novel Laskar Pelangi sebagai bacaan bagi anak-anak kita. Mungkin “roh” watak Ikal, Lintang, Mahar dan kawan-kawannya akan menyerap masuk ke dalam sanubari anak-anak kita, siapa tahu?

nota review-filem: Belum pernah orang review satu-satu filem sampai 2 kali :) hehehe..