02 Mei 2010

Muallaf: Antara Tuduhan Pluralisme, Politeisme Dan Konsep Dakwah Sebenar



“Serulah kepada jalan Tuhanmu dengan cara hikmah dan nasihat yang baik..” -terjemahan surah An-Nahl:125

Dakwah adalah sunnah yang sangat-sangat mulia, malahan ia merupakan satu perilaku terpuji yang sudah menjadi kesinambungan tamadun manusiawi zaman bertukar zaman.

Dakwah mampu menjadi agen sebagai perantara untuk membawa manusia berhijrah daripada ruang lingkup kegelapan kepada petunjuk cahaya, daripada positif kepada negatif, daripada buruk kepada baik.

Dalam konteks kefahaman masyarakat hari ini, wujud sebilangan kecil masyarakat yang sedikit tersasar daripada memahami konteks dakwah pada ertikata sebenar.

Sebilangan daripada kita, kadang-kala menyempitkan ruang lingkup dakwah, malahan lebih malang lagi, apabila sebahagian pengkarya-pengkarya seni yang mempunyai niat suci untuk berdakwah, dituduh dengan pelbagai tohmahan dan tuduhan tidak berasas walhal dakwah merupakan sesuatu yang sangat-sangat dituntut untuk dilakukan dan boleh dilakukan dengan pelbagai method dan kaedah asalkan ianya dilakukan secara bil-hikmah.

Sebahagian masyarakat masakini mempunyai fikrah berfikir yang agak jumud dan sempit. Malahan ada yang lebih ekstrim, dimana mereka menjatuhkan hukuman keatas satu-satu karya tanpa berfikir dan menaakul secara ekstensif nilaian ambiguiti yang cuba diselindungkan oleh seseorang sutradara melalui filem atau drama yang dipertontonkan kepada khalayak.

Naskhah Arwah Yasmin Ahmad ini, sewajarnya digolongkan sebagai filem dakwah, malahan ia merupakan sebuah karya dakwah yang sangat jujur dan tulus berdasarkan kajian dan ilmu Allahyarham Yasmin secara mendalam berkaitan satu-satu isu yang cuba disampaikannya.

Wujud persoalan, adakah wajar Arwah dituduh sebagai penyebar politeisme lantaran menstruktur dan mencampur-adukkan plot-plot dan skrip Muallaf berdasarkan nas-nas Al-Quran dan Bible? Atau wajarkah tindakan sebahagian masyarakat yang menuduh beliau sebagai agen pluralisme agama?

Aspek Penceritaan Dan Kritik Sosial

Yasmin memulakan filem ini dengan perkataan memuji Allah SWT iaitu lafaz Basmallah. Walaupun ianya nampak ringkas, tetapi pada saya, ianya merupakan satu lafaz yang sangat kompleks jika kita rajin mencari-gali apakah maksud disebalik lafaz tersebut. Malahan boleh dikatakan semua karya-karya beliau menggunapakai lafaz ini ketika montaj pembukaan.

Berapa ramai daripada kita yang lalai daripada menggunakan lafaz ini setiap kali mahu melakukan apa sahaja, walaupun ianya sangat mudah untuk diungkapkan? Bukankah ini satu dakwah?

Filem ini dibuka dengan menonjolkan watak Brian disamping penataan cahaya yang agak suram dan hampir gelap. Disini kita nampak perlambangan bagaimana watak Brian ini dibina penuh dengan keserabutan, huru-hara, hidup dalam kegelapan kerana tiada cahaya(baca:agama). Lantas melalui filem ini kita lihat bagaimana 3 tranformasi berlaku pada watak Brian daripada sisi gelap kehidupan beliau(baca: jauh dari agama beliau dan keluarga), kemudian bergerak secara perlahan beralih mendalami ilmu agama(baca:dengan membaca kitab yang dipinjam daripada Rohani) dan akhirnya mendapat sinar cahaya(baca: mendapat ketenangan dan akhirnya balik bertemu keluarganya).

Melalui watak Brian ini, Yasmin sebenarnya mengkritik sebahagian daripada kita yang sanggup membuang nilaian kekeluargaan hanya kerana satu kisah peristiwa silam(baca: watak Brian ketika kecil, dibogelkan di khalayak umum sebagai hukuman kerana membaca buku lucah) yang mungkin dilakukan oleh penjaga semata-mata untuk menyedarkan atau membuka minda anak-anak mereka atas kesilapan yang dilakukan oleh mereka.

Ini realiti yang kadangkala berlaku didalam masyarakat. Ketika mereka masih kecil mereka dihina atau dipukul oleh ibubapa mereka, jadi apabila mereka dewasa, mereka mempunyai dendam kesumat lantas mereka membalas dengan sesuatu yang tidak sepatutnya mereka lakukan sebagai seorang anak(baca:menghina ibubapa, menghantar ibubapa kerumah kebajikan). Inilah yang cuba dikritik secara halus oleh Arwah agar nilaian kasih sayang terhadap ibubapa jangan terhakis, walau apapun yang dikenakan keatas kita ketika kita masih kecil, selagi ianya adalah berpaksikan untuk mengajar anak-anak mereka bukan sifatnya mendera.

Kemudian plot filem ini beralih kepada dua watak iaitu watak Rohana dan Rohani. Kedua-dua watak ini memperlihatkan elemen sisi kekeluargaan yang sangat kukuh walau apa jua dugaan yang melanda mereka.

Sebenarnya, wujud persoalan mengapa Rohana dan Rohani melarikan diri daripada ibubapa mereka? Adakah hanya disebabkan kes bapa si Rohani membotakkan kepalanya sedangkan ia adalah berpunca daripada sifat ketidak-patuhan si Rohani sendiri? Atau adakah mereka melarikan diri kerana tidak hanya tahan dengan kehidupan sosial ibubapa yang lebih kearah kebaratan, lantaran kedua-dua beradik itu merupakan anak-anak yang mahukan nilaian Islam diterapkan dalam kehidupan mereka?

Filem ini bergerak dengan babak penerangan bagaimana Rohana yang berperwatakan agak mistik(baca: menyebut angka-angka), hingga menimbulkan kekeliruan dikalangan guru-gurunya, malahan Rohana turut dipukul oleh Puan Siva kerana tidak menurut perintahnya.

Ia seterusnya bergerak kepada kisah Rohani yang menyara adiknya dengan bekerja di pub, kemudian beralih kepada watak Brian dan Brother Anthony yang cuba mengkaji mengapa Rohana dan Rohani berkelakuan pelik(baca:bermain dengan angka), babak bagaimana sosialnya bapa Rohana dan Rohani berdangdut sambil minum arak tetapi sangat skeptikal dengan anjing walhal kedua-duanya adalah najis, babak bagaimana Rohana dan Rohani membaca terjemahan Al-Quran kepada pesakit perempuan di Hospital, babak Rohana dan Rohani diculik oleh bapa beliau, kemudian Brian menyinambungkan apa yang dilakukan oleh Rohana dan Rohani ketika keduanya tiada dan natijahnya Brian berubah fikiran dan pulang ke kampung bertemu keluarganya.

Plot filem ini sebenarnya sangat-sangat ringkas.

Yasmin cuba bercerita dalam ruang-lingkup kehidupan Rohana dan Rohani yang diserikan dengan watak-watak yang lain. Yasmin membina watak Rohana dan Rohani sebagai dua perempuan bijak yang meminati pengajian tentang perbandingan agama. Akibat daripada ketidak-fahaman dan sifat inkuiri yang tinggi keduanya terhadap agama membawa mereka bertemu dengan watak-watak yang lain dan kesemua itu disusun dengan baik dan cantik oleh Yasmin melalui filem Muallaf ini.

Yasmin secara “double-meaning” lantang mengkritik budaya taklid buta dan kejumudan yang berlaku didalam masyarakat. Beliau membuka minda dan mahu masyarakat mengenal istilah talfiq dan tidak hanya melulu menjatuhkan atau menuduh orang lain sebagai sesat dan tersasar daripada nilaian beragama. Ini kita dapat lihat melalui babak kamera menghala ke langit dengan suara Rohani melagukan selawat secara tidak teratur. Babak ini memberikan perlambangan bahawa kita tidak seharusnya hanya terikat kepada satu-satu pandangan sahaja, sebaliknya perlu ada sifat keterbukaan selagi ianya tidak bertentangan dengan syariat.

Umum sudah mengetahui bahawa adalah menjadi identiti Yasmin mengangkat dan menyelongkar sisi gelap masyarakat dan kesinambungan itu diteruskan melalui karya ini. Isu pekerja beragama Islam bekerja di pub, isu minum arak dan isu pelacur.

Apa yang nyata ialah Yasmin tidak pernah menghalalkan semua itu dan sepertinya mungkin Yasmin ingin menyatakan bahawa walau siapapun kita, tiada siapapun diantara kita yang sempurna. Pasti ada salah-silapnya. Disamping itu, Yasmin juga ingin masyarakat membuang stigma dan persepsi negatif terhadap golongan sisi gelap ini, dengan cara mereka dibantu dan tidak disisihkan, kerana mereka juga adalah manusia. Samalah juga halnya seperti penagih dadah, pesakit HIV, gadis yang mengandung anak luar nikah dimana masih terdapat ramai masyarakat yang menyisihkan mereka.

Disinilah relevannya mengapa Yasmin suka mengangkat tema sedemikian.

Yasmin juga secara sinikal mencuit manja institusi pendidikan di Malaysia yang wujud terlalu banyak tetapi kos-kos yang ditawarkan sedikit menghampakan dan kurang kualiti(baca: samada input mahupun pasaran pekerjaan). Watak si kerani itu sebenarnya memberikan perlambangan bagaimana kejelekan institusi pendidikan terutamanya institusi pengajian swasta yang lebih mementingkan wang berbanding ilmu.

Secara jujurnya, babak anjing sudah klise dan sinonim dengan karya Arwah. Saya nampak ianya tidak lebih bercakap soal kritikan terhadap sesetengah daripada kita yang menganggap anjing adalah najis jika dipegang atau babi haram dimakan, tetapi dalam pada masa yang sama, arak dihalalkan, budaya bercanda-sosial dihalalkan, riba dihalalkan, judi dihalalkan, rasuah dihalalkan dan lain-lain yang haram dihalalkan. Babak ini lebih kepada siapa makan cili, dia yang merasa pedasnya.

Yasmin juga tidak lupa menekankan tentang peri-pentingnya solat. Walau sesusah-mana atau sesibuk-mana pun kita, solat jangan dilupa, sebagaimana babak Rohana dan Rohani yang tergesa-gesa menunaikan solat apabila sampai waktunya.

Karya Idealistik

Secara jujurnya, karya-karya Yasmin sangat-sangat kaya dengan idea dan mengesankan jiwa. Kita lihat bagaimana terkesannya kita dengan iklan-iklan raya beliau. Jadi, boleh dikatakan apa yang dikaryakan Yasmin adalah berpaksikan kepada pemahaman dan kajian Yasmin berdasarkan kepada sumber-sumber mahupun pengalaman realiti beliau.

Muallaf boleh dikategorikan sebagai satu filem dakwah yang sangat-sangat baik, jujur dan positif dari sisi intelektual.

Idea cinta berlainan lapis stratifikasi agama mungkin merupakan idea klise daripada Yasmin, namun Muallaf bukan bercerita soal cinta. Yang menonjol untuk filem ini ialah elemen kekeluargaan yang cuba ditampilkan melalui watak Rohana dan Rohani, mahupun antara Brian dengan keluarganya.

Ramai yang mengatakan Muallaf sangat preachy. Yasmin seolah-olah berkhutbah dengan mainan nombor yang agak mengelirukan(baca:kedua beradik itu kerap-kali mengulang-sebut angka-angka hingga mengelirukan penonton samada ianya daripada Al-Quran, injil ataupun daripada sumber yang lain), namun sebenarnya ia mempunyai kaitan dengan jalan cerita Muallaf.

Saya merasakan adalah lebih baik jikalau Yasmin menulis terjemahan berdasarkan sumber yang digunakan berbanding mainan angka. Ironikalinya, pasti tersembunyi nilaian ambiguiti mengapa Yasmin lebih gemar menggunakan nombor berbanding terjemahan.

Disini kita melihat bagaimana bijaknya karya Muallaf ini ditangan Yasmin. Yasmin tidak hanya mahu penonton hanya duduk sekadar menonton untuk berhibur, tetapi dalam pada masa yang sama, mahu penonton mentadabbur dan mencari-gali apa yang cuba disampaikan oleh Yasmin melalui angka-angka tersebut. Yasmin secara “direct” cuba menyemai nilaian positif yang baik sebagai hidangan kepada penonton.

Wujud persoalan, ada banyakkah karya yang sebegini ilmiah dan informatif seperti ini di Malaysia?

Mungkin ada sebilangan khalayak yang beranggapan Yasmin cuba menyalur unsur pluralisme secara halus melalui kewujudan babak digereja, atau watak Brother Anthony. Namun, saya lebih merasakan bahawa Yasmin hanya mahu mengeluarkan apa yang positif berdasarkan pemahaman agama selain Islam. Yasmin secara jelas menyatakan pandangannya berdasarkan nas Al-Quran yang bermaksud: “Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku” -terjemahan Surah Al-Kafirun ayat 6.

Apa yang jelas mahu ditimbulkan oleh Yasmin ialah isu toleransi beragama dan bagaimana positifnya natijah yang akan digapai sekiranya nilaian toleransi dan sikap saling menghormati ini dapat diterapkan didalam masyarakat majmuk di Malaysia.

Yasmin juga dalam pada masa yang sama, membentuk sikap cintakan ilmu. Kita lihat watak Brian yang jika pada sebelumnya amat acuh tidak acuh tentang agama, mula membaca Al-Quran dan Bible setelah mengenali Rohana dan Rohani, begitu juga watak kedua beradik itu yang rajin berdiskusi tentang bidang keagamaan hinggakan diketahui oleh umum, sebagaimana yang diberitahu pelayan restoran kepada Brian.

Kekuatan filem ini ialah pada jalan ceritanya, skrip(baca:yang bermain dengan angka yang kadang-kala mengelirukan) dan kekuatan lakonan para pelakonnya. Saya amat menyukai watak Rohana untuk naskhah ini, namun watak Brian sepertinya agak sedikit kaku ditangan Brian Yap. Watak Datuk dan Datin(lakonan Dato Rahim Razali dan Ning Baizura) walaupun sedikit tetapi sangat-sangat memberikan kesan. Saya secara jujur sangat menyukai babak seorang lelaki berjubah dan berserban dapat bergaul mesra dengan Brother Anthony, walaupun berlainan agama, babak itu pada saya sangat indah.

Sinematografi

Filem-filem Yasmin sememangnya sangat cantik dari sudut sinematografinya. Saya amat suka dengan shot dan penataan cahaya filem-filem Yasmin.

Saya merasakan Yasmin sememangnya agak kurang suka dengan teknik pegangan-bebas. Ia dapat dibuktikan dengan shot-shot yang dirakam tanpa sebarang getaran tangan jurukameranya. Ini mungkin disebabkan Arwah mahukan kekemasan dalam kerja seninya.

Karya-karya seni Yasmin sememangnya sangat kemas dengan shot-shot statik yang cantik. Kita lihat sebagai contoh shot rumah ketika Brian mahu bertemu Rohani dihujung cerita. Malahan boleh dikatakan kesemua shot close-up ataupun shot jauh juga dibikin dengan sangat kemas.

Menonton filem-filem Yasmin seolah-olah kita melihat gambar-gambar statik yang indah, yang mungkin kita boleh lihat dalam hasil-hasil karya Khabir Bhatia.

Situasi dan ruang komposisi rangkuman kamera disusun dengan amat baik untuk menatijahkan sinematografi yang selari dengan jalan cerita Muallaf.

Untuk filem ini Yasmin mungkin lebih mencirikan konsep “kembali kepada alam” dimana banyak shot dirakam dengan ada perkaitan dengan alam semulajadi, contohnya shot kearah langit sambil berselawat mahupun beberapa shot yang terselit pokok-pokok untuk mengindahkan lagi sudut sinematografinya, disamping itu Yasmin juga mungkin mengajak khalayak menghayati keindahan alam ciptaan Tuhan.

Persoalan

Muallaf ditutup dengan babak Brian memandu laju untuk bertemu Rohani dibanglo(sedangkan sebelum itu kita diberitahu Brian adalah seorang pemandu berhemah), seolah-olah tidak bersabar ingin menyampaikan sesuatu kepada Rohani, namun kita tidak memastikan apa yang berlaku diantara Brian mahupun Rohani selepas itu, atau apa yang cuba diungkapkan oleh Brian kepada Rohani. Juga timbul persoalan berkahwinkah mereka atau adakah Brian tetap dengan agamanya ataupun berhijrah kepada agama Islam.

Kesemua itu, jawapannya ada pada Arwah sendiri.

Al-Fatihah Yasmin Ahmad.


*

p/s: ada yang bertanya kenapa saya suka review filem yang dah lama keluar kat panggung, saya jawab, saya tidak mempunyai masa yang banyak untuk itu, malahan untuk menonton DVD pun saya terpaksa mencuri-curi masa senggang.

07 April 2010

Antara nilaian ambiguiti, didaktisme, SGE(SpaceGambusExperiment) dan kolaborasi Pak Samad


"..seni itu adalah kebenaran, keindahan, dan kebaikan di mana di dalamnya terkandung ciri-ciri estetika dan logika..”-Ibnu Khaldun

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kamal Sabran sebab mempercayai diri dan daya penulisan saya yang serba kekurangan ini, untuk mengulas karya terbaharu beliau.

Saya secara terus terang mengakui bahawa saya bukanlah seorang yang pakar dalam dunia musik mahupun filem kerana bidang saya bukanlah disitu dan saya tidak pernah mendapat pendidikan secara formal dalam kedua-dua bidang tersebut.

Namun, sebagai seorang peminat kepada seni musik, terus-terang saya katakan bahawa industri musik tanah air sedang menghadap era kemunduran yang maha dahsyat. Kita mungkin ditanggapi maju dari aspek-aspek teknikal musik, ironikalinya kita benar-benar mundur dari sudut penghasilan karya-karya yang benar-benar mempunyai nilai estetika yang dinamakan sebagai seni, khususnya didalam penghasilan lirik.

Mungkin bab-bab lirik ini, ianya adalah satu permasalahan subjektif, namun saya beranggapan satu-satu lagu atau melodi yang baik memerlukan kepada lirik yang baik sebagai sandaran(baca: namun, saya tidak menjustifikasikan kesemua lirik yang dihasilkan adalah sampah, hanya sebahagian).

Antara solusi yang saya nampak untuk merungkai permasalahan ini ialah seharusnya industri musik kita berinjak ke arah karya-karya puisi sasterawan-sasterawan tanah air untuk dilagukan.

Samalah juga halnya didalam arena perfileman, seharusnya industri kita beralih arah kepada karya-karya sasterawan negara dan mengadaptasinya ke layar perak, berbanding penghasilan filem-filem yang bersifat “syok sendiri” dan berstatus sampah sebagaimana yang berlaku masakini.

Jika kita menyelongkar industri musikal tanah air, kita akan dapati beberapa penghasilan karya-karya bermutu yang diilham berorientasikan puitis.

Kita ada M.Nasir, kita ada Allahyarham Loloq, kita ada kumpulan Kopratasa(baca: masih ingat lagu Masihkah Kau Ingat), kita ada Allahyarham Zubir Ali dan kumpulan Harmoninya(baca: saya teringat lagu Penantian, Balada Seorang Gadis Kecil), sekadar memberikan contoh.

Hingga saat ini saya menanti-nantikan genre semacam ini, hinggalah pada suatu hari saya membuka akaun fesbuk dan saya dapat apa yang saya dahagakan selama ini.

Kamal Sabran dan kawan-kawan hadir lagi ke kancah industri dengan projek terbaharu mereka.

Kali ini projek beliau bukan calang-calang dan benar-benar buat saya teruja mendengarnya iaitu kolaborasi musikal SGE dan digandingkan dengan alunan suara emas Sasterawan Negara iaitu A.Samad Said.

Kamal Sabran bukanlah satu nama yang asing bagi diri saya, kerana saya sudah mengenali bakat beliau semenjak kemunculan filem pendek beliau lagi iaitu melalui projek 15Malaysia tahun lepas(baca: filem pendek Lumpur).

Pada masa tersebut, saya hanya beranggapan Kamal Sabran adalah director berbakat dari Perak hinggalah saya menyelusuri blog beliau dan dari situ saya dapati, rupa-rupanya beliau juga adalah seorang yang aktif dan mempunyai bakat yang luas didalam bidang musik.

Anda pernah mendengar nama Space Gambus Experiment(SGE)?

Space Gambus Experiment(SGE) adalah hasil kolaborasi Kamal Sabran bersama Zulkifli Ramli, pemain gambus Dewangga Sakti dan rakan-rakan luar-negara yang beliau kenali melalui internet dan mereka telah menghasilkan satu album yang mengagumkan sebelum ini.

Ini ulasan saya untuk karya unik mereka sebelum ini.

Perlukah saya mengenalkan anda dengan Sasterawan Negara A.Samad Said?

Tanpa berselindung, Pak Samad adalah merupakan 'tok guru' saya dalam bidang penulisan dimana saya membesar didalam lingkungan kebanyakkan karya-karya besar beliau.

Terdapat 2 track yang diberikan untuk saya ulas iaitu Suara Dari Dinding Dewan dan Di Bawah Bintang Mengerdip, dimana kedua-duanya adalah karya Pak Samad.

Setelah mendengar karya ini, apa yang saya boleh katakan ialah ianya merupakan sebuah kolaborasi yang unik, menarik dan mengujakan!

Apa yang menariknya hasilan SGE kali ini ialah bagaimana bunyian gelombang bunyi dari planet asing, petikan gambus/oud, electro acoustic dan suara agung Pak Samad digabung-jalinkan sehingga menghasilkan satu masterpiece yang mampu untuk mengaul-rasa, menghalunisasi jiwa, berhantu, disamping membuat kita berfikir atas apa yang cuba disampaikan oleh Pak Samad melalui puisi puitisnya.

Walaupun kedengarannya idea ini, kelihatan agak abnormal, namun pada saya ianya merupakan satu karya yang “lain dari yang lain” dan mengesankan jiwa dan minda, untuk mereka-mereka yang hanya mahu mendengar mahupun mereka-mereka yang mahu mendengar sambil berfikir.

Antara petikan gambus, musikal elekronik dan kuasa alunan suara Pak Samad bersatu dan menusuk jiwa, raga dan minda khalayak pendengarnya.

Apatah lagi bagi pendengar yang mendengar secara ekstensif didalam menaakul nilaian ambiguiti disebalik lirik puisi puitis yang dideklamasikan oleh Pak Samad.

Saya beranggapan musik SGE ini, sememangnya agak sukar jika mahu disampaikan secara nyanyian, jadi idea Kamal memilih pendeklamasian sajak adalah satu idea yang sangat 'masuk' dan genius untuk musik SGE.

Disini juga, saya nampak Kamal cuba menyalurkan unsur didaktisme atau unsur pengajaran dalam musik unik SGE untuk memberikan nilaian double-meaning di dalam memperluaskan lagi keboleh-daya-fikir-intelektualan khalayak pendengar untuk sama-sama berfikir apakah yang cuba diselindungkan oleh Pak Samad didalam kedua sajak tersebut.

Inilah sebenarnya "kelompongan besar"(baca: kehancuran seni penghasilan lirik) industri musikal kita, dan saya nampak kelompongan ini mampu diisi dengan karya-karya genius semacam ini.

Saya tidak mahu mengulas dengan lebih panjang lagi, apa kata anda luangkan sedikit masa anda, temui SGE dan Pak Samad di persembahan “Kata Luhur” pada 9 April 2010 jam 8 malam di National Art Gallery, Kuala Lumpur.

* Saya cuba memenuhi permintaan rakan-rakan yang mahukan saya menulis dalam bahasa melayu standard. Eh, apa maksud bahasa melayu standard?

15 Mac 2010

Adnan Sempit, Filem Terbaik Ahmad Idham?



Ramai kawan-kawan suruh aku review filem ini.

Berdasarkan kepada review blogger-blogger terkenal, ada komen-komen yang positif/bagus tentang filem Adnan Sempit ini.

Bila ada suapan-suapan berbentuk positif ini, aku cuba menggagahkan diri dan minda untuk menonton filem ini walaupun aku dah set dalam kepala berkaitan streotaip dan idea klise dunia rempit Ahmad Idham.

Biasanya untuk karya Ahmad Idham, aku akan bakul-sampahkan dari list untuk ditonton tapi untuk filem Adnan Sempit ini seolah-olah menukar sedikit persepsi dan mind-set aku terhadap Ahmad Idham mahupun filem-filem keluaran Metrowealth.

Ini sinopsis Adnan Sempit.

Well, bila aku menonton filem ini, aku berkata wow! Dan timbul persoalan adakah ini sebetulnya filem dan idea asli Ahmad Idham?

Ahmad Idham membuka filem ini dengan babak penerangan sedikit-sebanyak siapakah Adnan Sempit ini sebenarnya. Tapi sirius babak Adnan wili moto tapi jatuh memang idea lawak yang menjadi(baca: aku ketawa terbahak-bahak part nih)

Cuma aku ada satu persoalan.

Ada ke mat rempit pergi merempit naik motor Modenas? Setahu aku ramai mat rempit pakai motor EX5 atau Yamaha RXZ(baca: atau Ahmad Idham cuba memberikan perlambangan mat rempit juga punyai semangat nasionalisme yang kuat, dengan menggunakan barangan keluaran Malaysia?)

Plot filem ini biasa-biasa sahaja(baca: klise dan streotaip filem rempit, ada babak lumba haram, ada minah chikaro etc etc), santai dan tidak memerlukan anda untuk mengerah pemikiran kesana-kesini untuk memahami apakah yang cuba dibawa oleh Ahmad Idham melalui filem ini.

Ianya berkisarkan Adnan(lakonan Shaheizy Sam-seorang mat rempit, bekerja sebagai dispatch-klise pekerjaan mat rempit selain mat pizza) selaku watak utama mengejar cinta Nadia(lakonan Intan Ladyana) yang merupakan bos disebuah syarikat besar. Alkisahnya, satu hari Nadia telah diprovoke oleh kawan-kawannya untuk mempersembahkan kepada mereka siapakah lelaki yang bertahta dihatinya dan Nadia telah menamakan Adnan sebagai pakwenya(walaupun ianya hanya sekadar pakwe palsu). Maka, selepas itu wujud babak-babak dimana Nadia cuba menyelami dunia mat rempit Adnan, dan Adnan pula cuba memasuki dunia kelas atasan Nadia, dan ianya diselang-selikan dengan homour yang menghiburkan.

Pada aku kekuatan filem ini bukan terletak pada plot penceritaannya, tetapi pada kekuatan lakonan/penjiwaan watak para pelakonnya didalam mewujudkan elemen lawak dalam satu-satu babak.

Filem ini digerakkan dengan kekuatan watak utama yang dibawa oleh Shaheizy Sam sebagai Adnan. Ekpresi muka, lontaran intonasi dialog dan bahasa tubuh Shaheizy memang amat-amat bagus dan aku nampak Shaheizy bakal mengisi kelompongan watak hero perfileman Malaya satu hari nanti.

Ia juga dibantu oleh penghayatan watak-watak pembantu seperti Wawa(lakonan Yana)dan Bobby(lakonan Along Raja Lawak). Sirius, aku memang suka watak Wawa ini berbanding watak Nadia. Yana berjaya membawa watak ini dengan begitu baik sekali. Aku suka sekali bila part dialog Wawa ber“gua-lu” dengan Bobby, nampak begitu kiut sekali.

Aku betul-betul suka babak diwarung Macha, setelah resign bekerja dengan Nadia, Wawa dengan muka yang kiut berkata “gua nak jadik minah rempit sepenuh masa..”. Begitu juga babak ketika Bobby mengenalkan kelas-kelas mat rempit pada Wawa ketika membeli makanan, nampak senyuman yang begitu comel sekali. Pergh!

Watak Angah dan Cat Farish walaupun sedikit tetapi mengesankan(baca: macam watak Nabil dalam Pisau Cukur). Babak Cat menyanyikan lagu Bawaku Terbang berduet dengan Angah memang betul-betul lawak. Idea memasukkan unsur musik/melodi ini memang satu idea yang bagus dari Ahmad Idham. Lagi-lagi watak yang dibawakan oleh Angah melalui part-part karaoke, walaupun sedikit tapi menyuntik elemen lawak secara segar kepada khalayak.

Antara babak yang aku paling suka dalam filem ini ialah babak sewaktu Adnan makan stik kat restoran. Aku ketawa sakan semasa babak ini, cumanya kalau ia ditambah elemen slapstik contohnya stik tercampak ke, garfu terbang ke, mungkin ia boleh menjadi lebih lawak lagi.

Satu lagi babak yang buat aku ketawa terbahak-bahak ialah babak ketika Dato’ nak abis bercakap tapi sebenarnya tak habis lagi, ada pekerjanya sudah bangun dan mahu meninggalkan mesyuarat, tapi kemudiannya duduk semula.

Tahniah juga aku ucapkan kepada panel penulis skrip filem ini kerana berjaya menghidangkan dialog yang simple dan bersahaja melalui filem ini. Aku amat suka babak idea penyilangan dialog iaitu babak dimana ibu bapa Nadia bercerita soal jodoh dan disambung dengan perbicaraan antara Macha dan Adnan. Antara dialog yang aku suka ialah “ibarat melukut ditepi gantang”, “banana fruit 2 times”, “Adnan sebut reunion: renuwen” dan “dalam hati ade taman”. Sirius memang betul-betul lawak!

Sinematografi oleh Raja Mukhriz untuk filem ini juga tidak menghampakan dan mungkin adalah antara yang terbaik jika hendak dibandingkan dengan filem-filem Ahmad Idham sebelum ini(rujuk filem Senario Episod 2 sebagai contoh: ada babak kamera tersangkut daun pokok). Walaupun agak sedikit ketinggalan berbanding filem-filem Khabir Batia ataupun Arwah Kak Min, namun ianya sesedap mata memandang dan tidak dibuat secara melepaskan batuk ditangga.

Untuk filem ini, aku nampak Ahmad Idham cuba menyalurkan input-input ambiguiti berbentuk nasihat kepada khalayak. Ini salah satu sebab mengapa aku suka kepada buah tangan Ahmad Idham kali ini, antaranya:

-Ahmad Idham cuba menyelongkar sisi golongan gelandangan ini, sambil menasihatkan khalayak tentang bahaya merempit tetapi disampaikan dalam nada homour, contohnya babak mat rempit dilanggar kereta sampai putus kepala. Elemen ini sebenarnya telah diterapkan oleh Bade Hj Azmi dalam legasi Kl Menjeritnya, cumanya melalui filem Adnan sempit ini ianya hadir dalam bentuk homour. Begitu juga babak muka mat rempit jahat terkena ekzos motor, Adnan mengungkapkan dialog “api neraka lagi panas..”

-Ahmad Idham juga cuba mengangkat tema cinta berlawanan stratifikasi sosial iaitu pertembungan antara dunia kelas atasan Nadia dengan dunia merempit Adnan. Disini Ahmad Idham cuba memberikan perlambangan bahawa istilah cinta boleh hadir tanpa dibatasi dengan darjat. Melalui filem ini, perbezaan lapisan sosial itu disampaikan dalam unsur-unsur lawak tapi mengesankan.

-Cuba lihat dialog “mat rempit macam awak layak ke nak suruh saya tunggu!”, lontaran dialog Dato(baca: mungkin perlambangannya pihak yang bertanggungjawab atau kerajaan)kepada Adnan(baca: mewakili golongan mat rempit). Ini adalah salah perlambangan bagaimana suara muda jiwa remaja mat rempit ini tertutup daripada bersuara. Adakah mereka ini diberikan ruang dan peluang untuk bercakap(baca: diberikan ruang berlumba dilitar yang halal), lantas mereka menghabiskan sisa masa(malahan nyawa) mereka diposisi yang salah, iaitu merempit dijalanan.

-Ahmad Idham juga cuba mengangkat isu gejala sosial dan melancarkan kritikannya terhadap isu-isu tersebut. Contohnya babak upacara kekah, isu perhambaan wanita sebagai kaum tertindas, isu ragut, isu kepayahan untuk berkahwin, isu persaingan secara kotor untuk mendapat tender dan isu adab sopan.

-Babak romantis Bobby cuba mencium Wawa tapi Wawa kemudiannya menampar Bobby memperlihatkan perlambangan bahawa minah rempit sepertinya juga mempunyai harga dan maruah diri.

Ahmad Idham menutup filem ini sekali lagi dengan babak Adnan wili motor tapi terjatuh, dan babak ini sekali lagi mencuit hati aku.

Aku rasa akan ada sekuel Adnan Sempit berdasarkan sambutan box-office yang diterima melalui khalayak kerana seakan ada babak yang dimatikan begitu sahaja dan menimbulkan persoalan seperti apakah yang terjadi kepada proposal Nadia, dan apakah yang terjadi kepada Jofri, begitu juga sejauhmanakah penerimaan ibubapa Nadia terhadap Adnan? Semua itu tiada jawapannya..

Korang rasa ada tak sekual Adnan Sempit?

07 Mac 2010

SPACE GAMBUS EXPERIMENT, hasilan genius dari bumi Ipoh.


Didalam industri musikal kita yang semakin dibelenggui irama-irama streotaip dan klise, serta persaingan irama-irama dari luar, perlu ada sesuatu atau seseorang yang hadir dengan idea-idea matang dan “lari dari kebiasaan” untuk mengisi sisi kosong industri musik kita.

Aku bukanlah pendengar dogmatik yang hanya mendengar satu aliran genre musik sahaja, sebaliknya aku memilih untuk mendengar apa sahaja yang lunak untuk diterima oleh telinga aku. Lunak disini bukan bermaksud irama streotaip melankolik mendayu-dayu lagu-lagu melayu(baca: lagu-lagu Slam, Scoin dan seangkatan dengannya), tetapi apa yang aku rasakan ianya sedap didengar walau apa jua genrenya(contohnya: metal, grind-core, sludge, nasyid etc etc).

Kamal Sabran bukanlah nama yang asing bagi aku. Beliau dikaca-mata aku adalah seorang genius berbakat yang lahir dari Ipoh, Perak. Setelah beliau memukaukan aku dengan karyanya Lumpur, beliau hadir lagi dengan buah tangan terbarunya iaitu Space Gambus Experiment(SGE), hasil kalaborasi Kamal bersama Zulkifli Ramli, pemain gambus Dewangga Sakti dan rakan-rakan luarnegara yang beliau kenali melalui internet.

Aku tak dapat nak memastikan dengan tepat, buah tangan Kamal Sabran kali ini dari genre yang mana, tetapi ianya mungkin lebih berunsurkan kepada new-age musik.

New-age musik ini adalah musik-musik yang mempunyai irama-irama yang didalamnya unsur-unsur ketenangan, inspirasi artistik dan mampu untuk memindahkan jiwa kita ke satu dimensi yang lain(baca:bagi yang tak tahu new-age ini macamane bunyinya, cuba dengar lagu Kitaro, kalau Kitaro pun tak tahu jugak, sila abaikan post ini)

SGE ini mengandungi sebanyak 10 track dan ianya mempunyai tajuk-tajuk simple tetapi mendalam nilaian ambiguitinya seperti Pengembara Cahaya, Lily Wave Mekanik, Sonik Al-Kosmik, Fizikali Real, Gerhana, Panglima 9, Dari Dalam Kalbu, Semesta Kuanta, 7 ruang Kosong dan Pulang Kekanda Bulan.

Apa yang menariknya untuk hasilan Kamal Sabran ini ialah idea Kamal untuk menggabung-jalinkan antara bunyian gelombang bunyi dari planet Musytari, petikan gambus/oud, electro acoustic dan lain-lain alatan untuk mewujudkan satu musik yang mampu untuk menenangkan, mencipta rasa, menyeramkan, membuat kita berfikir malahan bisa untuk membawa jiwa kita ke satu dimensi yang lain.

Idea ini walaupun kelihatan abnormal tapi sangat-sangat mengesankan jiwa. Sirius!

Ini salah satu sebab mengapa aku katakan Kamal sebagai seorang musician yang genius, iaitu kerana beliau dapat mengabung-jalinkan semua itu menjadi satu irama musik yang betul-betul mengasyikkan.

Aku nampak antara petikan gambus, bunyian angkasa lepas dan kesemua alatan musik yang digunakan betul-betul bersatu, diadun rapi, hingga menatijahkan track-track yang sangat-sangat halus dan menghasilkan halwa telinga yang "sedap" untuk dihadam oleh khalayak pendengarnya.

Idea untuk menggunakan gambus sebagai nadi kepada SGE ini juga adalah salah satu daya penarik disamping lari seketika dari klise dan streotaip musik kita yang acapkali diadun dengan bunyian gitar, keyboard dan seangkatan dengannya. Mungkin next projek, kalau boleh guna kompang memang betul-betul mengujakan!

Yang lebih membuatkan aku kagum kepada karya Kamal ini ialah keboleh-fikiran Kamal untuk menyusun track. Aku nampak peralihan antara track seolah-olah mempunyai keserasian, hingga nampak seolah-olah lagu track pertama adalah sekual kepada track kedua dan begitulah seterusnya.

Dan, aku nampak kebanyakkan lagu Kamal sangat-sangat sesuai sebagai musik latar kepada filem-filem atau drama-drama tempatan. Kepada pengarah-pengarah tempatan, jika kamu selalu menggunakan musikal Kitaro, apa kata kamu bertukar-arah kepada musik si genius ini.

Track yang menjadi senarai-main aku ialah Pulang Kekanda Bulan dan Pengembara Cahaya. Sirius 2 lagu ini memang betul-betul mengesankan.

Oh ye, SGE juga hadir dengan booklet yang “cool” dan susun-atur yang menarik, direka-cipta oleh Kamal Sabran sendiri.

Jadi jangan bertangguh, dapatkannya sekarang juga: kamalsabran@gmail.com

p/s: Kamal, kalau aku nak pakai 1-2 lagu ko untuk projek film baru aku boleh tak? :)

24 Februari 2010

PISAU CUKUR, Kritik Sosial Dan Sisi Kebangkitan Feminisme.



* untuk ulasan ini, aku nak menulis pendek sahaja, next review mungkin, filem LU FIKIRLAH SENDIRI, filem Niyang Rapik, CD Space Gambus Experiment oleh Kamal Sabran dan beberapa DVD yang baru aku beli..

SINOPSIS: Apa yang akan terjadi bila mangsa dan pemburu sama-sama terperangkap di atas kapal percutian mewah? Dua orang gadis pisau cukur, Bella(lakonan Maya Karin) dan Intan(lakonan Fazura), bertembung dengan tiga orang Datuk, tiga orang isteri Datuk, dua orang anak Datuk, seorang detektif dan seorang peminat setia Bella. Siapakah yang memburu dan siapa pula diburu? Dalam pelayaran yang penuh kejutan dan kelucuan, apa pun boleh terjadi!

Sirius, aku memang jatuh cinta pada karya Bernard Chauly yang ini! Sebelum ini memang aku sudah jatuh hati pada Gol Dan Gincu, tapi buah tangan Bernard kali ini memang ada umph!

Aku suka dengan idea Bernand membuka filem ini iaitu berkisarkan pertandingan pencarian program realiti “Siapa Nak Kawen Jutawan” dan babak bagaimana sejarah awal watak Bella(lakonan Maya Karin) ingin menceburi bidang glamoriti sedari dari awal lagi.

Cumanya aku rasa, jikalau babak awal itu ditambahkan sedikit perencah contohnya menambah babak undian SMS, aku rasa ianya memang kena ke batang hidung sebilangan masyarakat kita hari ini.

Mengapa aku berkata sedemikian?

Sememangnya di era pasca-modernis ini, undian SMS sudah menjadi sebahagian penentu-cara untuk seseorang menjadi seorang artis(baca: tidak kiralah penyanyi, pelakon, pelawak malahan program berkisarkan keagamaan). Ini disokong kuat dengan kehadiran sebahagian masyarakat yang sedikit dangkal pemikirannya, masih mengundi artis-artis kesukaan mereka yang dicanangkan melalui program-program realiti tersebut. Ironikalinya, apabila berlakunya sesuatu yang sepatutnya dibantu(baca: bencana alam etc etc) melalui SMS, sambutannya dingin pula..

Aku juga merasakan bahawa fenomena menjadi artis sudah menjadi sebahagian sub-budaya masyarakat masakini. Sebahagian anak-anak juga sudah dilatih untuk menjadi artis sedari mereka masih kecil lagi.

Berlakon dan menyanyi masih merupakan satu industri yang menguntungkan, betul bukan? Masakan tidak jika masih ramai lagi sanggup beratur panjang untuk menyertai Akademi Fantasia.

Ini satu kritik sosial yang matang tapi diselindungkan dengan tafsiran ambiguiti oleh Bernard.

Memang genius!

Filem ini juga dikuatkan dengan skrip yang tajam dan "slumber" oleh Rafidah 3R. Aku nampak Rafidah cuba mengangkat beberapa isu realisme yang berlaku dalam masyarakat, antaranya:

-Isu gay, memang isu ini sudah banyak berlaku dalam masyarakat hari-ini, cumanya ia sedikit tertutup dengan wujudnya komuniti masyarakat dan media massa yang masih berpegang dengan norma-norma kuat sisi agama dan budaya ketimuran. Cuba selongkar sisi gelap sebahagian masyarakat, pasti anda akan temui yang ini, malahan mungkin semakin membarah hari demi hari.

-Isu pancing-memancing lelaki-lelaki berumur yang berkedudukan dan kaya. Realiti ini berlaku dalam sebahagian masyarakat dan ianya menjadi nadi penggerak plot kepada filem Pisau Cukur ini. Well, anda akan temui banyak kisah semacam ini dalam Harian Metro dan yang berkaitan dengannya(baca: Dato berkahwin artis, Dato berkahwin gadis muda dara, isteri Dato mintak fasakh, isteri Dato mintak cerai etc etc). Sirius gua cakap!

-Isu golongan-golongan berusia(baca:walaupun dah kawen 3) tapi masih bernafsu kuda. Pantang melihat wanita berdahi licin.

-Sisi gelap dunia glamouriti dunia artis dan masyarakat kelas atasan ditelanjangkan dalam filem ini. Rafidah cuba mengeksistensikan orang-orang kaya(didalam filem ini)suka berfoya-foya, main perempuan, begitu juga dunia glamouriti sebahagian artis yang cuba mengaut untung atas angin atas kekayaan golongan borjois mahupun elitis.

-Ada babak cinta berlawanan kelas stratifikasi sosial(baca: kaya dan sederhana mempunyai jurang untuk bercinta). Ini adalah realiti yang berlaku dalam masyarakat, bahkan atas percanggahan pandangan politik pun cinta Uda terhadap Dara boleh tertolak.

-Daripada filem ini, kita dapati bahawa sexual harrasment boleh datang dalam pelbagai bentuk dan cara.

Berdasarkan filem ini juga, Rafidah dan Bernard dengan begitu lantang melancarkan kritikal sosial yang sangat-sangat matang untuk dibaca oleh khalayak(baca: yang menonton dengan berfikiran ekstensif), antaranya:

-Ini kali pertama aku lihat dengan mata kepala aku, kapal mewah yang majoritinya dinaiki oleh orang melayu, cina dan india. Jadi tafsirannya kapal mewah itu adalah negara kita: Malaysia.

-Aku sangat sangat suka babak dimana tiba-tiba muncul pasangan berumur berpegang tangan dihadapan Intan setelah Intan cuba bercerita beberapa orang Dato untuk ditackle oleh Bella. Disini aku nampak kekuatan unsur cinta yang dibina hingga keusia senja membawa kebahagiaan yang berkekalan, berbanding cinta kepura-puraan“touch n go” Intan mahupun Bella.

-Aku suka mengibaratkan penyiasat(baca: watak Aaron Aziz) umpama media atau paparazi dalam dunia realiti. Anda nampak tak nilaian tersembunyi yang cuba dikritik secara double-meaning oleh Bernard? Mengapa aku berkata sedemikian? Aku nampak watak Aaron ini suka menjaga tepi kain orang lain(baca:umpama media massa, wartawan yang akan melaporkan apa sahaja berkaitan artis-artis).

-Aku nampak Rafidah dan Bernard cuba mengangkat kebangkitan sisi feminisme Intan dan Bella(contohnya: bila cinta Bella dihalang oleh kakak Dato Hisham, ataupun watak Intan yang cuba menyelesaikan kes kematian Dato Zakaria). Walaupun mereka polos dan nampak kewanitaan, namun semangat mereka melebihi badan sasa maskulin. Satu lagi, walaupun Bella berdepan krisis keyakinan, namun semangat feminismenya masih kuat mengharungi apa jua onak-noda-ranjaunya.

-Babak mengorat menggunakan buku(baca: watak Bella mengorat Datuk Hisyam). Sirius, ini idea yang sangat-sangat mapan dan comel juga! Hakikinya, aku sebenarnya sudah bosan dengan idea mengorat klise yang ditampilkan dalam filem-filem dan drama-drama swasta. Eh, aku ada satu soalan, dekat atas kapal-kapal mewah tuh ada lagi ke manusia yang masih suka membaca? Ataupun hakikinya mereka hanya berfoya-foya sahaja? Pada aku, buku adalah perlambangan jambatan kepada ilmu, walau apa pun yang kita lakukan(baca: termasuk mengorat), kita tidak boleh mengetepikan ilmu.

-Watak Naini(lakonan Umie Aida) dan Sal(lakonan Sharifah Sofia) yang nampak ketidak-serasian-hubungan dengan Datuk Zakaria(lakonan Dato Rahim Razali). Ini adalah disebabkan perkahwinan mereka untuk berebutkan harta Dato Zakaria, dan bukannya ikhlas kerana cinta. Adakah kebahagian bolehkah dibeli dengan wang ringgit? Adakah mereka-mereka ini berkahwen atas duit/materialistik semata ataupun atas dasar kebahagiaan?

-Pada aku, tidak perlu menampilkan watak Datuk Hisham(lakonan Eizlan Yusuf) dengan watak rambut beruban, malahan Datuk-Datuk yang lain juga digambarkan dengan keadaan sedemikian. Adakah Bernard cuba memberi perlambangan bahawa orang melayu ini kebanyakkannya menjadi jutawan pada usia tua?

-Aku rasa ada motif mengapa babak pembunuhan Datuk Zakaria didiamkan daripada umum. Ini adalah satu kritikan sosial kepada institusi kejiranan yang semakin pupus didalam masyarakat kita masakini. Walaupun Datuk Zakaria meninggal didalam bilik yang pastinya berdekatan antara satu dengan lain, tapi takde seorang pun tahu kematian Datuk Zakaria melainkan orang-orang yang dekat dengan beliau. Ini kerana kesemuanya jiran-jirannya sibuk dengan hal urusan masing-masing(baca: berfoya-foya), hingga lupa untuk mengambil-tahu hal-ehwal jiran mereka sendiri.

-Aku sangat suka bila Bernard membuat babak pembunuhan tersebut didiamkan daripada pihak polis. Maaf, anda tidak akan menjumpai adegan ala-ala Gerak Khas dalam filem ini(baca:yang selalu ditampilkan dalam filem-filem atau drama swasta, bila ada kes sahaja, polis dengan pantasnya tiba-tiba muncul dan menyelamatkan keadaan). Bahkan Bernard tidak menampilkan satu watak polis pun dalam cerita ini melainkan watak penyiasat persendirian(lakonan Aaron Aziz).

Namun filem ini ada juga kekurangan:

-Set yang cuba ditampilkan amat kurang menonjol. Nampak rekabentuk kapal tersebut seperti di hotel, di shoping kompleks, di restoran, tidak segah dan semewah sebagaimana yang kita tonton dalam filem Titanic etc etc.

-Sebenarnya watak Faqir(lakonan Redza Minhat) berfungsi sebagai apa? Adakah sekadar peneman seketika ataupun “jurulatih joget” kepada watak Bella, yang tiba-tiba muncul entah dari mana. Bahkan lakonan Radza juga sangat-sangat lemah dan kurang penghayatan. Begitu juga Johan(lakonan Nas-T), apa ye fungsinya? Dan aku rasa watak Nabil walaupun tempelan tapi bisa mengesankan khalayak berbanding 2 watak ini. Oh, mengapa ya watak Nabil tidak dikembangkan?

Namun kelemahan yang sedikit itu ditutup dengan baik oleh:

-Kekuatan skrip yang berisi tapi ditampilkan secara bersahaja oleh Rafidah Abdullah.

-Kekuatan naratif dan plot yang dibina secara teratur dan tidak memeningkan tapi sangat sarat dengan nilaian ambiguiti untuk ditamsil.

-Penghayatan dan penjiwaan watak 200% oleh watak-watak utama. Aku sangat suka lakonan Dato Rahim Razali, walaupun sekadar pembantu tapi sangat-sangat mengesankan. Begitu juga watak Nabil, tapi sangat-sangat sayang bila watak Nabil ini tidak begitu dikembangkan.

-Sinematografi pula aku rasa pada tahap sederhana sahaja kalau nak dibandingkan dengan hasil kerja-tangan Arwah Kak Min atau Khabir Bathia.

Untuk anda yang belum menonton filem ini, sila dapatkan DVD filem ini dipasaran sekarang sebelum anda kerugian!