20 Ogos 2011

Ulasan Novel Cekik oleh Ridhwan Saidi


(1) Untuk ulasan ini(dan seterusnya) saya mengguna-pakai method chedetisme di dalam mengulas agar ianya lebih kelihatan cepat dan tepat. Juga untuk membuka peluang untuk membolehkan orang yang kekurangan ruang-lingkup masa seperti saya ini, untuk menulis.

(2) Pada hakikinya, saya adalah pengikut setia penulisan-penulisan Ridhwan Saidi, pra identiti-misteri Jhbt di blog binfilem hinggalah pasca penjenamaan nama Ridhwan Saidi. Selaras dengan inkuiri saya terhadap filem, blog binfilem ini menjadi sumber rujukan wajib saya untuk menulis berkaitan filem selain penulis-penulis tersohor Malaysia seperti A.Wahab Hamzah, Ku Seman Ku Hussin, Noor Azam Shairi, SM Zakir, Faisal Tehrani, Fadli Al-Kiti dan penulis-penulis dari luar.

(3) Setelah sekian lama bergelumang dengan karya-karya Ridhwan Saidi(baca: buku, filem), saya berkemampuan untuk mengecam penulisan-penulisan beliau melalui lenggok-gaya-bahasa, penyelitan kalimah bahasa inggeris(malahan ada yang dimelayukan), idea yang segar serta penulisan yang diluar daripada kebiasaan “pemikiran kotak” masyarakat kita. Kebolehan/insting ini mungkin sedikit laduni untuk diri saya dimana kadang-kadang apabila saya membaca satu-satu artikel, saya suka untuk meneka nama penulisnya, dan hampir 95% tekaan saya adalah tepat. Begitu juga dengan filem ataupun drama, dengan memerhatikan jalan cerita, sinematografi dan pelakon, saya mampu meneka satu-satu filem atau drama itu diarahkan oleh siapa. Ya, untuk karya Ridhwan Saidi, penulisan beliau memang "lain dari yang lain", mempunyai struktur jalan cerita, idea yang di luar kepompong, idealistik dan didaktik. Tak percaya anda bacalah sendiri.

(4) Saya merasakan bahawa Ridhwan Saidi adalah salah seorang penulis kita di masa hadapan. Saya percaya novel-novel beliau mampu membawa angin perestroika dan revolusi kepada kesusasteraan negara kita di kala lambakan novel yang "ntah-apa-apa-ntah" berlegar-legar diruang komoditi pasaran buku kita. Saya bercakap di atas landasan peribadi. Mungkin innate behaviour dan citarasa manusia berbeza. Itu saya faham, tetapi membaca novel cinta 3 segi, cinta dinodai orang ketiga, skandalisme sana-sini, sedikit memualkan hormone pencernaan saya. Saya sebenarnya sedang menunggu Andre Hirata atau Haruki Murakami(sekadar menyebut beberapa nama) muncul untuk membawa konsep glasnost di dalam bidang penulisan di Malaysia dan mungkin tidak keterlaluan saya katakan bahawa Ridhwan Saidi sedang berada di landasan tersebut.

(5) Saya difahamkan ini adalah novel beliau yang pertama dan beliau sedang dalam proses meriliskan novel keduanya dibawah label beliau sendiri iaitu Amerika.

(6) Untuk novel Cekik ini, saya sangat menyukai bagaimana Ridhwan menggaul unsur pasca-modernisme, eksistensialis, ekspresionis, anarkisme, transcendentalisme, liberalisme, falsafah seni-bina, sufisme, sosialisme, nihilisme, sensualisme, homourisme, sedikit kritik sosial, semua ini diaduan menjadi ramuan yang enak untuk dihadam oleh khalayak. Walaupun ada yang pro dan ada yang kontra tetapi hakikinya ia tetap terbaik bagi saya(baca: mungkin ada khalayak yang menolak contohnya pages Saya Benci Fixi tetapi pada saya ianya adalah hak peribadi). Tetapi, serius, isu Interlok & Bahasa Melayu itu adalah pariah sebenar, sangat-sangat mengujakan saya.

(7) Cekik bercerita tentang Syed Warith yang berpacaran dengan kekasih gelapnya iaitu Suria diselangi dengan watak-watak tambahan yang lain. Ia bercerita tentang Malaysia ditahun 2020, bagaimana struktur dan rupa-bentuk Menara Warisan Merdeka, apa yang akan berlaku pada tahun tersebut, adakah kereta tidak lagi berada dijalanraya sebaliknya terbang bebas seperti burung diudara? Adakah rakyat Malaysia tidak lagi makan nasi lemak dan minum teh tarik sebaliknya hanya makan kapsul dan pil sahaja? Adakah pakaian rakyat Malaysia akan berwarna silver dan mempunyai antenna di atas kepala? Jawapannya ada didalam novel Cekik ini.

(8) Tema utama di dalam novel ini adalah berkaitan dunia anak muda. Novel ini bercerita tentang jiwa anak muda bernama Warith yang memberontak mahu keluar daripada kepompong "dunia klise kebanyakkan anak muda"(the easy-comfort zone anak muda sekarang:bawah ketiak mak dan ayah), lantas mencabar diri sendiri untuk berhijrah ke Kuala Lumpur lantaran penindasan yang berlaku ke atasnya. Di sepanjang perjalanan itulah, Warith belajar apa itu DIY, apa itu “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang” dan bagaimana susahnya mencari sesuap nasi. Dan tidak ketinggalan, ia juga bercerita realisme dunia remaja masakini yang kadangkalanya berada betul pada landasannya juga ada kalanya menyimpang.

(9) Saya juga suka bagaimana Ridhwan menyalur unsur didaktisme di dalam novelnya, juga bagaimana cara beliau mencuit intelektual khalayak yang kadangkala ditampilkan secara homour tetapi mengesankan. Mungkin ada juga bab-bab yang sedikit kontra adat ataupun agama dan lari daripada norma-norma ketimuran seperti babak sensual antara kedua watak utama(Syed Warith dan Suria), namun pada saya, membaca novel ini umpamanya seperti kita menonton VHS, kita boleh pause, forward dan rewind mengikut apa yang mahu kita baca ataupun tidak. Pilihannya adalah di tangan kita. Adalah menjadi masalah apabila kita berprasangka holier-than-thou dengan memperbesarkan isu sensual ini lantaran bukan itu sebenarnya didaktisme, moraliti atau anasir positif novel Cekik ini. Saya berpendapat tidak perlu kita mengeluarkan sejumlah RM20 semata untuk membeli novel ini, jika hanya semata-mata mahu membaca kisah adegan sensual antara Warith dan Suria, kerana terlalu banyak lambakan sumber lain yang lebih mudah dan murah untuk didapati, berbanding membuang masa membaca novel Cekik ini(contohnya, anda beli Metro Ahad). Dan Ridhwan sendiri sudah memberikan jawapan kepada persepsi songsang ini di dalam novelnya.

(10) Kita selalu membaca perihal minda kelas pertama tetapi apa yang saya nampak kemahiran mengendalikan kefahaman kita terhadap satu-satu bahan atau medium bertulis kadangkala bersikap berat sebelah, tidak bebas, prejudis dan kita sering berlumba untuk menunjukkan siapa holier-than-thou jika satu-satu karya itu muncul “lain dari yang lain”. Pada saya sub-budaya yang semakin membarah ini akan memandulkan kepada revolusi kesusasteraan khususnya di Malaysia.

(11) Saya sebenarnya tertanya-tanya mengapa Ridhwan Saidi suka menggunakan tajuk Cekik ini didalam kebanyakkan karya beliau. Adalah ianya ada kaitan dengan Syed Warith tercekik gula-gula getah di pengakhiran novel ini, atau nama Cekik ini adalah satu simbolisme kepada “sesuatu” yang ingin disampaikan oleh Ridhwan secara ambiguiti, jawapannya hanya ada pada beliau.

(12) Saya bersetuju bahawa pengakhiran novel ini didalam kondisi tergesa-gesa. Mungkin Ridhwan mampu menyambungnya ke bab yang lain tetapi beliau memilih untuk mematikannya dengan cara sebegitu, mungkin sudah terlebih 60000 patah kata, barang kali :)

(13) Akhir kata, untuk yang belum mendapatkan novel ini sila dapatkan ia segera sebelum ia kehabisan stok. Saya sebenarnya mahukan novel yang bertandatangan Ridhwan namun hajat ini nampaknya belum berkesampaian.

p/s: selepas ini sesiapa yang mahu novelnya direview,boleh rekomen tajuk di ruang komen dibawah,saya akan berusaha untuk memenuhinya :)

p/s/s: ini adalah kali pertama saya mengulas berkaitan novel, jadi harapnya anda semua dapat meninggalkan komen di bawah!

3 ulasan:

fadz berkata...

perlukah hang menamakan aku? hahahahahahah

good job bro!

walaupun aku inginkan lebih lagi.. aku suka part yg hang kata kita boleh rewind, fast foward buku ni macam vhs,, nice one..

yep, aku nampak ridhwan akan jadi nama besar dlm dunia sastera, insya allah..

M-Yusof berkata...

hahaha..

mmg aku banyak merujuk tonton-filem dan bin filem ni bro :)

M-Yusof berkata...

hahaha..

mmg aku banyak merujuk tonton-filem dan bin filem ni bro :)