15 Januari 2010

The Tree, satu medium dakwah Amir Muhammad?


"Walaupun filem dihasilkan sebagai wadah hiburan namun ada mesej yang cuba disampaikan oleh pengarahnya. Cerita didalam filem tersebut adalah sebagai perlambangan tentang budaya orang-orang yang tinggal dinegara yang menghasilkan filem tersebut..”

Kata-kata diatas aku ambil daripada seorang pengkritik filem tersohor negara yang aku lupa gerangannya.

Pada aku, filem yang baik adalah filem yang mempunyai perlambangan. Biarpun agak sukar untuk dibaca oleh khalayak umum(bagi yang malas berfikir sebenarnya), namun ianya mampu untuk menimbulkan dampak positif bagi mereka-mereka yang masih mahu menggunakan akal fikiran secara kritis.

Kadangkala menonton naskhah filem boleh menjadi satu pengalaman yang membuang masa(dan duit), dan kadangkala ianya boleh menyesakkan intelektual untuk berfikir lagi dan lagi.

Filem yang baik bukan bergantung kepada setinggi mana bajetnya, juga bukan kepada secanggih mana CGI yang diaplikasikan, tetapi pada aku ianya bergantung kepada sejauhmanakah kreatifnya si pengarah untuk mengarap idea-idea untuk diadun menjadi naskhah seni menghiburkan disamping bermotif kepada khalayak.

Dan ciri-ciri itu ada pada The Tree karya Amir Muhammad.

The tree=pokok.

Menanam pokok itu adalah perlambangan usaha. Pokok yang tumbuh itu adalah perlambangan hasil, dan sejauhmana hasil itu disebarkan adalah bergantung kepada si petani itu sendiri. Mungkin dengan usaha yang baik, seperti meletakkan baja yang baik, maka si petani akan mendapat hasil yang baik. Jika dibiar sahaja tanpa usaha, mungkin hasilnya adalah lalang.

"Setiap muslim yang menanam suatu tanaman atau suatu tumbuhan, kemudian tanamannya itu dimakan oleh burung, manusia atau haiwan, maka itu akan menjadi sedekah baginya." [Hadits ini diriwayatkan oleh Al Bukhari dalam kitab Al Muzara'ah, dan oleh Muslim dalam kitah Al Masaqah, dari hadits Anas. Lihat: Al-Lu'lu wa al Marjan fima Ittafaqa Alaihi Asy-Syaikhan, Muhammad Fu'ad Abdul Baqi, juz 2 no. 1001]

Amir Muhammad membuka filem ini dengan bacaan hadis oleh Tuan Guru Nik Aziz berkaitan hadis diatas. Menampilkan Nik Aziz kedalam naskhah ini merupakan satu legasi kerana Amir sebelum-sebelum ini seringkali menampilkan tokoh kontroversi didalam filem-filemnya seperti Farish Nor dalam The Big Durian.

Kemudian, Amir menukar shot filemnya kepada shot-shot masyarakat kelas sederhana seperti peniaga, penjual santan, mak cik jual baju batik, mak cik jual ulam, pak cik kerja mengangkut barang, penjual ikan etc, diadun dengan tazkirah dari Nik Aziz.

Mengapa Amir mengangkat mereka-mereka ini sebagai latar kepada filemnya?

Masyarakat kelas bawahan atau sederhana ini, mereka berusaha dengan asbab “tangan-tangan mereka sendiri”, mereka bekerja dengan ikhlas demi sesuap nasi, jua demi meneruskan kelangsungan hidup mereka. Mereka kenal benar istilah “berusaha” demi sesuap nasi. Bahkan Rasulullah SAW pernah mencium tangan kasar seorang petani kerana tangan itu adalah dirahmati Allah(baca: tangan yang mencari nafkah sendiri) dan disamping itu, hasil tanaman mereka juga dikongsi untuk kesejahteraan ummat manusia keseluruhannya.

Mereka berbeza dengan sesetengah golongan kelas atasan yang kadang-kala mencari duit dari “hasil yang mudah”, kadangkala mereka menipu, kadang kala mereka korup, kadangkala mereka cut-cost untuk ke poket mereka, apa yang mereka suka ialah untuk untung diatas angin.



Mungkin ini satu kritik sosial Amir kepada golongan atasan untuk membandingkan mereka dengan golongan bawahan.

Aku suka shot Amir ketika Nik Aziz membicarakan soal akhirat, shot Amir melirik kepada cili merah, seolah menggambarkan satu peringatan kepada kita semua agar berjaga dan bersiap untuknya. Cili adalah perlambangan peringatan ataupun satu manifestasi langkah berjaga-jaga agar tidak dimamah oleh ke”pedas”annya. Mungkin juga untuk menggambarkan siapa makan cili dia akan merasa hasil kepedasannya, berani makan cili, beranilah jua menanggung azab pedasnya.

Melalui filem ini juga(dengan memilih wakil kerajaan kelantan), mungkin Amir cuba untuk mengaitkan filem ini dengan senario negeri Kelantan yang menerima sekatan-sekatan tertentu daripada kerajaan persekutuan terutama dalam sudut bajet. Seharusnya apa yang diperuntukkan kepada negeri-negeri lain(dibawah lembayung BN), seharusnya juga diperolehi oleh kerajaan negeri Kelantan.

Dan mungkin filem ini sebagai peneguhan, walaupun Kelantan tidak menerima bajet yang sepatutnya diperuntukkan, mereka juga mampu untuk berdiri sendiri(baca-melalui apa yang digambarkan melalui shot masyarakat di Pasar Siti Khadijah).

Dari sisi yang lain, Amir mempersoalkan keadilan.

Filem ini juga pada aku mengkritik secara ilusi, orang atasan agar tidak melupakan golongan bawahan dan menjalankan keadilan keatas mereka, melalui ungkapan Nik Aziz “jika kita berjanji nak bayar dengan kuli, RM10 sehari, kemudian kita bayar mereka RM5, kita tak dapat pahala”.

Ada satu benda yang menimbulkan persoalan iaitu ada satu ayat seolah-olah tersangkut, tatkala Nik Aziz mengungkapkan kata “nak tanam seribu ekar, sejuta ekar sekalipun”, dan kemudian disambung dengan ucapan “Alhamdulilah”, aku tak pasti samada ayat tersebut tergantung, ataupun Amir memotongnya semasa proses editing.

Dari sudut sinematografi, pada aku ianya sederhana sahaja.

Filem itu, diakhiri dengan kata-kata: “satu masalah yang timbul diseluruh dunia Islam, yang ditimbulkan oleh musuh islam ialah mengasingkan diri daripada peraturan Allah.”

Yang ini aku tak mahu mengulas kerana setiap filem yang baik terdapat nilai ambiguiti – setiap orang boleh mentamsilnya mengikut kefahaman dan acuan sendiri.

Harapan aku, moga banyak filem-filem semacam ini diterbitkan disebabkan walaupun pendek namun besar faedahnya kepada khalayak, berbanding filem yang nampak spektakular, namun kosong jiwanya.

Ini sekadar ulasan aku, untuk tonton&komen, sila ke: The Tree

Tiada ulasan: