01 Oktober 2012

Maskara Shorties 2012: Satu Pandangan Peribadi


Di saat pengaksesan maklumat di hujung jari masakini, istilah independent ataupun singkatannya indie bukanlah satu istilah yang asing dikalangan masyarakat marhaein khususnya dalam lingkungan seantero Malaysia, mungkin. Hipotesis berdasarkan perkataan indie ini boleh membawa kepada dua golongan manusiawi iaitu sebilangan daripada kita mungkin boleh memberikan takrifan positif kepada istilah ini manakala sebilangan yang lain, mungkin tiada asas atau maklumat langsung berkaitan istilah ini(baca: filem indie disalah-ertikan  filem hindi).
Independent, apabila diterjemahkan kepada bahasa melayu, membawa maksud bebas. Menyorot kepada maksud bebas, ia bolehlah diertikan sebagai: 1. Tidak terhalang(untuk bergerak, atau bercakap), tidak terkongkong, tidak terkurung, lepas, leluasa 2. Lepas daripada kewajipan(tuntutan, ketakutan, cukai, hukuman, dll).
Apabila kita membicarakan tentang filem, ia membawa takrifan: 1. Benda tipis daripada seluloid yang dimasukkan ke dalam kamera untuk membuat negatif filem. 2. Gambar bergerak yang ditayangkan pada layar, biasanya di pawagam, wayang gambar.
Apabila dikahwinkan antara kedua istilah ini, filem indie ataupun filem bebas ini bolehlah untuk kita interpretasikan sebagai filem-filem berbajet rendah kerana boleh dikatakan kebanyakkan filem-filem indie ini, dibikin dengan belanja yang murah samada produksi, bayaran pelakon, prop, namun, secara keseluruhan hasilnya adalah merupakan adi-karya jika kita mentadabbur ia dari segi mutu dan ambiguitinya; walaupun kecil “segi-bentuk”nya tetapi besar jiwa dan pengisiannya. Malahan, pada saya, kadangkala ia jauh meninggalkan filem-filem mainstream sedia ada yang mantap kuantiti bikinannya tetapi mandul kualitinya.
Filem indie juga boleh kita definisikan sebagai sebuah filem yang lari daripada kepompong filem-filem sedia ada. Ianya lebih kepada filem-filem yang berorientasikan kepada penyaluran idea-idea kritikal, pemikiran “luar-kotak” dan berteraskan “supremacy of ideas” kepada khalayak penonton tanpa banyak memikirkan soal untung ataupun rugi.
Boleh dikatakan kebanyakkan filem indie menuntut daya pemikiran penonton untuk mencari maksud yang ingin disampaikan pengarah. Kadangkala apa yang dipertontonkan oleh sesebuah karya indie, mempunyai maksud yang mendalam yang tidak difahami secara terus oleh khalayak penontonnya, sebaliknya memerlukan kajian mahupun penilaian analitikal dan mendalam untuk mencari maksud yang tersirat melalui satu-satu karya tersebut.

Kebanyakkan filem-filem indie ini juga mempunyai idea yang kontradik dengan pemikiran “sedia ada” khalayak sehingga adakalanya menimbulkan “polemik mentaliti” kepada yang sesiapa sahaja yang menontonnya, hinggakan ada di antara filem-filem tersebut diangkat menjadi isu nasional, contohnya seperti karya Amir Muhammad, Lelaki Komunis Terakhir. Juga hasil tangan Arwah Yasmin Ahmad, Ho Yuhang, Azharrudin, Bernand Chauly(Bakun dan Child’s Play), Osman Ali(Bukak Api, Malaikat di Jendela dan Anak Halal(karya pendek), Tan Chui Mui, Deepak Kumaran Menon, Stephen Teo(Bejalai dan Julian Cheah in Penang), James Lee, Woo Ming Jin dan legasi ini diteruskan dengan nama-nama seperti Ridhwan Saidi, Tok Rimau, Nazri M.Anuar, Naga, Ajami Hashim, Dean Sham, Azizul Hakim, Razaisyam Rashid, Bainun Waheeda, Sufian Abbas, Aloy Paradoks mewarnai lagi kesinambungan gelombang “industri” ini.   
Filem-filem indie ini juga pada pandangan saya, adalah merupakan satu wadah pemberontakan” kepada gaya pembikinan dan kandungan sinema tempatan yang secara amnya dari tahun ke tahun berdepan dengan krisis seni dan intelektualisme. Jadi, dengan adanya ataupun lahirnya golongan generasi pembikin filem baharu ini, diharapkan ianya mampu untuk membawa dampak positif kepada khalayak penonton tempatan disamping merevolusi mentaliti kita selaku khalayak penonton. Ia juga menjanjikan alternatif kepada mereka-mereka yang sudah bosan dengan filem-filem Malaysia yang kelihatannya seperti sudah hilang punca dan ketandusan idea.

Pada kebiasaannya, filem indie adalah berorientasikan kepada konsep tayangan terbuka, wayang pacak ataupun istilahnya free-screening kepada khalayak peminat-peminat seni filem ini. Ianya lebih bertumpu di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), kolej-kolej swasta ataupun tayangan privasi samada di rumah-rumah seni dan sebagainya.
Maskara Shorties, bukanlah satu nama asing dikalangan peminat-peminat filem indie ini. Maskara Shorties adalah merupakan tayangan marathon beberapa buah filem pendek yang dipilih oleh “lelaki-lelaki urban” daripada Sindiket Sol-jah. Sindiket Sol-jah ialah sebuah kolektif yang aktif mengaktivitikan beberapa acara seni indie tanah air.  

Jadi, bersempena dengan JB Writers and Readers Festival yang diadakan sepanjang bulan September 2012, Sindiket Sol-Jah dengan kerjasama Singapore Polytechnic's School of Architecture and the Built Environment, Gobok Buku dan Agas membawakan kepada khalayak penonton di selatan tanah air(yang sebelum ini kebanyakkan Maskara hanya boleh diakses di Rumah Pena sahaja) acara Maskara Shorties 2012 iaitu sebuah acara yang menghimpunkan filem-filem pendek yang “rarely-seen” dari Malaysia and Singapura. 


Saya yang hadir atas kapasiti stratifikasi “orang kebanyakkan”, yang meminati filem(tetapi tiada asas perfileman), tiba di kawasan kejadian agak lewat kerana kesilapan waktu jadual acara dan ketika itu sedang ditayangkan filem Platform 1932 iaitu sebuah filem dokumentari berkisarkan keretapi atau stesyen keretapi oleh Nawwar Syahirah berdurasi sekitar 20 minit. Mungkin sebab ianya bukan “cup of tea” saya, maka ia kelihatannya ala sebuah dokumentari RTM yang sedikit membosankan. Mungkin terselit unsur politikal dan ambiguiti di dalam filem ini namun disebabkan “mood” untuk menonton belum hadir dijiwa, maka ianya masih sekadar ala dokumentari RTM yang kita boleh tonton setiap hari di TV1.
Acara diteruskan dengan filem Pemburu Buaya Darat oleh Tok Rimau. Dengan iringan tepukan padu, sudah semestinya filem pendek ini merupakan “filem bertih jagung” terbaik pada malam ini. Filem ini boleh saya kategorikan sebagai sebuah filem komedi ringan yang “berisi” jika kita membaca filem ini melangkaui lapis komedi sebagaimana yang disajikan oleh Tok Rimau. Kekuatan Tok Rimau ialah dengan idea-idea lawak segar beliau. Saya merasakan jika Tok Rimau diberikan peluang dan ruang, menjalinkan kerjasama untuk menulis sebuah filem lawak oleh mana-mana syarikat perfileman di Malaysia, ia akan box-office. Pada saya, bukan senang untuk kita menulis sesuatu lawak yang tidak klise, stereotaip dan “luar kotak”. Kita mungkin disajikan dengan lambakan kitaran ataupun pusingan lawak yang di-rolling hampir disemua filem-filem lawak di Malaysia, ironikalinya, Pemburu Buaya Darat hadir, dengan montaj sahaja, Tok Rimau mampu untuk mengundang senyuman dengan lawak selesema tenggilingnya. Filem pendek ini berkisarkan seorang pemburu “buaya darat”(baca:lelaki buaya darat) dari masa hadapan melakukan kajian ala Crocodile Hunter berkaitan bagaimana seseorang lelaki buaya darat tadi melakukan proses mengurat perempuan. Dengan naratif yang tersusun dan props ringkas, mampu mengundang unsur homour di dalam filem pendek ini.
Filem pendek seterusnya ialah Lost Sole oleh Sanif Olek. Sanif Olek adalah seorang pembikin filem dari Singapura yang tersohor dengan beberapa karyanya telah menyertai anugerah-anugerah di luar negara. Lost Sole berkisarkan tentang seorang lelaki warga emas yang kehilangan seliparnya di masjid dan dia memerlukan alat bantuan pendengaran untuk mendengar. Daripada isu inilah ianya berkembang menjadi jalan cerita kepada filem pendek ini. Naratif filem ini dipecahkan kepada dua iaitu situasi si bapa yang kehilangan arah kerana tertinggal alat bantuan pendengarannya dan ia dikembangkan dengan watak anak perempuannya yang menyedari si bapa tidak membawa alat tersebut. Lalu momen-momen “si bapa merayau” dan “si anak mencari bapanya” mewarnai filem ini hingga akhirnya menimbulkan beberapa ambiguiti seperti pengorbanan si anak yang terlalu sayangkan bapanya melalui mis en scene babak akhir di dalam LRT.
Filem Eskep oleh Fasyali Fadzly mengambil alih acara selepas filem Sanif Olek tadi. Filem pendek ini mengambil semangat beberapa filem pendek yang pernah saya tonton sebelum ini seperti Low Budget Love oleh Bainun Waheeda ataupun Untitled oleh Ares Bahar. Ia merupakan sebuah filem yang menyatukan beberapa shot pendek mahupun long-shot kehidupan seharian seorang gadis yang menjadi watak utama filem ini, lalu dihujungnya Fasyali meninggalkan penonton untuk berteka-teki apakan pengakhiran yang sesuai untuk si gadis tersebut. Adakah si gadis tadi membunuh diri, ataupun kembali kepada keluarganya(mungkin pakwenya), semua itu tinggal tanda tanya dihati penonton.
Selepas itu, filem Tikam arahan Razaisyam Rashid mengambil tempat dengan menghidangkan karya berkisarkan kisah perompak yang “bermain” atas nama tikam. “Tikam belakang”, menikam kawan dengan pisau, “ditikam” kawan baik merupakan perspektif yang diangkat untuk menggerakkan filem ini. Tikam pada saya ditangani dengan baik oleh Aloy Paradoks, Fasyali Fadzly, Rayza Mukmin dan Shyrudin dan skrip oleh Nazri M.Anuar. Saya juga suka melihat bagaimana tersembunyinya Razaisyam cuba menyalur kritik sosial di dalam filem Tikam ini.  
Filem seterusnya juga merupakan filem “crowd-choice” pada malam itu berdasarkan sambutan penonton, mungkin disebabkan faktor Pipiyapong iaitu Hangus oleh Dean Sham, namun saya tidak berkesempatan untuk menikmatinya kerana komitmen lain yang perlu saya langsaikan pada malam tersebut. Terdapat beberapa filem pendek lain yang saya terlepas tontonannya seperti IMPIAN SI MAMAT(ZUL SALLEH), THE CRIMINAL(AHMAD ZULHILMI SOBRI), BRICK GO (T&D) ME(GOGULARAAJAN RAJENDRAN), MELTDOWN IN TIBET(MICHAEL BUCKLEY), DENGAR(MUHAMAD ZAKI ZAINAL), IKAN LANGKA(BASIL MIRONER), BUMBUNG AKU LANTAI ORANG(DEAN SHAM) dan KERAJAAN LAUT(DEAN SHAM).
Secara keseluruhannya, saya angkat topi dan tabik kepada pihak organizer kerana acara pada malam itu berlangsung walaupun agak santai tetapi lebih “mesra-khalayak” dengan kerusi yang banyak tersusun, sistem audio terbaik dan layar sebesar pawagam di dewan tersebut. Ini mungkin akan menyumbang mood positif kepada khalayak yang ingin menonton. 

Selaku peminat seni dan “pembaca filem"(kononnya), saya salute dengan Sindiket Sol-jah dan sekutunya, yang terus-terusan menghidangkan acara-acara seni berkualiti seperti Maskara Shorties ini dan harapan saya semoga “kedudukan geografi” di Bandaraya Johor Bahru ini, akan dapat diteruskan kelangsungannya, ditahun-tahun yang mendatang.

23 September 2012

Anugerah Perfileman Yang Sebenarnya!

Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur adalah sebuah kumpulan pengkritik filem yang diasaskan pada November 2011 dan tertubuh secara maya di Kuala Lumpur (merangkumi sekitar Lembah Kelang). 

Majlis ini berfungsi sebagai penonton berfikir yang analitikal dalam memilih filem Malaysia (serta beberapa kategori lain) terbaik sepanjang tahun. 

Kumpulan ini terdiri daripada sekumpulan pengkritik yang bertugas dalam pelbagai bidang, yang terpilih dalam kalangan editor, pengarang dan blogger yang berdedikasi dalam penulisan dan penganalisian filem, yang mana sekumpulan daripadanya sudah melahirkan beberapa ulasan filem yang kritikal, memenuhi aspirasi, mutu dan kefahaman sebuah pembikinan dan pengkaryaan filem yang unggul dan menyeluruh. Kumpulan ini turut bertindak sebagai badan penilai dan pemilih sekelompok filem yang ditayangkan pada satu-satu masa untuk diberi pengiktirafan yang sepatutnya dalam mencapai kewajaran seni, estetika dan kepakaran yang dipertanggungjawabkan. Filem-filem yang terpilih merupakan kesemua filem yang ditayangkan di "pawagam" Malaysia, termasuk di International Screening GSC.

Setiap tahun, majlis ini akan menghimpunkan senarai terbaik bagi Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur. Untuk tahun ini (2012), kami telah meneliti 62 buah filem dalam perhatian. Terdapat peningkatan kuantiti dalam pencalonan sulung ini, tetapi secara purata, kebanyakan filem masih lemah seperti tahun-tahun lalu, dan tidak mencapai piawaian sebuah filem yang boleh ditonton dengan berlandaskan formula dan bahasa yang benar-benar sinematik, walaupun untuk sebuah filem kotemporari (komersial). Kebanyakan filem masih lemah dalam asas pembikinan, khususnya cerita dan penceritaan.  

Sungguhpun begitu, terdapat sekumpulan filem tempatan yang mencapai mutu baik yang amat dipuji. 


Rekomendasi diberikan terhadap beberapa filem, yakni Songlap, Misteri Jalan Lama, Bunohan,  3 Temujanji dan 29 Februari

Senarai pendek di bawah merupakan pengelasan kategori-kategori tertentu yang dianggap "terbaik" dalam kalangan filem yang ditayangkan. Senarai pemenang akan dimaklumkan pada bulan Oktober 2012.

Ingin membaca senarai penuh Anugerah ini, sila ke: http://tontonfilem.blogspot.com/2012/09/majlis-pengkritik-filem-kuala-lumpur.html 


 

18 September 2012

Mohon Pencerahan Buat Penyokong Manchester United!


Sebagai seorang lelaki urban yang meminati kelab terhebat sepanjang zaman, Manchester United, saya merasakan yang saya perlu menulis dan menjawab beberapa persoalan yang menimbulkan paranoid sebahagian sisi masyarakat marhaein di Malaysia.


Isunya ialah bolehkan kita menyokong pasukan Manchester United kerana ia dikatakan memiliki lambang syaitan berdasarkan gelarannya The Red Devil.

Saya tidak pasti mengapa dan kenapa minda kita kerapkali di-spin dan dimanipulasi dengan sebahagian isu yang kadangkala hujahnya agak dangkal, bersadur daripada internet, berorientasikan tahyul-karut-marut, bersifat ekspresionisme secara transcendental, paranoid dan kadangkala lebih bersifat “syok sendiri”. Banyak contohnya, anda fikirkanlah sendiri, contoh terbaharu isu tarian Gangnam. Yang lain, anda fikir sendiri.

Nasihat saya kepada seluruh rakyat Malaysia, berfikirkan atas landasan rasionalisme, bukan “buta-mata-hati” atas apa sahaja material bacaan yang disajikan kepada anda. Carilah yang bersifat “supremacy of ideas” untuk membuka ruang dan peluang minda untuk berfikir, bukan memandulkan akal kita.

Disini saya menulis dalam bentuk poin agar ianya bersifat “straight-to-the point” dan mudah dihadam.

(1) Pada saya, lambang Red Devil itu hanya sebagai satu simbol, nickname atau ambiguiti, yang tinggal ia sekadar simbol, dan tidak lebih daripada itu. Manchester United digelar Red Devil disebabkan jersi utama mereka berwarna merah.  

Di sini saya menimbulkan persoalan, adakah dengan memakai jersi Manchester United atau menyokong kelab tersebut akan menjadikan kita sebagai seorang penyembah syaitan?

Pernahkah sepanjang menonton perlawanan yang melibatkan Manchester United, kita melihat, Sir Alex Ferguson, pemain atau seorang pun penonton di Old Traford yang duduk bertafakur menjalankan ritual menyembah syaitan sebelum, semasa atau selepas perlawanan yang melibatkan Manchester United?

Ataupun pernahkan kita melihat upacara menyimbah atau meminum darah kambing hitam dilakukan di Old Traford sepertimana ritual yang biasa dalam pemujaan syaitan dilakukan oleh mana-mana individu di sana?

Tepuk dada, tanya diri.

(2) Kita juga tidak jelas bagaimanakah rupa syaitan, jin atau seangkatan dengannya, lantas saya menimbulkan persoalan adakah lambang yang ada pada logo Manchester itu adalah merupakan rupa bentuk syaitan?  

Menurut sebahagian ulama’, rupa bentuk Jin yang asal selepas di cipta dan ditiupkan roh itu, hanya Allah SWT dan Rasulnya sahaja yang mengetahuinya.

Menurut sesetengah ulama rupa, tabiat, kelakuan dan perangai Jin adalah 90 peratus mirip kepada manusia.

Antara kelebihan Jin yang telah diberikan oleh Allah SWT ialah kemampuannya untuk mengubah dirinya dalam berbagai bentuk dan rupa. Contohnya dalam peperangan Badar, Iblis telah menampakkan dirinya dalam bentuk seorang lelaki dari Bani Mudlij dan Syaitan pula dalam rupa Suraqah bin Malik yang datang membantu tentera musrikin memerangi tentera Islam.

Di dalam Sahih Bukhari, ada meriwayatkan bahawa adanya Jin yang menampakkan dirinya dalam bentuk seekor ular dan membunuh seorang pemuda yang cuba membunuh ular tersebut.

Di samping itu, Jin juga boleh menampakkan dirinya dalam rupa bentuk haiwan yang lain seperti rupa bentuk kucing, anjing dan sebagainya.

Nota: Iblis dan Syaitan adalah juga merupakan sebahagian daripada golongan Jin.

Jadi persoalannya, di dalam dunia ini, siapa yang mampu untuk memberikan gambar yang tepat, documentary evidence, bukti emperikal, prima-facie, proof, ithbat bagaimana rupa syaitan yang sebenarnya, sebelum mengatakan bahawa logo Manchester itu adalah merupakan rupa bentuk syaitan.

(3) Kita jangan memaknakan sesuatu itu kalimah dengan maknanya secara literal dimana ianya mungkin membawa maksud yang kontradik daripada pemaknaan harfiah kita. Mari kita uji kalimah Red Devil ini.

Mari kita lihat maksudnya di Thesaurus: Red Devil is barbiturate that is a white odorless slightly bitter powder (trade name Seconal) used as a sodium salt for sedation and to treat convulsions.

Jika anda kata Thesaurus tidak urban, mari kita lihat Urban Dictionary pula:

1. Slang for cough syrup pills; used by underaged idiots that wanna get high but either can't get the money for something else or can't get a car to get them to a dealer.
2. Glory Glory Man United!
3. Slang for drug Seconal- a barbiturate.
4. The name of the Belgian national football (soccer) team.
5. The name of the South-Korean national squad
6. Manchester United

Jadi, adakah dengan kita menyokong nama pasukan berdasarkan daripada pemaknaan maksud di atas akan menjadikan kita penyembah syaitan?

Adalah menjadi masalah apabila kita menjadi terlalu literalist. Kita ambil contoh yang lain selain kalimah Red Devil ini ialah seperti kalimah terbaharu seperti "devil's advocate" :)

Kita ada 24 jam masa sehari dan bila didarabkan dengan seminggu kita akan ada 168 jam. Jadi apakah salahnya kita menghabiskan dalam 2-3 jam untuk menonton EPL? Mengharamkan menonton bola(baca:EPL) dan mengharamkan penyokongan terhadap Manchester United disebabkan hujah-hujah bersifat syok sendiri adalah satu pandangan yang sangat-sangat mendangkalkan.

Sekian.

10 Disember 2011

Ulasan Ombak Rindu(2011)


Demi mendapatkan positive-mood sebelum menonton filem ini, saya sanggup mencari dan melabur masa untuk menelaah novel popular Ombak Rindu karya Fauziah Ashaari yang khabarnya terjual lebih 150 ribu unit ini.

Sejujurnya, ini kali pertama saya membaca novel terbitan Alaf 21. Terus-terang saya katakan bahawa, saya membaca karya ini bukanlah atas dasar kepopularannya, sebaliknya untuk mencari titik persamaan/perbezaan di antara novel dengan bagaimana Osman Ali menterjemah karya ini ke layar perak. Terus terang juga saya katakan bahawa, hasilan Alaf 21 bukan “jiwa” atau “a cup of tea” yang sesuai bagi lelaki-lelaki peminat Manchester United seperti saya. Sebagai pembacaan, saya semestinya akan mencari sesuatu bahan yang mempunyai elemen “supremacy of ideas” untuk membuka ruang dan peluang minda saya untuk berfikir, bukan sekadar hanya “seronok-atau-sedih-menitis-air-mata” disogok melankolika cinta 3 segi, cinta tidak berbalas atau lain-lain circle of recycle plot yang berpaksikan atas tema cinta semata-mata seperti kebanyakkan tema novel-novel di pasaran.

Ironikalinya, saya menyukai novel Alaf 21 yang ini. Saya suka bagaimana idea Fauziah mengangkat tema emansipasi Izzah melawan kuasa patriarki yang berlegar di dalam kehidupannya iaitu Pak Cik Taha, suami gelapnya, Hariz, Roland dan Kelvin. Dengan kuasa pendaman cinta dan kesabaran lantas kebahagiaan hakiki cinta itu dikecapi oleh Izzah di pengakhiran novel tersebut. Juga tema cinta berbeza lapis stratifikasi darjat dan tema “pelacur halal”, lantas menarik minat Osman Ali untuk mengadaptasikannya ke layar perak.

Osman Ali sebelum ini pernah sukses melalui beberapa filem-filem cereka seperti Bukak Api, An Angel On The Windowsill, Anak Halal, Cun dan drama Tollgate Girl. Tetapi buah tangan Osman sedikit merundum melalui filem Puaka Tebing Tinggi yang pada saya sangat membosankan

Saya agak menyesal membaca buku ini terlebih dahulu sebelum menonton filemnya kerana segala plot novel telah berada di dalam kepala ketika saya menonton filemnya. Saya mengakui bahawa perbuatan membaca novel ini telah memakan diri lantaran pembanding-taraan itu berlaku secara dualiti yang berkecamuk antara plot novel dan plot filem berperang di minda kertika saya menonton filem ini. Akhirnya, saya tewas dengan mempluralitikan pemikiran bahawa plot filem adaptasi Osman Ali adalah sangat berbeza dengan idealisme emansipasi yang cuba diangkat oleh Fauziah melalui novelnya.

Saya sebenarnya menyukai idea “pelacur halal” dan tema perkahwinan berbeza darjat tetapi idea ini pada saya masih jatuh tahap recycle dan klise kerana terlalu banyak kisah-kisah semacam ini sudah diangkat menjadi tema-tema di dalam drama-drama melankolia dan keagamaan di televisyen. Contohnya drama-drama Erma Fatima ataupun Rasyid Sibir.

Sebagai perbandingan, saya memberi contoh semangat emansipasi Annisa di dalam filem Perempuan Berkalong Sorban(2009). Ia juga adalah merupakan sebuah filem adaptasi daripada sebuah novel karya Abidah El Khaliqy. Plot filem ini hampir sama dengan Ombak Rindu iaitu tentang seorang perempuan yang bernama Annisa yang dipaksa berkahwin dengan lelaki yang tidak dicintai dan dia juga menghadapi malang hampir sama seperti Izzah(dipukul dan dihina oleh suaminya). Tetapi aspek penceritaan dan latar plot berbeza kerana Perempuan Berkalong Sorban membawa tema yang jauh lebih berat berbanding Ombak Rindu.

Ok, kita kepada ulasan filem ini.

Filem Ombak Rindu ini dimulakan dengan watak Izzah yang digambarkan sebagai seorang ustazah kemudian dijual oleh pak ciknya ke kelab malam di mana di situlah dia ditemukan dengan Hariz yang telah membibitkan benih cinta dan selepas itu plot berkembang dengan sub plot watak Pak Lah, Ibu Hariz, Mila gaduh-gaduh manja, isu siapa anak siapa dan babak penamat. Pada saya, ia adalah sebuah filem yang menghiburkan selaku sebuah filem dari Malaysia. Apa ekspektasi anda untuk sebuah filem melodrama dari Malaysia? Inilah ia!

Untuk filem ini, babak yang mengambil semangat mirip-mirip dengan novelnya ialah daripada babak Izzah di Kelab Malam hinggalah dia ditampar Hariz dan daripada situlah Izzah dan Hariz dilambung ombak rindu, dan selain daripada babak itu ianya adalah adaptasi dan imiginasi Osman bersama Arman untuk menggerakkan dan membina plot Ombak Rindu versi filem. Saya, tiada masalah untuk ini kerana ia adalah sebuah karya adaptasi dan adalah mustahil untuk mengeluarkan 100% idealisme Fauziah ke layar perak. Cumanya, mungkin terdapat sebilangan peminat novel Ombak Rindu terkilan kerana terdapat jurang perbezaan yang besar antara novel dan filemnya. Jadi sebagai solusi, saya merasakan mana-mana pengarah yang ingin mengangkat satu-satu novel untuk difilemkan, sila lantik sama penulisnya sebagai penulis skrip bersama agar idea yang lebih mapan akan dapat diterjemah ke layar perak. Tidaklah nanti apabila filem sudah siap, si penulis novel berasa kecil hati kerana ada idea master-piecenya yang langsung tidak disentuh oleh pengarah filem tersebut.

Dari aspek lakonan, saya merasakan Maya kurang sesuai dengan watak Izzah walaupun Maya sudah mempersembahkan yang terbaik. Mungkin kerana slanga baku ala indon Maya dan rambut yang sedikit keperangan menjejaskan imej Izzah seorang gadis polos berimejkan kekampungan berdasarkan novel Fauziah tersebut. Aaron pula sangat berjaya menjiwai watak Hariz dengan begitu berkesan. Gesture, bahasa tubuh dan intonasi suara memang selayaknya watak itu untuk Aaron. Manakala Lisa Surihani pula sangat tidak sesuai untuk watak Mila kerana Lisa tiada jiwa untuk melakonkan watak Mila tersebut walaupun Lisa sudah mencuba yang terbaik. Lain-lain watak adalah sebagai penyedap untuk filem ini.

Dari aspek penceritaan pula saya merasakan ada beberapa babak yang saya anggap terburu-buru seolah-olah Osman mengejar masa. Kita lihat bagaimana cepatnya Hariz mencintai Izzah dan Izzah mencintai Hariz sedangkan tidak ada satu plot pun yang mampu menjadikan cinta mereka sekukuh itu. Ini sangat ironikal dengan novelnya dimana kita disajikan dengan bagaimana susahnya Hariz untuk menerima Izzah untuk menjadi suri dihatinya.

Sinematografi dan mise en scene filem ini memang berada pada kelasnya yang tersendiri. Di dalam filem ini, kita dapat melihat bagaimana krew Osman menghidangkan komposisi shot yang cantik(walaupun ada masanya sedikit kabur) serta editing yang bermain dengan tone warna yang sesuai dengan mood dan situasi plot filem ini. Kita lihat ketika babak opening sequence, bagaimana Osman menggunakan prop layang-layang bersama Izzah yang terdampar di lambung ombak adalah momen paling saya ingati selain babak seorang lelaki membawa banner tertulis nama Mila di airport ketika menyambut ketibaan Mila dari luar negara.

Saya merasakan babak panas(yang digembar-gemburkan di media massa) itu sangat kurang sesuai untuk tontonan kanak-kanak di bawah umur, lantaran itu Lembaga Penapisan sewajarnya meletakkan ia pada klasifikasi yang sesuai dengan takatnya, bukan sekadar untuk klasifikasi tontonan umum.

Dari aspek skor musikal pula, saya merasakan runut bunyi Adira dan Hafiz itu asyik diulang-ulang hingga membuatkan saya terfikir tiada lagu lainkah untuk filem ini. Memang lagu itu sedap tetapi taktik mengulang sekejap suara Hafiz dan sekejap suara Adira itu sedikit membunuh mood dan semangat filem melodrama ini.

Dan bab paling tangkap muat untuk filem ini ialah kecelaruan tempat. Ya, kita kan tinggal di Malaysia, masakan kita tidak cam lokasi penggambaran Ombak Rindu ini, tetapi saya malas mengulas tentang ini kerana pada saya ianya hanya sekadar kes terpencil.

Tetapi ada beberapa bab ambiguiti yang saya suka untuk ulas berdasarkan filem ini:

(1) Tema hipokrasi. Filem ini hidup dengan plot bertemakan hipokrasi. Izzah hidup dalam hipokrasinya(muka gembira telah berkahwin tetapi hati memendam rasa kerana Hariz pada awalnya tidak menyintainya), Hariz dengan hipokrasinya(cinta kepada Izzah tetapi tidak mahu meluah), hipokrasi Pak Lah(mahu mengakui Hariz adalah anaknya tapi susah mahu mengungkapnya), Pak Cik Taha yang hipokrit(cakap mahu menghantar Izzah bekerja tetapi menjualnya ke Kelab malam), hipokrasi Mila(terpaksa kahwin dengan Hariz walaupun sudah mengetahui bahawa Hariz tidak mencintainya), Ibu Hariz(berpura-pura gembira dengan perkahwinan Hariz padahal dia sudah tahu bahawa Hariz tidak mencintai Mila). Ya, hipokrasi/talam dua muka/bermuka-muka sudah menjadi lumrah manusiawi pasca Y2K. Di dalam politik, di dalam perhubungan seharian, di dalam pekerjaan, keagamaan malahan dalam apa-apa juga bidang kadang-kadang kita akan menjumpai sifat hipokrit ini. Dan itulah tema yang Fauziah dan Osman mahu kita fikirkan.

(2) Tiada KLCC dalam filem ini. Ya, Osman Ali sememangnya suka mengangkat tema sosio-budaya pada lapis hirarki terbawah masyarakat di Malaysia. Dan ini kita sering dapati di dalam filem-filem Osman sebelum ini. Idea “pelacur halal” itu mungkin wujud di dalam kancah masyarakat di Malaysia dan pada saya ia relevan sebagai salah satu gejala sosial gelap yang kedengarannya agak janggal dalam situasi holier-than-thou dikalangan masyarakat masakini.

(3) Isu pro-choice ataupun pro-addin(agama). Kita digambarkan bahawa Izzah adalah seorang yang berpegang dengan agama(mise en scenenya tudung dan mengajar kanak-kanak mengaji walaupun lahjahtul a’rabinya sangat janggal). Disini kita percaya bahawa Izzah cenderung dengan pro kepada pilihan kerana Izzah seolah-olah merelakan dirinya bahawa dia adalah hamba seks kepada Kelvin dan Hariz. Dia mungkin boleh melarikan diri ataupun melakukan apa sahaja untuk menjauhi nilaian “pelacur halal” ini jika dia benar-benar berpegang dengan pro-addin.

(4) Isu bercinta selepas perkahwinan dan kesetiaan. Kita sering diperkhabarkan bagaimana sesebuah pasangan yang bercinta bagai nak rak sebelum berkahwin tup tup bila selang 2-3 tahun usia perkahwinan, keluar pula berita keretakan rumah tangga mereka. Tema cinta selepas perkahwinan diangkat oleh Osman untuk kita berfikir akan kerelevanannya melalui beberapa babak monolog Izzah selepas berkahwin dengan Hariz. Juga babak bagaimana kesetiaan Izzah kepada Hariz(baca: babak Izzah menangis ketika mendengar radio ketika perkahwinan Hariz dan babak jam terjatuh ke dalam sungai). Ini adalah nasihat “makan dalam” yang relevan untuk semua pasangan samada yang belum berumahtangga mahupun yang sudah 50 tahun usia perkawinan mereka.

Kesimpulannya, filem ini bukanlah filem yang terbaik daripada Osman Ali tetapi ianya cukup perencah dan penyedap bagi mereka-mereka yang berhati tisu untuk sendu-senda selepas menontonnya di pawagam. Bagi lelaki-lelaki urban seperti saya, mungkin ada dikalangan kami yang tertidur pada pertengahan ceritanya, sama halnya dengan lelaki selang satu tempat duduk daripada tempat duduk saya.

Tetapi demi menyokong Osman Ali, mari kita sama-sama menontonnya berkali-kali agar filem ini menjadi filem block-buster bagi tahun 2011!

28 Ogos 2011

Ulasan & Ucapan Raya edisi Review Filem


(1) Alhamdulillah, setelah berpuasa selama sebulan, esok, Insyaallah kita akan menyambut hari lebaran bagi seluruh umat Islam. Pada saya, Syawal adalah hari di mana manusia mengenal erti persaudaraan dan kesatuan umat Islam itu sendiri. Masjid akan dipenuhi jemaah bersolat sunat hari raya, ahli keluarga yang dekat-jauh akan berkumpul, segala hutang-dosa akan dilunaskan dengan huluran salam-jabat memohon kemaafan mahupun ahli keluarga bergotong-royong membersihkan perkuburan ataupun memasak juadah lauk pauk. Kesemua ini memerlukan satu kesatuan. Inilah indahnya Syawal dan mungkin tidak akan dapat kita cari di bulan yang lain. Saya sangat menolak pandangan liberal yang menolak konseptual raya atas alasan “tidak perlu tunggu raya untuk memohon maaf” kerana istilah raya itu adalah melambangkan satu situasi memorable yang wajib dilalui oleh setiap muslim tanpa mengira apa rasnya, warna kulitnya, fahaman politiknya mahupun jantinanya.

(2) Alhamdulillah juga, dikeberkatan bulan Ramadhan yang bakal berlalu ini, pasukan kegemaran saya dan jutaan peminat yang lain, Manchester United melalui saat kegembiraan kerana telah membelasah pasukan bermasalah, Arsenal dengan jaringan 8 berbalas 2, menggambarkan betapa “ayam”nya skuad Arsene Wenger itu sekarang. Perlawanan ini sebenarnya banyak mengajar erti kesabaran bagi Arsene Wenger, pemain dan penyokong Arsenal, kerana itu semua adalah cebisan dugaan yang perlu mereka lalui apabila berhadapan dengan pasukan berwibawa dan berkarismatik seperti Manchester United, sama natijahnya seperti madrasah Ramadhan yang mendidik jiwa umat Islam untuk bersabar menahan perkara-perkara yang membatalkan puasa sepanjang hari.

(3) Untuk tahun ini, sambutan hari raya akan disambut serentak dengan hari kemerdekaan, lalu ini adalah satu pakej bagi syarikat konglomerat untuk “cut-cost” bajet iklan raya untuk disatukan dengan iklan kemerdekaan. Pada saya, sejak kehilangan Arwah Yasmin Ahmad, iklan raya dan kemerdekaan sedikit hambar, suram, kelihatan kurang sifat humanisnya dan kurang unsur-unsur didaktik untuk difikirkan secara mendalam. Untuk menghasilkan video-video iklan hari raya(yang membawa khalayak meneladani maksud hari raya pada ertikata sebenar bukan sekadar makan kuih raya, memakai baju raya) dan kemerdekaan(yang membawa khalayak menerobos maksud sebenar kemerdekaan bukan sekadar mengibarkan bendera mahupun bercanda dikonsert-konsert percuma di malam merdeka) yang mengesankan, bukanlah satu tugasan yang mudah.

Cuba kita telusuri dan hayati iklan-iklan raya untuk tahun 2011. Wujud atau tidak nilaian estatika raya itu di setiap karya ini? Untuk fakta, tahun ini, tiada lagi iklan kontroversi yang boleh kita tonton seperti iklan TV3 tahun lepas.









(4) Cuba anda tonton rancangan di TV semasa raya ini. Kebanyakkan rancangan yang disiarkan adalah bertemakan hiburan. Kalau boleh saya senaraikan satu-satu, memang terlalu banyak rancangan-rancangan hiburan yang ditayangkan samada dalam bentuk filem atau drama(biasanya filem David), program nyanyian, sitkom, muzikal, jurnal, drama sampai ke rancangan masakan sekali pun akan menyajikan resipi-resipi yang bertemakan Hari Lebaran.

Ironinya, yang menjadi masalahnya kini ialah kebanyakkan rancangan hiburan tersebut adalah saduran idea rancangan yang lepas-lepas, klise dan membosankan, khususnya rancangan berteras nyanyian.

Saya melihat media seolah-olah ingin membentuk satu fikrah bahawa konsep raya adalah signifikan dengan nyanyian, asal raya sahaja mesti kena adakan rancangan berbentuk nyanyian.

Kadang-kadang saya rasa pelik, media kerap menghentam bahana hedonisme, tetapi dalam pada masa yang sama mereka sendiri berlumba-lumba untuk menyalur rancangan hiburan yang ‘ntah-apa-apa” ke dalam mentaliti masyarakat.

Dan apa yang buat saya bertambah pelik ialah sikap masyarakat yang suka dengan rancangan-rancangan tersebut. Apa yang seronok sangat dengan rancangan-rancangan nyanyian semacam itu? Tetapi saya ketepikan rasa pelik saya kerana beranggapan bahawa innate behaviour atau citarasa setiap manusia adalah berbeza. Ada yang suka nasi beriyani, ada yang suka nasi kerabu dan ada yang suka nasi putih berlaukkan kicap.

Kadang-kadang saya terfikir kebanyakkan konsep glasnost berteras hiburan ditampilkan pada ertikata yang membosankan. Saya merasakan bahawa sudah sampai masanya satu rekonstruksi atau perestroika dilakukan agar produk-produk hiburan tersebut diubah untuk kebaikan kita bersama.

Saya bukanlah seorang yang anti-konsert ataupun golongan yang menentang hiburan secara total, tetapi pada saya, tiada salahnya jikalau rancangan itu diselitkan dengan unsur-unsur yang didaktik dan mendidik, tidak hanya “based” kepada hiburan semata.

Saya menyarankan agar stesyen TV memperbanyakkan rancangan dokumentari-jurnal berkaitan hari raya, selain rancangan hiburan. Sebagai contoh, satu ketika dahulu saya pernah melihat sebuah dokumentari berkaitan Halim Yazid dan idea-idea dikir baratnya ditayangkan untuk tayangan hari raya.

Ataupun cuba siarkan drama-drama pendek karya pengarah-pengarah indie seperti Amir Muhammad, James Lee, Ridhwan Saidi, Tok Rimau, Kamal Sabran, Ho Yuhang(sekadar menyebut beberapa nama). Kita sering mengatakan yang kita mahu membentuk minda kelas pertama? Ataupun kita sebenarnya menuju era kemandulan minda kelas pertama?

Setiap kali raya, tiada satu pun rancangan yang mengajar masyarakat tentang ertikata sebenar raya kecuali iklan-iklan daripada syarikat-syarikat multinasional seperti Petronas. Walaupun pendek tapi cukup sarat mesejnya. Malahan saya merasakan bahawa iklan-iklan tersebut adalah lebih baik dan sampai mesejnya berbanding drama-drama swasta yang ditayangkan untuk edisi hari raya.

(5) Semakin hampir hari raya, semakin tinggi budaya konsumerisme rakyat Malaysia. Anda tidak percaya dengan fakta ini cuba buat survey di Jalan TAR ataupun Masjid India.

Para pemain kapitalis mula menangguk di air yang keruh atas budaya konsumerisme yang tinggi tatkala hari raya, dengan permainan harga. Mereka meletak harga barangan dengan keuntungan melebihi 100 peratus berbanding harga modal mereka. Contohnya, set alas tilam bermodalkan RM20 dan penjual kapitalis tadi menjualnya dengan harga RM70.

Untuk memenuhi tuntutan keinginan konsumerisme yang tinggi tersebut, maka terdapat segelintir rakyat Malaysia yang membuat pinjaman bank semata-mata untuk menukar set perabot, untuk bershoping sakan membeli baju raya, kasut raya, kuih raya dan sebagainya, sehingga kadangkala berlakunya pembaziran. Contohnya, lebihan makanan atau berbelanja barangan mengikut keinginan melebihi bajet sedia ada. Untuk fakta, hukum memakai pakaian baru hanya sekadar sunah, bukan wajib. Dengan memakai pakaian lama yang bersih adalah lebih dituntut berbanding kita membazirkan beratus-ratus ringgit semata untuk membeli busana baju melayu.

Tidak kurang terdapat juga pengkonsumer yang membayar dengan menggunakan kad kredit. Ini merupakan salah satu budaya yang kurang sihat dimana ianya menyuburkan budaya berhutang semata-mata tuntutan untuk merayakan Aidilfitri. Untuk fakta, Allah SAW dan Nabi SAW tidak pernah mewajibkan kita beraya dengan memakai baju(melampaui batasan kemampuan) yang mahal-mahal atau mewajibkan kita bermewah-mewah ketika berhari raya.

Alasan klise “raya setahun sekali” seharusnya dibuang jauh di dalam budaya berbelanja rakyat Malaysia. Budaya bergolok-gadai semata-mata untuk beraya perlu dihapuskan terus.

Saya merasakan masih ramai di antara pengunjung-pengunjung Bazar Ramadhan, hanya datang semata-mata untuk berjalan tanpa membeli apa-apa barangan. Mungkin dikalangan mereka ini kebanyakkannya adalah penjawat awam atau pekerja swasta yang tersepit dengan kegawatan ekonomi negara pada masa ini. Keinginan/nafsu mereka untuk mengkosumerisme adalah tinggi tapi disekat dengan masalah bajet gaji. Jadi jikalau duit mereka diperhabis untuk berhari raya, apa yang mereka akan makan untuk hari hari yang seterusnya?

Raya Aidilfitri sudah lari daripada konsepnya yang asal. Ianya sudah diubah suai oleh sistem yang dicipta berasaskan adat-adat kemelayuan yang sedikit lari daripada tempo yang diajarkan oleh Islam itu sendiri. Secara adatnya, ramai di kalangan kita yang lebih bergembira apabila Ramadhan berakhir kerana ianya sudah menjadi sebahagian sub-budaya masyarakat melayu di Malaysia, dimana Syawal akan dilalui dengan suasana yang sebegitu meriah seolah-olah ertikata Syawal itu jauh lebih penting berbanding pengisian ibadah di bulan Ramadhan. Kita lihat, pesta hari raya dan iklan hari raya kadangkala sudah bermula semenjak belum bermula bulan Ramadhan lagi.

(6) Apa-apa pun, saya selaku penulis di review-filem.blogspot.com mengucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Dan Batin kepada semua pembaca blog ini!