09 Disember 2013

Anak Muda, Kapitalisme Dan Ulasan Ringkas Filem Ustaz Mu Tunggu Aku Datang


Oleh sebab saya adalah seorang anak muda yang suci dan murni serta mendambakan keredhaan Tuhan Yang Maha Pencipta(sila baca dengan nada sinikalisme,jangan serius sangat), maka saya telah menyalurkan sedikit dana untuk menonton filem Ustaz Mu Tunggu Aku Datang arahan Pierre Andre yang ditunjangi oleh kumpulan Shiro dan penampilan khas, Ustaz Azhar Idrus sebagai cameo.

Saya kira untuk filem Ustaz Mu Tunggu Aku Datang ini, ianya adalah sebuah filem bergenrekan ‘Islamic Road Movie’. ‘Road movie’ ialah filem yang bernaratifkan watak-watak utama meninggalkan rumah mereka(baca:berhijrah) untuk sebuah perjalanan dari satu tempat ke tempat atau ianya lebih kepada ‘typically altering the perspective from their everyday lives’, ia bercerita soal berkaitan eskapisme, positif kepada negatif, malas kepada rajin, dikotomi hitam kepada putih, suka merempit menjadi ahli falsafah dan sebagainya. Untuk filem-filem dari Malaysia, saya sudah menonton beberapa ‘local road movie’ yang saya suka untuk tonton antaranya ialah Dari Jemapoh Ke Manchestee(2001)(filem kultus-falsafah yang wajib ditonton oleh setiap anak muda ataupun sesiapa yang pernah merasai zaman muda) dan Gila-Gila Pengantin Remaja(2004)(antara filem Aziz M Osman yang saya suka).

Pieere Andre meletakkan satu penanda aras yang tinggi bagi filem ini di mana dia mengisytiharkan filem ini sebagai filem Islamik. Sebagai peminat tegar filem, saya belum menemui filem-filem Islamik yang baik dan mencuit intelektualiti untuk filem lokal dan saya mengharapkan agar filem ini mampu untuk mengubah persepsi tersebut, namun usai tontonannya, saya hampa. Ia adalah sebuah filem hiburan yang masih dalam ‘kepompong kotak pemikiran lokaliti Malaysia’(baca: filem-filem bergenre Islamik keluaran tempatan kebanyakkannya berkisar isu klise dan masih mengekalkan naratif/tema simplistik iaitu karekter utama banyak melakukan dosa dan akhirnya bertaubat. Atau lebih malang lagi apabila ada diantara filem tersebut hanya sekadar pseudo-Islamik, namun hakikatnya sangat mungkar dan bertentangan daripada landasan ‘sirotol-mustaqim’).

Saya masih ternanti-nanti sebuah filem Islamik yang ‘cuba’ atau ‘mencuba’ untuk keluar daripada kepompong lokaliti sedia ada tersebut atau cuba membawa gagasan/wacana pemikiran Islam yang lebih intelegensia, namun sehingga hari ini,masih belum ada lagi pengarah dari Malaysia yang mampu duduk pada tahap tersebut. Saya suka menonton filem-filem dari Iran dan jiran kita, Indonesia. Lihat bagaimana mandala perfileman mereka mencetuskan gagasan pemikiran yang luar biasa dan meng-ke-belakangkan industri perfileman kita beberapa tahun ketinggalan di belakang mereka. Iran adalah sebuah negara produktif dengan karya ampuh mereka melalui nama-nama besar seperti Majid Majidi, Bijan Daneshmand, Sepideh Farsi, Tahmineh Milani, Ali Raffi dan beberapa nama yang lain. Kita lihat bagaimana filem-filem mereka membawa gagasan pemikiran yang besar dan ‘berjiwa’ seperti filem A Snake Tail(2006) atau The Willow Tree(2005) yang mengangkat bait-bait halus Mathnawi, sebuah karya puisi masterpiece daripada Persian Sufi; Jalaludin Rumi(sekadar membawa dua contoh yang baharu saya tonton dan terlalu banyak filem lain dari Iran yang bersifat langka dan kultus). Kita juga melihat bagaimana seriusnya pembikin filem dari Indonesia menghasilkan deretan karya berorientasikan Islamik seperti Kiamat Sudah Dekat(2003), Ayat-Ayat Cinta (2008), Ketika Cinta Bertasbih 1&2 (2009), Hafalan Solat Delisa(2011), Perempuan Berkalong Sorban(2009), Sang Pencerah(2010), Di Bawah Lindungan Kaabah(2011), Negeri 5 Menara (2012), Sang Kiai(2013) dan lain-lain. Manakala kita di Malaysia masih terus-terusan disajikan dengan filem berteraskan ketawa-ketawa, cinta 3 segi, ketawa-ketawa, rempit, gangster, ketawa-ketawa dan legasi inilah yang diteruskan oleh Pieere Andre melalui buah tangan terbaharunya ini. Saya tidak mempunyai jawapan sampai bilakah industri perfileman kita akan duduk pada tahap klise ini. Saya tidak pasti mengapa pembikin filem kita begitu takut untuk menghasilkan sesuatu yang ‘besar’ dan ilmiah atau sekurangnya mengadaptasi karya-karya sasterawan negara seperti Al-Imam karya Abdullah Husein, misalnya. Hakikatnya, kita hanya ‘dihiburkan’ dengan persaingan sengit karyawan-karyawan yang hanya memikirkan bagaimana cara mudah untuk filem mereka laku-keras-box-office, lalu khalayak dihidangkan dengan ‘filem-filem sampah’ yang mungkin spektakular daripada segi CGI, kos-biayaannya atau kejelitaan pelakonnya, tetapi sangat terbelakang idealismenya.

Apabila melihat kepada perspektif dan ruang lingkup industri perfileman tanah air dan ‘keadaan masyarakat’(baca: sebilangan besar tersekat hedonisme, manakala sedikit sahaja yang mencapai langkauan ekspressionisme, mungkin sebab bahan bacaan atau lapis stratifikasi pemikiran), saya suka menyimpulkan 2 hipotesa; (1) Pembikin filem sebagai pemikir (2) Pembikin filem yang larut dalam arus kapitalisme. Dalam konteks filem Ustaz Mu Tunggu Aku Datang ini, Pieere Andre sekadar mencuba untuk menjadi pemikir tetapi ianya tidak sampai atau mungkin sekadar ‘extramental subject’ dan diakhirnya Pieere hanyut dek bahana tuntutan kapitalisme. Saya melihat Pieere ‘mencuba’ untuk mengangkat hadis daripada kitab Faz̤ā’il-i a‘māl karya Maulana Muhammad Zakariya namun scene tersebut tergantung tanpa huraian, begitu juga permainan mis en scene Dadu memberhentikan motosikalnya dan membuang kayu di jalan(berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud ”Iman itu tujuh puluh cabang atau enam puluh cabang; yang paling utama adalah ucapan “lâ ilâha illallâh” dan yang paling rendah adalah membuang rintangan di tengah jalan, sedangkan rasa malu itu (juga) salah satu daripada cabang iman), namun tidak ada satu scene pun yang Pieere cuba adaptasi daripada perlambangan tersebut.

Filem ini mengisahkan Dadu, seorang mat rempit yang suka berjudi dan Muiz seorang penganggur tegar yang merasai bahawa diri mereka selama ini bergelumang dengan dosa lalu mereka memulakan penghijrahan mereka dengan cuba menghadiri ceramah Ustaz Azhar Idrus namun mereka terpaksa berhadapan dengan pelbagai rintangan sebelum mereka berjaya mencapai matlamat mereka tersebut.

Kita sudah lali menonton pelbagai filem atau drama yang bercakap soal eskapisme anak muda yang sudah bosan ditekan oleh sesuatu atau kebebasan mereka dihalang, lalu mereka memilih untuk merempit dijalanan, berlumba haram, bergelumang dengan kancah maksiat dan pelbagai perkara yang mereka fikir sesuai dengan ‘jiwa muda’ mereka tanpa mereka sedar, sebenarnya mereka sedang berdiri sebelah kaki mereka diatas kehancuran samada moraliti ataupun fizikali mereka sendiri. Apabila remaja dihidangkan dengan filem-filem semacam ini(baca: gangster, rempit, pseudo-libido) secara psikologinya mereka akan mudah terpengaruh lalu mereka ingin menjadi/meniru seperti apa yang mereka tonton dalam filem/drama itu tadi. Disini kita lihat bagaimana relevannya teori Parlov mengiyakan taakulan saya ini.

Filem Ustaz Mu Tunggu Aku Datang juga bercerita soal eskapisme anak muda yang mahu berhijrah meninggalkan dunia ‘lagho’ mereka menuju ke arah kehidupan berteraskan akhirat. Pieere selaku pengarah cuba untuk mengadun antara unsur psikologi, motivasi dan efikasi dua anak muda di dalam memilih eskapisme terbaik kehidupan mereka dan diakhirnya mereka berjaya mendapat kebahagiaan yang mereka idam-idamkan dan Pieere menjamu kita dengan gaya yang santai dan adakalanya agak terlalu melebih-lebih juga skripnya(mungkin idea spontan Shiro barangkali).

Filem ini memperlihatkan kepada kita kisah dua orang sahabat yang ingin menuju destinasi yang boleh dianggap ‘mudah’ (mendengar ceramah Ustaz Azhar Idrus) tetapi di‘payah’kan kerana mereka perlu melalui pelbagai rintangan sebelum mereka dapat berjumpa dengan sosok popular tersebut. Melihat kepada sisi ekonomikal Muiz yang tidak bekerja dan hanya mengharapkan kepada Dadu yang bekerja sebagai mat rempit jalanan dan bergaji tak seberapa(dan suka berjudi pula), ditambah dengan keduanya berasal daripada keluarga sederhana, memang agak sedikit sukar untuk mereka berdua sampai ke ceramah Ustaz Azhar Idrus namun sikap Dadu dan Muiz ini wajar diambil-contoh oleh anak muda di atas subjek keberanian mereka meninggalkan dunia selesa kehidupan mereka(the comfort zone) tanpa ada sebarang bantuan melainkan mereka hanya menyandarkan nasib mereka hanya kepada Allah. Walaupun ini kedengarannya sedikit ke arah aliran Jabariyyah namun semua itu hanya tinggal di dalam poket Pieere Andre tanpa beliau menghuraikannya di dalam filem ini.

Sisi positifnya, filem ini membina konsep “siapa berusaha, dia akan mendapat”. Kita dihidangkan dengan bagaimana segala kekurangan tersebut ditampung dengan kesungguhan dan efikasi kendiri yang kuat untuk mencapai matlamat mereka, lantas diakhirnya mereka berjaya untuk mencapai apa yang mereka mahu hijrahkan.

“Serulah kepada jalan Tuhanmu dengan cara hikmah dan nasihat yang baik..” -terjemahan surah An-Nahl:125

Filem ini cuba menghurai bahawa dakwah mampu menjadi agen sebagai perantara untuk membawa manusia berhijrah daripada ruang lingkup kegelapan kepada petunjuk cahaya, daripada positif kepada negatif dan daripada buruk kepada baik namun adakah ia mencuba untuk memperbetul konteks kefahaman masyarakat hari ini, dimana wujud sebilangan kecil masyarakat yang sedikit tersasar daripada memahami konteks dakwah pada ertikata sebenar. Di sini, Pieere seharusnya bijak di dalam permainan mis en scene seperti babak penerangan isbal yang boleh dihuraikan dengan lebih mendalam di dalam memperbetulkan kesalahtanggapan masyarakat di dalam memahami hadis tersebut atau mis en scene babak membuang kayu yang perlu dihurai agar filem ini lebih hidup dengan ‘nur’ hadis Rasulullah SAW. Saya selaku penonton tidak memerlukan satu bentuk babak yang preachy sebaliknya kami mahu lihat Pieere selaku pengarah dalam pada masa yang sama menjadi pemikir untuk menyalurkan didaktisme kepada kita semua. Jikalau Pieere mahukan buah fikiran, saya sedia menawarkan diri untuk membantu 

Saya melihat ada 2 plot yang baik untuk Pieere hurai berdasarkan filem ini iaitu subjek jemaah tabligh dan fenomena Ustaz Azhar Idrus namun Pieere hanya mampu mempertontonkan ‘lapis luar’ sahaja plot tersebut tanpa mahu memberi tafsiran dalaman ataupun ambiguiti di dalam fasa memahami ‘lapis luar’ tersebut. Pieere seharusnya bijak mengungkap-rasa di dalam memperbetulkan tanggapan negatif masyarakat terhadap jemaah ini ataupun sekurang-kurang menghadirkan kesan bahawa dakwah ini bukan sekadar urusan jemaah tabligh sahaja sebaliknya adalah kerja yang wajar ditelusuri oleh kita semua. Ataupun subjek Ustaz Azhar Idrus yang hanya muncul pada scene soal jawab di tepi pantai, apa kata wujudkan satu situasi yang menyedarkan tentang peri pentingnya kehidupan beragama kepada remaja, melangkaui preteks menjaga solat semata.

Dari segi lakonan, saya menerima seadanya kumpulan Shiro sebagai sebuah kumpulan lawak, mereka lari daripada skematik, sifat idiosyncracy mereka ‘slumber’, emosi dan tangisan agak sedikit ‘palsu’ namun pada saya semua itu dimaafkan kerana Shiro adalah kumpulan lawak pelapis yang baik setahap dengan kumpulan lawak masakini seperti Sepahtu, Nabil, Jambu, Boboi dan lain-lain. Mereka selaku karekter utama berjaya menghidupkan watak Dadu dan Muiz sebagai watak naivete yang menghiburkan. Ada sesetengah babak yang agak sentimentalisme namun dengan bantuan alunan membuai Mohram, ianya agak sedikit mencuit emosi kita untuk menghayati preteks hiba dan sebu.

Diakhirnya, marilah kita sama-sama menonton filem ini kerana ia adalah sebuah filem yang menghiburkan, sekurang-kurang buat diri anda dan saya!

p/s: sila share jika anda sayang Ustaz Azhar Idrus,keh keh keh 

6 ulasan:

OrAng_PeRLiS_mEnULiS berkata...

Ulasan Filem USTAZ MU TUNGGU AKU DATANG

ciknie berkata...

ulasan yg baik.sedih rupa-rupanya scene ustaz azhar dalam 10 minit terakhir baru ada.x sempat ustaz hurai lebih banyak info agama dalam filem ini

Nizal berkata...

salaam,

ulasan yg amat mendalam analisisnya, syabas... :) dan teringin saya menerokai filem-filem luar negara yang saudara syorkan di sini.

Sedikit nitpick: saya rasa teori yang saudara maksudkan adalah Pavlov, bukan Parlov...

Liga Film berkata...

Ulasan yang baik .. teruskan berkarya

Uda Dara berkata...

mana nak dapat teks skenario film ni ek? nak buat thesis

Tanpa Nama berkata...

Mu jadi pengarah filem la, mesti meletop2 dengan segala anugerah dan pujian melangit